Friday, April 22, 2011

Bengang PC terpadam


1. Assalamu'alaikum. Saya menggunakan komputer jenis PC. Jenis Windows ME. RAM saya 256 MB. Kadang-kadang ia terpadam dengan sendiri, kemudian PC tersebut akan restart semula. Desktop saya dalam Safe Mode. Saya tak boleh nak pilih 1.Normal. Skrin jadi hitam. Apabila saya tutup komputer, mesej yang tertera tidak terpadam seperti yang sepatutnya."You can switch off your computer now !". Mesej tersebut tidak terpadam selama beberapa minit. Jadi saya tutup suis kotak(suis utama). Apa yang patut saya buat selain hantar ke kedai ? Kalau boleh saya nak cuba baiki sendiri.

Wan Muhammad Faiz. Kg. Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu



Wa’alaikumussalam. Apa yang saudara hadapi adalah simptom-simptom daripada masalah sebenar yang dihadapi. Banyak perkara perlu dilihat. Sebelum saya memberi beberapa panduan secara teknikal dengan simptom-simptom yang dihadapi, perlu diketahui bahawa masalah tersebut perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

Proses untuk mengenal pasti masalah komputer ini ada beberapa peringkat atau lapisan iaitu:-

  1. Perisian.
  2. Sistem pengoperasian.
  3. Sistem BIOS (Basic Input Output System).
  4. Perkakasan.

Jadi, diperingkat permulaan berkemungkinan ada masalah dari segi perkakasan kerana saya andaikan komputer saudara sudah terlalu lama disebabkan penggunaan Windows ME yang sudah tidak disokong oleh pihak Microsoft pada masa kini. Namun begitu ia tidak mustahil berpunca daripada masalah perisian, sistem BIOS atau sistem pengoperasian Windows.

Saudara juga boleh pergi ke Control Panel > System > Advance > Start Up and Recovery > Settings. Pada ruangan System Failure, kosongkan kotak bagi pilihan Automatically restart. Ini adalah untuk mengelakkan system Windows daripada berulang kali memulakan semula program Windows setiap kali ia dibuka.


Seterusnya untuk melihat masalah yang dihadapi kenapa sistem Windows kerap kali membuka semula atau restart programnya, sila ke My Computer > Manage > Computer Management > Event Viewer > System. Sila lihat pada simbol pangkah berwarna merah kenapa sistem Windows komputer tersebut bermasalah.


Di sini disenaraikan beberapa punca yang menyebabkan komputer saudara bermasalah dan mempunyai simptom seperti yang dinyatakan iaitu:-

  1. Masalah virus komputer seperti lsass.exe. Jadi imbas komputer anda dengan perisian anti-virus yang telah dikemas kini.

  1. Masalah perisian pemacu perkakasan yang dipasang bermasalah. Sila semak di My Computer > Properties > Hardware > Device Manager. Sekiranya ada yang bermasalah, sila buang dan pasang semula program pemacu tersebut.

  1. Masalah pemasangan kad paparan atau kad bunyi pada komputer atau slot kadnya bermasalah.

  1. Masalah konfigurasi paparan dalam Windows seperti resolusi yang tidak sesuai dan sebagainya.

  1. Masalah konfigurasi pada BIOS bagi kad paparan atau kad bunyi. Ini kerana kebanyakan papan utama atau motherboard pada masa kini mempunyai kad paparan dan bunyi yang terbina di dalamnya. Jadi, ia perlu dinyah aktifkan terlebih dahulu sekiranya mahu memasang kad paparan atau kad bunyi yang lain. Ia boleh dikonfigurasi pada jumper atau BIOS.

  1. Komponen memori RAM bermasalah atau slotnya yang digunakan bermasalah. Laksanakan pengujian terhadap RAM dengan program komputer yang tertentu. Terdapat program berasaskan sumber terbuka seperti memtest86+ yang boleh dimuat turun di http://www.memtest.org.

  1. Masalah kepanasan yang melampau pada CPU. Sila semak perbincangan sebelum ini.

  1. Masalah bekalan kuasa. Ia perlu diganti dengan yang baru sekiranya bermasalah atau sudah terlalu lama digunakan.

  1. Masalah pada papan utama. Ia perlu diganti dengan yang baru sekiranya bermasalah atau sudah terlalu lama digunakan.

Sekiranya masalah tersebut berpunca daripada perisian atau sistem penggoperasian Windows, lakukan penyelenggaraan terhadap sistem pengoperasian Windows. Seterusnya, lakukan langkah-langkah pembaikan semula Windows dengan menggunakan program baik pulih Windows, konfigurasi semula sistem Registry dan sebagainya. Sekiranya bermasalah juga, buat salinan data ke tempat lain. Format cakera keras dan pasang semula sistem pengoperasian Windows.

Sekiranya masalah tersebut berpunca daripada perkakasan, komponen-komponen komputer tersebut perlu digantikan dengan yang baru. Cara untuk mengenal pastinya, boleh menggunakan program-program komputer tertentu, menggunakan alat pengesan arus elektrik dan kaedah cuba jaya. Kaedah cuba jaya ini kita uji komponen-komponen tersebut dengan cara memasangnya pada komputer lain atau pasang tanggal pada komputer yang sedia ada.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.