Wednesday, January 6, 2010

Berita Baik Untuk Penggemar FaceBook : Data Storan Bantuan Anda

Dalam persekitaran yang dipanggil maya, digital atau Internet ini boleh dikatakan setiap orang mempunyai banyak akaun webnya terutama akaun untuk gambar, blog, web, e-mel, laman web sosial dan pelbagai lagi.

Berkemungkinan besar terdapat banyak data-data atau informasi yang penting di setiap akaun laman-laman web tersebut.

Berkemungkinan juga ada di antara kita menjadikan ia tempat untuk simpanan bantuan atau back up. Jadi banyaklah fail-fail yang penting berada di situ. Inilah strategi bagi membantu kehilangan fail-fail sekiranya komputer kita berlaku masalah yang menyebabkan kemusnahan terhadap fail-fail tersebut.

Namun begitu, untuk dapatkan balik fail-fail bantuan storan tadi agak memakan masa juga jika terdapat banyak akaun web. Sebagai contoh , mungkin perlu untuk membuka satu persatu akaun web kita seperti di Google, Yahoo! , Facebook, Twitter, Hotmail dan lain-lain.

Jadi, ada satu aplikasi web yang boleh kita gunakan sebagai bantuan storan fail-fail kita yang di simpan di merata-rata akaun web kita di Internet iaitu Backupify.

Antara kelebihannya adalah dia berupaya membuat fail storan bantuan atau back up untuk keseluruhan akaun web kita seperti di Twitter ke dalam bentuk fail PDF.

Kelemahannya adalah ia perlu di bayar untuk masa akan datang dan buat masa ini ia percuma tanpa ada had saiz storan.

Kemudian, ia tidak berupaya untuk mengembalikan data storan bantuan itu secara automatik. Ia perlu dilakukan secara manual di mana semua data storan bantuan disimpan dalam format fail XML.

Dalam dunia pengkomputeran awanan ini atau cloud computing, data kita akan berada di mana-mana sahaja dan ini adalah alternatif untuk kita mengawal data-data tersebut.

It' s just about data liberation and control.

Selamat mencuba.

Friday, January 1, 2010

Gaya Teknologi untuk Tahun 2010

Salam Tahun Baru,

Semoga tahun ini lebih baik daripada tahun lepas.

Di tahun 2010 ini terdapat beberapa gaya hidup yang melibatkan teknologi akan mewarnai dunia perkerjaan atau kehidupan manusia. Ia dijuruskan oleh beberapa perkembangan dunia teknologi terutama dalam teknologi maklumat yang berlaku dan berkembang pada tahun 2009 yang lalu.

Jadi kita lihat beberapa gaya teknologi yang dianggarkan berlaku pada tahun 2010 ini.

1. Kepenggunaan Pengguna Akhir dalam Teknologi Maklumat

Ia bermaksud peralatan atau perkakasan teknologi maklumat akan menjadi sesuatu yang lumrah akan dimiliki oleh semua orang terutama sekali komputer riba dan akaun Internet.

Dijangkakan ia bukan sahaja akan digunakan untuk hal-hal peribadi tetapi juga untuk melaksanakan kerja-kerja seharian di pejabat.

Jadi, ia mungkin akan mengundang bebrapa masalah kepada Jabatan IT seperti pelarasan teknikal peralatan IT dan sebagainya. Jabatan IT perlu membina satu garis panduan dan polisiyang lebih cekap untuk mengendalikan masalah-masalah ini daripada berlaku akibat daripada gaya kepenggunaan pengguna akhir komputer ini.

2. Gaya Teknologi E-Pembaca

Alat elektronik ini digunakan sebagai bahan untuk membaca bahan-bahan ilmu dalam bentuk elektronik atau digital seperti buku-buku, majalah-majalah, akhbar-akhbar dan lain-lain.

Gaya teknologi ini dijangka popular digunakan oleh orang perseorangan atau organisasi-organisasi pada tahun 2010.

