Monday, December 24, 2012
Sembang ICT 81: Raspberry Pi PC berfungsi lengkap sebagai komputer. 6 Ogos 2012.
Salam bahagia. Saya ada mendengar berkenaan komputer sebesar kotak mancis atau berbentuk seperti kad bank ATM iaitu Raspberry Pi PC. Boleh encik bincangkan.
Wong, Kota Bharu.
Raspberry Pi merupakan satu badan kebajikan yang menumpukan kajian dalam bidang sains komputer. Mereka telah berjaya mencipta sebuah komputer yang saiznya seperti yang tuan nyatakan tadi. Komputer yang dibangunkan merupakan sebuah papan litar seperti motherboard yang mempunyai fungsi lengkap sebagai sebuah komputer dengan port-port yang terkini. Di bawah ini dinyatakan spesifikasinya seperti yang dinyatakan oleh pihak Raspberry Pi.
Pemproses jenis Broadcom BCM2835 700MHz ARM1176JZFS dengan FPU dan Videocore 4 GPU.
Cip GPU ini menyediakan Open GL ES 2.0, Hardware-Accelerated OpenVG dan 1080p30 H.264 Decode yang berprofil tinggi.
Cip GPU ini berkeupayaan 1 Gpixel/s, 1.5 Gtexel/s atau 24 GFLOPs dengan tapisan tektur dan infrastruktur DMA.
Memorinya, 256 MB RAM.
Berupaya but dari kad SD.
Berupaya menjalankan sistem OS Fedora.
Mempunyai soket rangkaian berwayar 10/100 BaseT Ethernet.
Mempunyai soket HDMI, USB 2.0, Video RCA dan kad SD.
Janaan kuasa daripada soket MicroUSB.
Mempunyai sistem audio, 3.5 mm Audio Out Jack.
Mempunyai Header Footprint untuk sambungan kamera.
Mempunyai saiz, 85.6 x 53.98 x 17 mm.
Harga bagi sebuah komputer ini dinyatakan berharga RM 125 dan ia perlu dibuat pesanan secara dalam talian di alamat URL, http://malaysia.rs-online.com. Wakil pengedar sah di Malaysia adalah RS Component Sdn. Bhd.
Kegunaan komputer ini adalah ia boleh menjadi komponen penting untuk mennjadikan sesuatu peralatan mempunyai fungsi pengkomputeran seperti alat saluran pelbagai jenis media seperti radio, televisyen dan sebagainya, mesin arked untuk sistem permainan video, komputer tablet, mengautomasi peralatan rumah seperti peti sejuk dan sebagainya, alat saluran media berinternet, pengkomputeran dalam kereta,alat kawalan robotik dan alat untuk dapatan dan analisa data.
Laman sesawang rasmi bagi badan ini adalah di alamat URL, http://www.raspberrypi.org. Boleh layari laman web tersebut untuk maklumat lanjut dan terkini.
Friday, January 6, 2012
. Sembang ICT 49: Operasi PC perlahan dengan jalur lebar. Utusan Malaysia. 26 Disember 2011.
Diskusi ICT 51
Salam. Saya seorang pengguna Broadband Internet yang mempunyai kelajuan capaian internet bagi download sebanyak 10 GB dan upload sebanyak 3 Mbps. Bagi saya, ia sudah laju untuk membuka laman web yang ringan. Masalahnya, saya sukar untuk buka laman Facebook dan membuat capaian video di internet sejak akhir-akhir ini. Kadang kala ia membuatkan PC saya bermasalah. Adakah ini berpunca daripada masalah PC atau Broadband Internet saya? Sejak dua hari yang lepas PC saya mula bergerak perlahan. Sebelum ini Broadband saya berupaya sehingga 5 GB untuk download dan 1.5 Mbps untuk upload tetapi masih boleh melihat video.
Harap dapat membantu. Terima kasih.
Aku komplot, PJ
Berdasarkan kepada situasi yang diberikan saya berpendapat capaian internet anda menjadi perlahan disebabkan oleh masalah keupayaan komputer yang digunakan. Ini kerana capaian internet pada masa sebelum ini tiada masalah dan komputer tersebut juga menjadi perlahan untuk beroperasi.
