Friday, January 30, 2009

0001 : FORENSIK POLITIK SELEPAS PILIHANRAYA 2008 DEMI KEAMANAN NEGARA INI

Keputusan pilihanraya umum yang ke-12 bagi negara Malaysia telah diumumkan beberapa hari yang lalu. Namun hasil keputusannya yang luar biasa yang dikatakan sebagai satu gelombang besar politik telah berlaku di negara ini masih diperkatakan di sana sini dalam masyarakat Malaysia. Kekalahan jentera Barisan Nasional pada tahap yang paling buruk dalam sejarah pilihan raya memberi kesan yang mendalam terhadap struktur politik dalam Negara ini. Seperti yang diperkatakan oleh Yang Mulia Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Aziz, seorang pemikir negara bahawa ia menunjukkan bahawa satu keadaan buku baru telah wujud dalam senario politik di negara ini dan bukannya bab yang baru. Sebanyak lima buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan telah jatuh kepada satu pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat.


Satu pendekatan forensik politik perlu di buat terhadap keputusan pilihan raya ini terutama parti-parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan bumiputera yang menjunjung agama Islam di negara ini. Ini kerana bangsa Melayu dan bumiputera merupakan tunjang utama perpaduan dan pembangunan di negara Malaysia. Ini perlu diakui oleh bangsa-bangsa lain tanpa ada sebarang syak wasangka. Dalam pendekatan forensik politik ini, satu pendekatan yang sistematik dan saintifik perlu dibuat bagi mengkaji keperluan dan kesan daripada keputusan pilihan raya ke-12 yang telah diadakan sebelum ini.


Pilihan raya merupakan satu proses utama dan ia melibatkan entiti-entiti yang menjayakannya seperti para pengundi, calon-calon dun dan parlimen, ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, manifesto dan jentera parti-parti yang bertanding. Di samping itu terdapat beberapa proses dalam pilihan raya tersebut yang perlu di lihat seperti proses pengundian, penamaan calon, pemilihan calon dan kempen. Kesemua perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti agar dapat memberi satu keputusan yang baik untuk masa hadapan atau pilihan raya yang ke-13 nanti. Kajian-kajian ini perlu dibuat bukan sahaja kepada parti yang kalah tetapi juga kepada parti yang menang, Institusi Pengajian Tinggi, badan-badan bukan kerajaan dan juga agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.


Apa yang jelas diperolehi dalam keputusan pilihan raya ke-12 ini adalah berpecahnya undi masyarakat melayu atau bumiputera yang sangat ketara. Namun begitu, negeri-negeri seperti Kedah, Perak dan Selangor yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat didapati bilangan kerusi DUN yang diperolehi oleh Barisan Nasional boleh dikatakan agak tertinggi berbanding parti-parti lain. Di Kedah, Barisan Nasional memperolehi 15 kerusi DUN, kedua tertinggi selepas parti PAS, 28 kerusi DUN di Perak dan 20 kerusi DUN di Selangor yang mana ia merupakan yang tertinggi di kedua-dua buah negeri tersebut. Walaupun begitu, jumlah kerusi yang diperolehi oleh Barisan Nasional tidak mengcukupi untuk membentuk sebuah kerajaan negeri berbanding pembangkang yang apabila digabungkan kerusi-kerusi DUN yang dimiliki oleh parti PAS, DAP dan PKR berupaya untuk membentuk sebuah kerajaan negeri.


Di sini boleh dilihat seperti yang diperkatakan oleh Yang Mulia Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Aziz, wujudnya buku yang baru dalam senario politik Negara. Demi memperkukuhkan kemajuan pembangunan dan perpaduan di Negara ini, kedudukan politik bangsa melayu dan bumiputera sebagai tunjang utama dalam politik Negara yang jelas kelihatan berpecah perlu dipulihkan dengan segera oleh parti-parti yang memperkatakan memperjuangkan nasib bangsa melayu atau bumiputra dan Islam seperti parti PAS dan Barisan Nasional yang diterajui oleh parti UMNO.


