Monday, December 24, 2012
Sembang ICT 86: Komputer dijangkiti virus. Utusan Malaysia. 15 Oktober 2012.
Baru-baru ini komputer saya dijangkiti satu virus yang dikenali sebagai Live Security Platinum. Pada mulanya, saya sangka ia sejenis perisian anti-virus yang berada di internet tetapi ia menyebabkan komputer saya terhenti segala operasinya selagi mana tidak dibeli perisian tersebut. Bagaimanakah untuk mengatasi masalah ini?
Sekian terima kasih.
Matt, Taiping.
Ya, virus Live Security Platinum ini adalah sejenis virus yang menyamar sebagai perisian anti-virus dan akan memaparkan notifikasi keselamatan palsu. Tahniah kerana menyedari kehadiran virus tersebut dan tidak mengikuti apa yang virus itu arahkan. Virus ini akan memberhentikan segala proses dalam komputer dengan mengatakan ia dijangkiti virus dan dikatakan anda perlu membeli aplikasi Live Security Platinum ini untuk mengatasi masalah tersebut. Jadi, perkhidmatan internet, program Task Manager, perisian anti-virus dan lain-lain tidak akan dapat dibuka. Itu adalah kesan yang sangat ketara apabila dijangkiti virus ini.
Kaedah untuk mengatasi masalah ini:-
1. Keluarkan segala CD, DVD atau disket daripada komputer. Seterusnya but semula komputer tersebut. Tekan butang F8 atau mana-mana butang pada papan kekunci untuk masuk ke dalam pilihan mod selamat. Pilih untuk but komputer dalam mod selamat dengan rangkaian. Kemudian, tekan butang Enter.
2. Buang konfigurasi pelayan proksi dalam pelayar web yang digunakan untuk mencapai internet yang telah disetkan oleh virus ini. Nyah fungsikan konfigurasi pelayan proksi ini. Biasa konfigurasi nombor IP bagi proksinya adalah xxx.xxx.xx.
3. Perbetulkan semula konfigurasi pada Windows Registry yang telah diubah oleh virus ini. Sila muat turun satu program aplikasi Windows Registry Repairer dan larikan prorgram tersebut dalam komputer yang dijangkiti. Antara aplikasinya yang boleh dimuat turun adalah Registryfix.exe. Dwi-klik aplikasi tersebut. Sekiranya diketahui struktur konfigurasinya, boleh perbetulkan secara manual.
4. Langkah seterusnya adalah untuk mematikan segala proses yang berkait dengan virus Live Security Platinum ini. Boleh muat turun dan larikan mana-mana aplikasi komputer untuk tujuan ini. Antaranya adalah program RKill dan lain-lain. Sebelum larikan program atau aplikasi ini, namakan program tersebut dengan nama iexplorer.exe. Seterusnya klik program tersebut. Setelah selesai, aplikasi ini akan hasilkan satu fail log berkenaan proses yang telah dibuat. Pastikan komputer tidak but semula setelah aplikasi Rkill ini dilarikan. Sekiranya tidak, virus tersebut akan mengganggu komputer semula.
5. Kemudian, buang segala fail yang berkaitan dengan virus Live Security Platinum ini. Ini boleh digunakan dengan aplikasi komputer tertentu seperti program Malwarebytes Anti-Malware dan lain-lain. Muat turun dan pasangkan program Malwarebytes Anti-Malware ke dalam komputer. Setelah itu kemas kini program ini dan mulakan imbasan secara penuh untuk kenal pasti kesemua fail yang berkait dengan Live Security Platinum. Buang segala fail-fail yang dijumpai tersebut. Selain daripada aplikasi ini, boleh juga menggunakan aplikasi seperti PCTools, Pkiller, TDSSKiller dan lain-lain.
6. But semula komputer secara mod normal.
7. Buat semakan dan imbasan kali kedua untuk mengenal pasti sekiranya masih ada saki baki fail virus Live Security Platinum dalam komputer. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan program Hitman Pro. Muat turun, pasang dan kemas kini program tersebut. Seterusnya buat imbasan komputer dengan menggunakan program Hitman Pro ini. Buang segala fail yang berkaitan. Imbasan dibuat dengan mod Force Breach. Untuk mulakan mod ini dalam program Hitman Pro, tekan butang Ctrl di sebelah kiri secara tetap ketika program Hitman Pro bermula. Proses ini juga boleh dibuat dengan perisian keselamatan yang lain.
Sekiranya perisian keselamatan yang dinyatakan tidak dapat dimuat turun daripada internet, ikuti langkah yang berikut. Setelah berada dalam mod selamat berserta rangkaian, tekan secara tetap dan bersama butang Windows dan butang R. Seterusnya, tetingkap Run akan dipaparkan. Jadi, sila taip alamat penuh URL bagi sesebuah perisian keselamatan dalam tetingkap Run seperti yang berikut. Sila muat turun, pasang dan gunakan perisian keselamatan tersebut.
iexplorer http://www.spywarehelpcenter.com/remove.
