Wednesday, April 1, 2009

April Fool : Ini Betul-Betul Sadiq Sigaraga yang Punya

Setiap kali menyambut kedatangan bulan April setiap tahun, terdapat pelbagai perkara kebodohan berlaku di sana sini di dunia ini.

Apakah malangnya bulan April ini sehingga disambut dengan pelbagai perkara kebodohan oleh manusia. Sekiranya bulan April ini seperti kita, agaknya kita tidak akan berjumpa dengannya lagi.

Budaya April Fool ini tidak sesuai untuk negara kita kerana ia bertentangan dengan salah satu Rukun Negara kita iaitu Kesopanan dan Kesusilaan. Apa lagi untuk melahirkan modal insan untuk kemajuan negara di tahun 2020.

Untuk yang beragama Islam, lagilah tidak sesuai menyambutnya dengan melakukan pelbagai perkara kebodohan kepada sesama manusia.

Perkara ini ada disiniskan oleh Allahyarham Tan Sri P. Ramlee dalam ceritanya, Tiga Abdul. Ia menceritakan berkenaan satu kontrak yang ditandatangani di mana tidak sesiapa pun boleh marah di antara mertua, Tuan Sadiq Sigaraga dengan anak menantu. Sekiranya berlaku, si menantu tadi akan dijual.

Maka, pelbagailah perkara-perkara bodoh yang dibuat oleh si mertua untuk membuatkan si menantu tersebut marah. Inilah yang terdapat dalam budaya April Fool yang sangat tidak sesuai untuk budaya Malaysia dan Islam.

Di ruang siber juga tidak ketinggalan dengan dijangkakan akan dilepaskan sejenis Malware atau worm yang dikenali sebagai Conficker pada 1 April ini sempena sambutan April Fool.

Kesannya sangat bahaya sekiranya ia mengjangkiti komputer. Jadi persiapan perlu dibuat dengan menguatkan daya tahan komputer kita dengan pelbagai konfigurasi keselamatan dan perisian anti virus.

Conficker ini telah ditulis programnya untuk aktif pada setiap 1 April. Jadi, mungkin juga kita tidak perlu buka komputer sehinggalah pada tarikh 2 April, menukar tarikh pada komputer atau tidak membuat sambungan kepada Internet pada tarikh tersebut.

Antara kesannya adalah ia akan membuatkan komputer-komputer yang dijangkiti menjadi agennya dengan menyebar spam ke merata-rata pengguna komputer dan ia mula menyalin apa sahaja maklumat yang kita taip pada komputer yang dijangkiti itu seperti kata laluan, nombor akaun dan sebagainya. Maklumat-maklumat tadi akan dihantar kepada tuan yang membuat Conflicker ini.

Jadi, budaya April Fool ini sangat tidak baik dan bertentangan dengan Rukun Negara. Seelok-eloknya semua pihak termasuk pihak berkuasa, media tv, media akhbar, pimpinan dan masyarakat menolaknya secara total.

Saturday, March 28, 2009

Lelaki Hampir Murtad Bersyukur : Zakat Oh Zakat

Berita ini diambil daripada akhbar Kosmo, Sabtu 28 Mac 2009 muka surat 13.

Ia berkenaan dengan seorang lelaki muslim yang bersyukur kerana tidak berjaya menjadi murtad atau keluar daripada Islam.

Ia berlaku di Jaya Gading, Kuantan, Pahang.

Tidak dinyatakan sebabnya tetapi lelaki yang bekerja sebagai pencari besi buruk ini ada menyatakan,

"Bukan senang untuk menyara sembilan orang anak. Walau apa pun terjadi selepas ini,saya akan utamakan anak-anak"

Kebanyakkan kes murtad yang berlaku di kalangan muslimin dan muslimat di dalam dan luar negara adalah disebabkan kemiskinan. Sebab itulah diminta umat ini menjauhi daripada kemiskinan dan fakir kerana ia menghampiri kepada kekufuran. Semoga Allah melindungi kita, anak cucu dan keturunan kita daripada bala tersebut.

Dalam konteks negara Malaysia dengan setiap organisasi zakat dengan bangganya memaparkan kutipan zakat tahunan berjuta-juta Ringgit Malaysia, tidak sepatutnya berlaku perkara sebegini.

Sekiranya saya sebagai pegawai atau staf diinstitusi tersebut, saya akan merasakan malu yang amat sangat dan akan memikirkan mencari rezeki yang lain untuk suapan anak-anak kerana ini adalah hak orang lain.

Tidak dinafikan bahawa ramai golongan fakir dan miskin mendapat banyak manfaat daripada organisasi zakat terbabit tetapi itu masih tidak mengcukupi.

Pengalaman saya dalam membantu seorang pelajar yang miskin untuk mendapatkan zakat ini terlalu amat sukar sehinggakan perlu mengisi pelbagai borang dan surat, memerlukan mendapat pelbagai pengesahan dan perlu menghadiri sesi temuduga.Akhirnya, pelajar terbabit hanya membuat endah dan tak endah sahaja.

Harus diingat, si miskin dan fakir ini juga ada maruah diri.

