Showing posts with label komputer. Show all posts
Showing posts with label komputer. Show all posts

Friday, January 11, 2013

Sembang ICT 93: Ingin Tahu Kelajuan Internet dan Komputer. Utusan Malaysia. 7 Januari 2013.

Diskusi ICT 94

Bagaimanakah untuk kita tahu kelajuan rangkaian komputer atau internet?



Ayan, Tembeling.

Kelajuan bagi sesebuah rangkaian komputer bergantung kepada bagaimana ia digunakan dan apa yang digunakan untuk penggunaannya. Jadi, untuk mengetahui kelajuan rangkaian komputer dan kelajuan internet adalah perkara yang berasingan.
Bagi mengetahui kelajuan sesebuah rangkaian komputer boleh dilakukan ujian kelajuan dan lihat pada hasil pengujiannya. Ujian kelajuan akan mengukur prestasi rangkaian komputer bagi satu julat masa yang tertentu. Ujian kelajuan ini dibuat biasa dengan menghantar dan menerima satu data atau fail menerusi rangkaian. Seterusnya pengiraan akan dibuat berdasarkan kepada saiz atau jumlah data yang dihantar dan masa yang diambil untuk membuat penghantaran data tersebut.
Pengukuran yang biasa digunakan adalah kadar data atau data rate iaitu mengira bilangan bit yang dihantar dalam rangkaian pada masa satu saat. Ia juga boleh menggunakan pengukuran penangguhan rangkaian atau network delay yang biasa juga dikenali sebagai ping time.
Pengukuran kelajuan rangkaian dan internet ini boleh diukur dengan digunakan program-program komputer yang boleh dibeli atau dimuat turun secara percuma. Dalam Windows terdapat satu pogram komputer yang dikenali sebagai Ping. Ping boleh digunakan untuk mengukur kelajuan sesebuah rangkaian komputer dan internet. Kebanyakan program komputer pemantauan rangkaian atau network monitoring tool menyediakan fungsi untuk mengukur kelajuan sesebuah rangkaian komputer dan sambungan internet.







Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 86: Komputer dijangkiti virus. Utusan Malaysia. 15 Oktober 2012.

Diskusi ICT 86




Baru-baru ini komputer saya dijangkiti satu virus yang dikenali sebagai Live Security Platinum. Pada mulanya, saya sangka ia sejenis perisian anti-virus yang berada di internet tetapi ia menyebabkan komputer saya terhenti segala operasinya selagi mana tidak dibeli perisian tersebut. Bagaimanakah untuk mengatasi masalah ini?



Sekian terima kasih.

Matt, Taiping.



Ya, virus Live Security Platinum ini adalah sejenis virus yang menyamar sebagai perisian anti-virus dan akan memaparkan notifikasi keselamatan palsu. Tahniah kerana menyedari kehadiran virus tersebut dan tidak mengikuti apa yang virus itu arahkan. Virus ini akan memberhentikan segala proses dalam komputer dengan mengatakan ia dijangkiti virus dan dikatakan anda perlu membeli aplikasi Live Security Platinum ini untuk mengatasi masalah tersebut. Jadi, perkhidmatan internet, program Task Manager, perisian anti-virus dan lain-lain tidak akan dapat dibuka. Itu adalah kesan yang sangat ketara apabila dijangkiti virus ini.



Kaedah untuk mengatasi masalah ini:-



1. Keluarkan segala CD, DVD atau disket daripada komputer. Seterusnya but semula komputer tersebut. Tekan butang F8 atau mana-mana butang pada papan kekunci untuk masuk ke dalam pilihan mod selamat. Pilih untuk but komputer dalam mod selamat dengan rangkaian. Kemudian, tekan butang Enter.



2. Buang konfigurasi pelayan proksi dalam pelayar web yang digunakan untuk mencapai internet yang telah disetkan oleh virus ini. Nyah fungsikan konfigurasi pelayan proksi ini. Biasa konfigurasi nombor IP bagi proksinya adalah xxx.xxx.xx.



3. Perbetulkan semula konfigurasi pada Windows Registry yang telah diubah oleh virus ini. Sila muat turun satu program aplikasi Windows Registry Repairer dan larikan prorgram tersebut dalam komputer yang dijangkiti. Antara aplikasinya yang boleh dimuat turun adalah Registryfix.exe. Dwi-klik aplikasi tersebut. Sekiranya diketahui struktur konfigurasinya, boleh perbetulkan secara manual.



4. Langkah seterusnya adalah untuk mematikan segala proses yang berkait dengan virus Live Security Platinum ini. Boleh muat turun dan larikan mana-mana aplikasi komputer untuk tujuan ini. Antaranya adalah program RKill dan lain-lain. Sebelum larikan program atau aplikasi ini, namakan program tersebut dengan nama iexplorer.exe. Seterusnya klik program tersebut. Setelah selesai, aplikasi ini akan hasilkan satu fail log berkenaan proses yang telah dibuat. Pastikan komputer tidak but semula setelah aplikasi Rkill ini dilarikan. Sekiranya tidak, virus tersebut akan mengganggu komputer semula.



