Friday, February 5, 2010

Teknik Pengesahan Multi Faktor Memantapkan Sistem Pengesahan Aplikasi Komputer

Teknik Pengesahan Multi Faktor Memantapkan Sistem Pengesahan Aplikasi Komputer

oleh : Firkhan Ali Bin Hamid Ali

Kini, isu keselamatan ke atas capaian sesuatu sistem maklumat terutama untuk aplikasi Internet menjadi satu masalah besar dalam sesebuah transaksi terutama dalam perbankan Internet. Proses dan teknologi yang digunakan untuk mengurus pengguna aplikasi tersebut dan hubungan mereka dengan rangkaian dan aplikasi Internet semakin mencabar daripada sehari ke sehari. Jadi, sistem pengesahan multi faktor ini menjadi altenatif yang terbaik untuk masa kini bagi menangani isu- isu keselamatan yang berbangkit dalam aplikasi Internet.

Sistem pengesahan aplikasi merupakan satu sistem pembuktian diri sebenar bagi seseorang pengguna dan juga ia akan memastikan hanya kawasan akses yang dibenarkan sahaja yang boleh dicapai oleh pengguna tersebut. Sistem pengesahan aplikasi ini boleh berfungsi di semua lapisan infrastruktur rangkaian komputer bermula daripada penggunaan komputer, aplikasi tembok api, aplikasi e-mel, pangkalan data, penghala dan aplikasi-aplikasi teknologi maklumat yang lain. Sistem pengesahan aplikasi akan menyediakan satu maklumat keselamatan yang sangat penting iaitu maklumat berkenaan siapa dan bila sesuatu aplikasi itu dicapai atau masuk dan keluar daripada sesebuah sistem maklumat dan rangkaian komputer.

Sistem pengesahan aplikasi yang digunakan biasanya akan bersandarkan kepada beberapa ciri pengenalpastian kendiri atau identiti seseorang pengguna dengan kaedah seperti berikut:-

1. Sesuatu yang pengguna itu tahu seperti nombor PIN, kata laluan dan lain-lain.
2. Sesuatu yang pengguna itu ada seperti kad pengenalan, lesen memandu dan lain-lain.
3. Sesuatu yang berkenaan dengan diri fizikal pengguna atau biometrik seperti cap jari, suara, retina mata dan lain-lain.

Sekiranya sistem pengesahan aplikasi hanya bertumpu kepada satu faktor sahaja seperti kad pintar atau kata laluan sahaja. Bagaimana sekiranya kad pintar anda hilang atau kata laluan anda telah diperolehi melalui pencerobohan di Internet? Jadi, ia sesuatu yang sangat lemah dalam sistem pengesahan keselamatan pengguna. Sebaliknya, sistem pengesahan aplikasi yang berasaskan kepada biometrik adalah antara yang sangat baik dan lebih selamat dengan tambahan sekurang-kurangnya dua lagi faktor pengesahan yang lain.

Kombinasi ini akan mewujudkan satu sistem pengesahan multi faktor aplikasi yang lebih selamat untuk ditembusi oleh mana-mana pihak. Sebagai contoh, dalam satu proses pengeluaran wang untuk sesuatu akaun memerlukan seorang pemegang akaun itu menggunakan kad pengenalan bersama dengan cap jari elektronik dan beliau juga memerlukan tanda tangan borang pengeluaran wang tersebut. Ini adalah contoh terbaik di mana sistem pengesahan multi faktor itu digunakan dan ia boleh diperluaskan penggunaannya dalam sistem pengesahan aplikasi di Internet terutama yang membabitkan transaksi kewangan seperti perbankan Internet.
Namun begitu, sudah ada sistem pengesahan aplikasi yang dikenali sebagai Sistem Maklumat Pengurusan Identiti dan Akses yang dijual dipasaran yang dilengkapi dengan teknik pengesahan multi faktor ini. Ia terpulang kepada pihak pengguna atau syarikat terbabit sama ada untuk menggunakannya atau tidak. Ini kerana terdapat beberapa perkara atau isu yang perlu diambil perhatian sebelum perlaksanaannya dibuat seperti pengetahuan pengguna aplikasi, keperluan infrastruktur teknologi maklumat, kesesuaian penggunaannya dengan aplikasi, kos dan lain-lain.

Pengesahan multi faktor ini juga dikenali sebagai pengesahan kental atau kuat dan teknik pengesahan dua faktor juga kadang kala dibincang di bawah kategori ini. Tidak mengira apa sahaja teknologi dan teknik yang digunakan, kebolehgunaannya oleh pengguna adalah faktor yang utama dan sangat penting. Disamping itu, ia membantu mewujudkan satu sistem pengesahan aplikasi yang lebih selamat. Pengguna dapat menggunakannya untuk tujuan keselamatan pengesahan identiti masing-masing terutama untuk aplikasi-aplikasi di Internet yang melibatkan transaksi kewangan dengan selamat dan lebih yakin.