Sekiranya kita lihat pemerintahan Saidina Umar, beliau sendiri yang mencari golongan fakir dan miskin ini untuk diagihkan harta zakat sehinggakan beliau merayau di tengah malam dan pergi ke setiap rumah untuk mencari penerima zakat.

Bukannya si miskin dan fakir perlu menyembah diri ke organisasi-organisasi terbabit untuk mendapatkan wang zakat ini.

Kempen yang dibuat agar orang ramai membayar zakat sehingga ke tahap pemotongan gaji amat hebat dibuat kerana untuk dapatkan wang zakat ini tetapi kempen untuk mencari golongan fakir dan miskin atau 7 asnaf ini hendaklah dibuat dengan lebih hebat lagi agar tiada yang ketinggalan.

Sekiranya saya diberi kuasa sehingga menjadi Perdana Menteri sekali pun, inilah perkara pertama yang akan saya buat iaitu memastikan organisasi zakat ini benar-benar mengagihkan wang zakat ini kepada yang memerlukan tanpa ada pelbagai prosedur atau karenah birokrasi yang perlu dilalui.

Ingatlah, golongan fakir dan miskin ini adalah harta kepada negara kerana dengan doanya dan adanya maka rahmat dan rahman Allah S.W.T tidak akan putus melanda negara kita. Sayangilah golongan ini dan janganlah di caci cerca dengan pelbagai seperti malas dan sebagainya kerana tidak semua orang mendapat peluang yang sama. Semoga saya sentiasa mengingati perkara tersebut.

Jadilah hamba yang bersyukur wahai diri saya sendiri.

Tahniah yang teramat sangat perlu diberikan kepada MUIP dan penduduk di sekitar Jaya Gading, Kuantan, Pahang kerana usaha mereka yang dapat menyelamatkan saudara kita daripada murtad. Mana perginya institusi zakat?

Teknologi maklumat juga boleh digunakan untuk memastikan agar pengagihan wang zakat ini benar-benar telus dan sampai kepada golongan yang memerlukan.

Bukan sahaja teknologi maklumat ini digunakan dengan hebat untuk dapatkan wang zakat daripada orang ramai sahaja.

Hanya Allah S.W.T sahaja yang lebih mengetahui dan semoga saya dan kita semua mendapat taufik dan hidayahnya.

Thursday, March 26, 2009

Kalau Tiada Angin Masakan Pokok Bergoyang

Ini satu ungkapan pemikiran yang sangat hebat dalam kita menjalankan kerja-kerja seharian yang dihasilkan oleh cerdik pandai melayu.

Kini, ramai yang mempercayai cerita-cerita yang belum sahih kebenarannya berdasarkan kepada ayat ini.

Namun, janganlah dijadikan ia sebagai satu pegangan tetapi memadai sebagai satu strategi peperangan atau pertahanan untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku.

Dalam penggunaan komputer juga, kita boleh mempraktikkannya kerana kalau tiada apa-apa mengjangkiti atau mengganggu komputer kita masakan komputer kita menjadi perlahan dan berfungsi dengan tidak baik.

Jadi, sekiranya ada perkara-perkara yang di bawah ini berlaku kepada komputer kita maka itulah angin perisian jahat (malware,adware,virus dll) telah menggoyangkan kestabilan perjalanan komputer kita.

1. Perjalanan komputer dirasakan prosesnya amat perlahan berbanding kebiasaannya. Ini kemungkinan ada malware yang sedang berjalan menggunakan kapasiti RAM atau virtual memory komputer kita.

2. Ketika melayari Internet menggunakan aplikasi pelayar, kerap kali terdapat iklan yang muncul secara tiba-tiba dalam tetingkap yang lain. Ini kemungkinan komputer kita ditanam satu perisian jahat yang dikenali sebagai adware.

3.Ketika melayari Internet juga, kerap kali anda dapati laman-laman web yang tidak anda kehendaki dipaparkan pada aplikasi pelayar anda atau carian yang anda buat menerusi laman web tidak berjaya. Ini kemungkinan komputer kita telah digodam.

Jadi, apa yang perlu dibuat. Di bawah ini ada beberapa langkah yang boleh kita ambil.

1. Perlu pasangkan perisian anti virus dan imbas komputer anda.

2. Imbas komputer anda dengan perisian anti virus atas talian yang disediakan secara percuma.

3. Pasang dan kemaskini Windows atau sistem pengoperasian anda dengan program-program sekuriti dan kemaskini. Ada yang terus sahaja format komputer dan ini juga satu cara yang boleh dibuat. Cuma, terlalu kerap memformat cakera keras membolehkan cakera keras kita cepat rosak.

Jadi, sekiranya terdapat perkara-perkara yang luar biasa berlaku kepada komputer anda, cepat-cepatlah bertindak dengan segera kerana ia bukannya sekadar khabar angin tetapi memang angin yang jahat melanda komputer anda.

Begitulah juga diri kita ini. Andai dirasakan berlaku sesuatu yang tidak kena pada diri sendiri. Cubalah koreksi diri dengan melihat kelemahan hubungan kita dengan Allah S.W.T, sesama manusia dan mahkluk-mahkluk Allah yang lain.Perbetulkan mana yang bermasalah dan mantapkan lagi mana yang dirasakan sudah baik.