Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 64: VPS hosting penyelesaian masalah capaian tinggi. Utusan Malaysia. 20 Februari 2012.

Diskusi ICT 58




Apakah yang dikatakan VPS hosting? Adakah ia baik untuk kita buat web hosting?



Bujal, Kangar.



Virtual Private Server (VPS) ialah pelayan komputer persendirian maya. Ia terhasil daripada kaedah pemayaan atau virtualization yang mewujudkan beberapa pelayan komputer secara maya bagi sesebuah komputer pelayan fizikal.



Pada hari ini, kepantasan mencapai sesebuah laman web menjadi satu perkara yang kritikal dan keutamaan. Pembangunan kandungan sesebuah laman web yang canggih dan kompleks akan menjadi satu halangan pada sesatu masa apabila capaian terhadapnya menjadi sangat banyak. Capaian terhadap sesebuah laman web akan menjadi perlahan dan sukar. Seterusnya, laman web tersebut akan menjadi pengurangan atau kehilangan para pengunjungnya.



Dengan sebab itu, penempatan sesebuah laman web atau web hosting menggunakan kaedah VPS merupakan penyelesaian yang baik untuk masalah capaian yang tinggi ini berbanding kaedah penempatan laman web yang biasa digunakan iaitu kaedah perkongsian komputer pelayan atau shared hosting. Ini berlaku sekiranya sesebuah laman web tersebut diterbitkan di internet menggunakan pihak ketiga atau pembekal perkhidmatan penempatan laman web yang dibayar secara bulanan atau tahunan.



Penempatan web secara VPS ini amat sesuai untuk sesebuah laman web yang mempunyai lebih daripada 500 orang pengunjung bagi sesuatu masa. Sekiranya sesebuah laman web tersebut tidak dapat berfungsi pada sesuatu masa, ia akan memberi kesan yang tidak baik kepada organisasi dari segi keuntungan, reputasi dan promosi.



Dengan kaedah VPS, sesebuah laman web itu akan mempunyai pelayannya sendiri secara maya berbanding kaedah shared hosting di mana, kesemua laman web yang menjadi pelanggan bagi sesebuah syarikat pembekal perkhidmatan penempatan laman web itu dikongsi bersama dalam sesebuah komputer pelayan. Di sini, diberikan beberapa kebaikan penerbitan sesebuah laman web menggunakan kaedah VPS.



1. Penggunaan VPS ini adalah lebih selamat berbanding komputer pelayan yang dikongsi bersama. Ini kerana apabila sesebuah laman web digodam dalam komputer pelayan yang dikongsi, ia akan memberi kesan kepada laman-laman web yang lain yang berada dalamnya. Dengan VPS, ia tidak terkesan kerana ia beroperasi secara isolasi.



2. Penggunaan bagi penempatan web secara VPS ini akan menggunakan sumber-sumber pengkomputeran seperti memori, pemproses dan lain-lain yang telah dikhususkan untuk penggunaan laman web tersebut. Berbeza dengan komputer pelayan yang dikongsi, kesemua laman-laman web yang ada akan berkongsi sumber-sumber pengkomputeran yang akan menyebabkan berlakunya kekurangan keperluan sumber-sumber tersebut. Ini boleh menyebabkan berlakunya kegagalan berfungsi bagi komputer pelayan.



3. Penggunaan kaedah VPS ini dalam web hosting akan memberikan pencapaian dan prestasi yang baik berbanding shared hosting. Dalam shared hosting, pembayaran sewaan penempatan sesebuah laman web berdasarkan kepada jumlah jalur lebar dan ruang storan yang dilanggan. Namun begitu, apabila semakin banyak laman-laman web ditempatkan dalam perkongsian sesebuah komputer pelayan, ia akan menyebabkan ruang storan menjadi semakin kecil dan jumlah jalur lebar juga akan mengecil. Ini berbeza dengan kaedah VPS kerana ia beroperasi secara isolasi atau mandiri.



Itulah serba sedikit kelebihan penempatan web secara VPS berbanding dengan kaedah biasa iaitu shared hosting. Ini adalah untuk penempatan web yang menggunakan pihak ketiga atau pembekal perkhidmatan penempatan laman web.



No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.