Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 86: Komputer dijangkiti virus. Utusan Malaysia. 15 Oktober 2012.

Diskusi ICT 86




Baru-baru ini komputer saya dijangkiti satu virus yang dikenali sebagai Live Security Platinum. Pada mulanya, saya sangka ia sejenis perisian anti-virus yang berada di internet tetapi ia menyebabkan komputer saya terhenti segala operasinya selagi mana tidak dibeli perisian tersebut. Bagaimanakah untuk mengatasi masalah ini?



Sekian terima kasih.

Matt, Taiping.



Ya, virus Live Security Platinum ini adalah sejenis virus yang menyamar sebagai perisian anti-virus dan akan memaparkan notifikasi keselamatan palsu. Tahniah kerana menyedari kehadiran virus tersebut dan tidak mengikuti apa yang virus itu arahkan. Virus ini akan memberhentikan segala proses dalam komputer dengan mengatakan ia dijangkiti virus dan dikatakan anda perlu membeli aplikasi Live Security Platinum ini untuk mengatasi masalah tersebut. Jadi, perkhidmatan internet, program Task Manager, perisian anti-virus dan lain-lain tidak akan dapat dibuka. Itu adalah kesan yang sangat ketara apabila dijangkiti virus ini.



Kaedah untuk mengatasi masalah ini:-



1. Keluarkan segala CD, DVD atau disket daripada komputer. Seterusnya but semula komputer tersebut. Tekan butang F8 atau mana-mana butang pada papan kekunci untuk masuk ke dalam pilihan mod selamat. Pilih untuk but komputer dalam mod selamat dengan rangkaian. Kemudian, tekan butang Enter.



2. Buang konfigurasi pelayan proksi dalam pelayar web yang digunakan untuk mencapai internet yang telah disetkan oleh virus ini. Nyah fungsikan konfigurasi pelayan proksi ini. Biasa konfigurasi nombor IP bagi proksinya adalah xxx.xxx.xx.



3. Perbetulkan semula konfigurasi pada Windows Registry yang telah diubah oleh virus ini. Sila muat turun satu program aplikasi Windows Registry Repairer dan larikan prorgram tersebut dalam komputer yang dijangkiti. Antara aplikasinya yang boleh dimuat turun adalah Registryfix.exe. Dwi-klik aplikasi tersebut. Sekiranya diketahui struktur konfigurasinya, boleh perbetulkan secara manual.



4. Langkah seterusnya adalah untuk mematikan segala proses yang berkait dengan virus Live Security Platinum ini. Boleh muat turun dan larikan mana-mana aplikasi komputer untuk tujuan ini. Antaranya adalah program RKill dan lain-lain. Sebelum larikan program atau aplikasi ini, namakan program tersebut dengan nama iexplorer.exe. Seterusnya klik program tersebut. Setelah selesai, aplikasi ini akan hasilkan satu fail log berkenaan proses yang telah dibuat. Pastikan komputer tidak but semula setelah aplikasi Rkill ini dilarikan. Sekiranya tidak, virus tersebut akan mengganggu komputer semula.



5. Kemudian, buang segala fail yang berkaitan dengan virus Live Security Platinum ini. Ini boleh digunakan dengan aplikasi komputer tertentu seperti program Malwarebytes Anti-Malware dan lain-lain. Muat turun dan pasangkan program Malwarebytes Anti-Malware ke dalam komputer. Setelah itu kemas kini program ini dan mulakan imbasan secara penuh untuk kenal pasti kesemua fail yang berkait dengan Live Security Platinum. Buang segala fail-fail yang dijumpai tersebut. Selain daripada aplikasi ini, boleh juga menggunakan aplikasi seperti PCTools, Pkiller, TDSSKiller dan lain-lain.



6. But semula komputer secara mod normal.



7. Buat semakan dan imbasan kali kedua untuk mengenal pasti sekiranya masih ada saki baki fail virus Live Security Platinum dalam komputer. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan program Hitman Pro. Muat turun, pasang dan kemas kini program tersebut. Seterusnya buat imbasan komputer dengan menggunakan program Hitman Pro ini. Buang segala fail yang berkaitan. Imbasan dibuat dengan mod Force Breach. Untuk mulakan mod ini dalam program Hitman Pro, tekan butang Ctrl di sebelah kiri secara tetap ketika program Hitman Pro bermula. Proses ini juga boleh dibuat dengan perisian keselamatan yang lain.



Sekiranya perisian keselamatan yang dinyatakan tidak dapat dimuat turun daripada internet, ikuti langkah yang berikut. Setelah berada dalam mod selamat berserta rangkaian, tekan secara tetap dan bersama butang Windows dan butang R. Seterusnya, tetingkap Run akan dipaparkan. Jadi, sila taip alamat penuh URL bagi sesebuah perisian keselamatan dalam tetingkap Run seperti yang berikut. Sila muat turun, pasang dan gunakan perisian keselamatan tersebut.



iexplorer http://www.spywarehelpcenter.com/remove.



Selamat mencuba.







No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.