Thursday, February 16, 2012

Sembang ICT 56: Elak Nama, Fail Muncul dalam Internet. 13 Februari 2012. Utusan Malaysia

Diskusi ICT 57

En. Firkhan, saya ingin tahu, bagaimana untuk mengelakan segala dokumentasi, fail atau perkara yang berkait dengan satu nama seperti nama seseorang tidak akan dipaparkan apabila nama tersebut ditaip di laman web Google atau internet?

Saya Dia, Skudai.

Pertama, sekiranya sesuatu itu penting seperti fail, dokumen dan lain-lain, elakan daripada menggunakan medium laman web atau apa-apa aplikasi yang tidak dienkrip di internet untuk mencapai, menghantar dan menyebarkannya. Gunakan perkhidmatan aplikasi VPN (Virtual Private Network) yang boleh didapati secara percuma untuk membuat sebarang transaksi atau sambungan di antara dua nod menggunakan talian internet.

Aplikasi VPN ini akan mengenkripkan sambungan di antara dua nod ini menerusi talian internet. Internet merupakan talian rangkaian komputer yang bersifat umum. Sesiapa sahaja boleh mencapainya. Ini penting bagi para pekerja yang sentiasa dalam pergerakan ke mana-mana. Sekiranya perlu, gunakan kata laluan yang kuat dan kental berserta dengan aplikasi enkripsi dan aplikasi-aplikasi keselamatan yang lain seperti Firewall, perisian anti-virus dan lain-lain.

Di sini, disertakan beberapa panduan untuk menghindarkan maklumat berkenaan seseorang daripada dipaparkan oleh sesebuah laman web seperti enjin carian.

  1. Elak daripada menggunakan nama penuh dan memberi maklumat peribadi yang sulit dalam mengendalikan segala urusan di internet seperti penulisan blog, penulisan komen kepada sesuatu laman web, pendaftaran ahli bagi akaun laman web dan lain-lain.
  2. Cuba lakukan carian nama tersebut dalam mana-mana laman web enjin carian. Berkemungkinan paparan maklumat itu merupakan maklumat bagi orang lain yang mempunyai nama yang sama atau seakan-akan sama.
  3. Ubah segala kandungan web yang mempunyai nama sendiri kepada nama lain seperti komen, komentar dan lain-lain. Tutup semua akaun laman web di internet yang telah didaftarkan dengan nama tersebut. Ini kerana kesemuanya ini akan diindek oleh laman-laman web enjin carian seperti Google.
  4. Hantar e-mel kepada pihak yang empunya bagi sesebuah laman web yang mengandungi nama seseorang bagi meminta kebenaran untuk membuang kandungan web yang mempunyai nama tersebut. Minta dengan baik dengan alasan-alasan yang kukuh. Apa yang penting adalah perlu dibuktikan dengan jelas perkara-perkara tersebut adalah kepunyaan peribadi.
  5. Kebanyakan laman web enjian carian mempunyai konfigurasi sendiri untuk perkara-perkara yang bersifat privasi dalam carian. Sila cari menu tersebut dan lakukan langkah-langkah yang seterusnya. Sebagai contoh, enjin carian Yahoo! mempunyai fungsi Yahoo Privacy Policy. Enjin carian Google mempunyai Google Privacy Center di http://www.google.com/privacy/tools.html.
  6. Boleh hantar alamat URL tertentu kepada Google Webmaster Tool untuk blok maklumat-maklumat tertentu di alamat URL,

https://www.google.com/webmasters/tools/removals.

  1. Terdapat juga syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan untuk membuang sesuatu nama daripada dipaparkan oleh enjin carian seperti RemoveYourName.Com, Zallas Technologies, Complaint Remover dan lain-lain. Ia memerlukan kos untuk melanggannya.

Itulah beberapa panduan yang boleh dilakukan untuk menghindarkan berlakunya paparan apa sahaja perkara berkenaan sesuatu nama di sesebuah laman web atau internet. Ia agak sukar untuk menghapuskan perkara-perkara yang sedia ada tetapi tiada perkara mustahil yang boleh berlaku dengan kegigihan sesuatu usaha.

Fikirkan@Firkhan.


