Showing posts with label sembang ICT. Show all posts
Showing posts with label sembang ICT. Show all posts

Friday, January 11, 2013

Sembang ICT 93: Ingin Tahu Kelajuan Internet dan Komputer. Utusan Malaysia. 7 Januari 2013.

Diskusi ICT 94

Bagaimanakah untuk kita tahu kelajuan rangkaian komputer atau internet?



Ayan, Tembeling.

Kelajuan bagi sesebuah rangkaian komputer bergantung kepada bagaimana ia digunakan dan apa yang digunakan untuk penggunaannya. Jadi, untuk mengetahui kelajuan rangkaian komputer dan kelajuan internet adalah perkara yang berasingan.
Bagi mengetahui kelajuan sesebuah rangkaian komputer boleh dilakukan ujian kelajuan dan lihat pada hasil pengujiannya. Ujian kelajuan akan mengukur prestasi rangkaian komputer bagi satu julat masa yang tertentu. Ujian kelajuan ini dibuat biasa dengan menghantar dan menerima satu data atau fail menerusi rangkaian. Seterusnya pengiraan akan dibuat berdasarkan kepada saiz atau jumlah data yang dihantar dan masa yang diambil untuk membuat penghantaran data tersebut.
Pengukuran yang biasa digunakan adalah kadar data atau data rate iaitu mengira bilangan bit yang dihantar dalam rangkaian pada masa satu saat. Ia juga boleh menggunakan pengukuran penangguhan rangkaian atau network delay yang biasa juga dikenali sebagai ping time.
Pengukuran kelajuan rangkaian dan internet ini boleh diukur dengan digunakan program-program komputer yang boleh dibeli atau dimuat turun secara percuma. Dalam Windows terdapat satu pogram komputer yang dikenali sebagai Ping. Ping boleh digunakan untuk mengukur kelajuan sesebuah rangkaian komputer dan internet. Kebanyakan program komputer pemantauan rangkaian atau network monitoring tool menyediakan fungsi untuk mengukur kelajuan sesebuah rangkaian komputer dan sambungan internet.







Sembang ICT 92: Mengatasi Masalah Laptop Panas. Utusan Malaysia. 22 Oktober 2012.

Diskusi ICT 88

Ketika bermain permainan komputer dalam laptop, saya rasakan bahagian bawahnya terlalu panas dan kadang kala permainan komputer itu tersekat-sekat. Sekiranya saya menulis dokumen di dalamnya, masalah ini tidak berlaku. Apakah nasihat tuan?
Terima kasih.

Abu Leman, Tawau.

 
Terima kasih. Ini adalah salah satu simptom yang disebabkan oleh masalah komputer riba yang digunakan menjadi terlalu panas ketika bermain permainan komputer. Permainan komputer memerlukan penggunaan pemproses atau CPU dan memori RAM yang tinggi dan mengcukupi berbanding penggunaan aplikasi komputer yang lain seperti pemproses kata dan lain-lain.
Jadi, haba yang terhasil daripada pemproses tersebut juga akan turut meningkat. Sekiranya sistem penyejukan komputer bermasalah dan tidak mengcukupi, haba tersebut akan terus meningkat ke satu tahap yang melampau yang akan menyebabkan komputer akan terhenti sebentar, tersekat-sekat atau terus berhenti.
Ada beberapa perkara yang boleh menyebabkan sesesuatu komputer riba itu menjadi panas pada suhu yang melampau iaitu:-
1. Sistem kipas penyejukan yang bermasalah atau tidak mengcukupi.

2. Komponen CPU mempunyai masalah atau rosak.

3. Sistem papan utama atau motherboard mempunyai masalah atau rosak.

4. Sistem pengudaraan dalam komputer tersebut bermasalah.

5. Masalah terkumpulnya banyak habuk-habuk atau bendasing pada sistem penyejukan, kipas, CPU dan sekitar papan utama.

6. Terlalu banyak proses-proses yang perlu dijana oleh CPU.



Tindakan

 
1. Membersihkan dalaman komputer riba daripada habuk-habuk yang terlekat.

2. Pastikan kipas penyejukan tidak bermasalah dan berfungsi dengan baik.

3. Menggunakan alat-alat bantuan penyejukan komputer riba yang baik seperti pad atau kipas penyejukan komputer riba luaran.

4. Elakan penggunaan komputer riba di tempat yang tidak rata kerana ia akan menyebabkan sistem pengudaraan komputer riba terganggu dan akan memerangkap haba panas.

5. Penggunaan perisian tertentu untuk memantau suhu yang terhasil oleh bahagian-bahagian tertentu dalam komputer riba seperti C-PUZ (http://www.cpuid.com/softwares/cpu-z.html), CoreTemp (http://www.alcpu.com/CoreTemp/), SpeedFan, Intel Active Monitor, MobileMeter, OpenHardwareMonitor (http://openhardwaremonitor.org/), Orthos dan lain-lain. Perisian ini juga boleh digunakan untuk tujuan pengujian tekanan atau stress testing. Sekiranya suhu berada di bawah 75 ยบ Celcius ia adalah pada tahap yang normal.

6. Dalam perisian atau apliksasi Power Management, pilih konfigurasi Maximum atau Best Performance.

7. Perlaksanaan penyelengaraan biasa terhadap komputer riba seperti membuang fail-fail yang tidak penting, menutup mana-mana proses yang tidak penting, membuat scan disk, disk defragment dan lain-lain. Sila rujuk perbincangan sebelum ini.

8. Sila lihat spesifikasi keperluan untuk sesebuah komputer bagi permainan komputer tersebut. Pastikan ia bersesuaian.

Selain daripada itu, boleh tingkatkan prestasi komputer dengan tingkatkan saiz RAM, kelajuan CPU, saiz cakera keras dan sebagainya. Namun begitu, ini cuma merupakan satu nasihat sahaja berdasarkan kepada senario dan simptom-simptom yang diberikan. Sila dapatkan nasihat pakar dengan melihat sendiri masalah tersebut sekiranya masalah berlanjutan kerana ia berkemungkinan masalah perkakasan komputer.







Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 88: Mengelak laman web digodam. Utusan Malaysia. 19 November 2012.

Diskusi ICT 65




Saya ada satu soalan, bagaimanakah untuk menghindari daripada berlakunya sesebuah laman web itu digodam oleh seseorang ?



Isha, Seri Menanti



Dalam ruangan Sembang ICT ini, telah banyak dibincangkan secara umum dan spesifik berkenaan dengan pengendalian keselamatan teknologi maklumat. Jadi, boleh merujuknya kembali artikel-artikel yang lepas. Perkara asas dalam keselamatan teknologi maklumat yang perlu diambil kira ialah perimeter, pendidikan dan polisi atau 3P.



Berkenaan dengan keselamatan sesebuah laman web, ada beberapa peringkat yang perlu diteliti iaitu seperti yang tercatit seterusnya.



1. Peringkat aplikasi sesebuah laman web iaitu dari segi laman web itu sendiri, perisian, aplikasi pengurusan kandungan atau Content Management System (CMS), penulisan kod, bahasa pengaturacaraan dan pangkalan data.

2. Peringkat aplikasi storan laman web iaitu aplikasi pelayan web dan pelayan DNS yang diguna pakai.

3. Peringkat komputer pelayan yang digunakan untuk menyediakan kemudahan laman web dan komputer peribadi atau client yang digunakan untuk mencapai fungsi pengurusan laman web tersebut.

4. Peringkat capaian daripada para pengguna terhadap laman web dan sambungannya.



Seterusnya, disediakan panduan keselamatan secara umum bagi pengendalian sesebuah laman web sama ada ia bersifat statik, dinamik atau aplikasi.



1. Aplikasi pelayan DNS yang diguna pakai perlu sentiasa dikemas kini, dikonfigur dengan baik, selamat dan dienkripsi sambungannya. Sila guna aplikasi DNS yang mempunyai fungsi DNS Security Extension (DNSSEC) bagi memberi tahap keselamatan yang tinggi.

2. Sentiasa membuat kemas kini terhadap kesemua perisian dan perkakasan yang digunakan untuk mengendalikan dan membangunkan laman web.

3. Pengunaan kata laluan berserta teknik enkripsi yang kental dan selamat dalam kesemua pengendalian sesebuah laman web.

4. Pastikan keselamatan penggunaan e-mel pentadbir yang digunakan dalam mengendalikan laman web adalah pada tahap yang tinggi. Jangan dedahkannya kepada umum sekiranya tiada berkepentingan.

5. Penggunaan kata laluan yang selamat dan kental pada pangkalan data yang digunakan. Ramai pengguna membiarkan capaiannya tanpa kata laluan.

6. Elakan konfigurasi secara lalai atau default pada mana-mana aplikasi yang digunakan terutama pada pelayan web, pangkalan data, aplikasi pengurusan kandungan, blog, skrip dan sebagainya. Konfigur kesemuanya dengan selamat.

