Monday, December 24, 2012

Bicara IT 3: Panduan selamat guna media sosial. Majalah estidotmy. Utusan Malaysia. 29 September 2012.

Panduan Selamat Bermedia Sosial di Persada Maya




oleh : Firkhan Ali Bin Hamid Ali



Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah Taala yang suka bersosial atau hidup bermasyarakat. Islam sebagai satu agama fitrah telah meletakan masjid sebagai tempat bersosial untuk umatnya. Masjid bukan sekadar tempat beribadah tetapi merupakan satu tempat untuk umatnya bermasyarakat dengan melakukan pelbagai aktiviti harian seperti belajar, berniaga, berbincang dan sebagainya. Itu merupakan satu kaedah bersosial secara fizikal.



Kini, manusia boleh bersosial secara maya menerusi teknologi laman web sosial atau media sosial. Teknologi ini telah menghimpunkan ramai pengguna terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur dan profesion. Terdapat agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan menggalakan penggunaannya bagi mendapatkan maklum balas para pelanggan dengan lebih cepat dan cekap. Terdapat juga yang tidak membenarkan penggunaan media sosial di waktu bekerja kerana terdapat kesan-kesan negatif seperti hilang tumpuan bekerja, cuai, malas dan lain-lain.



Media sosial sangat popular digunakan kerana ia bersifat interaktif dan pantas dalam penyampaian sesuatu idea, berita dan informasi. Maklumat disebarkan secara pantas dan pukal. Contoh media sosial yang popular penggunannya adalah seperti Facebook, Twitter, Flickr, Yahoo 360, Youtube dan lain-lain.



Di sebalik kebaikan dan kerancakan media sosial menjana minda kreatif dalam satu jaringan sosial internet yang luas, terdapat ramai penjenayah mengambil kesempatan di atas keterbukaannya seperti jenayah seksual, kanak-kanak, peniruan, penipuan dan sebagainya. Mereka mengeksploitasi informasi dalam media sosial untuk mencari mangsa-mangsa yang berpotensi. Di Malaysia, jenayah penipuan menerusi media sosial ini telah menyebabkan mangsa kerugian sehingga jutaan Ringgit Malaysia saban tahun.



Pihak yang menyediakan media sosial ini telah mengambil langkah-langkah perlindungan dan keselamatan yang baik. Walau bagaimanapun, para pengguna perlu ada strategi dan cara penggunaan yang betul dan selamat supaya informasi yang dipaparkan tidak dieksploitasi oleh penjenayah-penjenayah ini.



Teknik yang digunakan oleh para penjenayah ini agak mudah iaitu teknik kejuruteraan sosial tanpa memerlukan kaedah berteknikal tinggi seperti dibuat oleh penggodam atau hacker. Contohnya, maklumat peribadi seseorang pengguna mudah diperolehi menerusi media sosial ini. Tambahan pula terdapat maklumat berkenaan ahli-ahli keluarga dan gambar-gambar yang berpotensi memberi maklumat kepada penjenayah-penjenayah ini.



Di samping itu, pelbagai jenis penipuan boleh dibuat seperti membuat iklan memerlukan pembantu rumah dengan maklumat temuduga dipaparkan. Apabila penjenayah tersebut mendapat mangsa yang sesuai, bakal pembantu rumah tersebut akan dibunuh atau disamun ketika menghadiri temuduga tersebut dan pelbagai lagi.



Jadi, terdapat beberapa panduan selamat bermedia sosial untuk mengelakan diri pengguna daripada dieksploitasi oleh para penjenayah ini. Berikut adalah beberapa panduannya.



1. Sentiasa berasa curiga untuk lebih berhati-hati ketika bermedia sosial. Sebagai contoh, ada seorang pengguna yang tidak dikenali dengan mudah mengaku mempunyai kesamaan dengan anda dalam pembacaan novel. Jadi, janganlah mudah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada rakan siber tersebut yang tidak diketahui identiti dan tujuan sebenar mereka.



2. Sentiasa berwaspada untuk menerima rakan media sosial yang tidak dikenali.



3. Sekiranya terdapat kelakuan kelihatan seperti jenayah atau pelik yang dicurigai berlaku di sekitar media sosial, laporkannya kepada pihak pengendali media sosial tersebut atau kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya ia berlebihan.



4. Komunikasi dan pendidikan kepada anak-anak kecil dan para remaja dalam bermedia sosial sangat penting agar mereka dapat menggunakan media sosial ini dengan betul, bertanggung jawab, berhati-hati dan selamat. Malah, mereka berupaya mengenali mana-mana bahaya dan ancaman ketika bermedia sosial.



5. Pengawalan penggunaan Internet boleh dibuat bagi kanak-kanak dan remaja terhadap komputer yang gunakan dengan penggunaan aplikasi kawalan seperti eBlaster daripada SpectorSoft. Segala aktiviti pelayaran dan penggunaan Internet dapat direkodkan termasuk penggunaan media sosial.



6. Kurangkan pendedahan maklumat peribadi dan hadkan capaian informasi di media sosial. Pastikan informasi hanya boleh dicapai oleh rakan-rakan yang dikenali terutama berkenaan dengan maklumat peribadi. Buat pemantauan yang kerap terhadap capaian informasi dan buat laporan sekiranya ada perkara-perkara yang dicurigai seperti penandaan gambar anak yang masih kecil sebagai “favorite“ oleh seseorang dan sebagainya.



7. Sentiasa menggunakan fungsi keselamatan yang disediakan oleh pihak media sosial seperti penggunaan fungsi https yang selamat.



8. Penggunaan komputer, capaian internet dan kata laluan yang kental dan selamat.



Penggunaan media sosial ini ibarat sebuah pisau di dapur. Sekiranya digunakan dengan betul seperti memotong sayur dan sebagainya, bermanfaatlah ia. Sekiranya tidak, ia akan memberi musibah kepada pengguna. Pengguna media sosial ini perlu dididik untuk penggunaan yang lebih cekap agar informasi dan idea yang dikongsi tidak dapat dieksploitasi oleh orang-orang yang bersisi gelap ini. Malah, segala jenis ancaman, penipuan dan bahaya dapat dikesan dengan lebih awal. Seterusnya, mereka tahu jenis tindakan yang perlu dibuat untuk menangani unsur-unsur ancaman dan bahaya tersebut.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.