Friday, January 29, 2010

Teka Teki Pelembut Jiwa

Pada suatu hari Imam Ghazali berkumpul bersama-sama dengan murid-muridnya lalu beliau bertanya beberapa soalan:

PERTAMA :

Beliau bertanya apakah yang paling dekat dengan diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :"Orang tua, guru, kawan dan sahabat". Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberikan adalah benar tetapi jawapan yang paling tepat sekali bagi soalan ini ialah 'mati'. Sila rujuk surah Ali 'Imran ayat 185.


KEDUA :

Beliau bertanya apakah yang paling jauh daripada diri kita di dunia lalu muridnya menjawab :" negara China, bulan, matahari dan bintang". Lalu Imam Ghazali menegaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'masa lalu'. Walau dengan apa cara sekali pun kita tidak akan dapat kembali ke masa lalu. Oleh sebab itu kita mesti menjaga hari ini dan hari mendatang dengan amalan soleh agar kita tidak sesal di kemudian hari nanti.


KETIGA :

Beliau bertanya tentang apakah yang paling besar di dunia ini lalu muridnya menjawab: " Gunung, bumi, matahari". Lalu Imam Ghazali menjelaskan bahawa semua jawapan yang diberi adalah tepat tetapi yang paling tepat ialah 'nafsu'. Maka kita mesti berhati-hati dengan nafsu kita, jangan sampai nafsu mengheret kita ke neraka jahanam. Rujuk surah al-A'raf ayat 179


KEEMPAT :

Beliau bertanya tentang apakah yang paling berat di dunia lalu muridnya menjawab :" besi, gajah". Imam Ghazali mengatakan bahawa semua jawapan adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'menanggung amanah'. Segala tumbuhan, binatang, gunung ganang tidak sanggup memikul amanah tetapi manusia sanggup memikulnya ketika Allah meminta untuk memikul amanah khalifah di bumi. Manusia ramai yang rosak dan binasa kerana tidak mampu memikul amanah dengan baik akibat kecuaian dan kedegilan mereka dalam mengikut lunas yang telah ditetapkan oleh syarak.


KELIMA :

Beliau menyoal tentang apakah yang paling ringan di dunia lalu muridnya menjawab :" Kapas, angin, debu dan awan". Imam Ghazali menyatakan bahawa semua jawapan yang diberi adalah benar tetapi yang paling benar ialah 'meninggalkan sembahyang' kerana manusia sering mempermudah dan meringankan sembahyang disebabkan terlalu mementingkan urusan dunia.


KEENAM :

Beliau bertanya tentang apakah yang paling tajam di dunia lalu muridnya menjawab:''Pedang" . Imam Ghazali mengatakan bahawa jawapan itu adalah betul tetapi yang paling betul ialah 'lidah manusia' di mana disebabkan lidah maka manusia suka menyakiti dan melukai perasaan orang lain sehingga berlakunya perbalahan dan perpecahan.

Thursday, January 28, 2010

Sepuluh Teknologi yang Dijangka Pupus Pada 2010

Hari ini apa yang kita lihat seperti mesin taip sudah tidak dipakai lagi dengan adanya komputer. Namun begitu ditempat-tempat tertentu seperti di mahkamah masih ada lagi keperluan alat tersebut.

Di sini di senaraikan beberapa teknologi yang dijangka akan pupus di negara-negara maju. Walaubagaimana pun ia mungkin masih digunakan di negara-negara lain sama ada semakin kurang atau tidak .

Perbezaan teknologi di antara negara-negara maju dengan negara-negara lain sangat ketara sebenarnya. Sepuluh teknologi itu adalah seperti:-

1. Pager

Alat ini sangat penting untuk sesuatu situasi kecemasan atau on call. Di mana ia merupakan satu komunikasi sehala untuk menghantar mesej berkenaan perkara penting kepada seseorang.

Dengan kemajuan teknologi telefon bimbit dapat mengambil alih peranan penting yang dimainkan oleh Pager dan PDAs.


2. Mesin Faks

Dengan teknologi pencetak yang mempunyai fungsi mesin Faks dan talian Internet, ia dijangka dapat menggantikan teknologi ini. Namun di Malaysia masih diperlukan penggunaannya cuma mungkin agak berkurangan dengan adanya teknologi Internet yang lebih cepat dan menjimatkan.