5. Kemudian, buang segala fail yang berkaitan dengan virus Live Security Platinum ini. Ini boleh digunakan dengan aplikasi komputer tertentu seperti program Malwarebytes Anti-Malware dan lain-lain. Muat turun dan pasangkan program Malwarebytes Anti-Malware ke dalam komputer. Setelah itu kemas kini program ini dan mulakan imbasan secara penuh untuk kenal pasti kesemua fail yang berkait dengan Live Security Platinum. Buang segala fail-fail yang dijumpai tersebut. Selain daripada aplikasi ini, boleh juga menggunakan aplikasi seperti PCTools, Pkiller, TDSSKiller dan lain-lain.



6. But semula komputer secara mod normal.



7. Buat semakan dan imbasan kali kedua untuk mengenal pasti sekiranya masih ada saki baki fail virus Live Security Platinum dalam komputer. Ini boleh dilakukan dengan menggunakan program Hitman Pro. Muat turun, pasang dan kemas kini program tersebut. Seterusnya buat imbasan komputer dengan menggunakan program Hitman Pro ini. Buang segala fail yang berkaitan. Imbasan dibuat dengan mod Force Breach. Untuk mulakan mod ini dalam program Hitman Pro, tekan butang Ctrl di sebelah kiri secara tetap ketika program Hitman Pro bermula. Proses ini juga boleh dibuat dengan perisian keselamatan yang lain.



Sekiranya perisian keselamatan yang dinyatakan tidak dapat dimuat turun daripada internet, ikuti langkah yang berikut. Setelah berada dalam mod selamat berserta rangkaian, tekan secara tetap dan bersama butang Windows dan butang R. Seterusnya, tetingkap Run akan dipaparkan. Jadi, sila taip alamat penuh URL bagi sesebuah perisian keselamatan dalam tetingkap Run seperti yang berikut. Sila muat turun, pasang dan gunakan perisian keselamatan tersebut.



iexplorer http://www.spywarehelpcenter.com/remove.



Selamat mencuba.







Sembang ICT 81: Raspberry Pi PC berfungsi lengkap sebagai komputer. 6 Ogos 2012.

Diskusi ICT 80




Salam bahagia. Saya ada mendengar berkenaan komputer sebesar kotak mancis atau berbentuk seperti kad bank ATM iaitu Raspberry Pi PC. Boleh encik bincangkan.



Wong, Kota Bharu.



Raspberry Pi merupakan satu badan kebajikan yang menumpukan kajian dalam bidang sains komputer. Mereka telah berjaya mencipta sebuah komputer yang saiznya seperti yang tuan nyatakan tadi. Komputer yang dibangunkan merupakan sebuah papan litar seperti motherboard yang mempunyai fungsi lengkap sebagai sebuah komputer dengan port-port yang terkini. Di bawah ini dinyatakan spesifikasinya seperti yang dinyatakan oleh pihak Raspberry Pi.

 Pemproses jenis Broadcom BCM2835 700MHz ARM1176JZFS dengan FPU dan Videocore 4 GPU.

 Cip GPU ini menyediakan Open GL ES 2.0, Hardware-Accelerated OpenVG dan 1080p30 H.264 Decode yang berprofil tinggi.

 Cip GPU ini berkeupayaan 1 Gpixel/s, 1.5 Gtexel/s atau 24 GFLOPs dengan tapisan tektur dan infrastruktur DMA.

 Memorinya, 256 MB RAM.

 Berupaya but dari kad SD.

 Berupaya menjalankan sistem OS Fedora.

 Mempunyai soket rangkaian berwayar 10/100 BaseT Ethernet.

 Mempunyai soket HDMI, USB 2.0, Video RCA dan kad SD.

 Janaan kuasa daripada soket MicroUSB.

 Mempunyai sistem audio, 3.5 mm Audio Out Jack.

 Mempunyai Header Footprint untuk sambungan kamera.

 Mempunyai saiz, 85.6 x 53.98 x 17 mm.

Harga bagi sebuah komputer ini dinyatakan berharga RM 125 dan ia perlu dibuat pesanan secara dalam talian di alamat URL, http://malaysia.rs-online.com. Wakil pengedar sah di Malaysia adalah RS Component Sdn. Bhd.

Kegunaan komputer ini adalah ia boleh menjadi komponen penting untuk mennjadikan sesuatu peralatan mempunyai fungsi pengkomputeran seperti alat saluran pelbagai jenis media seperti radio, televisyen dan sebagainya, mesin arked untuk sistem permainan video, komputer tablet, mengautomasi peralatan rumah seperti peti sejuk dan sebagainya, alat saluran media berinternet, pengkomputeran dalam kereta,alat kawalan robotik dan alat untuk dapatan dan analisa data.

Laman sesawang rasmi bagi badan ini adalah di alamat URL, http://www.raspberrypi.org. Boleh layari laman web tersebut untuk maklumat lanjut dan terkini.