Malah, ia sudah lama popular digunakan di perpustakaan-perpustakaan bagi membolehkan pengguna membaca sesuatu bahan bacaan berbentuk digital atau elektronik tanpa perlu ada komputer atau komputer riba atau membaca sesuatu secara fizikal.

Ia seolah-olah kita seperti membaca buku atau majalah secara fizikal.

3. Peningkatan Penggunaan Telefon Pintar atau Smart Phone

Telefon-telefon pintar seperti BalckBerry, Apple IPhone dan Google Android dijangkakan akan menjadi bertambah popular penggunaannya pada tahun 2010.

Ia akan menjadi satu gaya aksesori untuk orang awam.

Ini kerana ia memudahkan orang ramai akses kepada maklumat menerusi Internet, email dan sebagainya.

4. Gaya Teknologi Pemayaan Stesen Kerja

Ini bermaksud ruang kerja bukan lagi berada dalam bentuk fizikal di setiap komputer pekerja tetapi ia akan diakses kepada sesuatu komputer pelayan yang sama bagi kesemua pekerja secara maya.

Gaya teknologi ini akan menjadi lebih popular pada tahun 2010 berikutan terdaptnya kelebihan-kelebihan yang ada padanya seperti segala kerja akan lebih tersusun, mudah di akses oleh sesiapa dan jimat kos.

5. Peningkatan Kelajuan WAN

Perhubungan rangkaian komputer di peringkat antarabangsa di tahun 2010 ini dijangka akan meningkat dari segi kelajuan capaiannya.

Antaranya negara Jepun yang akan meningkatkan keupayaan kelajuan WAN nya ke tahap Terabyte.

Ia mungkin akan menjadi di antara projek IT yang popular di tahun 2010 selaras dengan perkembangan teknologi SaaS.


Inilah antaranya gaya-gaya IT yang dijangka melanda tahun 2010. Moga-moga kita bersiap sedia. Berkemungkinan kita tidak akan menghadapinya tetapi lihatlah kepentingannya dalam merancakkan lagi dunia pekerjaan dan kehidupan kita.

Monday, November 2, 2009

Panduan Menangani Sisi Gelap Laman Web Sosial

Kini, satu teknologi web yang dikenali sebagai laman web sosial sangat hangat diperkatakan. Penggunaannya sangat popular dikalangan pengguna yang terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur dan profesion. Sehinggakan ada agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan menggalakkan penggunaannya untuk tujuan mendapatkan maklum balas pelanggan dengan lebih cepat. Tidak kurang juga ada yang tidak membenarkan penggunaannya di waktu bekerja disebabkan oleh beberapa isu negatif seperti hilang tumpuan bekerja dan lain-lain.

Laman web sosial ini sangat interaktif dan terkini dalam penyampaian sesuatu idea dan sangat cepat informasinya disebar serta diperolehi oleh rakan-rakan yang melanggannya. Ia merupakan satu perniagaan yang amat besar. Contoh laman web sosial yang agak popular penggunannya adalah seperti Facebook, Twitter, Flickr, Yahoo 360, Youtube dan lain-lain.

Di sebalik kebaikkan dan kerancakkan laman-laman web sosial ini menjana minda kreatif dalam satu jaringan sosial Internet yang amat besar, terdapat pemangsa-pemangsa atau penjenayah yang mencari peluang dengan mengambil kesempatan disebalik keterbukaan perkhidmatan laman web sosial ini seperti penjenayah seksual, penjenayah kanak-kanak, penjenayah pengciplak dan sebagainya. Mereka menganggap laman-laman web sosial ini boleh dieksploitasi informasinya dalam mencari mangsa-mangsa yang berpotensi.

Pihak yang menyediakan laman web sosial ini telah mengambil langkah-langkah keselamatan yang amat baik dan optimum terutama dari segi teknikal. Walau bagaimanapun, para pengguna perlu ada strategi dan cara penggunaan yang selamat supaya informasi yang dipaparkan tidak dieksploitasi oleh penjenayah-penjenayah yang mencari mangsanya.