7. Elakan penggunaan aplikasi Telnet, aplikasi FTP dan sambungan Wi-Fi untuk mencapai pengurusan laman web secara jarak jauh kerana ia kurang selamat. Boleh menggunakan aplikasi yang mempunyai fungsi enkripsi seperti Secure FTP (SFTP), VPN dan lain-lain dalam menggunakan aplikasi capaian jarak jauh.

8. Semak kebenaran capaian fail dan direktori agar capaiannya selamat dan terhad oleh pihak yang bertangung jawab sahaja terutama fail dan direktori yang berada dalam aplikasi pelayan web.

9. Tambahkan skrip robot.txt kepada laman web. Ia adalah skrip arahan untuk laman-laman web enjin carian yang akan mengindek fail tertentu sahaja bagi sesebuah laman web yang dicari oleh para pengguna.

10. Pastikan komputer pelayan yang digunakan dikonfigur pada tahap keselamatan yang tinggi. Sentiasa membuat kemas kini dan penyelengaraan bagi perisian dan sistem pengoperasian yang digunakan secara berkala. Elak larikan komputer pelayan dalam mod penuh pentadbir atau Root.

11. Penggunaan perimeter keselamatan pada infrastruktur laman web seperti aplikasi Firewall Web, IDS, IPS, perisian anti-virus dan lain-lain. Konfigur dengan selamat dan sentiasa mengemaskini aplikasi yang digunakan.

12. Sentiasa melakukan pengujian keselamatan bagi laman web dengan menggunakan aplikasi-aplikasi tertentu seperti PHP Security Scanner, Web Security Testing, XSS String Encoder, SQL Encoder dan lain-lain atau secara manual. Ini juga dikenali sebagai Penetration Testing dan Security Audit. Ia boleh diuji kepada kod sumber, perisian, perkakasan dan capaian yang digunakan untuk sesebuah laman web.

13. Pastikan aplikasi pelayan web yang digunakan dikonfigur pada tahap keselamatan yang tinggi. Sentiasa membuat kemas kini dan penyelengaraan secara berkala. Pastikan aplikasi pelayan web menggunakan fungsi enkripsi SSL untuk keselamatan paparan sesebuah laman web.

14. Pastikan pengguna yang mencapai laman web dididik dengan cara penggunaan yang berhemah dan selamat seperti sambungan, penggunaan pelayar yang selamat, penggunaan akaun laman web dengan selamat dan lain-lain.

15. Wujudkan polisi keselamatan bagi capaian laman web secara dalaman atau secara luaran.

16. Penggunaan keselamatan fizikal yang baik untuk storan laman web seperti keadaan bilik yang kondusif dan selamat, teknik penguncian yang baik dan lain-lain.

17. Wujudkan sistem salinan data untuk kembalikan semula keadaan dan data sesebuah laman web ke bentuk asal sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Ini dikenali sebagai Bussiness Continuity Plan (BCP).

Sembang ICT 87: Memuat turun video daripada Youtube. Utusan Malaysia. 5 November 2012.

Diskusi ICT 89




Bagaimanakah untuk memuat turun video daripada laman web YouTube?



Terima kasih.

Pacat, Semporna.



Terima kasih. Pertamanya yang perlu diketahui adalah pihak YouTube hanya membenarkan para pelawat laman web mereka melihat dan menonton video di laman web YouTube sahaja. Jadi, bagi memuat turun video tersebut, ia memerlukan aplikasi komputer tertentu sama ada ia aplikasi berasaskan web, program komputer atau aplikasi tampalan bagi pelayar web.



Terdapat beberapa laman web yang menyediakan perkhidmatan memuat turun video daripada laman web video seperti laman web YouTube. Antaranya adalah seperti di http://www.savevid.com, http://www.keepvid.com dan lain-lain. Buka video yang dikehendaki di laman web YouTube. Salin alamat URL video tersebut ke laman web kedua seperti di laman web Savevid. Klik butang untuk memuat turun video di laman web tersebut. Seterusnya, boleh disimpan fail video yang dikehendaki ke dalam komputer.



Seterusnya, terdapat beberapa perisian komputer yang boleh digunakan untuk memuat turun video daripada laman web YouTube seperti YouTube Downloader HD yang boleh didapati di alamat URL, http://www.youtubedownloaderhd.com. Setelah memasang perisian tersebut, buka dan salin alamat URL video daripada YouTube dan klik butang untuk muat turun. Ada juga perisian komputer yang akan memaparkan ikon muat turun pada video di laman web YouTube seperti perisian Real Downloader yang boleh dimuat turun di alamat URL, http://www.real.com/realdownloader.



Selain daripada itu, terdapat aplikasi tampalan atau adds-on program yang digunakan pada perisian pelayar web tertentu seperti Google Chrome, Mozilla Firefox, Opera dan lain-lain untuk memuat turun video daripada laman web YouTube. Contohnya bagi pelayar web Mozilla Firefox, ada aplikasi DownloadHelper Extension yang boleh didapati di URL, http://www.downloadhelper.net.



Video yang dibaca pada sesebuah laman web dengan sambungan internet seperti YouTube dikenali sebagai video streaming. Ia akan meyimpan keseluruhan fail video tersebut dalam bahagian tertentu di sistem pengoperasian seperti Windows secara sementara ketika ia dibaca. Bahagian ini dikenali sebagai Cache atau Temp. Ia agak sukar untuk mencari fail video tersebut di dalamnya kerana ia menggunakan nama tertentu.



Perkara yang paling penting sebelum muat turun apa sahaja aplikasi atau fail, pastikan perisian keselamatan seperti perisian anti-virus dan sistem Windows sudah dikemaskini programnya. Seterusnya, imbas terlebih dahulu fail atau aplikasi dengan perisian anti-virus yang sudah dikemas kini. Ini bertujuan untuk memastikan aplikasi atau fail tersebut bebas daripada virus komputer. Selamat berjaya.

Sembang ICT 86: Komputer dijangkiti virus. Utusan Malaysia. 15 Oktober 2012.

Diskusi ICT 86




Baru-baru ini komputer saya dijangkiti satu virus yang dikenali sebagai Live Security Platinum. Pada mulanya, saya sangka ia sejenis perisian anti-virus yang berada di internet tetapi ia menyebabkan komputer saya terhenti segala operasinya selagi mana tidak dibeli perisian tersebut. Bagaimanakah untuk mengatasi masalah ini?



Sekian terima kasih.

Matt, Taiping.



Ya, virus Live Security Platinum ini adalah sejenis virus yang menyamar sebagai perisian anti-virus dan akan memaparkan notifikasi keselamatan palsu. Tahniah kerana menyedari kehadiran virus tersebut dan tidak mengikuti apa yang virus itu arahkan. Virus ini akan memberhentikan segala proses dalam komputer dengan mengatakan ia dijangkiti virus dan dikatakan anda perlu membeli aplikasi Live Security Platinum ini untuk mengatasi masalah tersebut. Jadi, perkhidmatan internet, program Task Manager, perisian anti-virus dan lain-lain tidak akan dapat dibuka. Itu adalah kesan yang sangat ketara apabila dijangkiti virus ini.



Kaedah untuk mengatasi masalah ini:-



1. Keluarkan segala CD, DVD atau disket daripada komputer. Seterusnya but semula komputer tersebut. Tekan butang F8 atau mana-mana butang pada papan kekunci untuk masuk ke dalam pilihan mod selamat. Pilih untuk but komputer dalam mod selamat dengan rangkaian. Kemudian, tekan butang Enter.



2. Buang konfigurasi pelayan proksi dalam pelayar web yang digunakan untuk mencapai internet yang telah disetkan oleh virus ini. Nyah fungsikan konfigurasi pelayan proksi ini. Biasa konfigurasi nombor IP bagi proksinya adalah xxx.xxx.xx.



3. Perbetulkan semula konfigurasi pada Windows Registry yang telah diubah oleh virus ini. Sila muat turun satu program aplikasi Windows Registry Repairer dan larikan prorgram tersebut dalam komputer yang dijangkiti. Antara aplikasinya yang boleh dimuat turun adalah Registryfix.exe. Dwi-klik aplikasi tersebut. Sekiranya diketahui struktur konfigurasinya, boleh perbetulkan secara manual.



4. Langkah seterusnya adalah untuk mematikan segala proses yang berkait dengan virus Live Security Platinum ini. Boleh muat turun dan larikan mana-mana aplikasi komputer untuk tujuan ini. Antaranya adalah program RKill dan lain-lain. Sebelum larikan program atau aplikasi ini, namakan program tersebut dengan nama iexplorer.exe. Seterusnya klik program tersebut. Setelah selesai, aplikasi ini akan hasilkan satu fail log berkenaan proses yang telah dibuat. Pastikan komputer tidak but semula setelah aplikasi Rkill ini dilarikan. Sekiranya tidak, virus tersebut akan mengganggu komputer semula.