Utusan Online

Friday, February 10, 2012

Sembang ICT 55: Panduan Keselamatan Laptop. 6 Februari 2012. Utusan Malaysia

Diskusi ICT 56

Saya sering pergi ke luar negara atas urusan kerja. Jadi, komputer riba sering dibawa bersama untuk tujuan membuat kerja dan akses kepada internet. Apakah langkah-langkah keselamatan yang boleh di ambil dalam penyediaan komputer riba saya untuk dibawa bersama ke luar negara?

Jurutera Jentera, Klang.

Hari ini, komputer adalah dalam bentuk yang mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Ia dikenali sebagai komputer riba, komputer tablet atau telefon pintar. Dengan ini, ia akan memudahkan berlakunya kehilangan atau kecurian. Namun begitu, apa yang menjadi keutamaan dan kepentingan adalah data dan maklumat yang terdapat dalam komputer mudah alih tersebut. Sekiranya berlaku kecurian atau kehilangan, komputer riba tersebut boleh digantikan dengan yang lain tetapi data yang terdapat di dalamnya agak sukar untuk dikembalikan semula seperti sedia kala.

Di samping itu, sekiranya data tersebut sangat sulit dan dimiliki oleh sebuah organisasi jatuh kepada para pesaing dalam dunia perniagaan, sudah itu ia akan menjejaskan prestasi sesebuah organisasi. Dengan itu, langkah-langkah keselamatan sangat penting untuk diambil dalam penyediaan sesebuah komputer riba yang akan di bawa kemana-mana sahaja termasuk ke luar negara.

  1. Gunakan perkhidmatan Virtual Private Network (VPN) untuk capai rangkaian organisasi menggunakan internet. Ia akan mengenkrip capaian rangkaian yang dibuat antara komputer pekerja dengan persekitaran siber organisasi.
  2. Penggunaan alamat IP statik bagi perkhidmaan DNS yang diguna pakai.
  3. Konfigur keselamatan untuk capaian internet bagi komputer riba tersebut. Sila blok mana-mana yang capaian yang perlu dan tidak selamat.
  4. Kemas kini program aplikasi-aplikasi komputer, perisian anti-virus dan sistem pengoperasian yang digunakan dalam komputer riba tersebut.
  5. Laksanakan enkripsi sepenuhnya terhadap keseluruhan cakera keras bagi komputer riba yang digunakan. Boleh menggunakan aplikasi-aplikasi enkripsi seperti BitLocker, TrueCrypt dan lain-lain. Sekiranya perlu, lindungi data tersebut dengan aplikasi kekunci USB sebagai tambahan keselamatan.
  6. Pastikan komputer tersebut mempunyai kata laluan yang kuat dan kental untuk memasukinya.
  7. Mempunyai garis panduan keselamatan untuk penggunaannya.
  8. Mempunyai polisi keselamatan untuk penggunaan komputer riba tersebut. Ini juga boleh dikonfigur pada sistem pengoperasian seperti Windows dengan aplikasi GPOnya (Group Policy Object).
  9. Pastikan capaian oleh pekerja biasa terhadap apa sahaja kepada persekitaran teknologi maklumat organisasi bukan dalam mod kawalan atau admin.
  10. Konfigur sistem keselamatan Firewall dengan baik.
  11. Pastikan juga jenis kabel, soket dan keperluan tenaga elektrik yang sesuai dengan bekalan tenaga elektrik yang disediakan oleh sesebuah negara.

Itu adalah beberapa panduan yang boleh diguna pakai dalam penyediaan keselamatan komputer riba atau mana-mana komputer mudah alih yang akan digunakan untuk tujuan kerja. Komputer yang hilang mudah dicari ganti tetapi data yang hilang amat sukar dipulih kembali. Namun begitu, langkah-langkah penguatkuasaan terhadap aspek keselamatan ini merupakan perkara yang paling penting untuk mengurangkan masalah ini daripada berlaku.

Wednesday, February 1, 2012

11 jenis manusia didoa malaikat

11 jenis manusia didoa malaikat

Posted on the July 24th, 2011 under Agama by admin

PERCAYA kepada malaikat adalah antara rukun iman. Ada malaikat yang ditugaskan berdoa kepada makhluk manusia dan sudah tentu seseorang yang didoakan malaikat mendapat keistimewaan.

Dalam hidup, kita sangat memerlukan bantuan rohani dalam menghadapi ujian yang kian mencabar. Bantuan dan sokongan malaikat sangat diperlukan.