Selamat mencuba.
Friday, January 6, 2012
Sembang ICT 43.: Diserang Malware. Utusan Malaysia. 14 November 2011.
Diskusi ICT 44
Sekiranya komputer saya telah diserang oleh Malware, apakah yang perlu saya lakukan?
Awe, Taiping.
Apabila berlakunya masalah jangkitan atau serangan Malware atau virus terhadap sesebuah komputer, sudah tentulah ia perlu dipulihkan kembali dengan memelihara keselamatan dan keadaan data yang ada di dalamnya. Namun begitu, ada beberapa cara yang baik dalam mengendalikan masalah ini supaya proses baik pulih akan berjalan dengan lancar dan jayanya. Berikut adalah cara-cara yang boleh diguna pakai dalam mengendalikan masalah ini.
- Kenal pasti tahap ancaman Malware tersebut sama ada ia dikategorikan sebagai ancaman pada tahap rendah, sederhana atau tinggi. Pada tahap ancaman yang rendah, kesan buruknya adalah jelas tetapi mudah untuk dibersihkan. Pada tahap ancaman yang sederhana, kesan buruknya juga adalah jelas tetapi memerlukan usaha yang lebih untuk membersihkannya. Pada tahap ancaman tinggi, kesannya agak sukar untuk dilihat atau dikesani tetapi ia akan mencuri data yang terdapat dalam komputer tersebut. Jadi, fokus haruslah diberikan kepada tanda-tanda ancaman Malware tersebut dan bagaimana langkah yang seterusnya perlu diambil untuk menanganinya.
- Lakukan analisa terhadap fail-fail log bagi kesemua perisian keselamatan yang ada seperti Firewall, anti virus dan sebagainya. Ini adalah untuk melihat sama ada berlaku perkaitan masalah Malware sedia ada dengan masalah – masalah Malware yang lepas.
- Buat soal selidik kepada pengguna komputer tersebut atau kepada diri sendiri berkenaan dengan aktiviti-aktiviti yang telah dilakukan terhadap komputer tersebut sebelum terjadinya masalah jangkitan Malware ini. Sila catit kesemuanya jika perlu. Ini penting untuk melihat perkaitannya dengan masalah Malware yang dihadapi. Boleh juga melihat fail log komputer sekiranya ada.
4. Laksanakan baik pulih komputer yang dijangkiti dengan program-program tertentu dan sekiranya tidak boleh mencapainya, gunalah media lain seperti pemacu storan USB, CD, disket atau DVD. Antara program komputer yang penting untuk buat baik pulih ini adalah seperti USB Dummy Protect (fungsi write protect), Super Anti-Spyware (Buang Malware), Malware Bytes AntiMalware (Buang Malware), SysInternals (Masalah Malware) , EXEFIX_XP (Pulihkan masalah fail .exe dan shortcut), Sophos Rootkit Revealer (Masalah Malware), aswMBR (Masalah Malware), Kaspersky Rescue CD (Pakej lengkap untuk masalah Malware) dan lain-lain tools atau program baik pulih. Perkara yang paling penting setelah itu adalah kemas kini perisian-perisian yang sedia ada dalam komputer itu termasuk sistem pengoperasian.
- Buat pengrekodan terhadap semua dapatan yang telah diperolehi sama ada ia datang daripada soal selidik atau perlarian program komputer seperti masalah virus atau Malware, masalah vulnerability atau kelemahan pada sistem komputer, risiko-risiko yang berpotensi berlaku, perimeter-perimeter ancaman dan lain-lain. Bagi melengkapkan pengrekodan ini, boleh rujuk kepada buku-buku panduan atau laman-laman web keselamatan seperti Microsoft Malware Protection Center, McAfee Threat Intelligence dan lain-lain. Biasanya laman web perisian anti virus yang utama ada menyediakan maklumat-maklumat ini.
- Akhir sekali, bolehlah dirangkakan atau membuat tambahan kepada panduan keselamatan dan polisi keselamatan terhadap penggunaan komputer bagi mencegah berlakunya masalah jangkitan Malware ini sekali lagi di masa hadapan. Ini dapat mendidik sesiapa sahaja untuk penggunaan komputer yang selamat dan betul.
Proses pencegahan perlu dibuat tetapi ia tidak dapat menghalang secara total masalah jangkitan Malware ini. Perkara yang penting adalah persediaan perlu ada untuk menangani masalah ini dan ia perlu dikongsi untuk pertahanan di masa akan datang. Berlakunya masalah ini membolehkan beberapa kajian dapat dibuat terhadap tahap rangka keselamatan digital sedia ada dengan membuat profil risiko-risiko jangkaan, menganalisa fail-fail log, kecerdikan sistem dalam menangani ancaman dan lain-lain.