Di dalam mekanisme feqah ada yang dinyatakan satu kaedah iaitu menggunakan musibah yang kecil bagi mengelakkan berlakunya musibah yang lebih besar yang di ambil sempena peristiwa yang telah berlaku ketika pengembaraan Nabi Musa A.S dan Nabi Khidir A.S. Senario politik yang berlaku di negeri Perak dan Selangor perlu ditangani dengan bijaksana oleh parti-parti yang memperkatakan mereka berjuang untuk bangsa melayu, bumiputra dan Islam iaitu parti PAS dan UMNO. Satu kerajaan campuran boleh dibentuk di negeri Selangor dan Perak oleh parti PAS dan Barisan Nasional demi melihat kelangsungan politik melayu dan bumiputera yang menjadi kekuatan dan kestabilan politik di Negara ini. Demi perkara ini, parti PAS perlu berkorban sedikit dengan ideologinya yang mungkin ada bertentangan sedikit dengan Barisan Nasional dan Parti UMNO sebagai tunjang kepada Barisan Nasional perlu banyak bertolak ansur dalam memberi kuasa kepada Parti PAS dalam memerintah negeri-negeri tersebut. Sekiranya di lihat seperti sesetengah Negara yang partinya memperkatakan untuk semua bangsa tetapi akhirnya masyarakat pribumi atau bumiputera ditindas dan merempat malah diketepikan secara sistematik di Negara sendiri. Perkara ini yang perlu dilihat oleh parti-parti yang berkaitan tanpa perlu terlalu taksub dan ego dengan kemenangan atau ideologi masing-masing.


Kelangsungan dan kekuatan politik bangsa melayu beragama Islam di Negara ini sangat penting sebagai tunjang perpaduan dan pembangunan di Negara Malaysia. Nikmat dan pencapaian yang diperolehi negara ketika ini adalah hasil daripada perkara tersebut. Parti-parti dan masyarakat melayu serta bumiputera perlu melihat perkara ini bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi adalah untuk kesejahteraan keseluruhan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang tercinta ini. Kesyukuran di atas kurniaan Allah S.W.T kepada kita dengan negara yang aman dan harmoni ini perlu diingati dan diterjemah dalam tindakan-tindakkan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

Wednesday, January 28, 2009

0000 : Kezaliman Yang Tersembunyi dan Yang Nyata

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Disini dinukilkan satu perbincangan untuk kita semua renungi dan berbahas dengan fikiran yang terbuka.

Teringat akan syarahan yang disampaikan oleh Ustaz Rahim Rafiee, pensyarah Fakulti Pendidikkan di UPM pada 8-9 tahun yang lalu mengenai zalim.

Allah S.W.T melarang umatnya melakukan kezaliman malah perlu untuknya mencegah daripada berlaku seperti yang terdapat dalam Surah Asy-Syura Ayat 227 yang antara maksudnya "....Nanti akan tahu orang-orang yang aniaya, ke tempat mana mereka akan kembali."

Kezaliman ini berlaku sama ada secara yang terang atau secara tidak jelas.

Kezaliman yang berlaku secara terang amat mudah untuk kita kenalpasti seperti berlakunya penindasan orang-orang Israel terhadap orang-orang palestin atau penindasan yang dibuat oleh orang-orang Serbia ke atas orang-orang Bosnia dan sebagainya.

Bagaimana pula kezaliman yang tersembunyi? Ia lebih kepada ketidakadilan atau kita tidak meletakkan hak ke atas yang sepatutnya.

Seperti contoh majikan dengan pekerjanya. Pekerja berhak untuk mengambil cuti tahunannya tetapi majikan atau bos mempunyai kuasa untuk meluluskannya. Sekiranya pekerja tadi memohon cuti sebagai haknya dan majikan tadi dengan kuasa yang ada berpendapat tidak perlu meluluskan cuti tersebut. Pendapat majikan atau kita kadang-kadang tidak sempurna tetapi secara haknya, memang sepatutnya pekerja tadi dapat cuti. Maka berlakulah satu kezaliman.

Begitu juga beliau andaikan beliau sendiri sebagai pensyarah dengan pelajar beliau.