Kali ini penulis ingin menyenaraikan antara jenis manusia yang akan menerima doa malaikat.

Ketika kita menghadapi masalah, kerumitan, keperluan dan bimbingan, bukan saja kita perlukan kekuatan doa dari lidah, tetapi juga sokongan malaikat.

Antara orang yang mendapat doa malaikat ialah:

  1. Orang yang tidur dalam keadaan bersuci.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesiapa yang tidur dalam keadaan suci, malaikat akan bersamanya di dalam pakaiannya. Dia tidak akan bangun hingga malaikat berdoa: “Ya Allah, ampunilah hamba-Mu si fulan kerana tidur dalam keadaan suci.”
  2. Orang yang sedang duduk menunggu waktu solat.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Tidaklah salah seorang antara kalian yang duduk menunggu solat, selama ia berada dalam keadaan suci, kecuali kalangan malaikat akan mendoakannya: ‘Ya Allah, ampunilah ia. Ya Allah sayangilah ia.’”
  3. Orang yang berada di saf depan solat berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat ke atas (orang) yang berada pada saf depan.”
  4. 4. Orang yang menyambung saf pada solat berjemaah (tidak membiarkan kekosongan di dalam saf).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat selalu berselawat kepada orang yang menyambung saf.”
  5. Kalangan malaikat mengucapkan ‘amin’ ketika seorang imam selesai membaca al-Fatihah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Jika seorang imam membaca…(ayat terakhir al-Fatihah sehingga selesai), ucapkanlah oleh kamu ‘aamiin’ kerana sesiapa yang ucapannya itu bertepatan dengan ucapan malaikat, dia akan diampuni dosanya yang lalu.”
  6. Orang yang duduk di tempat solatnya selepas melakukan solat.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Kalangan malaikat akan selalu berselawat kepada satu antara kalian selama ia ada di dalam tempat solat, di mana ia melakukan solat.”
  7. Orang yang melakukan solat Subuh dan Asar secara berjemaah.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Kalangan malaikat berkumpul pada saat solat Subuh lalu malaikat (yang menyertai hamba) pada malam hari (yang sudah bertugas malam hari hingga Subuh) naik (ke langit) dan malaikat pada siang hari tetap tinggal.”Kemudian mereka berkumpul lagi pada waktu solat Asar dan malaikat yang ditugaskan pada siang hari (hingga solat Asar) naik (ke langit) sedangkan malaikat yang bertugas pada malam hari tetap tinggal lalu Allah bertanya kepada mereka: “Bagaimana kalian meninggalkan hamba-Ku?”Mereka menjawab: ‘Kami datang sedangkan mereka sedang melakukan solat dan kami tinggalkan mereka sedangkan mereka sedang melakukan solat, ampunilah mereka pada hari kiamat.’”
  8. Orang yang mendoakan saudaranya tanpa pengetahuan orang yang didoakan.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Doa seorang Muslim untuk saudaranya yang dilakukan tanpa pengetahuan orang yang didoakannya adalah doa yang akan dikabulkan. Pada kepalanya ada seorang malaikat yang menjadi wakil baginya, setiap kali dia berdoa untuk saudaranya dengan sebuah kebaikan, malaikat itu berkata ‘aamiin dan engkau pun mendapatkan apa yang ia dapatkan.’”
  9. Orang yang membelanjakan harta (infak).Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidak satu hari pun di mana pagi harinya seorang hamba ada padanya kecuali dua malaikat turun kepadanya, satu antara kedua-duanya berkata: ‘Ya Allah, berikanlah ganti bagi orang yang berinfak…’”
  10. Orang yang sedang makan sahur.Rasulullah s.a.w bersabda maksudnya: “Sesungguhnya Allah dan kalangan malaikat-Nya berselawat kepada orang yang sedang makan sahur.”
  11. Orang yang sedang menjenguk (melawat) orang sakit.Rasulullah s.a.w bersabda, maksudnya: “Tidaklah seorang mukmin menjenguk saudaranya kecuali Allah akan mengutus 70,000 malaikat untuknya yang akan berselawat kepadanya di waktu siang hingga petang dan di waktu malam hingga Subuh.”Itulah antara mereka yang mendapat doa malaikat. Semoga kita termasuk dan tersenarai sama.