Sembang ICT 80: Cara jual laptop terpakai. Utusan Malaysia. 30 Julai 2012.

Diskusi ICT 79




Saya mempunyai sebuah Laptop lama. Saya terfikir untuk menjualnya sama ada sebagai Laptop terpakai atau dikitar semula. Apakah langkah yang perlu diambil terhadap Laptop tersebut sebelum saya menjualnya?



Man, Jengka.



Terima kasih tuan. Sekiranya boleh, elakan membuang Laptop atau komputer riba atau komputer lama secara biasa kerana ia akan mencemar alam sekitar. Cara yang tuan cadangkan amat baik iaitu digunakan semula sama ada secara keseluruhan atau komponen-komponen yang terdapat di dalamnya. Komponen-komponen komputer itu dibina dengan mineral-mineral yang berharga terutama mineral emas. Jadi, fikir dahulu sebelum buang.



Emas lain dalam komputer lama yang perlu ditangani dengan baik adalah data dan maklumat. Di sini, dibincangkan beberapa langkah yang wajar diambil untuk menangani isu tersebut.



1. Buat salinan pendua atau back up segala data peribadi yang berada dalam komputer lama. Ia boleh digunakan dengan pelbagai storan media seperti cakera keras luaran, DVD, aplikasi awanan dan lain-lain. Boleh juga dibuat beberapa salinan.



2. Simpan cakera keras (Hard Disk) komputer lama atau gunakan perisian seperti disk wipe utility untuk hapuskan segala data yang berada di dalamnya secara kekal. Ini kerana cakera keras mengandungi banyak data peribadi seperti nombor akaun bank, kata laluan, gambar keluaga dan sebagainya. Data yang dibuang secara biasa dalam sistem Windows sebenarnya masih wujud dalam cakera keras dan ia boleh dikembalikan dengan menggunakan perisian pemulihan semula atau recovery tool.



Bukan setakat buang fail secara biasa malah format secara biasa ke atas cakera keras juga tidak akan menghilangkan segala data yang berada dalamya.



3. Pastikan tiada sebarang cakera optikal seperti CD, CD-R, CRW, DVD dan sebagainya dalam tempat simpanan komputer lama. Begitu juga dengan cakera storan USB. Keluarkan semuanya terlebih dahulu daripada komputer lama.



Itulah perkara yang perlu dibuat untuk melindungi segala data yang berada dalam sebuah komputer lama. Saya mengatakan ia emas kerana harga yang sangat mahal perlu dibayar untuk mendapatkannya semula. Mungkin lebih mahal daripada harga segram emas atau lebih daripada itu. Data peribadi yang jatuh kepada seseorang yang tidak bertanggung jawab akan dimanipulasikan untuk tujuan dan kepentingan peribadi individu tersebut. Jadi, fikir dan bertindak bijak sebelum menjual sesebuah komputer lama.



Friday, December 30, 2011

Sembang ICT 29.: Tangani Masalah Komputer Digodam. Utusan Malaysia. 8 Ogos 2011.

Diskusi ICT 29

Sekiranya komputer saya sudah digodam, apakah yang perlu saya buat?

Yusof, Lubuk Ayam.

Pertamanya, saya mengucapkan terima kasih kepada semua pembaca yang menghantar soalan di ruangan sembang ICT ini. Saya meminta maaf kepada semua pembaca kerana tidak semua soalan yang dapat dibalas dengan segera disebabkan oleh kesuntukan masa dengan kerja-kerja hakiki. Kebanyakannya saya akan membalas jawapan kepada soalan-soalan yang kritikal terlebih dahulu. Insya’allah, saya akan cuba menjawab kesemua soalan-soalan tersebut secepat yang mungkin.

Seterusnya menjawab persoalan tersebut, banyaklah tanda-tanda bagi sesebuah komputer itu digodam seperti komputer menjadi perlahan, capaian internet juga menjadi perlahan, komen daripada pihak penyedia Internet mengatakan terdapat trafik yang tinggi dan tidak diperlukan berpunca daripada komputer anda, terdapat laporan daripada pihak bank mengatakan akaun bank anda di internet ada melakukan aktiviti-aktiviti yang anda tidak lakukan dan lain-lain.

Sekiranya berlaku keadaan sebegitu iaitu berkemungkinan komputer anda sudah digodam, ada beberapa perkara yang boleh diambil untuk menormalkan kembali keadaan komputer tersebut.

  1. Pengasingan komputer anda.

Disebabkan komputer anda telah digodam, penggodam akan menghubungi komputer anda dengan trojan, malware dan sebagainya menerusi rangkaian Internet. Jadi, putuskan segala sambungan rangkaian komputer anda menerusi wayar atau tanpa wayar. Putuskan segala jenis sambungan ini secara fizikal iaitu dengan mencabut kabel dan menyah aktifkan kad rangkaian tanpa wayar.

Selain daripada untuk memutuskan hubungan dengan penggodam, ia juga satu cara untuk mengelakan berlakunya jangkitan sebarang virus komputer merebak menerusi rangkain ke komputer yang lain.