Dari segi pemberian markah, sekiranya markah yang kita beri itu kurang daripada sepatutnya yang pelajar itu dapat maka kita dah melakukan kezaliman. Kita bagi markah terlebih tidak mengapa (Bukan saja-saja bagi lebih) tetapi sekiranya kurang daripada yang sepatutnya , berlakulah kezaliman.

Ini berdasarkan hadis yang mengatakan bahawa ada tiga jenis hakim iaitu dua masuk neraka dan satu tidak masuk neraka.

Yang masuk neraka:-

1. Hakim yang pasti tahu perkara tersebut satu kesalahan yang telah dibuat dan tidak menjatuhkan hukuman yang sepatutnya.

2. Hakim yang yang tidak pasti tahu kesalahan tersebut dilakukan dan telah menjatuhkan hukuman terhadapnya tetapi perkara yang sebenarnya kesalahan itu tidak dilakukan.

Yang tidak masuk neraka tentulah Hakim yang adil dan Hakim yang yang tidak pasti tahu kesalahan tersebut dilakukan dan tidak menjatuhkan hukuman terhadapnya walaupun perkara yang sebenarnya kesalahan itu dilakukan.

Itulah dia indahnya Islam, walaubagaimanapun dalam perhubungan sesama manusia kita bukanlah searif Umar Al-Khatab yang digelar Al-Farouk di mana ia dapat membezakan dengan jelas yang benar dan yang tidak benar, yang salah dan yang tidak salah dan sebagainya.

Lebih baik kita mengambil jalan tengah dalam membuat sesuatu keputusan yang melibatkan hak orang lain yang berkait dengan kuasa kita agar kita tidak melakukan kezaliman.

Ini juga merupakan satu dakwah kepada orang bukan Islam di mana perkara kezaliman ini bukan sahaja tertumpu kepada umat Islam tetapi juga kepada bangsa-bangsa lain seperti China dan India yang bukan beragama Islam.

Dirawikan daripada Rasulullah S.W.T, beliau bersabda: "Lima orang yang mendapat murka Allah SWT, Jika mahu Dia akan berikan pada mereka di dunia atau dia tempatkan mereka di Akhirat dalam neraka:

1. Pemimpin yang merampas hak rakyatnya, tidak pernah ia menginsafi dirinya terhadap perbuatannya dan melakukan kezaliman terhadap rakyatnya.

2. Pemimpin yang ditaati kaumnya, namun ia tidak membezakan mana yang kuat dan yang lemah tetapi dizalimi serta berkata dengan hawa nafsunya,

3. Lelaki yang tidak pernah mementingkan isteri dan keluarganya untuk taat kepada Allah dan tidak mengajari mereka urusan agamanya,

4. Lelaki yang tidak memberi upah dengan cukup pada pekerjanya,

5. Dan lelaki yang menganiaya dalam maharnya."

Itulah dia antara yang dapat saya kongsikan yang dipetik daripada ceramah beliau.

Sesiapa yang pernah berada atau menetap di UPM atau sekitar Serdang , biasanya amat mengenali beliau.

Diharapkan agar diri saya dapat mengelakkan daripada melakukan kezaliman ini secara kita tidak sedari dalam kehidupan seharian saya terhadap diri, pelajar, rakan-rakan sekerja, keluarga, bangsa, negara, masyarakat, universiti dan negara.