5. Kemudian, buang segala fail yang berkaitan dengan virus Live Security Platinum ini. Ini boleh digunakan dengan aplikasi komputer tertentu seperti program Malwarebytes Anti-Malware dan lain-lain. Muat turun dan pasangkan program Malwarebytes Anti-Malware ke dalam komputer. Setelah itu kemas kini program ini dan mulakan imbasan secara penuh untuk kenal pasti kesemua fail yang berkait dengan Live Security Platinum. Buang segala fail-fail yang dijumpai tersebut. Selain daripada aplikasi ini, boleh juga menggunakan aplikasi seperti PCTools, Pkiller, TDSSKiller dan lain-lain.



6. But semula komputer secara mod normal.



7. Buat semakan dan imbasan kali kedua untuk mengenal pasti sekiranya masih ada saki baki fail virus Live Security Platinum dalam komputer. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan program Hitman Pro. Muat turun, pasang dan kemas kini program tersebut. Seterusnya buat imbasan komputer dengan menggunakan program Hitman Pro ini. Buang segala fail yang berkaitan. Imbasan dibuat dengan mod Force Breach. Untuk mulakan mod ini dalam program Hitman Pro, tekan butang Ctrl di sebelah kiri secara tetap ketika program Hitman Pro bermula. Proses ini juga boleh dibuat dengan perisian keselamatan yang lain.



Sekiranya perisian keselamatan yang dinyatakan tidak dapat dimuat turun daripada internet, ikuti langkah yang berikut. Setelah berada dalam mod selamat berserta rangkaian, tekan secara tetap dan bersama butang Windows dan butang R. Seterusnya, tetingkap Run akan dipaparkan. Jadi, sila taip alamat penuh URL bagi sesebuah perisian keselamatan dalam tetingkap Run seperti yang berikut. Sila muat turun, pasang dan gunakan perisian keselamatan tersebut.



iexplorer http://www.spywarehelpcenter.com/remove.



Selamat mencuba.







Sembang ICT 84: Ingin tahu aplikasi Groupware untuk syarikat sederhana. Utusan Malaysia. 24 September 2012.

Diskusi ICT 85




Apakah aplikasi komputer Groupware percuma yang boleh diguna pakai untuk syarikat kami yang bersaiz sederhana?



Sekian terima kasih.

Mat, Labu.



Aplikasi komputer Groupware merupakan satu alat aplikasi kerja berkumpulan yang mempunyai aplikasi-aplikasi komputer seperti e-mel, forum elektronik, sistem pengurusan kandungan, kalender, fail, berita, nota, chat, inventori dan lain-lain. Bagi syarikat-syarikat yang mampu, aplikasi Groupware ini boleh dibangunkan sendiri atau membeli perisian komersial daripada syarikat lain. Terdapat juga aplikasi Groupware ini yang disediakan di platform pengkomputeran awanan atau oleh pihak ketiga yang mana kosnya agak sedikit lebih rendah seperti Google Apps yang disediakan oleh pihak Google dan lain-lain.



Namun begitu, terdapat banyak aplikasi Groupware ini yang boleh digunakan secara percuma. Apa yang penting adalah infrastruktur untuk implementasinya perlu dipenuhi seperti keperluan komputer, keperluan perisian, sistem pengoperasian dan sumber-sumber fizikal pengkomputeran yang cukup. Seterusnya, kerja konfigurasi juga perlu dilakukan dengan cekap, betul dan tepat.



Salah satu aplikasi groupware percuma yang menyediakan aplikasi komputer lengkap adalah aplikasi Simple Groupware. Ia boleh dimuat turun di alamat URL, http://www.simple-groupware.de/cms. Ia mempunyai versi untuk pelbagai jenis sistem pengoperasian seperti Window, Linux, Solaris, Apple atau FreeBSD. Ia juga merupakan aplikasi Groupware yang berasaskan web. Jadi, ia mudah untuk dikendalikan dan boleh dicapai dengan pelbagai pelantar.



Keperluan asas yang diperlukan untuk menjalankan aplikasi Simple Groupware ini adalah seperti berikut:-



1. Pelayan web – Apache 2.x ke atas, IIS 7 ke atas atau nginx 1.x ke atas.

2. Aplikasi PHP - Versi 5.3.0 ke atas.

3. Pangkalan data – Sekurang-kurangnya MySQL 5, MariaDB 5, PostgreSQL 8.2 atau SQLite 3.0.



Bagaimana untuk memasangnya?



1. Muat turun fail pemasangan di laman web Simple Groupware. Seterusnya pindah fail tersebut ke dalam aplikasi pelayan web yang digunakan. Ia penting bagi membolehkan fail pemasangan boleh dicapai dengan menggunakan pelayar web.



2. Pemasangan aplikasi pangkalan data dan bangunkan pangkalan data yang digunakan.

3. Pemasangan aplikasi PHP GD Library untuk pemprosesan imej oleh aplikasi Simple Groupware.



4. Konfigur kebenaran untuk mencapai fail-fail tersebut mengikut jenis sistem pengoperasian yang digunakan.



5. Seterusnya buka alamat web bagi pemasangan aplikasi Simple Groupware yang telah dikonfigur dan disimpan dalam aplikasi pelayan web. Contohnya, http://alamatweb/SimpleGroupware. Seterusnya bermulalah proses pemasangan aplikasi Simple Groupware ini menerusi pelayar web. Baca arahan semasa proses pemsangan dan konfigur aplikasi ini mengikut kesesuaian dan keperluan.



Ketika proses pemsangan, pastikan ruangan perjanjian aplikasi dipersetujui. Seterusnya untuk bangunkan dan konfigur laman web bagi aplikasi Simple Groupware yang dipasang, masuk ke dalam sistem tersebut sebagai pentadbir.



Selamat mencuba.

Sembang ICT 83: Masalah pen drive. Utusan Malaysia. 17 September 2012.

Diskusi ICT 82




Salam. Saya ada sebuah Pen Drive berkapasiti 32 GB tetapi hanya boleh memuatkan fail bersaiz 5.76 GB sahaja. Sekiranya untuk simpan fail yang seterusnya akan akan keluar ralat, ‘’ the disk cannot be written to because it is write protected. please remove the write protection from the volume NEW VOLUME in drive \device\harddisk3\DR13”. Bagaimana untuk mengatasinya ?

Azizul Azamin, KL

Wassalam. Terima kasih. Fungsi write protected ini sama dengan fungsi write protected yang ada dalam cakera liut atau disket yang popular digunakan sebagai media storan sebelum ini. Bezanya, bagi disket ada suis kecil di bahagian tepinya yang boleh diaktifkan atau tidak diaktifkan fungsi write protected ini.

Fungsi write protected ini adalah untuk menghalang mana-mana data ditulis ke atas sesuatu media seperti disket atau cakera storan USB. Apabila sesuatu fail atau data disimpan ke dalam sebuah Pen Drive, ia merupakan satu operasi write. Jadi, ia akan dihalang kerana fungsi write protected itu aktif.

Bagi sebuah cakera storan USB seperti Pen Drive yang digunakan, untuk menyahaktifkan fungsi write protected yang wujud, perlu menggunakan perisian tertentu atau program komputer yang sedia ada. Seterusnya akan dibincangkan beberapa cara yang boleh dilakukan untuk menyahaktifkan fungsi write protected tersebut pada sesebuah cakera storan USB.

1. Boleh mencuba dengan mencabut cakera storan USB dan memasang kembali kepada komputer yang digunakan. Ia boleh diulang beberapa kali.

2. Format cakera storan USB tersebut dengan sistem fail NTFS. Sekiranya masih berulang, boleh format USB tersebut pada tahap rendah atau low level format. Bagi format pada tahap rendah ini, ia perlu menggunakan aplikasi-aplikasi yang tertentu untuk pengurusan cakera atau disk management seperti aplikasi HDD Low Level Format Tool 4.25, Disk Part dan lain-lain.

3. Pergi ke aplikasi Registry Editor dalam Windows. Seterusnya pergi ke laluan HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\CurrentControlSet\Control\. Di sini, cari kekunci, StorageDevicePolicies. Sekiranya tiada, buat kekunci tersebut. Kemudian, bina satu pemboleh ubah baru di dalamnya, DWORD "WriteProtect". Masukan nilai 0 ke dalam pemboleh ubah tersebut.

4. Bagi konfigurasi secara manual dalam aplikasi Registry Editor tersebut, boleh digunakan aplikasi atau fail yang akan hasilkan konfigurasi tersebut secara automatik. Antaranya ia boleh di muat turun di laman web yang berikut, http://www.howtogeek.com/wp-content/uploads/DisableUSBWrite.zip. Muat turun dan klik sahaja pada fail tersebut.

