Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 74: Cara menjimatkan bateri Android. Utusan Malaysia. 11 Jun 2012.

Diskusi ICT 73




Saya menggunakan telefon pintar yang menggunakan sistem Android. Bagaimanakah cara yang baik untuk menjimatkan penggunaan bateri telefon pintar tersebut?



Sabri, Kuantan.



Kebiasaannya jangka hayat bateri bagi sesebuah telefon pintar itu akan cepat habis apabila ia mempunyai banyak aplikasi yang dibuka dan bersambungan dengan internet. Di bawah ini disertakan beberapa panduan yang boleh diguna pakai untuk menjimatkan pengunaan bateri bagi sesebuah telefon pintar yang berasaskan kepada sistem Andorid.



1. Pastikan konfigurasi fungsi pengundian atau pengemaskinian status pada aplikasi pesanan seperti Facebook, Twitter, e-mel dan lain-lain adalah dalam mod manual.



2. Nyahaktifkan fungsi aplikasi Adobe Flash. Sekiranya ada aplikasi ini, ia akan memuatkan seberapa banyak komponen aplikasi ini yang berada dalam sesebuah laman web. Ini akan menyebabkan penggunaan bateri telefon meningkat. Masalah ini boleh dikurangkan dengan konfigur fungsinya kepada atas permintaan atau on demand seperti berikut, Menu > Settings > Enable Plug-ins dan klik 'On Demand'.



3. Sentiasa kemas kini sistem Android dan aplikasi telefon pintar yang digunakan kerana ia akan menjimatkan penggunaan bateri telefon pintar. Ia boleh dicapai di Google Play > My Apps.



4. Kurangkan kemas kini status secara automatik bagi sesuatu perkara yang menggunakan fungsi RSS Feed. Ia boleh dikonfigur mengikut kesesuaian kerana pengunaannya yang kerap membuatkan jangka hayat sesuatu bateri itu menurun.



5. Sentiasa melihat kepada kekuatan signal rangkaian yang diperolehi oleh telefon pintar itu. Ini kerana semakin lemah signal rangkaian atau frekuensi, maka telefon pintar itu akan memproses dengan lebih kuat untuk mendapatkan frekuensi tersebut. Oleh yang demikian, jangka hayat baterinya juga akan menurun.



6. Dalam sistem Android, boleh dikenal pasti aplikasi mana yang menyebabkan penggunaan bateri yang tinggi atau terlalu kerap. Sila pergi ke Settings > About Phone > Battery Use. Dengan maklumat ini, anda boleh mengurus penggunaan aplikasi dalam telefon pintar tersebut



7. Matikan segala fungsi-fungsi telefon pintar yang tidak penting atau tidak diperlukan sentiasa seperti fungsi LTE, GPS, Wi-Fi dan Bluetooth. Ini kerana sekiranya ia tidak digunakan dan terdedah kepada sambungan-sambungan tersebut, telefon pintar akan beroperasi dan menyebabkan kehabisan sumber tenaga bateri.



8. Konfigur kecerahan paparan skrin secara automatik mengikut kadar kegelapan setempat. Tutupkan fungsi kecerahan paparan skrin tersebut adalah lagi baik untuk penjimatan penggunaan bateri.



9. Buang segala aplikasi hiasan yang ada pada muka utama skrin telefon bimbit termasuk live wallpaper. Pemprosesannya memerlukan sumber tenaga daripada bateri.



Pengurangan penggunaan aplikasi-aplikasi yang dicadangkan tersebut juga perlu sesuai dengan keperluan penggunaannya bagi sesetengah individu. Jadi, sila buat semakan dan pengurusan yang betul. Setiap model telefon pintar berasaskan Android ini juga ada dibuat pengujian dari segi penjimatan penggunaan tenaga baterinya oleh pihak pengeluar atau pihak ketiga. Dapatkan sumber-sumber ini daripada majalah-majalah atau di laman-laman web yang tertentu.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.