3. Pemetik Api pada kereta

Kebanyakkan port pemetik api di kereta banyak digunakan untuk port kuasa pelbagai alat seperti untuk mengecas bateri telefon, menghidupkan pemain MP3 dan lain-lain. Spesifikasinya yang bukan untuk port kuasa boleh membahayakan penggunaannya.

Jadi, lebih elok ia ditukarkan kepada port power yang lebih selamat dan stabil untuk penggunaan alat-alat yang lain.

4. Kad Perniagaan

Hari ini , kebiasaanya kad perniagaan dalam bentuk kertas yang bercetak. Di mana, ia akan menyebabkan satu tugasan untuk kita buat iaitu memasukkan semula data ke dalam sistem atau e-mel.

Jadinya, kita dah ada vcard mungkin ini sudah memadai atau kad yang berbentuk storan cakera di mana ia boleh dimainkan di komputer. Apa-apa pun ikutlah kesesuaian penggunaannya.

5. Sewaan Kaset Video Filem

Ketika dahulu banyak kedai-kedai yang dibuka untuk membolehkan kita menyewa kaset video filem yang kemudian diganti dengan sewaan CD atau DVD.

Dengan perkembangan teknologi kini di mana video dan audio boleh dimuat turun dan dimainkan pada bila-bila masa dengan kemudahan Internet atau pemain MP3, M4 dan kecanggihan telefon bimbit, kini kewujudan kedai-kedai sewaan filem ini sudah tidak kelihatan.

Mungkin pada masa akan datang boleh dicadangkan kita buat kedai sewaan video ini secara maya menerusi Internet.

6. Alat kawalan jauh untuk TV atau pemain CD/DVD/Blu-Ray

Alat kawalan jauh ini sudah biasa kita dapati disertakan bersama-sama dengan televisyen dan pemain CD/DVD/Blu_ray.

Bayangkanlah setiap peralatan tersebut ada satu alat kawalan. Itu tidak termasuk alat-alat lain seperti kipas angin, mesin basuh, peti ais dan sebagainya yang berkemungkinan ada alat kawalan jauh ini.

Kini sudah ada telefon bimbit yang boleh berperanan sebagai alat kawalan jauh untuk kesemua peralatan-peralatan elektrik tersebut. Malah sebelum itu pun sudah ada jam tangan elektronik yang mempunyai fungsi kawalan alat daripada jauh.

Kepupusan alat kawalan jauh ini atau pengurangan penggunaannya berkemungkinan berlaku pada tahun ini atau pada tahun-tahun yang akan datang.

7. Telefon Talian Tetap

Kini boleh dikatakan hampir semua rumah sudah tiada khidmat talian telefon tetap kerana masing-masing sudah ada telefon bimbit.

Namun begitu, keperluan capaian Internet yang lebih laju memerlukan lagi kita kepada adanya akaun telefon talian tetap ini.

Sekiranya capaian Internet yang lebih laju untuk capaian menerusi talian telefon bimbit nescaya ia akan menjadi satu lagi teknologi yang menjadi sejarah.

Untuk membolehkan ia bersaing lagi, mungkin boleh dicadangkan penggunaanya boleh dipindahkan ke telefon mudah alih yang lebih fleksibel penggunaannya.

8. CD Muzik atau Lagu

Perkembangan teknologi dalam mengurus maklumat termasuk sumber hiburan yang lebih canggih ke dalam bentuk digital menerusi talian Internet dan telefon bimbit menyebabkan kesuraman penjualan sesebuah CD Muzik atau lagu kecuali peminat fanatik yang memerlukannya untuk simpan kenangan.

Di Malaysia juga, ramai artis-artis yang banyak dapat hasil menerusi muat turun lagu mereka menerusi telefon bimbit berbanding penjualan CD Muzik.


9. Pengaturcaraan Sirius XM

Kecanggihan teknologi yang terarah kepada sistem dan peralatan tanpa wayar juga menyebabkan atau menukarkan kaedah pengaturcaraan lebih ke arah sesuatu yang tanpa wayar atau satelit.

Teknologi pengaturcaraan ini adalah satu lagi teknologi yang menuntu kepada perubahan bentuk capaian sistem maklumat kita yang lebih bersifat fleksibel.


10. Borang Pendaftaran Web yang kompleks ..

Setiap kali kita membuat pendaftaran di sesebuah laman web, kita dikehendaki memasukkan maklumat peribadi kita. Kalau ada sepuluh laman web, sepuluh kalilah kita akan masukkan data-data maklumat peribadi yang sama.

Jadi, pada masa akan datang, kita tidak perlu memasukkan berulang-kali maklumat peribadi yang sama kecuali login dan kata laluan.

Sepatutnya dengan kecanggihan dunia teknologi maklumat ia akan memudahkan kerja kita.