5. Boleh juga menggunakan mana-mana aplikasi komputer untuk mengurus penggunaan cakera storan USB ini yang biasanya ada fungsi untuk nyahkan write protected ini seperti program USB WriteProtector dan lain-lain.

Kadang kala ia juga disebabkan oleh virus komputer. Jadi, cuba imbas dulu dengan perisian anti-virus yang sudah dikemaskini. Selamat mencuba. Fikir dahulu sebelum bertindak.









Sembang ICT 82: Cara atasi masalah aktifkan Windows. Utusan Malaysia. 27 Ogos 2012.

Diskusi ICT 83




Salam,



Saya mempunyai masalah di mana semasa dalam proses log in, saya akan di suruh untuk mengaktifkan window.

Soalan saya ialah bagaimanakah ia terjadi dan cara untuk removekannya. TQ.





Emily chin

Tuaran, sabah



Ini merupakan satu program komputer yang dikenali sebagai Windows Activation. Ia digunakan oleh pihak Microsoft untuk mengesahkan salinan sistem Windows dalam sesebuah komputer tersebut adalah tulen dan memenuhi syarat penggunaan. Windows Activation ini berupaya untuk mengenal pasti penggunaan satu sistem Windows yang berlesen ke atas banyak komputer tertakluk kepada terma perjanjian lesen sistem Windows yang dilanggani. Salinan sistem Windows yang diaktifkan akan membenarkan pengguna menggunakan banyak fungsi-fungsi yang terdapat di dalamnya.



Pihak Microsoft memerlukan pengaktifan sistem Windows ini dalam masa 30 hari selepas ia dipasangkan pada sesebuah komputer. Terdapat dua cara untuk mengaktifkannya iaitu sama ada secara atas talian yang memerlukan talian internet atau dengan membuat panggilan telefon.



Sekiranya ia tidak diaktifkan, sistem Windows itu masih boleh digunakan tetapi akan ada beberapa fungsi atau aplikasi yang terdapat di dalamnya tidak dapat digunakan. Proses pengaktifan ini memerlukan kemasukan Windows Product Key atau seperti nombor pin yang disertakan semasa pembelian sistem Windows yang tulen.



Masalah lain adalah ketika proses masuk ke dalam Windows akan ada sentiasa satu tetingkap amaran dan lain-lain. Oleh itu, sila tekan butang Ctrl, Alt dan Delete secara serentak. Seterusnya tetingkap program Task Manager akan keluar, pilih tab Process dan cari fail wgatray.exe. Klik kanan pada fail tersebut dan klik pilihan End Process.



Seterusnya, but semula komputer dan pilih untuk masuk ke mod selamat. Cari fail wgatray.exe dalam Windows. Biasa berada dalam C:\Windows\System32\dlcache. Buang fail tersebut. Kemudian, pergi ke butang Start>Run , taip regedit dan tekan butang Enter.



Dalam priogram Registry Editor, klik pada panel sebelah kiri, HKEY_LOCAL_MACHINE > SOFTWARE > Microsoft > Windows NT > CurrentVersion > Winlogon > Notify. Seterusnya, klik kanan pada WgaLogon dan klik Delete. Kosongkan Recycle Bin dan but semula komputer.



Seterusnya sila hubungi pihak Microsoft untuk kendalikan masalah yang berhubung dengan pengaktifan sistem Windows yang dibeli. Sila layari laman web yang berikut untuk maklumat lanjut, http://support.microsoft.com/kb/326851/en-us .







Sembang ICT 81: Raspberry Pi PC berfungsi lengkap sebagai komputer. 6 Ogos 2012.

Diskusi ICT 80




Salam bahagia. Saya ada mendengar berkenaan komputer sebesar kotak mancis atau berbentuk seperti kad bank ATM iaitu Raspberry Pi PC. Boleh encik bincangkan.



Wong, Kota Bharu.



Raspberry Pi merupakan satu badan kebajikan yang menumpukan kajian dalam bidang sains komputer. Mereka telah berjaya mencipta sebuah komputer yang saiznya seperti yang tuan nyatakan tadi. Komputer yang dibangunkan merupakan sebuah papan litar seperti motherboard yang mempunyai fungsi lengkap sebagai sebuah komputer dengan port-port yang terkini. Di bawah ini dinyatakan spesifikasinya seperti yang dinyatakan oleh pihak Raspberry Pi.

 Pemproses jenis Broadcom BCM2835 700MHz ARM1176JZFS dengan FPU dan Videocore 4 GPU.

 Cip GPU ini menyediakan Open GL ES 2.0, Hardware-Accelerated OpenVG dan 1080p30 H.264 Decode yang berprofil tinggi.

 Cip GPU ini berkeupayaan 1 Gpixel/s, 1.5 Gtexel/s atau 24 GFLOPs dengan tapisan tektur dan infrastruktur DMA.

 Memorinya, 256 MB RAM.

 Berupaya but dari kad SD.

 Berupaya menjalankan sistem OS Fedora.

 Mempunyai soket rangkaian berwayar 10/100 BaseT Ethernet.

 Mempunyai soket HDMI, USB 2.0, Video RCA dan kad SD.

 Janaan kuasa daripada soket MicroUSB.

 Mempunyai sistem audio, 3.5 mm Audio Out Jack.

 Mempunyai Header Footprint untuk sambungan kamera.

 Mempunyai saiz, 85.6 x 53.98 x 17 mm.

Harga bagi sebuah komputer ini dinyatakan berharga RM 125 dan ia perlu dibuat pesanan secara dalam talian di alamat URL, http://malaysia.rs-online.com. Wakil pengedar sah di Malaysia adalah RS Component Sdn. Bhd.

Kegunaan komputer ini adalah ia boleh menjadi komponen penting untuk mennjadikan sesuatu peralatan mempunyai fungsi pengkomputeran seperti alat saluran pelbagai jenis media seperti radio, televisyen dan sebagainya, mesin arked untuk sistem permainan video, komputer tablet, mengautomasi peralatan rumah seperti peti sejuk dan sebagainya, alat saluran media berinternet, pengkomputeran dalam kereta,alat kawalan robotik dan alat untuk dapatan dan analisa data.

Laman sesawang rasmi bagi badan ini adalah di alamat URL, http://www.raspberrypi.org. Boleh layari laman web tersebut untuk maklumat lanjut dan terkini.



Sembang ICT 80: Cara jual laptop terpakai. Utusan Malaysia. 30 Julai 2012.

Diskusi ICT 79




Saya mempunyai sebuah Laptop lama. Saya terfikir untuk menjualnya sama ada sebagai Laptop terpakai atau dikitar semula. Apakah langkah yang perlu diambil terhadap Laptop tersebut sebelum saya menjualnya?



Man, Jengka.



Terima kasih tuan. Sekiranya boleh, elakan membuang Laptop atau komputer riba atau komputer lama secara biasa kerana ia akan mencemar alam sekitar. Cara yang tuan cadangkan amat baik iaitu digunakan semula sama ada secara keseluruhan atau komponen-komponen yang terdapat di dalamnya. Komponen-komponen komputer itu dibina dengan mineral-mineral yang berharga terutama mineral emas. Jadi, fikir dahulu sebelum buang.



Emas lain dalam komputer lama yang perlu ditangani dengan baik adalah data dan maklumat. Di sini, dibincangkan beberapa langkah yang wajar diambil untuk menangani isu tersebut.



1. Buat salinan pendua atau back up segala data peribadi yang berada dalam komputer lama. Ia boleh digunakan dengan pelbagai storan media seperti cakera keras luaran, DVD, aplikasi awanan dan lain-lain. Boleh juga dibuat beberapa salinan.



2. Simpan cakera keras (Hard Disk) komputer lama atau gunakan perisian seperti disk wipe utility untuk hapuskan segala data yang berada di dalamnya secara kekal. Ini kerana cakera keras mengandungi banyak data peribadi seperti nombor akaun bank, kata laluan, gambar keluaga dan sebagainya. Data yang dibuang secara biasa dalam sistem Windows sebenarnya masih wujud dalam cakera keras dan ia boleh dikembalikan dengan menggunakan perisian pemulihan semula atau recovery tool.



Bukan setakat buang fail secara biasa malah format secara biasa ke atas cakera keras juga tidak akan menghilangkan segala data yang berada dalamya.



3. Pastikan tiada sebarang cakera optikal seperti CD, CD-R, CRW, DVD dan sebagainya dalam tempat simpanan komputer lama. Begitu juga dengan cakera storan USB. Keluarkan semuanya terlebih dahulu daripada komputer lama.



