Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 68: iPhone kena godam. Utusan Malaysia. 23 April 2012.

Diskusi ICT 67




Bagaimanakah cara untuk mengelakan iPhone saya daripada perbuatan hacking?



Neno, KL



Telefon pintar iPhone mengunakan sistem pengoperasian iOS. Pada sekitar Julai 2011, sebuah firma keselamatan teknologi maklumat daripada Jerman berupaya mengesani kelemahan keselamatan yang terdapat dalam sistem iOS yang membolehkan ia dimanipulasi oleh pihak penggodam komputer.



Penggunaan telefon pintar ini yang semakin hari mendapat sambutan hangat di pasaran memungkinkan ia menjadi subjek kegemaran bagi para penggodam komputer. Pencegahan itu lebih baik daripada mengubati. Jadi, di sini disertakan beberapa langkah pencegahan yang boleh diambil untuk keselamatan para pengguna telefon pintar iPhone.



1. Penggunaan iPhone Password Lock – Kunci telefon iPhone anda dengan kata laluan yang kental dan selamat. Boleh juga ditambah dengan elemen pemasa dan sebagainya.



2. Pengunaan perkhidmatan lokaliti – Perkhimatan lokaliti atau GPS yang terdapat dalam telefon iPhone merupakan antara perkhidmatan GPS yang terbaik. Tutup fungsi GPS sekiranya tidak perlu kerana ia boleh mengundang pencerobohan oleh pihak penggodam. Lokasi dan laluan anda juga berupaya dikesani oleh mereka ini.



3. Penggunaan perkhimatan Wi-Fi – Tutup fungsi Wi-Fi dalam telefon iPhone sekiranya tidak digunakan. Pastikan penggunaan perkhidmatan Wi-Fi ini selamat kerana ia merupakan laluan popular digunakan oleh penggodam komputer untuk masuk ke dalam iPhone anda.



4. Sambungan SSL – Sentiasa menggunakan sambungan SSL ketika mengunakan internet dan pelayar web Safari dalam telefon iPhone kerana ia akan mengenkrip sambungan tersebut. Status enkripsi ini boleh dilihat pada skrin telefon iPhone ketika melayari internet.



5. Penggunaan SSL dalam e-mel – Pastikan penggunaan e-mel dalam telefon iPhone menggunakan sambungan SSL untuk keselamatan. Ini kerana e-mel juga merupakan satu tempat yang popular dimanipulasikan oleh penggodam untuk menceroboh masuk ke dalam sesebuah telefon iPhone.



6. Penggunaan pelayar web Safari dengan selamat – Konfigurasi yang betul, selamat dan dikemas kini perlu dibuat pada pelayar web Safari ini.





7. Buat salinan pendua kandungan telefon iPhone – Buat salinan pendua sekerap mungkin bagi data yang terdapat dalam telefon iPhone. Ia boleh dilakukan ketika telefon iPhone anda disambung ke iTunes atau menggunakan apa-apa aplikasi komputer yang sesuai. Bagi data yang berada dalam kad SIM berkemungkinan boleh diperolehi semula daripada pihak pembekal perkhidmatan sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Namun begitu pakej perkhidmatan langganan ini perlu disemak kembali sama ada ia disediakan atau tidak oleh pihak pembekal perkhidmatan.



8. Penggunaan aplikasi iPhone Apps Store dengan selamat – Sila buat semakan terhadap parameter keselamatan pada konfigurasi akaun aplikasi Apps Store anda.

Sembang ICT 67: Masalah emel pada akaun Facebook. Utusan Malaysia. 2 April 2012.

Diskusi ICT 63




Salam. Pada tiga hari yang lepas, saya deactivate akaun Facebook milik saya. Kemudian beberapa hari selepas itu, saya cuba memasuki semula akaun Facebook tersebut tetapi tidak berjaya. Ia keluar ralat mengatakan incorrect email. Padahal emel tersebut adalah emel yang sama digunakan sebelum ini.





Shah, KL.



Wassalam. Pertamanya, tuan perlu pastikan sama ada akaun tersebut dinyahaktifkan, deactivate atau akaun tersebut dibuang secara kekal, permanently delete. Sekiranya akaun tersebut dinyahaktifkan, normalnya akaun tersebut boleh dimasuk semula dengan menggunakan login atau alamat emel bersama dengan kata laluan yang digunakan sebelum ini.



Jadi, sekiranya ia mengeluarkan ralat incorrect email, pastikan alamat e-mel yang dimasukan itu pasti sama dengan alamat e-mel yang digunakan sebelum ini. Cuba klik pada menu atau butang Forgot Password untuk dapatkan kembali kata laluan baru di e-mel yang didaftarkan.



