Diskusi ICT 56
Saya sering pergi ke luar negara atas urusan kerja. Jadi, komputer riba sering dibawa bersama untuk tujuan membuat kerja dan akses kepada internet. Apakah langkah-langkah keselamatan yang boleh di ambil dalam penyediaan komputer riba saya untuk dibawa bersama ke luar negara?
Jurutera Jentera, Klang.
Hari ini, komputer adalah dalam bentuk yang mudah dibawa ke mana-mana sahaja. Ia dikenali sebagai komputer riba, komputer tablet atau telefon pintar. Dengan ini, ia akan memudahkan berlakunya kehilangan atau kecurian. Namun begitu, apa yang menjadi keutamaan dan kepentingan adalah data dan maklumat yang terdapat dalam komputer mudah alih tersebut. Sekiranya berlaku kecurian atau kehilangan, komputer riba tersebut boleh digantikan dengan yang lain tetapi data yang terdapat di dalamnya agak sukar untuk dikembalikan semula seperti sedia kala.
Di samping itu, sekiranya data tersebut sangat sulit dan dimiliki oleh sebuah organisasi jatuh kepada para pesaing dalam dunia perniagaan, sudah itu ia akan menjejaskan prestasi sesebuah organisasi. Dengan itu, langkah-langkah keselamatan sangat penting untuk diambil dalam penyediaan sesebuah komputer riba yang akan di bawa kemana-mana sahaja termasuk ke luar negara.
- Gunakan perkhidmatan Virtual Private Network (VPN) untuk capai rangkaian organisasi menggunakan internet. Ia akan mengenkrip capaian rangkaian yang dibuat antara komputer pekerja dengan persekitaran siber organisasi.
- Penggunaan alamat IP statik bagi perkhidmaan DNS yang diguna pakai.
- Konfigur keselamatan untuk capaian internet bagi komputer riba tersebut. Sila blok mana-mana yang capaian yang perlu dan tidak selamat.
- Kemas kini program aplikasi-aplikasi komputer, perisian anti-virus dan sistem pengoperasian yang digunakan dalam komputer riba tersebut.
- Laksanakan enkripsi sepenuhnya terhadap keseluruhan cakera keras bagi komputer riba yang digunakan. Boleh menggunakan aplikasi-aplikasi enkripsi seperti BitLocker, TrueCrypt dan lain-lain. Sekiranya perlu, lindungi data tersebut dengan aplikasi kekunci USB sebagai tambahan keselamatan.
- Pastikan komputer tersebut mempunyai kata laluan yang kuat dan kental untuk memasukinya.
- Mempunyai garis panduan keselamatan untuk penggunaannya.
- Mempunyai polisi keselamatan untuk penggunaan komputer riba tersebut. Ini juga boleh dikonfigur pada sistem pengoperasian seperti Windows dengan aplikasi GPOnya (Group Policy Object).
- Pastikan capaian oleh pekerja biasa terhadap apa sahaja kepada persekitaran teknologi maklumat organisasi bukan dalam mod kawalan atau admin.
- Konfigur sistem keselamatan Firewall dengan baik.
- Pastikan juga jenis kabel, soket dan keperluan tenaga elektrik yang sesuai dengan bekalan tenaga elektrik yang disediakan oleh sesebuah negara.
Itu adalah beberapa panduan yang boleh diguna pakai dalam penyediaan keselamatan komputer riba atau mana-mana komputer mudah alih yang akan digunakan untuk tujuan kerja. Komputer yang hilang mudah dicari ganti tetapi data yang hilang amat sukar dipulih kembali. Namun begitu, langkah-langkah penguatkuasaan terhadap aspek keselamatan ini merupakan perkara yang paling penting untuk mengurangkan masalah ini daripada berlaku.
No comments:
Post a Comment
Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.