Itulah perkara yang perlu dibuat untuk melindungi segala data yang berada dalam sebuah komputer lama. Saya mengatakan ia emas kerana harga yang sangat mahal perlu dibayar untuk mendapatkannya semula. Mungkin lebih mahal daripada harga segram emas atau lebih daripada itu. Data peribadi yang jatuh kepada seseorang yang tidak bertanggung jawab akan dimanipulasikan untuk tujuan dan kepentingan peribadi individu tersebut. Jadi, fikir dan bertindak bijak sebelum menjual sesebuah komputer lama.



Sembang ICT 79: Laman web mesra telefon pintar. Utusan Malaysia. 9 Julai 2012.

Diskusi ICT 77




Syarikat kami mempunyai laman web. Walau bagaimana pun, ramai pengguna kami menggunakan telefon pintar untuk mencapai laman web tersebut. Bagaimanakah cara untuk menyediakan sesebuah laman web yang sedia dicapai daripada telefon pintar?



Man Kuala, Ipoh.



Pada hari ini, ramai pengguna menggunakan telefon pintar untuk mencapai perkhidmatan intenet. Capaian sesebuah laman web menerusi internet menggunakan telefon pintar kadang kala mempunyai masalah paparan atau tidak dapat dicapai kerana laman web yang dibangunkan itu hanya sesuai untuk dicapai menerusi komputer sahaja. Ini adalah kerana versi aplikasi pelayar web yang digunakan dalam telefon pintar dan komputer adalah berbeza. Disamping itu, keadaan skrin pada telefon pintar yang kecil memerlukan paparan dan capaian laman web yang sesuai.



Bagi menyediakan sebuah laman web yang mesra telefon pintar, tidak perlu membangunkannya semula seandainya ia sudah ada. Jadi, ia memadai menggunakan aplikasi-aplikasi sedia ada yang sesuai untuk menukar laman web sedia ada kepada bentuk yang mesra telefon pintar atau mobile. Terdapat dua jenis aplikasi ini iaitu aplikasi yang berasaskan plug-ins atau pemalam dan aplikasi yang berasaskan atas talian.



Bagi kategori aplikasi yang berasaskan pemalam, aplikasi yang digunakan akan berasaskan kepada aplikasi komputer yang digunakan untuk membangunkan sesebuah laman web tersebut seperti Wordpress, Joomla dan sebagainya. Sebagai contoh bagi aplikasi pembangunan web, Wordpress, terdapat beberapa aplikasi berasaskan pemalam yang boleh digunakan seperti seperti MobilePress dan Mippin. Aplikasi MobilePress boleh dicapai di alamat URL, http://wordpress.org/extend/plugins/mobilepress/ . Aplikasi Mippin boleh dicapai di alamat URL, http://wordpress.org/extend/plugins/mobilize-by-mippin/.



Bagi kategori aplikasi yang berasaskan atas talian, terdapat banyak aplikasi-aplikasi yang boleh digunakan untuk menukar laman web sedia ada ke versi mesra telefon pintar seperti aplikasi Google Mobile Optimizer, MobiReady, DudaMobile dan lain-lain. Aplikasi Google Mobile Optimizer boleh dicapai di URL, http://www.howtogomo.com/. Aplikasi MobiReady boleh dicapai di alamat URL, http://mobiready.com/. Aplikasi DudaMobile boleh dicapai di URL, http://www.dudamobile.com/. Aplikasi MobiReady dan DudaMobile disediakan secara percuma untuk menyediakan laman web sedia kepada bentuk yang mesra telefon pintar.



Penyediaan sesebuah laman web yang mesra telefon pintar untuk manfaat sesebuah organisasi adalah penting untuk hubungan dengan pengguna dan bakal pengguna. Namun begitu kandungannya mestilah sentiasa dikemas kini dan sentiasa selari dengan laman web untuk versi komputer biasa. Selamat mencuba.





Sembang ICT 78: Buat borang guna Microsoft Word. Utusan Malaysia. 16 Julai 2012.

Diskusi ICT 78




Bagaimanakah cara untuk menghasilkan borang yang baik dengan menggunakan Microsoft Word?



Aying, Kuala Perlis.



Terima kasih. Terlalu banyak kaedah yang boleh digunakan untuk menghasilkan suatu borang yang baik dengan menggunakan aplikasi pemproses kata seperti Microsoft Word, Star Office, LibreOffice dan lain-lain. Di sini saya memberi beberapa panduan umum yang antara terbaik untuk menghasilkan sebuah borang dengan menggunakan aplikasi Microsoft Word 2007.



1. Perkara pertama adalah sangat perlu untuk mereka bentuk borang tersebut dan ia perlu bersesuaian dengan keperluan data yang dikehendaki. Perlu dipastikan tujuan borang itu diwujudkan dan data-data yang diperlukan di dalamnya.



2. Bina kerangka borang secara umum dengan menggunakan Microsoft Word atau dikenali juga sebagai shell. Ia mempunyai label-label data seperti nama, nombor kad pengenalan dan lain-lain berserta dengan tajuk bagi borang tersebut.



3. Simpan kerangka borang yang dibina dalam Microsoft Word sebagai template dengan klik butang Save As, pilih menu Trusted Template dan pada ruangan sebelah Save as type, pilih Word Template (*.dotx). Namakan fail anda dan klik butang Save.



4. Paparkan tab Developer pada aplikasi Word kerana fungsi ini tidak dipaparkan secara biasa. Klik pilihan Quick Access Toolbar (QAT) dan pilih menu More Commands. Pada bahagian kiri tetingkap yang dipaparkan, klik Customize Ribbon. Pada satu senarai di sebelah kanan di bawah menu Main Tabs, Pilih item Developer. Seterusnya, klik OK. Dalam aplikasi Word, klik butang Office dan klik Word Options. Pilih item Popular di bahagian kanan dan pilih pilihan Show Developer Tab In The Ribbon.



5. Seterusnya tambahkan kekotak teks mengikut reka bentuk borang yang dibina. Bagi mengawal kemasukannya, gunakan fungsi pada tab Developer. Pada menu kumpulan Controls, pilih menu, Plain Text Content Control.



6. Tambahkan pemilih tarikh ke dalam borang. Bagi kawalan yang baik bagi jenis medan ini, gunakan fungsi Date Picker content control dalam aplikasi Word.



7. Tambahkan kekotak senaraian kepada mana-mana yang perlu dalam borang tersebut. Kawalan yang sama untuk jenis medan, gunakan fungsi Drop-Down List content control.



8. Setelah borang tersebut siap dihasilkan, ia perlu dilindungi dari segi pengubahsuainya yang tidak perlu. Jadi, pada tab Developer, klik menu Restrict Editing dalam kumpulan Protect untuk membuka fungsi Restrict Formatting And Editing. Bagi aplikasi Word 2007, klik menu Protect Document dan pilih fungsi Restrict Editing And Formatting.



Bagi langkah kedua, pilih menu Allow Only This Type Of Editing dalam Document di bawah menu Editing Restrictions. Seterusnya, pilih menu Filling In Forms. Klik pada butang Yes, Start Enforcing Protection. Kemudian, aplikasi Word akan meminta kata laluan. Sekiranya tidak perlu kepada kata laluan, klik butang OK dengan ruangan kata laluan dibiarkan kosong. Simpan fail tersebut.



Akhir sekali, borang tersebut boleh diedarkan, digunakan, disimpan dan dicetak. Adalah perlu untuk menyediakan panduan penggunaan dan penyimpanan borang tersebut kepada para pengguna atau orang ramai. Pembinaan borang elektronik yang baik, mudah dikawal dan tidak berubah-ubah perlu direka bentuk dengan baik dan dihasilkan dengan menggunakan kaedah template.











Sembang ICT 77: Memilih browser selamat. 2 Julai 2012.

Diskusi ICT 76




Dikatakan bahawa banyak punca masalah keselamatan komputer bermula daripada penggunaan perisian browser yang tidak selamat. Bagaimana untuk kita menguji keselamatan perisian browser yang diguna pakai?



Deen, Temangau.



Terima kasih. Ya, ia memang benar kerana ia merupakan pintu utama yang membuka ruang di internet untuk sesiapa sahaja untuk cuba memasukinya. Ini menyebabkan sesetengah organisasi melarang penggunaan pelayar web keluaran tertentu kerana tahap keselamatannya amat rendah. Jadi, perkara paling utama adalah sentiasa mengemas kini aplikasi pelayar web atau web browser tersebut.



Terdapat banyak aplikasi komputer yang boleh digunakan untuk membuat pengujian keselamatan terhadap aplikasi pelayar web. Namun begitu, disenaraikan beberapa aplikasi berasaskan web yang boleh digunakan untuk membuat pengujian keselamatan bagi sesebuah pelayar web.



1. Scanit Browser Security Check - Ia boleh dicapai menerusi alamat URL, http://bcheck.scanit.be/bcheck/index.php. Ia berfungsi untuk menyemak aplikasi komputer yang berasaskan web termasuk pelayar web.



