Thursday, December 1, 2011

Terminologi IT: Julatan Jalur Lebar (Bandwidth Cap)

Julatan Jalur Lebar - Bandwidth Cap

Kadang kala pihak penyedia perkhidmatan internet menetapkan batasan jumlah atau saiz data yang boleh dihantar dan diterima oleh pengguna menerusi talian Internet.

Julat atau batasan ini dikenali sebagai Bandwidth Cap atau Julatan Jalur Lebar.

Sebagai contoh perkhidmatan Streamyx yang disediakan oleh pihak TM mempunyai saiz data yang berbeza untuk proses muat turun fail dan muat naik fail bergantung kepada jenis perkhidmatan.

Begitu juga dengan teknologi dailan modem atau dial-up modem yang mempunyai kelajuan hanya pada 56 kbps.

Harap memahami.

Sembang ICT 10: Pencerobohan Facebook. Utusan Malaysia. 28 Mac 2011.

Sering kedengaran berlakunya pencerobohan terhadap akaun-akaun laman web sosial Facebook. Bagaimanakah untuk menggunakannya secara selamat?


Suria,KL.

Dewasa ini, penggunaan laman web sosial Facebook menjadi satu budaya penting dalam kehidupan seharian. Ia bukan sahaja tertumpu kepada penggunaan peribadi tetapi digunakan sebagai satu alat teknologi maklumat untuk komunikasi antara pelanggan-pelanggan dengan agensi-agensi jualan, rakyat dengan pemerintah, pelajar-pelajar dengan pensyarah dan lain-lain.

Capaiannya menerusi Internet juga tidak terbatas kepada penggunaan komputer peribadi yang mempunyai sambungan talian tetap. Malah, dengan munculnya alat-alat komunikasi mudah alih berkuasa tinggi dengan harga yang murah seperti komputer tablet, komputer riba, netbuk dan telefon pintar berupaya mencapai laman web Facebook menerusi talian Internet tanpa wayar. Masa, alat dan tempat bukan lagi menjadi kekangan utama untuk mencapainya.

Jadi, laman web Facebook ini boleh dicapai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Malah, ada kedai-kedai atau pihak-pihak tertentu yang menyediakan kemudahan capaian Internet tanpa wayar ini secara percuma menerusi teknologi Wi-fi. Capaian Internet tanpa wayar ini sebenarnya mengundang sebahagian besar masalah pencerebohan ke atas akaun-akaun di laman web Facebook. Ini kerana data-data atau maklumat berterbangan di udara dan sesiapa sahaja berupaya mengambilnya termasuklah data-data yang penting seperti login dan kata laluan. Tambahan pula program-program komputer untuk tujuan pencerobohana ini agak mudah didapati di Internet dan mudah digunakan.

Dengan itu, berhati-hati dan berpada-padalah ketika melayari Internet menerusi capaian tanpa wayar ini. Di antara langkah-langkah awal yang boleh di ambil untuk menggunakan laman web sosial Facebook ini dengan selamat ialah menerusi konfigurasi keselamatan dan privasi yang baik pada akaun Facebook tersebut.

Apabila kita mencapai laman web sosial Facebook menerusi Internet sama ada menerusi teknologi berwayar atau pun tidak berwayar, sambungan terhadap laman web tersebut tidak dienkrip. Ini bermaksud, sesiapa sahaja yang berupaya berada di kawasan sambungan tersebut akan boleh memperolehi apa sahaja maklumat atau data yang melalui sambungan itu secara jelas termasuk login dan kata laluan.

Bagi mengatasi masalah sambungan yang tidak dienkrip ini, pihak Facebook telah menyediakan fungsi keselamatan untuk kita mengenkrip sambungan capaian ke laman web Facebook menerusi Internet. Dengan ini, sesiapa boleh atau berupaya mendapatkan data-data atau maklumat yang melalui sambungan tersebut tetapi data-data dan maklumat tersebut tidak dalam bentuk yang nyata. Data atau maklumat tersebut akan disembunyikan dalam bentuk yang rahsia. Penceroboh atau penggodam perlu melakukan pemecahan kod terhadap proses enkripsi yang dibuat terhadap data atau maklumat itu untuk mendapatkannya.

