Monday, December 31, 2012

Bicara IT 5: Teknologi Komunikasi Bersepadu: Idea Komunikasi Sehentian . Majalah estidotmy. Utusan Malaysia. 28 November 2012.

Teknologi Komunikasi Bersepadu: Idea Komunikasi Sehentian
oleh : Firkhan Ali Bin Hamid Ali
 
 
Ketika dahulu, perkhidmatan komunikasi seperti telefon talian tetap, faks, telefon mudah alih, sistem paging dan lain-lain bagi sesebuah organisasi akan diurus tadbir oleh seorang jurutera instrumen dan elektronik. Kini, kebanyakan perkhidmatan komunikasi ini telah disatukan dengan teknologi maklumat di bawah seliaan seorang pegawai atau jurutera teknologi maklumat. Ini disebabkan oleh perkembangan teknologi komunikasi bersepadu atau Unified Communication dalam penyediaan perkhidmatan komunikasi.
 
Komponen penting dalam komunikasi adalah penghantar, penerima, maklumat atau data, protokol atau bahasa dan medium penyampaian. Ia perlu dijana dengan baik bagi mewujudkan satu komunikasi yang cekap, tepat, berkesan dan sesuai pada suatu masa. Teknologi komunikasi bersepadu merujuk kepada pelbagai jenis perkhidmatan dan teknologi komunikasi yang digunakan seperti telefon, e-mel, pesanan khidmat ringkas (Short Mesage Service - SMS), pesanan segera (Instant Messaging - IM), telefon berasaskan IP (Internet Protocol), persidangan video, faks, blog dan lain-lain dijalingabungkan dalam satu sistem perkhidmatan komunikasi.
 
Teknologi komunikasi telah mengalami perubahan demi perubahan dalam satu perjalanan masa yang panjang. Di peringkat permulaan, saluran komunikasi untuk data dan audio berada dalam keadaan yang terpisah di antara satu sama lain. Sebagai contoh, sebelum ini untuk capaian internet menggunakan teknologi dail modem yang memerlukan capaian kepada akaun talian telefon tetap. Namun begitu, capaian internet dan kemudahan talian telefon tidak boleh digunakan secara serentak. Ia berasingan di antara satu sama lain.
 
Seterusnya, teknologi komunikasi berkembang dengan teknologi-teknologi baru seperti xDSL (Digital Subscriber Line), ISDN (Integrated Services Digital Network) dan lain-lain yang menggabungkan saluran komunikasi untuk data dan audio. Sebagai contoh, dalam teknologi xDSL, perkhidmatan talian telefon tetap boleh digunakan bersama-sama untuk capaian talian internet.
 
Penggabungan kesemua saluran dan teknologi komunikasi dalam teknologi komunikasi bersepadu ini akan berasaskan kepada capaian internet atau teknologi IP (Internet protocol). Teknologi IP adalah protokol rangkaian komputer yang digunakan dalam kemudahan capaian aplikasi di internet. Teknologi komunikasi tradisional seperti perkhidmatan talian telefon tetap yang menggunakan teknologi PSTN (Public Switch Telefon Network) dan PBX (Private Branch Exchange) telah mula berubah ke arah teknologi berasaskan IP seperti teknologi VoIP (Voice over IP). Banyak syarikat komersial dan korporat telah mula menggunakan teknologi VoIP ini untuk perkhidmatan komunikasi yang lebih bersepadu, cekap, pantas dan menjimatkan.
 
Perubahan penggunaan teknologi maklumat turut mempengaruhi perubahan dalam dunia teknologi komunikasi. Di antara perubahan-perubahan tersebut adalah seperti berikut:-


1. Komputer riba dan tablet telah banyak mengambil alih peranan komputer peribadi dalam sesebuah organisasi.


2. Telefon talian tetap telah diambil alih peranannya oleh teknologi VoIP.


3. Telefon pintar bertalian internet telah menjadi alat komunikasi perniagaan dan pentadbiran bagi sesebuah organisasi.
 
 
Penggabungan kesemua perkhidmatan komunikasi ini bermula dengan gabungan saluran audio dan data sehinggalah penggunaan teknologi IP. Ia memudahkan dan meringkaskan penggunaan kemudahan teknologi komunikasi. Seterusnya, ia dapat mengurangkan kos operasi dan penyelenggaraan untuk kemudahan komunikasi bagi sesebuah organisasi. Justeru, teknologi komunikasi bersepadu ini dapat mempercepatkan masa membuat keputusan yang menjadi kunci kepada pengurusan perniagaan atau organisasi berkesan.
 
Perubahan yang berlaku dalam tuntuan pengurusan sesebuah organisasi yang lebih telus, tuntas dan menyeluruh telah meningkatkan keperluan untuk melaksanakan teknologi komunikasi bersepadu dalam sesebuah organisasi. Diantaranya adalah seperti yang berikut:-
 
1. Perubahan tatacara pekerja yang memerlukan tuntutan globalisasi untuk beroperasi 24 jam di seluruh dunia.
 
2. Tuntutan globalisasi ini memerlukan sambungan rangkaian internet yang boleh dipercayai dan sentiasa bersedia digunakan dalam keadaan 24 jam seminggu.
 
3. Para pekerja yang diambil perlu bercirikan pekerja berpengetahuan (knowledge worker) agar berupaya mengendalikan teknologi yang digunakan.
 
4. Persekitaran kerja yang berteknologi tinggi dan selamat seperti penggunaan komputer riba, telefon pintar, internet, Wi-fi dan lain-lain.
 
5. Penggunaan teknologi komunikasi bersepadu yang cekap dan berkesan dalam menangani tuntutan para pengguna yang tinggi dan rumit.
 
Teknologi merupakan satu perkara yang rumit untuk ditadbir uruskan dan ia bukanlah matlamat utama sesuatu organisasi. Justeru, pemudahkannya dengan menggabungkan kesemuanya ke dalam satu bentuk atau kerangka pengurusan yang satu seperti pengunaan sistem yang berasaskan IP dapat mengurangkan kos. Di samping itu, ia dapat meningkatkan kecekapan dan keberkesanan pengunaan teknologi komunikasi dalam sesebuah organisasi.
 
Kos pengunaan dan penyelenggaraan sistem dan kemudahan komunikasi yang lama akan lebih mahal berbanding penggunaan teknologi komunikasi bersepadu. Ini kerana dalam teknologi komunikasi bersepadu ia menggabungkan saluran audio dan data. Di samping itu, pelbagai kemudahan komunikasi dan teknologi maklumat yang lain boleh diintegrasikan ke dalam teknologi komunikasi bersepadu ini seperti TV, internet, web, sistem maklumat dan lain-lain. Antara produk bagi teknologi komunikasi bersepadu ini adalah Microsoft Lync Server, Elastix (Berasaskan sumber terbuka), The Druid, OpenScape, IBM LotusLive Engaged, Asterisk SCF, Avaya Aura dan lain-lain.
 
 

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.