  1. Padamkan komputer dan tanggalkan cakera keras.

Seterusnya adalah padamkan komputer dan tanggalkan cakera keras. Jadikan cakera keras tersebut sebagai pemacu kedua dan unbootable pada komputer yang lain.

Sebelum itu, pastikan pada komputer tersebut, program Windows, perisian anti-virus dan sebagainya telah dikemas kini. Muat turun dan pasangkan perisian pengimbas rootkit seperti Sophos.

Cakera keras tersebut boleh menggunakan sambungan USB untuk memudahkan kerja. Sekiranya masih ragu-ragu atau tiada komputer kedua, bolehlah menghantar cakera keras tersebut ke kedai membaiki komputer.

  1. Imbas cakera keras untuk segala jangkitan dan Malware.

Pada komputer kedua, imbas cakera keras yang digodam tadi dengan menggunakan perisian anti-virus, anti-spyware dan anti-rootkit. Baiki dan buang segala jangkitan yang ada pada sistem fail dalam cakera keras itu.

  1. Bina salinan pendua data-data yang penting.

Salin mana-mana fail atau data yang penting daripada cakera keras yang dibaiki ke mana-mana media storan yang patut dan bebas daripada sebarang jangkitan virus.

  1. Pasang kembali cakera keras.

Seterusnya, cakera keras tersebut ditanggalkan daripada komputer kedua dan pasang kembali pada komputer yang sudah digodam. Pastikan kesemua fail-fail penting sudah dibuat salinan pendua.

  1. Format cakera keras.

Langkah yang seterusnya adalah format dan membuat semula partition pada cakera keras tersebut. Ia penting untuk membuang segala jenis Malware, jangkitan atau pencerobohan yang telah dibuat oleh penggodam terhadap cakera keras tersebut.

Perkara yang paling merbahaya adalah sekiranya pihak penggodam telah mengjangkitkan cakera keras kita dengan mana-mana program Buffer over Flow (BoF). Dengan BoF, kita sukar untuk mengjangkakan atau mengimbas masalah ini dengan mana-mana program komputer kerana ia telah mengubah suai sistem komputer yang berjalan normal.

Format yang dilakukan bukan format yang biasa yang dilakukan tetapi menggunakan program komputer tertentu atau dikenali sebagai disk wipe utility. Ia akan mengambil masa yang lama untuk mengosongkan kesemua sektor yang terdapat dalam cakera keras.

Contoh program yang boleh digunakan adalah seperti Spin Rite, Disk Manager dan lain-lain. Ini penting untuk membersihkan cakera keras tersebut daripada segala jenis ancaman dan penggodaman.

  1. Pemasangan sistem pengoperasian.

Pasangkan kembali sistem pengoperasian kepada komputer tersebut. Seterusnya pastikan anda muat turun dan pasang kesemua program kemas kini dan patches pada sistem pengoperasian yang digunakan.

  1. Pemasangan perisian keselamatan

Pasang dan kemas kini perisian keselamatan seperti perisian anti-virus, perisian anti-spyware dan lain-lain.

  1. Kembalikan salinan fail-fail.

Fail-fail yang penting tadi perlu diimbas keselamatannya terlebih dahulu sebelum disalin kembali ke dalam komputer.

  1. Bina sistem back up.

Bangunkan sistem back up untuk sistem keseluruhan cakera keras untuk memudahkan proses kembalikan semula sistem komputer sekiranya berlaku kegagalan fungsi yang disebabkan oleh virus, malware, penggodaman atau lain-lain.

Ia dibina menggunakan mana-mana perisian back up dengan membuat pengimejan cakera keras yang bootable sebagai fail back up kepada keseluruhan sistem komputer dalam cakera keras.

Inilah beberapa langkah penting yang perlu dilakukan terhadap sistem komputer yang telah digodam. Penggodaman ini bukan sahaja menyebabkan masalah kepada anda tetapi kadang kala mereka menggunakan komputer anda sebagai salah satu alat untuk melakukan serangan siber terhadap rangkaian atau sistem komputer yang lebih besar lagi atau jenayah siber yang lain.

Semoga ia bermanfaat.

Utusan Online

Sembang ICT 25. : Cara Elakan Data Hilang daripada Komputer. Utusan Malaysia. 11 Julai 2011.

Diskusi ICT 25

Apakah panduan untuk kita elakan data-data daripada komputer hilang?

Sekian, terima kasih.

Huey Ying, Mengkarak Stesen.

Apabila berlaku kehilangan data, ia memberi masalah kepada kita untuk melaksanakan sesuatu kerja atau tugasan. Jadi, untuk mengembalikan data yang rosak dan hilang memerlukan kepakaran yang tinggi dalam komputer dan kosnya sudah tentulah agak mahal.

Namun begitu, dapatan kembali data-data tersebut berkemungkinan tidak berjaya. Jadi, cara yang paling baik dan mudah untuk kita mengelakan daripada data-data hilang adalah melakukan salinan pendua kepada data-data tersebut.

Di sini, saya sertakan beberapa panduan dalam mengendalikan simpanan data yang baik dalam sesebuah komputer.