Di sini saya cadangkan beberapa tindakan yang boleh dibuat untuk baik pulih sesebuah sistem komputer.
- Pastikan membuat kemas kini bagi segala aplikasi komputer yang digunakan terutama sekali Windows dan perisian anti-virus.
- Membuat pengimbasan virus dan malware dengan menggunakan perisian anti-virus yang sudah dikemas kini. Ini kerana masalah virus dan malware ini menyebabkan berlakunya simptom komputer menjadi perlahan.
- Membuat penyelenggaraan kepada sistem komputer Windows anda agar segala sumber-sumbernya digunakan dengan baik dan cekap. Lakukan aktiviti-aktiviti seperti scan disk, disk defragmenter, disk clean up dan lain-lain. Kebanyakan program-program ini boleh dicapai di Start > Programs > Accessories > System Tools. Sila rujuk ruangan Sembang ICT yang lepas untuk penjelasan yang lebih mendalam.
- Sila pastikan tiada aplikasi komputer yang tidak diperlukan beroperasi di belakang sistem Windows. Ini boleh dikenalpasti menerusi program Task Manager dan Startup. Sila konfigur agar aplikasi-aplikasi komputer ini tidak akan beroperasi secara automatic apabila Windows dibuka.
- Sekiranya masih berlaku masalah komputer beroperasi dengan perlahan. Sila buat semakan terhadap perkakasan komputer tersebut seperti cakera keras, memori, bekalan kuasa, pemproses atau CPU dan sebagainya agar semuanya berada dalam keadaan baik. Sila semak ruangan Sembang ICT yang lepas untuk penjelasan yang lebih terperinci.
- Bagi melancarkan lagi capaian internet, gunalah pelayar web atau browser pada versi yang terkini dan telah dikemas kini. Hindarkan daripada memasang program-program tambahan yang tidak perlu kepada pelayar web tersebut. Ini akan membuatkan pelayar web tersebut memerlukan proses yang lebih banyak dan berat. Sentiasa mengosongkan ruangan cache pada pelayar web yang digunakan.
Akhir kata, apa kapasiti kelajuan internet yang dilanggan itulah sepatutnya yang diperolehi. Namun begitu, sekiranya konfigurasi tidak dilakukan dengan betul terhadap akaun internet dan peralatan-peralatan untuk capaian internet, capaian internet juga akan menjadi perlahan. Bagi capaian internet jalur lebar tanpa wayar, ia mempunyai masalah capaian yang disebabkan oleh masalah alam semula jadi, lokasi penyambungan, bilangan pengguna untuk suatu perkhidmatan dan lain-lain.
Semoga bermanfaat. Terima kasih.
Monday, December 12, 2011
Sembang ICT 13: Bengang PC Terpadam. Utusan Malaysia. 18 April 2011.
1. Assalamu'alaikum. Saya menggunakan komputer jenis PC. Jenis Windows ME. RAM saya 256 MB. Kadang-kadang ia terpadam dengan sendiri, kemudian PC tersebut akan restart semula. Desktop saya dalam Safe Mode. Saya tak boleh nak pilih 1.Normal. Skrin jadi hitam. Apabila saya tutup komputer, mesej yang tertera tidak terpadam seperti yang sepatutnya."You can switch off your computer now !". Mesej tersebut tidak terpadam selama beberapa minit. Jadi saya tutup suis kotak(suis utama). Apa yang patut saya buat selain hantar ke kedai ? Kalau boleh saya nak cuba baiki sendiri.
Wan Muhammad Faiz. Kg. Banggol Tok Jiring, Kuala Terengganu
Wa’alaikumussalam. Apa yang saudara hadapi adalah simptom-simptom daripada masalah sebenar yang dihadapi. Banyak perkara perlu dilihat. Sebelum saya memberi beberapa panduan secara teknikal dengan simptom-simptom yang dihadapi, perlu diketahui bahawa masalah tersebut perlu dikenal pasti terlebih dahulu.