2. Browserscope - Ia boleh dicapai menerusi alamat URL, http://www.browserscope.org/. Aplikasi ini antara yang terbaik kerana ia fokus untuk menguji keselamatan perlayar web sahaja.



3. Qualys Browser Chechk - Ia boleh dicapai menerusi alamat URL, https://browsercheck.qualys.com/. Aplikasi ini atau plug-ins perlu dipasangkan terlebih dahulu kepada pelayar web yang hendak diuji.



4. PC Flank - Ia boleh dicapai menerusi alamat URL, http://www.pcflank.com/browser_test1.htm. Ia melakukan pengujian keselamatan secara keseluruhan bagi komputer tersebut daripada sudut capaian dengan internet. Bagi pengujian keselamatan pelayar web, aplikasi ini cuba mengenal pasti sama ada sesebuah pelayar web tersebut berupaya menghantar keluar maklumat berkenaan dengan maklumat peribadi, lokasi dan maklumat terperinci berkenaan dengan syarikat pembekal perkhidmatan internet yang dilanggan.



5. BrowserSPY.dk - Ia boleh dicapai menerusi alamat URL, http://browserspy.dk/. Ia melakukan pengujian-pengujian keselamatan yang biasa untuk sesebuah pelayar web dengan tambahan sebanyak 64 jenis pengujian. Namun begitu, ia tidak menyediakan sebarang cadangan untuk mengatasi masalah-masalah yang dihadapi setelah pengujian dibuat.



Boleh mencuba kesemua atau mana-mana aplikasi pengujian pelayar web di internet untuk memastikan ke tahap mana keselamatan sesebuah pelayar web yang digunakan.

Sembang ICT 76: Cara selamat kongsi fail rahsia. Utusan Malaysia. 25 Jun 2012.

Diskusi ICT 75




Kami sebuah syarikat kecil banyak menggunakan aplikasi teknologi maklumat yang disediakan oleh pihak Google di internet seperti perkhidmatan e-mel, aplikasi Google Docs dan sebagainya. Apakah cara penggunaan yang selamat terutama untuk perkongsian fail yang rahsia dan sebagainya dalam penggunaan aplikasi Google ini?



Ujang, Kuala Pilah.



Tahniah saya ucapkan kepada tuan kerana berani mencuba sesuatu aplikasi komputer yang baru. Aplikasi komputer Google atau lebih dikenali sebagai Google Apps menyediakan satu alternatif kepada masyarakat umum dan perniagaan untuk menggunakan pelbagai aplikasi komputer secara percuma atau pada kos yang rendah menerusi internet seperti aplikasi e-mel, lembaran kerja, pemproses kata dan sebagainya.



Namun begitu, penggunaan yang betul dan selamat bagi kesemua aplikasi yang disediakan sangat penting kerana ia bersifat umum di mana sesiapa sahaja boleh mencapainya di internet. Jadi, seterusnya akan dibincangkan beberapa langkah yang boleh diambil untuk penggunaan aplikasi Google Apps dengan selamat terutama sekali untuk perkongsian fail bagi sekumpulan orang dalam sesebuah organisasi.



1. Aktifkan penggunaan pengesahan akaun Google dengan cara pengesahan dua faktor. Ia merupakan konsep keselamatan yang mempunyai dua lapisan kemasukan iaitu pengguna perlu memasukan kata kunci atau kata laluan sebanyak dua kali iaitu kata laluan yang diketahui dan kata kunci yang akan dihantar menerusi sistem pesanan ringkas di telefon bimbit pengguna. Ia boleh dicapai di Google Apps Control Panel > Advanced Tools > Authentication > Two-step verification.



2. Pastikan tahap capaian yang betul diberikan kepada pengguna atau ahli kumpulan yang betul terutama untuk kawalan aplikasi atau fail sebagai pentadbir. Ia boleh dicapai di Control Panel > Domain Setting > Admin Roles.



3. Bekukan akaun pengguna yang menjadi ahli kumpulan serta-merta sebaik sahaja pengguna tersebut menarik diri daripada kumpulan kerja atau perbincangan dalam sesebuah organisasi. Harus diingat, bekukan akaun bukan bermaksud membuang akaun tersebut tetapi ia bermaksud menyahaktifkan akaun tersebut dalam sesebuah kumpulan. Ia boleh dicapai di Organization & Users > akaun pengguna > Suspend User.



4. Lihat kembali dan betulkan semula fungsi perkongsian yang dikonfigur untuk setiap pengguna dalam sesebuah kumpulan bagi sesebuah organisasi. Ini sangat penting Sebagai pentadbir kepada kumpulan pengguna Google Apps, perlu dipastikan ia dikonfigur dengan betul dan sesuai.



5. Hadkan fungsi konfigurasi kepada pemililk Google Group dalam ruang kerja Google Apps sesebuah organisasi. Ia boleh dicapai di Control Panel > Settings > Google Groups for Business Settings.

Sembang ICT 75: Kelebihan Windows 8. Utusan Malaysia. 18 Jun 2012.

Diskusi ICT 74




Microsoft akan melancarkan sistem pengoperasian yang baru iaitu Windows 8. Apakah kelebihannya berbanding Windows 7 bagi pengguna komersial?



Jalil, Pekan Rabu.



Secara umumnya, sistem pengoperasian Windows 8 mempunyai kelebihan yang ketara berbanding Windows 7 adalah dari segi aplikasi pengurusan perkakasan-perkakasan komputer oleh sistem pengoperasian. Ia dikendalikan oleh satu sistem yang dikenali sebagai Windows Metro UI yang membuatkan perjalanan sistem Windows 8 lebih pantas dan tersusun. Selain daripada itu, terdapat beberapa perkara yang memberi kelebihan kepada para pengguna komersial di sektor pekerjaan yang akan dibincangkan seterusnya.



1. Windows 8 mempunyai proses but komputer dengan cara yang lebih cepat, cekap dan selamat. Ia mempunyai fungsi Secure Boot yang akan menghalang proses but komputer daripada objek yang tidak dibenarkan seperti firmware, sistem pengoperasian atau driver. Ia menggunakan sistem but Unified Extensible Firmware Interface (UEFI) berbanding sistem BIOS yang digunakan sekarang. Pengguna mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan fungsi ini tetapi bagi Windows 8 berasakan RT untuk komputer tablet ia merupakan satu kemestian.

2. Aplikasi Task Manager juga diperbaharui untuk penggunaan yang lebih cekap dan pantas. Antaranya ialah dengan adanya satu aplikasi yang sangat berguna untuk memantau penggunaan komputer iaitu Resource Monitor. Antara muka aplikasi ini juga sangat menarik dan mesra pengguna.

3. Penggunaan multi-monitor bagi komputer yang lebih cekap, fleksibel dan informatif berbanding sistem pengoperasian Windows 7 dan sebelumnya.

4. Penggunaan aplikasi SMB3 yang ditingkatkan. Aplikasi SMB3 akan mempercepatkan proses pemindahan fail yang dienkripsi dan mempercepatkan proses enkripsi itu sendiri. Terdapat fungsi baru iaitu SMB Multichannel iaitu membenarkan sistem menggunakan pelbagai saluran rangkaian komputer dengan lebih baik.

5. Penggunaan aplikasi pemayaan, Hyper-V pada komputer peribadi dapat dijalankan dengan lebih baik. Penggunaan sistem Hypervisor dalam aplikasi VMWare Workstation dan Virtual Box banyak digunakan di syarikat-syaarikat. Aplikasi Hyper-V merupakan aplikasi pemayaan yang terbaik dan ia perlu disokong oleh pemproses yang mempunyai ciri Second Layer address Translation (SLAT).

6. Penggunaan aplikasi Windows To Go untuk mencapai sistem Windows 8 di mana-mana oleh mana-mana peralatan yang dibenarkan seperti melalui pemacu USB dalam sistem Windows 7 dan sebagainya.



Penggunaan konsep dan sistem baru seperti Windows Metro UI dan UEFI telah meningkatkan lagi penggunaan Windows 8 yang akan meningkatkan produktiviti sesebuah syarikat. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan sesebuah syarikat untuk menggunakannya. Pihak Microsoft ada menyediakan kemudahan untuk memuat turun Windows 8 di laman webnya untuk para pengguna menguji sistem tersebut.

Sembang ICT 74: Cara menjimatkan bateri Android. Utusan Malaysia. 11 Jun 2012.

Diskusi ICT 73




Saya menggunakan telefon pintar yang menggunakan sistem Android. Bagaimanakah cara yang baik untuk menjimatkan penggunaan bateri telefon pintar tersebut?



Sabri, Kuantan.



Kebiasaannya jangka hayat bateri bagi sesebuah telefon pintar itu akan cepat habis apabila ia mempunyai banyak aplikasi yang dibuka dan bersambungan dengan internet. Di bawah ini disertakan beberapa panduan yang boleh diguna pakai untuk menjimatkan pengunaan bateri bagi sesebuah telefon pintar yang berasaskan kepada sistem Andorid.