Jangan simpan data dalam pemacu yang sama dengan sistem pengoperasian Windows.

Ini adalah satu sebab mengapa kita mengadakan lebih daripada satu pemacu dalam cakera keras. Biasanya sistem pengoperasian Windows dipasangkan pada pemacu C. Jadi, pemacu D atau pemacu yang lain digunakan untuk simpanan data.

Secara lalai atau default apabila kita simpan satu fail yang menggunakan program pemproses kata, secara automatik ia akan di simpan di My Documents yang berada dalam pemacu C. Jadi, sekiranya berlaku masalah pada sistem Windows seperti serangan virus atau berlaku sistem fail yang rosak. Ia akan menyukarkan kita untuk mendapatkan kembali fail atau data yang berada dalam pemacu C atau fail-fail tersebut juga turut rosak atau hilang.

Di samping itu, anda juga boleh simpan data tersebut pada cakera keras yang lain.

Buat salinan pendua bagi data-data yang penting.

Ia boleh dilakukan dengan program Backup yang sedia ada dalam sistem pengoperasian Windows. Salinan pendua ini boleh dilakukan dengan menyimpannya ke dalam cakera keras, CD, DVD atau Pen Drive. Namun begitu apa yang penting adalah kekerapan ia dibuat iaitu mungkin sehari sekali atau seminggu sekali dan sebagainya.

Peralatan media yang dibuat simpanan salinan pendua data-data tadi boleh disimpan di dalam peti besi yang tahan api dan sebagainya. Itu sekiranya data-data tersebut sangat penting kepada kita.

Buat salinan fail cetakan.

Fail-fail atau data-data yang penting boleh dicetak dan disimpan ke dalam peti besi yang selamat dan tahan api. Sekiranya sistem komputer gagal berfungsi dan rosak, ia boleh digunakan sebagai bukti pembayaran dan sebagainya.

Akhir kata, perlu ada displin yang teratur dalam penyimpanan fail atau data yang penting. Laksanakan sistem salinan pendua sama ada secara digital atau cetakan bagi fail atau data yang penting tersebut. Fail atau Data yang hilang dan rosak agak sukar untuk dikembalikan dan ia memerlukan kos yang sangat tinggi.

Utusan Online

Monday, December 12, 2011

Sembang ICT 15: Format Komputer Riba. Utusan Malaysia. 2 Mei 2011




Diskusi ICT 15

Salam 1Malaysia,

Saya merupakan pembaca ruangan MEGA utusan Malaysia dan melihat ada ruangan baru, iaitu sembang ICT.

Ruang tersebut amat menarik minat saya kerana saya sememangnya amat berminat dengan perkakasan komputer namun memiliki pengetahuan berkenaan perisian yang agak terhad.

Soalan yang ingin saya kemukakan kepada saudara Sembang ICT:

1.) Bagaimana mahu memformat komputer riba (Format C) kerana komputer riba saya kini agak perlahan.

2.) Bolehkah memori (RAM) komputer riba 'diupgradekan' kepada yang lebih tinggi, jika boleh apakah cadangan Sembang ICT, jika diupgrade adakah ia akan menjejaskan komputer saya (atau rosak)? Saya menggunakan komputer riba dari jenama ACER INSPIRE.

Sekian terima kasih.

ASH, SERDANG.

Salam satu Malaysia kembali. Terima kasih.

Sebelum menjawab persoalan pertama, anda perlu tahu bahawa sekiranya kita format C pada cakera keras, segala data yang berada di dalamnya akan dibuang termasuk sistem pengoperasian Windows. Jadi, selepas melakukan format C, anda perlu memasang semula sistem pengoperasian Windows ke dalam komputer riba tersebut. Pastikan anda membuat salinan data-data yang penting ke tempat lain sebelum melakukan format C ini.

Anda boleh melakukan format kepada cakera keras ini sama ada ia pemacu C,D,E dan lain-lain menerusi sistem pengoperasian Windows atau menggunakan program komputer yang lain semasa but komputer dijalankan. Bagi melaksanakan format ini menerusi Windows, ada dua cara iaitu melaksanakan baris arahan dengan menggunakan COMMAND PROMPT atau menggunakan program Windows sedia ada.

Bagi melaksanakan baris arahan, anda perlu pergi ke START > RUN, taip cmd pada ruangan kosong dan tekan ENTER atau pergi ke START > PROGRAMS > ACCESSORIES > COMMAND PROMPT.

Apabila sudah berada dalam program COMMAND PROMT ini, taipkan perkataan seperti yang berikut:-

C:\format C:

Dalam sistem pengoperasian Windows juga terdapat program sedia ada yang boleh melakukan format C ini. Antaranya adalah seperti berikut, pergi ke START. Klik kanan dan pilih EXPLORE. Seterusnya pergi ke MY COMPUTER. Pilih mana pemacu yang hendak diformat dan klik kanan. Pilih FORMAT. Ikut arahan yang seterusnya. Klik START.

