Thursday, December 1, 2011

Sembang ICT 8: Laptop Tiba-Tiba Terpadam. Utusan Malaysia. 14 Mac 2011.

Saya ada satu soalan yang saya tidak tahu. kenapa komputer riba yang sedang digunakan tiba-tiba terpadam? Seolah-olah kita tekan sleep atau restart begitu la, apa masalahnya? Tolong encik terangkan.

Hud Abdullah

Bagi menjawab persoalan tuan, saya andaikan komputer tersebut tiada masalah dari segi perkakasan. Sebenarnya, untuk membuat trouble shoot masalah komputer ini, ia memerlukan pemerhatian dengan lebih terperinci terhadap masalah yang dihadapi. Ini kerana kadang kala simptom-simptom yang timbul adalah sama tetapi punca masalahnya mungkin berbeza.

Ia kelihatan seolah-olah komputer riba anda berada dalam keadaan mod Hibernate atau Sleep apabila komputer riba anda tidak aktif untuk satu jangka masa tertentu. Sila lihat konfigurasi pengurusan tenaganya dalam komputer.

Konfigurasi atau programnya mungkin agak berbeza sedikit di antara satu komputer dengan komputer riba yang lain bergantung kepada jenis sistem pengoperasian, model komputer riba atau perisian yang digunakan.

Dengan itu, saudara cuba cari program atau perisian yang digunakan untuk mengurus penggunaan tenaga atau power.

Secara umumnya ia boleh dilihat di bahagian Control Panel dalam Windows. Di mana, sila pilih pilihan System and Maintenance dan pilih Power Option. Kadang kala Power Option sudah sedia ada di dalam Control Panel.

Pada bahagian Power Schema nanti ada beberapa pilihan seperti Turn Off Display atau Turn Off Monitor, Turn Off Hard Disk dan System Standby. Seterusnya pilih nilai untuk kesemua pilihan tersebut kepada NEVER. Akhir sekali, jangan lupa simpan perubahan konfigurasi yang telah dibuat tersebut.

Ini kerana pada konfigurasi di bahagian ini, komputer anda akan berada dalam mod Hibernate atau Sleep sekiranya ia tidak aktif dalam jangka masa tertentu atau menekan butang tertentu atau menutup secara fizikal komputer riba tersebut.

Sila lihat manual pengguna komputer riba anda untuk bagi mengendalikan konfigurasi program pengurusan tenaga bagi komputer riba tersebut.

Terima kasih.

2. Apakah yang dikatakan sebagai sidejacking dalam keselamatan teknologi maklumat?

Sidejacking merupakan satu cara bagi memintas trafik rangkaian daripada komputer yang lain dengan mencuri maklumat pengenalan komputer tersebut dalam persekitaran rangkaian TCP/ IP. Ia merupakan satu cara yang popular digunakan untuk memecah sistem keselamatan rangkaian komputer yang wujud dalam persekitaran rangkaian Internet awam atau teknologi Wi-fi.


Ia tidak mencuri maklumat dengan mendapatkan kata laluan daripada komputer lain secara langsung. Ia sekadar menggunakan Session ID dan Cookies yang ada pada komputer lain dalam rangkaian Internet di sepanjang pihak penggodam melakukan proses sidejacking ini.


Ini juga merupakan salah satu cara yang popular digunakan untuk menggodam sesetengah akaun Facebook terutama pengguna Facbook yang menggunakan sambungan Internet tanpa wayar percuma seperti teknologi Wi-fi. Dengan itu, pastikan sambungan ke facebook anda di enkrip dengan melihat pada alamat URL dimulai dengan https:// ketika anda menggunakan akaun Facebook.


Semoga bermanfaat.

Sembang ICT 7: Panduan untuk IE. Utusan Malaysia. 7 Mac 2011.

1. Bagaimanakah cara untuk memastikan pelayar web Internet Explorer selamat digunakan?

Dalam program Internet Explorer (IE) terdapat empat bahagian tahap keselamatan yang anda boleh konfigurasikan iaitu bahagian Trusted, Restrict, Internet dan Intranet atau setempat. Ia bergantung kepada zon mana anda mengetahui status keselamatan atau percaya kepada laman-laman web yang akan dilayari menerusi IE.

Konfigurasi ini juga dikenali sebagai zon keselamatan yang boleh dikonfigurasikan dalam menu keselamatan pada program IE. Konfigurasi ini membolehkan anda melayari laman web di Internet menggunakan program IE dengan lebih selamat.