Ini kerana carian mangsa yang berpotensi menerusi laman web sosial ini dibuat secara kejuruteraan sosial tanpa memerlukan kaedah teknikal yang tinggi seperti penggodam atau hacker. Sebagai contoh, maklumat peribadi pengguna mudah diperolehi oleh sesiapa sahaja menerusi laman web sosial ini. Tambahan pula terdapat maklumat berkenaan ahli-ahli keluarga dan gambar-gambar yang berpotensi memberi maklumat kepada penjenayah-penjenayah ini.

Di samping itu, pelbagai penipuan juga boleh dibuat seperti membuat iklan memerlukan pembantu rumah dengan maklumat temuduga dipaparkan. Apabila penjenayah tersebut mendapat mangsa sesuai, bakal pembantu rumah tersebut akan dibunuh ketika menghadiri temuduga tersebut dan pelbagai lagi.

Jadi, di sini terdapat beberapa panduan untuk para pengguna laman-laman web sosial agar dapat menggunakannya dengan lebih selamat, bertanggung jawab, berhati-hati dan mengelakkan diri daripada dieksploitasi oleh penjenayah-penjenayah.


1. Kecurigaan perlu ada untuk berhati-hati. Tujuan laman web sosial adalah untuk mencari orang-orang yang mempunyai kesamaan dalam sesuatu dan menjana satu rangkaian kawan-kawan di Internet. Sebagai contoh, sekiranya ada seseorang yang tidak dikenali dengan mudah mengaku mempunyai kesamaan dengan anda dalam pembacaan novel. Janganlah mudah pula memberi kepercayaan anda sepenuhnya kepada rakan siber tersebut yang tidak diketahui identiti dan tujuan sebenar mereka.

2. Laporan perlu dibuat terhadap kelakuan yang kelihatan seperti jenayah atau pelik yang dicurigai berlaku di laman web sosial kita. Laporkannya kepada pihak pengendali laman web sosial tersebut atau pihak berkuasa tempatan.

3. Komunikasi dengan anak-anak kecil dan para remaja. Ini penting agar mereka dapat menggunakan laman web sosial ini dengan betul, bertanggung jawab, berhati-hati dan selamat. Malah, mereka berupaya mengenali mana-mana bahaya dan ancaman ketika mereka di laman web sosial.

4. Pengawalan penggunaan Internet boleh dibuat bagi kanak-kanak dan remaja terhadap komputer yang gunakan dengan penggunaan aplikasi kawalan seperti eBlaster daripada SpectorSoft. Segala aktiviti pelayaran dan penggunaan Internet dapat direkodkan.

5. Prihatin dan hadkan capaian informasi. Pastikan informasi hanya boleh dicapai oleh rakan-rakan yang dikenali terutama berkenaan dengan maklumat peribadi. Buat pemantauan yanag kerap terhadap capaian informasi anda dan buat laporan sekiranya ada perkara-perkara yang dicurigai seperti ada yang tidak kenali menandakan gambar anak anda berumur 7 tahun sebagai “favorite“ dan sebagainya.

Penggunaan laman web sosial ini ibarat pisau berada di dapur. Sekiranya digunakan dengan betul seperti memotong sayur dan sebagainya, bermanfaatlah ia. Sekiranya tidak, ia akan memberi kecelakaan.

Pengguna laman web sosial ini perlu dididik untuk penggunaan yang lebih cekap agar informasi dan idea yang dikongsi tidak dapat dieksploitasi oleh orang-orang daripada sisi gelap ini. Malah, segala jenis ancaman, penipuan dan bahaya dapat dikenali dengan lebih awal. Seterusnya, tahu apa tindakkan yang perlu dibuat sekiranya terdapat unsur-unsur ancaman dan bahaya.