Dalam Facebook, anda perlu pergi ke ruangan konfigurasinya. Seterusnya memilih fungsi Account Security dan tandakan pada ruangan Secure Browsing (https). Seterusnya, jangan lupa untuk menyimpan konfigurasi yang telah anda buat dengan mengklik pada butang Save.

Fungsi Secure Browsing ini baru sahaja diperkenalkan oleh pihak Facebook. Jadi, pastikan dikemas kini terlebih dahulu akaun Facebook tersebut dengan kemas kini yang dianjurkan oleh pihak Facebook. Sekiranya fungsi tersebut masih belum ada dalam akaun kita, sila maklum atau mohon kepada pihak Facebook atau nantikan sahaja kemas kininya oleh pihak Facebook.

Hasil daripada konfigurasi tersebut, melayari laman web Facebook menerusi Internet akan dienkrip seperti mana melayari laman-laman perbankan Internet yang menggunakan protokol keselamatan rangkaian https.


Selain daripada itu, pastikan juga konfigurasi untuk fungsi Privacy bagi akaun Facebook adalah baik. Pastikan dan tentukan mana maklumat yang perlu dikongsi oleh siapa sahaja dalam akaun Facebook anda. Pihak Facebook ada menyediakan cadangan konfigurasi Privacy dalam perkongsian maklumat seperti maklumat peribadi, maklumat rakan, gambar dan lain-lain.


Anda boleh tentukan sama ada anda mahu berkongsi maklumat dengan sesiapa sahaja, rakan sahaja, rakan kepada rakan sahaja atau menerima cadangan pihak Facebook. Sekiranya anda masih tidak berpuas hati dengan konfigurasi tersebut, boleh memilih pilihan Custom. Di sini, anda boleh membuat konfigurasi sendiri untuk perkongsian maklumat dan boleh menetapkan hanya untuk tatapan atau capaian diri sendiri.


Konfigurasi pada bahagian Privacy ini penting bagi mengelakkan pihak yang tidak bertanggung jawab memanipulasikan maklumat yang dikongsikan atau dijadikan panduan untuk melakukan penggodaman atau pencerobohan terhadap akaun Facebook seseorang.

Sekiranya ada mana-mana akaun rakan Facebook yang disangsikan tujuannya, bolehlah kita blok akaun tersebut dalam fungsi Block Users.



Kadangkala kita melihat remeh-temeh berkenaan dengan fungsi Security dan Privacy dalam akaun Facebook ini. Namun begitu, sekiranya akaun Facebook mendapat masalah seperti digodam dan sebagainya, barulah kelam kabut untuk mencari jalan penyelesaian. Jadi, sebelum perkara yang lebih parah berlaku, marilah kita ambil langkah berjaga-jaga dengan melaksanakan konfigurasi yang betul dan selamat pada akaun Facebook.

Selain daripada itu, berhati-hatilah dengan e-mel palsu yang meminta maklumat dan kata laluan bagi akaun Facebook anda. Ia merupakan satu penipuan yang sepatutnya kita sedar akan perkara tersebut dengan menyemak kembali sambungan URL yang disediakan, e-mel tersebut dihantar secara tiba-tiba tanpa ada keperluan atau anda memintanya, semak penghantar e-mel tersebut dan lain-lain.

Ia merupakan satu teknik penggodaman yang sangat mudah tanpa perlu melakukan perkara-perkara teknikal kerana pemilik akaun Facebook sendiri yang memberi maklumat-maklumat penting tersebut. Layari Internet dan laman web Facebook anda dengan selamat dan berhati-hati.

Sembang ICT 9: Masalah pada Ikon Windows. Utusan Malaysia. 21 Mac 2011.



Saya mempunyai masalah berkenaan dengan ikon—ikon pada Windows dalam netbok yang tidak menunjukan ikon-ikon yang betul. Bagaiamana untuk menyelesaikan masalah ini?

Hafiz Nazir , KL.

Maklumat berkenaan dengan ikon-ikon dan konfigurasinya yang terdapat dalam Windows disimpan dalam satu tempat simpanan yang dikenali sebagai icon cache. Dengan cara begini, Windows berupaya mengoptimumkan penggunaan ikon-ikon yang terdapat di dalamnya tanpa ia memerlukan membuka setiap fail larian iaitu fail .exe atau fail .dll. Di samping itu, dengan cara ini, Windows tidak perlu mengimbas satu demi satu ikon yang akan digunakan di dalamnya pada setiap masa dan ketika.