Kebanyakkan komputer riba pada masa kini mempunyai bahagian atau partition pada cakera keras yang dikenali sebagai Recovery Partition. Ia dikhaskan untuk melaksanakan penyelenggaraan terhadap sistem pengoperasian Windows pada cakera keras yang bermasalah. Jadi, anda boleh masuk ke dalam bahagian ini dengan menekan butang tertentu pada papan kekunci anda seperti F5 dan sebagainya mengikut kepada manual komputer riba yang digunakan seperti Acer. Seterusnya, anda akan mempunyai pilihan untuk membuang, memformat, membuat bahagian pada cakera keras dan memasang sistem pengoperasian.

Anda boleh menggunakan CD atau DVD pemasangan Windows. Aktifkan dan masuk ke dalam CD atau DVD anda ketika but permulaan komputer. Seterusnya anda akan mempunyai pilihan seperti mana dalam Recovery Partion di atas.

Akhir sekali, boleh menggunakan mana-mana program komputer seperti Spin Rite, Disk Manager, Fdisk dan sebagainya dengan but menggunakan CD,DVD, Disket atau cakera Flash USB. Pastikan ia sesuai dan disokong oleh komputer riba anda.

Bagi persoalan kedua, memori RAM boleh dinaik taraf kapasitinya mengikut kemampuan sistem komputer riba anda. Penaikan taraf memori RAM yang baik dan betul berupaya meningkatkan prestasi komputer riba anda.

Sebelum membuat sebarang naik taraf memori RAM, beberapa perkara berkenaan perlu diketahui terlebih dahulu. Antaranya adalah seperti berikut:-

  1. Kenal pasti jenis, kelajuan dan kapasiti memori RAM yang sedia ada dalam komputer riba anda.

  1. Kena pasti modul dan bilangan slot memori yang ada dalam komputer riba dan berapa slot yang telah digunakan seperti SIMM, DIMM, SODIMM dan lain-lain.

  1. Bagi kapasiti dan kelajuan memori RAM yang tinggi, pastikan komputer riba anda menyokong fungsi Error Corecting Code (ECC).

Bagi mengetahui berapa kapasiti memori RAM yang ada dalam sesebuah komputer, boleh taipkan dalam kotak dialog RUN, msinfo32 dan tekan ENTER atau cari program SYSTEM INFORMATION dalam Windows.

Jenis memori yang sama dan disokong oleh sistem komputer sedia ada sahaja yang dibenarkan di naik taraf seperti sama ada ia SD RAM, DDR, DDR2, DDR3 atau sebagainya. Begitu juga dengan kapasiti bagi setiap kepingan RAM seperti 16 MB, 32 MB, 64 MB, 128 MB, 256 MB, 512 MB, 1 GB, 2GB, 4GB dan lain-lain, perlu dirancang mengikut keperluan dan sokongan oleh komputer riba anda.

Pastikan anda membuat pemasangan kepingan RAM kepada slot dengan cara yang betul dan berhati-hati. Ini kerana ia boleh menyebabkan memori RAM rosak sekiranya tercalar dan sebagainya. Begitu juga dengan kelajuan bagi setiap kepingan RAM tersebut, sama kelajuannya di antara satu sama lain adalah antara cara yang terbaik.

Anda boleh dapatkan maklumat berkenaan dengan memori RAM menerusi dokumentasi sistem komputer yang dibekalkan bersama-sama dengan komputer riba anda. Maklumat lanjut berkenaan dengan memori RAM, anda boleh layari laman web syarikat pengeluar komputer riba seperti Acer, Dell dan sebagainya atau laman web syarikat pengeluar memori RAM seperti Kingston di www.kingston.com, Crucial di www.crucial.com dan lain-lain. Anda juga boleh ke laman web berikut, http://www.laptopmemoryupgrade.com


Sembang ICT 14: Buka Akaun Facebook. Utusan Malaysia. 25 April 2011.


Diskusi ICT 14

Salam , saya ada 2 soalan :

1 . Bagaimana cara nak buka akaun sosial Facebook . Perlukah saya membuka satu lagi akaun emel baru dan bolehkah saya mengunapakai kata laluan (Password) yang sama ketika hendak membuka akaun facebook tersebut ?

2 . Apakah cara masukkan imej / objek daripada Memory Card ( telefon bimbit dan kamera digital) ke dalam PC dan laptop . Apakah perisian yang diperlukan?

Sekian , wassalam .

Liza, Kuala Terengganu , Terengganu Darul Iman .

Wa’alaikumussalam. Bagi menjawab soalan pertama. Pertamanya anda perlu pergi ke laman web Facebook di http://www.facebook.com. Pada muka depan lama web tersebut ada ruangan pendaftaran yang dikenali sebagai Sign Up. Masukkan segala data yang diperlukan di ruangan kosong

Bagi maklumat berkenaan dengan e-mel, anda boleh memasukkan maklumat e-mel yang sedia ada selagi ia belum didaftarkan di web Facebook ini. Sekiranya tiada e-mel, anda perlu membuat satu e-mel untuk tujuan pengesahan akaun Facebook anda setelah pendaftaran akaun di buat.

