Monday, December 24, 2012

Bicara IT 4: Islam dan dunia pengkomputeran. Majalah estidotmy. Utusan Malaysia. 29 Oktober 2012.

Islam dan Dunia Pengkomputeran




oleh : Firkhan Ali Bin Hamid Ali



Dalam Islam, ilmu sains dan teknologi adalah satu ilmu untuk mengkaji kejadian-kejadian semula jadi ciptaan Allah Taala. Ini termasuk ilmu pengkomputeran, teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam Al-Quran, Allah Taala menyuruh manusia berfikir berkenaan kejadian-kejadian ciptaan-Nya. Tujuannya adalah untuk peningkatan iman dan taqwa bagi seseorang manusia untuk menyembah kepada-Nya. Seterusnya ia dapat memakmurkan kehidupan manusia dan makhluk lain di muka bumi ini.



Banyak kejadian-kejadian alam semula jadi ciptaan Allah Taala dibincangkan dalam Al-Quran. Sebagai satu contoh, dalam ayat 1-4, Surah Az-Zaariyat diceritakan berkenaan sesuatu yang ada kaitan dengan teori teknologi rangkaian komputer tanpa wayar. Sedia maklum, ia telah menjadi satu budaya kehidupan dalam masyarakat moden kini untuk mencapai perkhidmatan internet. Jelaslah bahawa Nabi Muhammad S.A.W dan Al-Quran bukannya satu alat ramalan masa hadapan tetapi kesemuanya adalah kebenaran yang telah disampaikan oleh Allah S.W.T kepada kekasih-Nya.



Petikan terjemahan Fi-Zilalil Quran karangan Syed Qutb ayat 1- 4, Surah Az Zaariyat:-



Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.



1. Demi kekuatan penabur-penabur yang menabur dengan sebaik-baik taburan. (Az Zaariyat)

2. Dan demi kekuatan pembawa-pembawa muatan. (Al-Haamilat)

3. Dan demi kekuatan yang berlari dengan selesa. (Al-Jaariyat)

4. Dan demi kekuatan pembahagi-pembahagi urusan. (Al-Muqassimat)



Dalam dunia pengkomputeran, data-data disimpan dalam bentuk berstruktur yang dikenali sebagai sistem pangkalan data atau database. Namun begitu, pada hari ini dengan istilah teknologi maklumat yang baru iaitu big data atau data besar, data-data tidak semestinya dalam bentuk yang berstruktur semata-mata. Al-Quran yang telah diturunkan juga merupakan satu simpanan data yang padat, berstruktur dan tidak berstruktur. Tidak berstruktur itu bermakna data-data yang sedia ada boleh dihuraikan, ditafsir, dikembangkan dan dianalisa dengan lebih terperinci dan meluas dengan kaedah-kaedah tertentu yang sahih.



Nombor yang menjadi asas dalam ilmu sains dan teknologi termasuk bagi ilmu pengkomputeran, teknologi maklumat dan komunikasi banyak dibincangkan dalam Al-Quran. Ilmu matematik penting bagi dunia Islam untuk mendapatkan ketepatan dalam sesuatu ibadah yang dijalankan seperti penentuan arah kiblat, pengiraan bilangan hari dalam sesebuah bulan bagi penentuan sesuatu hari yang penting seperti ibadat puasa di bulan Ramadhan, pembahagian harta pusaka dan lain-lain.



Seterusnya, lahirlah ramai pakar-pakar Islam dalam bidang matematik yang mendapat inspirasi daripada Al-Quran dan syariat Islam. Antaranya yang penting adalah Al-khwarizmi. Antara sumbangannya, beliau berjaya memperjelaskan kepentingan nombor sifar atau 0 dalam sistem penomboran. Ajaibnya nombor sifar ini ialah ia tidak mempunyai nilai tetapi apabila ditambah disebelah kanan kepada sebarang nombor akan meningkatkan nilai nombor tersebut. Begitu juga sekiranya ditambah sifar ini disebelah kiri bagi sesuatu nombor, nilai bagi nombor tersebut tersebut akan berkurangan (nombor perpuluhan).



Penemuan kepentingan nombor sifar dan sistem penomboran oleh Al-khwarizmi telah mencetuskan fenomena besar dalam ilmu pengkomputeran, teknologi maklumat dan komunikasi. Sesebuah komputer menggunakan nombor binari iaitu 1 atau 0 dalam memproses data dan maklumat. Harus diingat bahawa Al-khwarizmi bukan sahaja seorang sarjana muslim yang pakar dalam ilmu matematik tetapi beliau juga pakar dalam ilmu-ilmu yang lain terutama dalam memahami isi kandungan Al-Quran.



Al-khwarizmi telah memperkenalkan formula dan teori matematik yang dikenali sebagai aljabar atau Algebra dan Algoritma atau Algorithm. Teori Algebra dan Algorithm ini menjadi asas yang sangat penting dalam penerbitan formula-formula matematik dan pengiraan. Formula-formula ini pula digunakan untuk penyelidikan-penyelidikan dalam pelbagai displin ilmu termasuk ilmu sains komputer, teknologi maklumat dan komunikasi.



Satu konsep penting yang diperkenalkan oleh Al-khawarizmi dan ia digunakan dalam bidang pengkomputeran, teknologi maklumat dan komunikasi adalah konsep algoritma atau Algorithm. Semoga Allah Taala merahmati segala usaha beliau dalam memperkembangkan ilmu-ilmu ini. Algoritma merupakan satu kaedah penyelesaian sesuatu masalah secara terperinci, berstruktur dan langkah demi langkah.



Para bijak pandai mengatakan ilmu pengaturcaraan merupakan hati bagi ilmu pengkomputeran atau teknologi maklumat kerana daripadanya terhasil pelbagai jenis perisian komputer yang digunakan untuk pelbagai tujuan. Manakala, algoritma pula dikatakan sebagai hati bagi sesebuah pengaturcaraan itu.



Kebiasaannya, bagi para pelajar sains komputer dan teknologi maklumat di semester pertama pengajian akan mengambil subjek pengaturcaraan. Dalam subjek pengaturcaan ini, akan diajar satu bahagian penyelesaian masalah menggunakan kaedah algoritma ini. Seterusnya, penyelesaian masalah dalam bentuk algoritma ini akan diterjemahkan dalam bentuk penulisan kod atau pengaturcaraan dengan menggunakan pelbagai bahasa pengaturcaraan seperti bahasa C, Phython, Pascal, ABAP, Java, PHP dan lain-lain.



Begitulah serba sedikit kaitan antara Islam dengan ilmu pengkomputeran dan teknologi maklumat. Semoga Allah Taala membalas jasa kesemua ilmuan Islam yang sangat berjasa dalam ilmu sains dan teknologi untuk menerajui kehidupan manusia dengan lebih baik.

Semoga ia bermanfaat untuk semua. Fikir dan fikir-fikirlah sefikir-fikirnya.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.