Seterusnya diperincikan langkah-langkah konfigurasi tersebut iaitu:-

  1. Klik pada butang Tools yang terdapat pada menu di atas program IE.
  2. Klik pada butang Internet Options atau Option yang terdapat di menu Tools.
  3. Apabila tetingkap Internet Options dibuka, klik pada tab Security.
  4. Di sini anda boleh membuat pilihan untuk salah satu zon keselamatan program IE iaitu sama ada Internet, Local Intranet, Trusted Site atau Restricted Site Zones untuk anda konfigurasikan.
  5. Untuk mengkonfigurasikan kesemua jenis zon keselamatan tersebut, anda boleh memilih pilihan untuk konfigurasi secara lalai iaitu konfigurasi yang telah ditetapkan oleh pihak Microsoft pada IE sekiranya tidak mahir. Ini boleh dilakukan dengan memilih dan klik pada menu Default Level untuk setiap zon atau klik pada menu Reset all zones to default level.
  6. Zon keselamatan yang penting adalah pada zon Internet. Pada zon ini anda boleh menetapkan tahap keselamatan ketika melayari Internet iaitu sama ada memilih tahap Medium, Medium-high atau High.
  7. Di samping itu, disetiap zon keselamatan ada pilihan untuk kita konfigurasikan keselamatan pelayar web secara manual atau kendiri iaitu pada menu atau butang Custom Level. Pastikan anda mengetahui berkenaan apa yang anda konfigurasikan pada menu ini.

PANDUAN TAHAP KESELAMATAN PADA ZON INTERNET IE

Medium – Tahap pelayaran web di Internet secara selamat dan ada fungsi-fungsi tertentu boleh dilarikan tetapi akan ada paparan amaran terlebih dahulu seperti memuat turun sesuatu kandungan yang berpotensi tidak selamat. Tidak akan memuat turun sebarang program komputer yang mempunyai kawalan Active X kecuali dimasukkan konfigurasinya secara manual ke dalam menu Custom Level.

Medium-high – Tahap pelayaran web di Internet secara selamat dan sesuai untuk hampir kesemua laman web yang ada Internet. Seperti pada tahap Medium, paparan amaran akan ada sebelum sesuatu kandungan yang berpotensi tidak selamat dmuat turun dan tidak akan memuat turun sebarang program komputer yang mempunyai kawalan Active X.

High – Tahap pelayaran web di Internet paling selamat dalam IE. Ia sesuai digunakan untuk menyekat pelayaran laman-laman web yang kandungannya boleh mendatangkan kerosakkan kepada komputer. Konfigurasi keselamatannya secara lalai adalah pada tahap yang maksima dan dengan itu banyak fungsi lain pelayaran web tidak dapat dijalankan.

Bagi program IE yang versi lama, ia mempunyai tahap seperti Low dan Medium Low. Tahap-tahap ini sudah tidak ada lagi dalam program IE versi yang baru.

Pada menu Internet Options juga terdapat menu atau butang Privacy. Pada fungsi Privacy ini juga terdapat pilihan tahap keselamatan untuk zon Internet iaitu Accept All Cookies, Low, Medium, Medium-High, High dan Block All Cookies.

Cookies ini adalah satu cara untuk laman-laman web mendapatkan maklumat berkenaan dengan sesiapa sahaja yang melayari laman web mereka. Biasanya kita set kan pada pilihan Medium sahaja untuk menu Privacy ini bagi mendapatkan tahap keselamatan pelayaran web yang baik.

Di samping itu, terdapat juga fungsi Sites, Import dan Advance untuk mengkonfigurasikannya secara manual dan lebih spesifik lagi. Pastikan anda mengetahui tentang apa yang anda konfigurasikan. Terdapat juga fungsi Default untuk anda dapatkan konfigurasi yang telah ditetapkan oleh pihak Microsoft.

Pada menu privacy ini juga terdapat fungsi Pop-up Blocker dan InPrivate untuk mengukuhkan lagi tahap keselamatan pelayar web IE pada bahagian Privacy ini.

Pop-up Blocker akan menghalang mana-mana tetingkap atau window yang akan dibuka secara automatik ketika sedang melayari mana-mana laman web.

Manakala, InPrivate pula terdapat dua fungsi pilihan iaitu InPrivate Filtering dan InPrivate Browsing. Fungsi InPrivate Browsing akan menghilangkan atau tidak menyimpan jejak-jejak pelayaran Internet, Fail sementara, data, Cookies, kata laluan dan kata nama pada pelayar web IE.

Fungsi InPrivate Filtering pula digunakan untuk melihat dan menghalang kandungan web daripada pihak ketiga berada pada bilangan yang banyak ketika sedang melayari sesebuah laman web. Fungsi ini dinyah aktifkan secara lalai dan perlu diaktifkan bagi setiap sesi sekiranya mahu menggunakannya.