Friday, January 2, 2009

Sejarah Kampung Mengkarak

Dipetik daripada blog, http://braderjamal.blogspot.com

SEJARAH KAMPUNG MENGKARAK

Foto Lembah Singkarak di Sumetra tempat kelahiran Tok Mengkarak...
Luhak singkarak & Solok(lembah)
Dari Gunung Merapi menurun perlahan-lahan ke bawah, sejajar dengan Tanah Datar yang terpisah oleh pegunungan rendah, terletak lembah Singkarak-Solok. Pada dasar lembah ini terdapat Danau Singkarak, berbentuk bulat telur, panjangnya kira-kira 12.5 mil dengan lebar maximum 5 mil, yang mengalirkan airnya kesisi timur melalui sungai yang akhirnya menyatu dengan salah satu sungai terbesar di pantai Timur Sumatera. Dilembah ini juga terdapat gunung berapi, karena pada sebelah barat laut berbatasan dengan Gunung Talang yang menjulang 4.500 kaki di atas permukaan laut.
PENEMUAN KAMPUNG MENGKARAK. ( Sekitar 1620 an )
Kampung Mengkarak pada sejarah awal sebelum penempatan moden merupakan sebuah kawasan hutan yang disaliri oleh Sungai Pahang. Sebagaimana kedudukan kampung kampung lain ditepi sungai pahang, Kampung Mengkarak tidak dapat tidak didiami oleh kumpulan Melayu Asli dari keturunan Semelai dan Melayu Proto. Namun tiada bukti kukuh mengenai kaum asli yang menetap di Kg Mengkarak sebelum tahun 1600, ( penulis pernah menjumpai lokasi tanah perkuburan pra sejarah dengan himpunan tengkorak manusia dan tulang tulang manusia- lokasi Projek Mengkarak Warefront dan lain lain andaian - elok kalau ada anak kg mengkarak membuat kajian terperinci persejarahan awal kampung bertuan ini !! ).
Sungai Mengkarak dengan muaranya yang bertemu dengan Sg Pahang betul betul terletak di tanjung Sg Pahang yang paling selatan jika merujuk peta negeri pahang..dan keunikan ini menjadikan aliran sg pahang seperti berbentuk huruf U.
Sekitar tahun 1620an, semasa kegemilangan Kerajaan Kesultanan Pagar Ruyung di Pulau Sumetra, berlaku pertentangan aliran fahaman tarikah dalam pengembangan agama Islam. Kumpulan pendakwah yang lebih berfahaman ekstreem dalam bidang tauhid telah meletakan tarikat Martabat 7 sebagai dasar utama amalan agama islam. Imam Nur Al Bayan dan anaknya Iman Nur Al Qadim ( Kamudian dikenali sebagai Tok Mengkarak ) merupakan pendakwah dan pengamal tarikat ini yang mendapat penentangan daripada Sultan Iskandar Muda Thani ( Sultan Pagar Ruyung ). Baginda sultan telah mengeluarkan titah untuk menangkap, membunuh pengikut Martabat 7 selain membakar semua kitab kitan yang digunakan.
Menyedari ancaman ini, Iman Nur Al Bayan dan anaknya Iman Nur Al Qadim serta pengikut pengikut yang setia dan pengikutnya telah berhijrah ke Tanah Melayu untuk mempertahankan ajaran yang dianuti serta mengembangkan Agama Islam ke Tanah Melayu terutama untuk kawasan pendalaman Negeri Pahang...penghijrahan ini juga melibatkan waris kesultanan Pagar Ruyung yang merasa terancam dengan kuasa Sultan yang memerintah. ( Ada dakwaan bahawa..kumpulan ini merupakan waris kesultanan Pagar Ruyung yang dipinggirkan dan dengan salasilah kesultanan ini mereka telah mendapat tempat sebagai pemimpin atau pemerintah di tempat tempat yang tertentu - Contohnya, hubungkait dengan salasilah kesultanan Seri Menanti di Negeri Sembilan, kesultanan Maharaja Perba Jelai di Lipis dan perkaitan dengan salasilah keluarga di Pekan, Chenor.....

Salam Ukkuwah

Assalamualaikum W.B.T dan S. Pagi,

Blog merupakan satu model atau kaedah untuk membuat sesebuah penulisan itu boleh dipaparkan atau dipasarkan tanpa perlu kita melalui pihak penerbitan tetapi menggunakan teknologi web dan Internet.

Di sini saya namakan blog ini sempena nama tempat asal usul saya dan supaya dapat menjadi medan perbincangan ilmiah dan isu-isu semasa dalam membina minda dan pemikiran kita semua.

Harap mendapat sokongan, tunjuk ajar dan panduan daripada kita semua.

Apa yang baik dijadikan panduan manakala yang buruk dijadikan sempadan.

Terima Kasih.

Firkhan Ali.