1. Pastikan konfigurasi fungsi pengundian atau pengemaskinian status pada aplikasi pesanan seperti Facebook, Twitter, e-mel dan lain-lain adalah dalam mod manual.



2. Nyahaktifkan fungsi aplikasi Adobe Flash. Sekiranya ada aplikasi ini, ia akan memuatkan seberapa banyak komponen aplikasi ini yang berada dalam sesebuah laman web. Ini akan menyebabkan penggunaan bateri telefon meningkat. Masalah ini boleh dikurangkan dengan konfigur fungsinya kepada atas permintaan atau on demand seperti berikut, Menu > Settings > Enable Plug-ins dan klik 'On Demand'.



3. Sentiasa kemas kini sistem Android dan aplikasi telefon pintar yang digunakan kerana ia akan menjimatkan penggunaan bateri telefon pintar. Ia boleh dicapai di Google Play > My Apps.



4. Kurangkan kemas kini status secara automatik bagi sesuatu perkara yang menggunakan fungsi RSS Feed. Ia boleh dikonfigur mengikut kesesuaian kerana pengunaannya yang kerap membuatkan jangka hayat sesuatu bateri itu menurun.



5. Sentiasa melihat kepada kekuatan signal rangkaian yang diperolehi oleh telefon pintar itu. Ini kerana semakin lemah signal rangkaian atau frekuensi, maka telefon pintar itu akan memproses dengan lebih kuat untuk mendapatkan frekuensi tersebut. Oleh yang demikian, jangka hayat baterinya juga akan menurun.



6. Dalam sistem Android, boleh dikenal pasti aplikasi mana yang menyebabkan penggunaan bateri yang tinggi atau terlalu kerap. Sila pergi ke Settings > About Phone > Battery Use. Dengan maklumat ini, anda boleh mengurus penggunaan aplikasi dalam telefon pintar tersebut



7. Matikan segala fungsi-fungsi telefon pintar yang tidak penting atau tidak diperlukan sentiasa seperti fungsi LTE, GPS, Wi-Fi dan Bluetooth. Ini kerana sekiranya ia tidak digunakan dan terdedah kepada sambungan-sambungan tersebut, telefon pintar akan beroperasi dan menyebabkan kehabisan sumber tenaga bateri.



8. Konfigur kecerahan paparan skrin secara automatik mengikut kadar kegelapan setempat. Tutupkan fungsi kecerahan paparan skrin tersebut adalah lagi baik untuk penjimatan penggunaan bateri.



9. Buang segala aplikasi hiasan yang ada pada muka utama skrin telefon bimbit termasuk live wallpaper. Pemprosesannya memerlukan sumber tenaga daripada bateri.



Pengurangan penggunaan aplikasi-aplikasi yang dicadangkan tersebut juga perlu sesuai dengan keperluan penggunaannya bagi sesetengah individu. Jadi, sila buat semakan dan pengurusan yang betul. Setiap model telefon pintar berasaskan Android ini juga ada dibuat pengujian dari segi penjimatan penggunaan tenaga baterinya oleh pihak pengeluar atau pihak ketiga. Dapatkan sumber-sumber ini daripada majalah-majalah atau di laman-laman web yang tertentu.

Sembang ICT 73: Masalah salin dan tampal. Utusan Malaysia. 28 Mei 2012.

Diskusi ICT 72




Assalamualaikum.

Tuan,

Saya mempunyai masalah apabila membuat 'copy' dan 'paste' untuk tulisan jawi daripada laman sesawang ke komputer yang digunakan. Maksud saya tulisan jawi yang disalin dan disimpan dalam Microsoft Office Word 2007 tidak merakamkan tulisan jawi yang betul, yakni huruf-hurufnya tidak bersambung dan bacaannya pula bermula dari sisi kiri dan bukannya dari sisi kanan. Kenapa dan bagaimanakah untuk mengatasi permasalahan saya ini? Mohon penjelasan pihak tuan.



Awangsoh

Kampung Benom, Temerloh



Wa’alaikumussalam. Perkara ini sepatutnya perlu diteliti dengan lebih baik kerana ia mungkin disebabkan oleh pelbagai perkara. Apa yang saya boleh kongsi adalah ia mungkin disebabkan oleh format perisian Microsoft Office Word 2007 membaca tulisan jawi yang disalin ke dalam format simbol yang diambil dalam mana-mana format penulisan dalam Word. Jadi, ini menyebabkan paparan tulisan jawi dalam perisian Microsoft Office Word 2007 menjadi tidak menentu dari segi susun atur huruf, susunan penulisan ayatnya dan paparan huruf yang sepatutnya.



Jadi, cadangan saya, aktifkan penggunaan huruf arab dalam Microsoft Office Word 2007. Klik START > PROGRAMS > MICROSOFT OFFICE > MICROSOFT OFFICE TOOLS > MICROSOFT OFFICE 2007 LANGUAGE. Seterusnya pada tab ENABLED LANGUAGE, dalam kotak di sisi kanan, ENABLES LANGUAGES , klik ARABIC dan tekan butang REMOVE. Klik OK dan RESTART komputer.



Namun begitu, tulisan arab ini perlu diaktifkan di persekitaran Windows. Caranya adalah seperti berikut:-



Window 7:

Klik Start menu > Search intl.cpl dan enter.



Window XP:

Klik Control Panel > Regional and Language Options> Languages > Details > Text Service and Input Language> . Pada tab Setting, klik butang Add dan tandakan pada ruangan Keyboard sekiranya perlu dan klik OK dan Apply.



Pergi ke tab "Keyboard and Languages"

Install language Arabic

Change keyboard anda dari English(United State) ke Arabic.



Bagi huruf-huruf jawi yang tiada dalam tulisan arab boleh digunakan fungsi simbol yang sedia ada. Kesimpulannya tulisan arab tersebut perlu diaktif dan dikonfigur ke dalam sistem komputer Windows atau perisian yang perlu seperti Microsoft Office Word 2007.

Sembang ICT 72: Masalah salin fail besar. Utusan Malaysia. 21 Mei 2012.

Diskusi ICT 71




Saya mempunyai masalah untuk menyalin fail yang bersaiz besar seperti fail bersaiz 9 GB ke dalam External Hard Disk yang bersaiz 500 GB walaupun ruang kosong masih banyak lagi. Namun begitu, fail-fail yang bersaiz kecil tidak mempunyai masalah untuk di salin ke dalamnya. Ralat yang keluar adalah ia mengatakan saiz ruangan dalam External Hard Disk tersebut tidak mencukupi. Bagaimana untuk mengatasi masalah ini?



Linda, Kuala Rompin.



Terdapat banyak punca yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku seperti serangan virus, sistem fail Windows bermasalah, cakera keras luaran yang bermasalah, fail yang hendak disalin itu bermasalah dan sebaainya. Namun begitu, berdasarkan kepada senario fail-fail yang bersaiz kecil tidak mempunyai masalah untuk disalin ke dalamnya, ia berkemungkinan masalah kekangan pada sistem fail yang digunakan.



Ini kerana kebiasaan External Hard Disk atau cakera keras luaran atau storan USB yang dibeli sudah siap sedia diformat dengan format FAT32. Format FAT32 ini hanya boleh menerima maksimum saiz bagi sesebuah fail adalah 4GB sahaja. Jadi, sila tukar format fail cakera keras luaran itu kepada format fail NTFS.



Ada dua cara untuk dapatkan format fail NTFS bagi cakera luaran tersebut iaitu format semula cakera luaran dengan format NTFS. Sebelum itu, pastikan segala data dibuat salinan pendua. Cara kedua adalah dengan cara menggunakan arahan convert seperti yang berikut:-



convert volume: /FS:NTFS



Volume adalah drive atau bahagian dalam sesebuah cakera seperti C:, D: dan lain-lain.Tidak perlu dibuat salinan pendua kepada data yang sedia ada di dalam cakera keras luaran tersebut tetapi tiada jaminan data akan selamat sekiranya berlaku masalah ketika proses convert itu dilakukan. Jadi, buat salinan pendua bagi data sedia ada sebagai sokongan.

Sembang ICT 71: Tolong hapuskan virus. Utusan Malaysia. 14 Mei 2012.

Diskusi ICT 66




Laptop saya habis dijangkiti virus W32.Shadesrat. Tolong saya hapuskan virus ini.



Yan Killer, KL



Virus atau cecacing W32.Shadesrat ini merupakan satu program komputer berniat jahat yang dicipta oleh penjenayah siber dengan tujuan untuk merosakan sesebuah komputer yang dijangkitinya. Ia menyerang sesuatu sistem komputer tanpa disedari dan tanpa kebenaran tuan empunya. Ia mempunyai keupayaan untuk sabotaj fail audio dan video sedia ada yang terdapat dalam komputer yang dijangkitinya. Cecacing ini juga akan menjangkiti fail-fail tertentu untuk melemahkan beberapa fungsi yang terdapat dalam sistem sesebuah komputer.