Bagi kata laluan, anda boleh menggunakan kata laluan yang sama digunakan pada e-mel tersebut. Walau bagaimana pun, dari segi aspek keselamatan siber, ia tidak digalakan. Sekiranya anda kurang memahami Bahasa Inggeris, boleh tukar antara muka dengan Bahasa Melayu dengan mengklik perkataan Bahasa Melayu yang terdapat dibahagian bawah muka utama laman web tersebut.

Seterusnya klik pada butang Sign Up di bawah borang pendaftaran tersebut. Ikut arahan seterusnya. Setelah itu, pihak Facebook akan menghantar e-mel pengesahan akaun ke e-mel yang didaftarkan.

Semak dalam e-mel untuk dapatkan e-mel pengesahan tersebut. Sekiranya ada, buka dan klik pada sambungan yang diberi. Akaun Facebook anda telah diaktifkan dan boleh digunakan. Lengkapkan beberapa maklumat yang diperlukan sekiranya perlu.

Bagi menjawab persoalan dua pula, secara umumnya, bagi telefon bimbit dan kamera digital yang mempunyai kad memori ia menyokong sambungan ke komputer. Pastikan terlebih dahulu telefon bimbit dan kamera digital yang digunakan menyokong sambungan ke komputer.

Anda boleh menyambung telefon bimbit dan kamera digital anda ke komputer dengan menggunakan:-

  1. Kabel sambungan USB
  2. Pembaca kad memori USB
  3. Sambungan secara Infra-red
  4. Sambungan secara Bluetooth.

Penggunaan kabel sambungan USB ini biasanya didatangkan bersama-sama dengan kamera digital atau telefon bimbit yang dibeli. Sekiranya tiada, ia boleh dibeli di kedai-kedai komputer atau telekomunikasi. Bagi pembaca kad memori USB, anda perlu membelinya dikedai-kedai komputer dan pastikan ia sesuai dengan kad memori yang digunakan pada kamera digital dan telefon bimbit.

Seterusnya pastikan sambungan port USB ada pada komputer anda dan berfungsi dengan baik untuk sambungan kabel USB ini ke kamera digital atau telefon bimbit. Hanya sambungkan sahaja kamera digital atau telefon bimbit ke port USB komputer yang dikehendaki menggunakan kabel sambungan USB.

Bagi pembaca kad memori USB, masukkan kad memori kamera digital atau telefon bimbit ke dalamnya dan sambungkan ke port USB komputer yang dikehendaki.

Bagi sambungan secara Infra-red atau Bluetooth, ia merupakan sambungan tanpa wayar. Telefon bimbit dan kamera digital berserta komputer yang hendak dihubungkan dengan cara ini perlu mempunyai fungsi sambungan Infra-red dan Bluetooth. Ia perlu aktifkan kemudahan sambungan tersebut di antara peralatan-peralatan tersebut.

Sekiranya, apa sahaja jenis sambungan telah berjaya dihubungkan di antara telefon bimbit dan kamera digital dengan komputer, pemindahan fail boleh dilakukan seperti biasa menggunakan Windows, Linux dan sebagainya seperti Windows Explorer. Anda hanya perlu klik dan salin sahaja daripada peralatan tersebut ke komputer dan sebaliknya.

Ia tidak memerlukan perisian yang khas untuk pemindahan fail. Namun demikian ada perisian-perisian tertentu yang boleh digunakan untuk mengurus fail-fail yang terdapat di dalamnya. Kadang kala pihak pengeluar kamera digital atau telefon bimbit tersebut menyediakan perisian mereka sendiri untuk melaksanakan pengurusan fail dan sebagainya.

Sembang ICT 13: Bengang PC Terpadam. Utusan Malaysia. 18 April 2011.

Diskusi ICT 13

1. Assalamu'alaikum. Saya menggunakan komputer jenis PC. Jenis Windows ME. RAM saya 256 MB. Kadang-kadang ia terpadam dengan sendiri, kemudian PC tersebut akan restart semula. Desktop saya dalam Safe Mode. Saya tak boleh nak pilih 1.Normal. Skrin jadi hitam. Apabila saya tutup komputer, mesej yang tertera tidak terpadam seperti yang sepatutnya."You can switch off your computer now !". Mesej tersebut tidak terpadam selama beberapa minit. Jadi saya tutup suis kotak(suis utama). Apa yang patut saya buat selain hantar ke kedai ? Kalau boleh saya nak cuba baiki sendiri.

Wan Muhammad Faiz. Kg. Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu

Wa’alaikumussalam. Apa yang saudara hadapi adalah simptom-simptom daripada masalah sebenar yang dihadapi. Banyak perkara perlu dilihat. Sebelum saya memberi beberapa panduan secara teknikal dengan simptom-simptom yang dihadapi, perlu diketahui bahawa masalah tersebut perlu dikenal pasti terlebih dahulu.