Proses untuk mengenal pasti masalah komputer ini ada beberapa peringkat atau lapisan iaitu:-
- Perisian.
- Sistem pengoperasian.
- Sistem BIOS (Basic Input Output System).
- Perkakasan.
Jadi, diperingkat permulaan berkemungkinan ada masalah dari segi perkakasan kerana saya andaikan komputer saudara sudah terlalu lama disebabkan penggunaan Windows ME yang sudah tidak disokong oleh pihak Microsoft pada masa kini. Namun begitu ia tidak mustahil berpunca daripada masalah perisian, sistem BIOS atau sistem pengoperasian Windows.
Saudara juga boleh pergi ke Control Panel > System > Advance > Start Up and Recovery > Settings. Pada ruangan System Failure, kosongkan kotak bagi pilihan Automatically restart. Ini adalah untuk mengelakkan system Windows daripada berulang kali memulakan semula program Windows setiap kali ia dibuka.
Seterusnya untuk melihat masalah yang dihadapi kenapa sistem Windows kerap kali membuka semula atau restart programnya, sila ke My Computer > Manage > Computer Management > Event Viewer > System. Sila lihat pada simbol pangkah berwarna merah kenapa sistem Windows komputer tersebut bermasalah.
Di sini disenaraikan beberapa punca yang menyebabkan komputer saudara bermasalah dan mempunyai simptom seperti yang dinyatakan iaitu:-
- Masalah virus komputer seperti lsass.exe. Jadi imbas komputer anda dengan perisian anti-virus yang telah dikemas kini.
- Masalah perisian pemacu perkakasan yang dipasang bermasalah. Sila semak di My Computer > Properties > Hardware > Device Manager. Sekiranya ada yang bermasalah, sila buang dan pasang semula program pemacu tersebut.
- Masalah pemasangan kad paparan atau kad bunyi pada komputer atau slot kadnya bermasalah.
- Masalah konfigurasi paparan dalam Windows seperti resolusi yang tidak sesuai dan sebagainya.
- Masalah konfigurasi pada BIOS bagi kad paparan atau kad bunyi. Ini kerana kebanyakan papan utama atau motherboard pada masa kini mempunyai kad paparan dan bunyi yang terbina di dalamnya. Jadi, ia perlu dinyah aktifkan terlebih dahulu sekiranya mahu memasang kad paparan atau kad bunyi yang lain. Ia boleh dikonfigurasi pada jumper atau BIOS.
- Komponen memori RAM bermasalah atau slotnya yang digunakan bermasalah. Laksanakan pengujian terhadap RAM dengan program komputer yang tertentu. Terdapat program berasaskan sumber terbuka seperti memtest86+ yang boleh dimuat turun di http://www.memtest.org.
- Masalah kepanasan yang melampau pada CPU. Sila semak perbincangan sebelum ini.
- Masalah bekalan kuasa. Ia perlu diganti dengan yang baru sekiranya bermasalah atau sudah terlalu lama digunakan.
- Masalah pada papan utama. Ia perlu diganti dengan yang baru sekiranya bermasalah atau sudah terlalu lama digunakan.
Sekiranya masalah tersebut berpunca daripada perisian atau sistem penggoperasian Windows, lakukan penyelenggaraan terhadap sistem pengoperasian Windows. Seterusnya, lakukan langkah-langkah pembaikan semula Windows dengan menggunakan program baik pulih Windows, konfigurasi semula sistem Registry dan sebagainya. Sekiranya bermasalah juga, buat salinan data ke tempat lain. Format cakera keras dan pasang semula sistem pengoperasian Windows.
Sekiranya masalah tersebut berpunca daripada perkakasan, komponen-komponen komputer tersebut perlu digantikan dengan yang baru. Cara untuk mengenal pastinya, boleh menggunakan program-program komputer tertentu, menggunakan alat pengesan arus elektrik dan kaedah cuba jaya. Kaedah cuba jaya ini kita uji komponen-komponen tersebut dengan cara memasangnya pada komputer lain atau pasang tanggal pada komputer yang sedia ada.