Sekiranya masih tidak berjaya, berkemungkinan besar akaun Facebook tersebut telah dicerobohi dan dikompromi oleh pihak yang tidak bertanggung jawab. Pihak berkenaan berkemungkinan besar telah menukar alamat e-mel atau login bagi akaun Facebook tersebut. Jadi, sila buat laporan berkenaan dengan akaun anda telah dicerobohi oleh seseorang kepada pihak Facebook.



Sila ke alamat URL Facebook yang berikut untuk dapatkan maklumat yang lebih lanjut.



https://www.facebook.com/help/?page=214512881928339



Di ruangan Sembang ICT ini, juga telah dibincangkan banyak isu dan masalah berkaitan dengan penggunaan aplikasi Facebook ini. Jadi, boleh melihat kembali artikel-artikel yang lepas dalam akhbar Utusan atau Utusan Online atau di laman blog http://universitimengkarakk.blogspot.com.



Pastikan aplikasi Facebook digunakan dengan selamat dan betul. Sila aktifkan fungsi keselamatan yang ada pada aplikasi Facebook sebelum ia digunakan. Gunakan kata laluan yang kuat dan kental pada akaun Facebook yang digunakan. Sila elak klik atau muat turun sesuatu yang mencurigakan ketika sedang menggunakan aplikasi Facebook ini. Jangan menggunakan kata laluan yang sama bagi setiap akaun laman web yang dimiliki.





Sembang ICT 66: Masalah dengan dua jalur lebar wayarles. 19 Mac 2012.

Diskusi ICT 62




Assalamualaikum.



Komputer riba saya tidak boleh sambung kepada internet jalur lebar tanpa wayar dengan lebih daripada satu syarikat pembekal perkhidmatannya?



Ida Khalidah, KL.



Wa’alaikumussalam. Kebanyakan syarikat pembekal perkhidmatan internet jalur lebar tanpa wayar ini menggunakan modem yang disambungkan pada port USB komputer riba untuk dapatkan sambungan ke akaun internet yang dilanggan. Jadi, pastikan komputer riba yang digunakan tidak mempunyai masalah pada port USB-nya. Ini ada dibincangkan dalam ruangan Sembang ICT yang lepas. Boleh rujuk kembali.



Sekiranya port USB pada komputer riba tiada masalah, pastikan pula modem internet jalur lebar tanpa wayar yang digunakan tiada masalah untuk dibaca oleh komputer riba. Kebanyakan komputer riba pada masa kini, sistem pengoperasiannya akan mengesan kehadiran modem internet jalur lebar tanpa wayar itu secara automatik apabila ia dipasangkan pada port USB.



Seterusnya pasang aplikasi pemacu atau driver bagi modem tersebut kepada komputer riba yang hendak digunakan. Biasanya ia berada bersama-sama dengan CD atau DVD yang disertakan sekali bersama dengan modem yang dibekalkan.Sekiranya tidak, boleh dibuat secara manual pada konfigurasi sistem pengoperasiannya untuk penambahan perkakasan. Sebagai contoh pada Windows XP, klik pada butang Start > Setting > Control Panel > Add Hardware. Aplikasi pemacu bagi modem tersebut juga boleh dimuat turun daripada internet menerusi laman web syarikat pengeluarnya.



Kebiasaannya, modem internet jalur lebar tanpa wayar ini boleh dikesan dan dipasang pada sesebuah komputer secara automatik tanpa perlu dilakukan konfigurasi pada komputer tersebut. Seterusnya, pastikan juga modem internet jalur lebar tanpa wayar yang digunakan tidak rosak dan bermasalah. Ini boleh dipastikan dengan merujuk kepada manual pengguna dan pihak syarikat pembekal internet jalur lebar tanpa wayar yang dilanggan.



Setelah dipastikan tiada masalah berkenaan dengan modem internet jalur lebar, barulah dilihat dari segi sambungan internet kepada komputer riba tersebut. Perkara ini pun biasanya pada komputer pada masa kini akan dikesan dan berfungsi secara automatik tetapi fungsi keselamatannya perlu dikonfigurasikan dengan baik.



Sekiranya sambungannya bermasalah, sila buat konfigurasi sambungan akaun internet tersebut pada komputer riba pada fungsi sambungannya. Sebagai contoh dalam Windows XP, konfigurasi itu boleh dicapai pada Start> Setting > Control Panel > Network Setup Wizard. Dalam Windows XP, konfigurasi ini juga boleh dilakukan pada fungsi Network Connections.



Sekiranya masih bermasalah sambungan internet tersebut, boleh dipasang aplikasi sambungan yang disediakan oleh pihak pembekal internet jalur lebar tanpa wayar. Biasanya, ia disediakan bersama-sama dengan modem yang disediakan. Setelah memasang aplikasi sambungan tersebut, buka aplikasi dan klik pada butang/menu sambungan atau connection. Seterusnya, ikuti langkah-langkah dan konfigurasi yang perlu. Sila rujuk kepada manual pengguna modem yang disediakan.