Cecacing ini akan membuka laluan tanpa kebenaran atau backdoor pada komputer yang dijangkiti. Ini membolehkan penceroboh menyerang komputer tersebut secara dari jarak jauh. Sekiranya berjaya ditemui, sangat digalakan dihapuskan terus cecacing ini. Ia berupaya untuk mereplikasikan dirinya ke kuantiti yang banyak dan disebarkan menerusi rangkaian komputer. Ini boleh menyebabkan masalah serangan DDoS.



Simptom Jangkitan Virus W32.Shadesrat



1. Ia akan menjangkiti dan memusnahkan fail-fail yang ada dalam komputer.

2. Ia akan membina fail-fail kontang atau junk files yang akan menghalang perjalanan operasi beberapa aplikasi komputer.

3. Ia akan melemahkan sistem keselamatan dan prestasi larian bagi sesebuah sistem komputer yang dijangkiti.

4. Ia akan mencuri maklumat privasi mangsa dan menembusi sistem keselamatan komputer yang dijangkiti.

5. Ia tidak membenarkan untuk melayari laman-laman web tertentu terutama laman-laman web anti-virus dan lain-lain.



Bagaimana untuk menghapuskannya?



Sekiranya komputer kita dijangkiti cecacing W32.Shadesrat ini, hapuskannya secara manual atau menggunakan perisian anti-virus atau sekuriti. Namun begitu, sekiranya sudah dijangkiti, perisian sekuriti atau anti-virus tidak dapat menjalankan fungsinya dengan baik. Ia juga akan menghalang untuk membuka pelayar web untuk dapatkan kemas kini fail keselamatan di internet. Jadi, penyelesaian yang terbaik hapus dan buang cecacing ini secara manual.



Sebelum itu, pastikan ditutup fungsi aplikasi System Restore yang terdapat dalam Windows. Sila buka Task Manager dan berhentikan larian fail cecacing itu dalam sistem iaitu seperti Slide Show.exe.



Seterusnya, nyah sambung segala sambungan rangkaian yang terdapat pada komputer yang dijangkiti termasuk sambungan internet. Seterusnya, larikan komputer yang dijangkiti itu dalam mod selamat atau Safe Mode.



Hapuskan cecacing W32.Shadesrat secara manual.



1. Fail-fail yang bersangkutan dengan cecacing ini boleh didapati di



%CurrentFolder%\[Nama_Cecacing].exe



Contoh: data.dat, Slide Show.exe, W32.Shadesrat



2. Kemasukan ke Windows Registry boleh diperoleh di beberapa kemungkinan laluan yang berikut dan ia perlu dihapuskan:-



HKEY_CURRENT_USER\Software\VB and VBA Program Settings\SrvID\ID\[8 hingga 10 aksara secara rawak]

HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\CurrentControlSet\Services\SharedAccess\Parameters\FirewallPolicy\StandardProfile\AuthorizedApplications\List\"%CurrentFolder%\[Nama Cecacing].exe" = "%CurrentFolder%\[THREAT FILE NAME].exe:*:Enabled:Windows Messanger"



HKEY_LOCAL_MACHINE\SOFTWARE\Microsoft\Windows\CurrentVersion\policies\Explorer



HKEY_LOCAL_MACHINE\SOFTWARE\Microsoft\Windows\CurrentVersion\policies\Explorer\run



HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\ControlSet001\Control\MediaResources\msvideo



HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\CurrentControlSet\Control\MediaResources\msvideo

HKEY_LOCAL_MACHINE\Software\W32.Shadesrat

Penghapusan cecacing secara manual ini perlu dilakukan dengan berhati-hati dan betul. Sebelum melakukannya, buat salinan pendua kepada Windows Registry dan data yang tertentu. Setelah itu pastikan juga, dikemas kini keselamatan Windows dan perisian anti-virus yang digunakan. Lakukan imbasan dengan perisian anti-virus yang telah dikemas kini untuk pastikan virus cecacing itu sudah tiada dalam komputer yang telah didijangkiti itu.



Pengimbasan dan penghapusan cecacing W32.Shadesrat boleh dilakukan dengan menggunakan perisian anti-virus yang telah dikemaskini dengan menggunakan pemacu storan USB atau Bootable CD seperti Avira AntiVir Rescue System, BitDefender Rescue Disk dan lain-lain.

Sembang ICT 70: Apa itu mod selamat? Utusan Malaysia . 7 Mei 2012.

Diskusi ICT 69




Sering diperkatakan apabila scan virus pada komputer yang dijangkiti , lakukannya dalam keadaan safe mode. Boleh pihak tuan jelaskan bagaimana untuk melakukannya?



Amril, Temerloh.



Apa itu mod selamat ?



Safe mode atau mod selamat adalah satu keadaan pelancaran untuk membuka sistem komputer Windows dalam keadaan pelarian sistem komputer yang paling minima operasinya. Mod selamat ini tidak akan melarikan prorgram-program komputer yang tidak penting dalam sistem Windows bagi membolehkannya beroperasi pada tahap yang minima. Begitu juga dengan penggunaan sumber-sumber komputer seperti memori, pemporeses, cakera keras dan sebagainya adalah pada tahap yang minima.



Banyak aplikasi-aplikasi komputer yang lain seperti Mozilla Firefox ada menyediakan mod selamat ini untuk larian aplikasi pada tahap minima. Ini diperlukan apabila aplikasi komputer tersebut bermasalah untuk dibuka atau digunakan.



Kenapa perlunya mod selamat ini?



Apabila sesebuah sistem komputer dijangkiti oleh virus, kebiasaannya ia akan menyebabkan sistem komputer tersebut beroperasi secara tidak keruan dan bermasalah. Ia juga berkemungkinan akan meningkatkan penggunaan aplikasi dan program komputer yang tidak penting pada tahap yang maksima. Ini menyebabkan komputer tersebut juga akan berada pada tahap maksima dari segi penggunaan sumber-sumbernya seperti memori, pemproses, cakera keras dan sebagainya.



Oleh demikian, sistem komputer Windows tersebut perlu dilarikan pada tahap yang minima operasinya. Ini perlu bagi membolehkan perisian anti-virus berupaya membuat pengimbasan keselamatan pada sesebuah sistem komputer yang dijangkiti virus pada tahap yang optimum. Contoh fail atau program yang tidak dilarikan oleh Windows ketika mod selamat adalah seperti autoexec.bat, config.sys, fail drivers dan lain-lain. Malah, fail-fail sistem ini banyak menjadi sasaran serangan oleh virus yang dijangkiti.



Jadi, mod selamat pada sistem komputer Windows merupakan keadaan yang sesuai dan selamat untuk melarikan perisian anti-virus dalam sistem komputer Windows yang dijangkiti virus. Malah ia juga merupakan keadaan yang sesuai untuk melarikan sistem komputer Windows bermasalah yang disebabkan oleh pelbagai perkara seperti terbuang fail sistem, kerosakan fail sistem, perkakasan dalaman komputer bermasalah dan sebagainya. Namun begitu, ia bergantung kepada tahap masalah yang dihadapi.



Bagaimana untuk capai mod selamat ini?



Terdapat dua kaedah untuk larikan sistem komputer Windows dalam mod selamat.iaitu dengan menekan butang tertentu ketika but sistem komputer atau melakukan konfigurasi but pada sistem komputer Windows.



Kaedah pertama.

1. Restart atau but semula komputer.

2. Tekan butang F8 secara berulang kali ketika komputer sedang but.masuk ke Windows.

3. Guna butang anak panah untuk memilih menu Safe Mode dan tekan butang Enter.

4. Kaedah ini kadang kala tidak sama bagi semua jenis pengeluar komputer atau versi Windows yang digunakan. Sila semak manual pengguna. Sebagai contoh, ada sistem komputer yang memerlukan tekan secara terus butang Ctrl ketika komputer sedang but untuk masuk ke pilihan mod selamat ini.



Kaedah kedua

1. Klik butang Start > Run. Taip perkataan msconfig dalam ruang kekotak yang keluar dan tekan butang OK.

2. Seterusnya tetingkap program System Configuration Utility akan dipaparkan.

3. Klik pada tab General dan klik pada pilihan Selective Startup.

4. Klik pada tab BOOT.INI dan pada ruangan Boot options, klik pada /SAFEBOOT.

5. Klik butang Apply dan OK. Klik butang YES untuk Restart komputer.

6. Bagi Windows versi lama seperti Windows98 dan lain-lain, pada tab General, setelah klik pilihan Selective Startup, klik butang Advanced > Enable Startup Menu. Klik OK dan but semula komputer seperti biasa.



Semoga bermanfaat. Terima kasih.