Apa yang nyata adalah berkemungkinan besar masalah ini berpunca daripada fail sistem ini bermasalah bagi windows untuk melakukan proses caching untuk membolehkan ikon-ikon di dalamnya berfungsi dengan baik. Apabila proses ini terdapat kecacatannya, ia akan menyebabkan ikon-ikon tadi berfungsi dengan tidak baik atau tidak berfungsi langsung seperti ikon-ikon tersebut bertukar-tukar secara rawak setiap kali digunakan, kesemua ikon menjadi hitam atau kesemua ikon yang ada mengunakan ikon yang sama, ikon-ikon tersebut bertindihan antara satu sama lain dan sebagainya.

Bagi mengatasi masalah ini, bolehlah dilakukan dengan beberapa kaedah seperti yang akan dibincangkan seterusnya iaitu:-

  1. Menghidupkan kembali atau restart komputer anda. Kadang kala ia berupaya mengatasi banyak masalah komputer selain daripada masalah ikon ini.

  1. Membina semula icon-cache dengan menukar saiz ikon-ikon tersebut.

  1. Meningkatkan keupayaan icon-cache ini dengan menambah nilai STRING dalam fail sistem pada Registry Windows.

  1. Membina semula icon-cache dengan membuang sistem icon-cache yang sedia ada.

  1. Menyahpasangkan program Tweak UI dengan mengunakan fungsi ADD/REMOVE yang terdapat dalam Control Panel Windows.

Membina semula icon-cache dengan menukar saiz ikon-ikon tersebut.

Langkah-langkah yang boleh diambil bagi kaedah ini adalah seperti berikut:-

i- Buka Control Panel dan klik pada butang Display untuk membuka fungsi tersebut.

ii- Pilih tab Appearance dan klik butang Advance.

iii- Pada ruangan Item, menyusur ke bawah dan pilih Icon.

iv- Tingkatkan nilai pada ruangan Size dan klik butang Apply.

v- Masukkan kembali nilai pada rungan Size dengan nilai yang lama dan klik butang Apply.

vi- Klik butang OK.



Meningkatkan keupayaan icon-cache ini dengan menambah nilai STRING dalam fail sistem pada Registry Windows.

Langkah-langkah yang boleh diambil bagi kaedah ini adalah seperti berikut:-

i- Klik butang Start dan seterusnya klik butang Run.

ii- Taip regedit pada ruangan Run dan klik OK.

iii- Ia akan membuka satu program Registry Windows yang menyimpan segala konfigurasi fail sistem untuk Windows.

iv- Seterusnya, cari baris konfigurasi seperti di bawah dan tetapkan nilai seperti di bawah:-

[HKEY_LOCAL_MACHINE \Software \Microsoft \Windows \CurrentVersion\Explorer]
Max Cached Icons = "8192"

Julat nilai bagi Max Cached Icons adalah di antara 100 hingga 8192. Nilai lalainya yang telah ditetapkan oleh pihak Windows adalah 512. Nilai tersebut boleh diisi dengan nilai kurang daripada nilai 8192. Nilai yang dikatakan berpatutan adalah di antara 2000 hingga 8192.


Masalah ikon-ikon tidak berfungsi dengan baik atau paparannya bermasalah adalah disebabkan gangguan kepada konfigurasi fail sistemnya di dalam Windows. Ini boleh terjadi disebabkan oleh ada fail-fail sistem tertentu dibuang atau dikonfigurasikan dengan tidak betul dengan sengaja atau tidak sengaja.

Ia juga boleh disebabkan masalah program pemacu perkakasan (driver) atau komponen-komponen komputer. Ia perlu dibuat semakan dan sekiranya bermasalah, selesaikan masalah ini terlebih dahulu dengan memasang semula dan sebagainya.

Ia juga boleh disebabkan oleh program malware atau virus yang duduk dalam sistem komputer. Dengan itu, perlu dilakukan langkah-langkah tertentu seperti mengemaskini perisian anti-virus dan windows, melakukan proses imbas dan perbetulkan dengan perisian anti-virus atau program security fix.


Semoga bermanfaat.