Akhir sekali, pastikan program IE yang anda gunakan adalah versi yang terkini dan dikemaskinikan sentiasa menerusi laman web Microsoft.

Inilah perkara-perkara asas keselamatan yang perlu diketahui dalam menggunakan program pelayar web IE untuk melayari laman web di Internet.

Sembang ICT 6: Bebas Komputer Daripada Virus. Utusan Malaysia. 28 Februari 2011.

1. Salam Encik Firkhan....

Saya ada dua soalan untuk dijawab dalam ruangan Sembang ICT Mega Utusan Malaysia

1) Apakah langkah terbaik yang perlu diambil untuk memastikan komputer bebas daripada virus. Ini kerana sering berlaku keadaan di mana sesebuah komputer yang telah dilengkapi perisian anti virus tetapi masih berhadapan dengan masalah serangan virus.

2) Boleh terangkan apa perbezaan antara RAM dengan ROM.

Encik Mohd. Faliq

Bagi soalan 1, seterunya dinyatakan beberapa langkah yang boleh diambil:-

1. Pastikan anda menggunakan filem, lagu, permainan, perisian atau program komputer yang tulen. Ini termasuk bahan yang mengandunginya seperti DVD, CD dan lain-lain. Ini kerana berkemungkinan besar bahan-bahan yang tidak tulen tersebut juga mempunyai virus komputer.

2. Sentiasa mengemaskini Windows dengan Windows Update di laman web Microsoft.

3. Sentiasa mengemas kini enjin atau program kemas kini perisian anti virus yang digunakan.

4.Buat salinan pendua konfigurasi Windows menggunakan Systems Restore. Namun ia tidak kebal kepada virus tetapi hanya beroperasi seperti biasa dalam masa tertertentu sebelum kembali kepada keadaan yang di serang virus komputer.

5. Tidak memuat turun program-program komputer yang dicurigai di Internet atau di dalam e-mel. Sekiranya mahu memuat turun program komputer itu juga, ia perlu diimbas terlebih dahulu menggunakan perisian anti virus yang telah dikemas kini. Elakkan daripada program-program perkongsian fail P2P seperti Torrent dan Kazaa kecuali anda tahu dari mana fail tersebut di muat turun

6. Melayari Internet dengan selamat. Pelayar web yang digunakan seperti Mozilla, IE dan sebagainya perlu dikonfigurasikan dengan selamat dan betul di bahagian fungsi sekuriti seperti sentiasa tidak membenarkan pop up windows atau tetingkap terbuka.

7. Sentiasa mengimbas program atau fail komputer yang diperolehi daripada luar dengan perisian anti virus yang telah dikemas kini seperti cakera Flash USB, disket, CD, DVD dan sebagainya .

8. Pasang program tembok api persendirian atau personal firewall untuk menambah baik sistem perlindungan komputer anda tetapi ia perlu dikonfigurasikan dengan baik. Dalam Windows sudah terdapat program tembok api ini yang dikenali sebagai Windows Firewall. Program-program yang lain adalah seperti Zone Alarn, Sygate dan lain-lain.

Inilah antara langkah awal yang boleh diambil.

Bagi soalan kedua pula, persamaan di antara RAM dan ROM adalah kedua-duanya merupakan sejenis memori komputer.

RAM adalah singkatan untuk Random Access Memory dan ROM adalah singkatan untuk Read Only Memory.

RAM, simpanan data di dalamnya bersifat sementara manakala ROM pula simpanan data di dalamnya adalah bersifat kekal.

Sebagai contoh, RAM akan digunakan untuk menyimpan segala maklumat atau data yang sedang dilarikan dalam komputer seperti membuka pelayar web untuk melayari Internet, membuka fail, bermain komputer dan sebagainya. Sekiranya berlaku gangguan elektrik, komputer akan terpadam. Apabila komputer ini dibuka semula, segala maklumat atau data yang dibuka sebelum ini akan terpadam sekiranya ia tidak disimpan dalam cakera keras. Ini kerana ia disimpan secara sementara di dalam RAM.

Manakala ROM pula, biasanya ia digunakan untuk menyimpan maklumat atau data berkenaan dengan spesifikasi dan konfigurasi komputer seperti maklumat berkenaan dengan perkakasan dan sistem komputer seperti yang terdapat dalam BIOS (Basic Input Output System) dan sebagainya. Apabila dibuka, data dan maklumatnya tetap sama kerana ia disimpan secara kekal dalam ROM.