Proses untuk mengenal pasti masalah komputer ini ada beberapa peringkat atau lapisan iaitu:-

  1. Perisian.
  2. Sistem pengoperasian.
  3. Sistem BIOS (Basic Input Output System).
  4. Perkakasan.

Jadi, diperingkat permulaan berkemungkinan ada masalah dari segi perkakasan kerana saya andaikan komputer saudara sudah terlalu lama disebabkan penggunaan Windows ME yang sudah tidak disokong oleh pihak Microsoft pada masa kini. Namun begitu ia tidak mustahil berpunca daripada masalah perisian, sistem BIOS atau sistem pengoperasian Windows.

Saudara juga boleh pergi ke Control Panel > System > Advance > Start Up and Recovery > Settings. Pada ruangan System Failure, kosongkan kotak bagi pilihan Automatically restart. Ini adalah untuk mengelakkan system Windows daripada berulang kali memulakan semula program Windows setiap kali ia dibuka.

Seterusnya untuk melihat masalah yang dihadapi kenapa sistem Windows kerap kali membuka semula atau restart programnya, sila ke My Computer > Manage > Computer Management > Event Viewer > System. Sila lihat pada simbol pangkah berwarna merah kenapa sistem Windows komputer tersebut bermasalah.


Di sini disenaraikan beberapa punca yang menyebabkan komputer saudara bermasalah dan mempunyai simptom seperti yang dinyatakan iaitu:-

  1. Masalah virus komputer seperti lsass.exe. Jadi imbas komputer anda dengan perisian anti-virus yang telah dikemas kini.

  1. Masalah perisian pemacu perkakasan yang dipasang bermasalah. Sila semak di My Computer > Properties > Hardware > Device Manager. Sekiranya ada yang bermasalah, sila buang dan pasang semula program pemacu tersebut.

  1. Masalah pemasangan kad paparan atau kad bunyi pada komputer atau slot kadnya bermasalah.

  1. Masalah konfigurasi paparan dalam Windows seperti resolusi yang tidak sesuai dan sebagainya.

  1. Masalah konfigurasi pada BIOS bagi kad paparan atau kad bunyi. Ini kerana kebanyakan papan utama atau motherboard pada masa kini mempunyai kad paparan dan bunyi yang terbina di dalamnya. Jadi, ia perlu dinyah aktifkan terlebih dahulu sekiranya mahu memasang kad paparan atau kad bunyi yang lain. Ia boleh dikonfigurasi pada jumper atau BIOS.

  1. Komponen memori RAM bermasalah atau slotnya yang digunakan bermasalah. Laksanakan pengujian terhadap RAM dengan program komputer yang tertentu. Terdapat program berasaskan sumber terbuka seperti memtest86+ yang boleh dimuat turun di http://www.memtest.org.

  1. Masalah kepanasan yang melampau pada CPU. Sila semak perbincangan sebelum ini.

  1. Masalah bekalan kuasa. Ia perlu diganti dengan yang baru sekiranya bermasalah atau sudah terlalu lama digunakan.

  1. Masalah pada papan utama. Ia perlu diganti dengan yang baru sekiranya bermasalah atau sudah terlalu lama digunakan.

Sekiranya masalah tersebut berpunca daripada perisian atau sistem penggoperasian Windows, lakukan penyelenggaraan terhadap sistem pengoperasian Windows. Seterusnya, lakukan langkah-langkah pembaikan semula Windows dengan menggunakan program baik pulih Windows, konfigurasi semula sistem Registry dan sebagainya. Sekiranya bermasalah juga, buat salinan data ke tempat lain. Format cakera keras dan pasang semula sistem pengoperasian Windows.

Sekiranya masalah tersebut berpunca daripada perkakasan, komponen-komponen komputer tersebut perlu digantikan dengan yang baru. Cara untuk mengenal pastinya, boleh menggunakan program-program komputer tertentu, menggunakan alat pengesan arus elektrik dan kaedah cuba jaya. Kaedah cuba jaya ini kita uji komponen-komponen tersebut dengan cara memasangnya pada komputer lain atau pasang tanggal pada komputer yang sedia ada.

Friday, January 28, 2011

Kolum Pertama Sembang Bersama Firkhan

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2011&dt=0124&pub=Utusan_Malaysia&sec=Megabait&pg=me_06.htm

Thursday, December 9, 2010

Adakah komputer bijak1?

As Salam pagi Khamis,

Selalunya ramai orang beranggapan bahawa komputer merupakan sesuatu yang pintar dan hebat. Namun begitu, ia tidaklah seindah apa yang dimimpikan semalam.

Komputer tidak berfikir, komputer juga tidak mengetahui apa-apa dan komputer tidak memahami satu pun yang ada dalamnya.

Komputer hanya melaksanakan arahan yang diberikan sahaja. Tidak lebih daripada itu.

Kita berfikiran komputer itu hebat kerana ia berupaya menyelesaikan pelbagai masalah dan memudahkan segala kerja.

Terima kasih kepada alkhawarizmi kerana beliaulah yang mencipta bahasa sebenar komputer yang menggunakan binari digit 1 atau 0.