Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 85: Media sosial jaringan maya guna peralatan elektronik. Utusan Malaysia. 1 Oktober 2012.

Diskusi ICT 87




Saya keliru. Apakah beza antara media sosial, laman web sosial dan muka buku?



Sekian terima kasih.

Kum Kum, Kulai Spring.



Terima kasih. Pada mulanya ia dikenali sebagai social networking atau jaringan sosial. Jaringan sosial ini adalah satu medium untuk para pengguna bersosial sesama mereka secara maya dalam sesebuah komuniti atau masyarakat. Jadi, secara fizikalnya, umat Islam akan bersosial di masjid disamping beribadah, para ilmuan akan bersosial di seminar-seminar ilmu, para masyarakat barat akan bersosial di kelab-kelab, masyarakat melayu atau Malaysia pula biasa bersosial di kedai-kedai mamak atau kedai kopi, masyarakat jepun akan bersosial di pusat-pusat karoke dan sebagainya. Bersosial atau bermasyarakat merupakan satu fitrah manusia untuk berkongsi pendapat, cerita, melakukan sesuatu aktiviti, penyampaian sesuatu berita atau ilmu dan lain-lain dalam sesebuah komuniti.



Perbuatan bersosial secara maya pula satu cara bersosial yang menggunakan teknologi dan peralatan elektronik seperti telefon pintar, komputer riba, komputer tablet dan sebagainya berserta dengan aplikasi sosial tertentu dan ada sambungan komunikasi sama ada menerusi perkhidmatan internet, talian mudah alih dan lain-lain. Jadi, perkhidmatan jaringan sosial pula merupakan sebuah pelantar yang disediakan oleh sesiapa sahaja terutama sesebuah organisasi di internet seperti Salam, Facebook, Twitter, YouTube, Hi5, Google+, Tagged, Myspace, Flickr, Pinterest, Gowalla dan lain-lain.



Media sosial atau Social Media adalah sesebuah teknologi berasaskan web atau medium mudah alih yang menyediakan satu aplikasi komunikasi interaktif untuk para pengguna bersosial secara maya. Teknologi media sosial ini mempunyai pelbagai jenis bentuk seperti majalah, forum internet, blog, wikis, gambar, video, jaringan sosial, podcast, penandaan dan perbandingan. Kesemua jenis teknologi ini boleh diintegrasikan dalam satu pelantar seperti dalam sesebuah laman web sosial di Salam, Facebook, Twitter dan lain-lain.



Laman web sosial atau Social Web adalah pelantar dan aplikasi komputer untuk bersosial secara maya yang berasaskan laman web dan sambungan internet seperti Salam, Facebook dan lain-lain. Laman web sosial ini menyediakan perkhidmatan jaringan sosial untuk digunakan oleh para pengguna. Teknologi web yang terkini dan canggih digunakan untuk menyediakan laman web sosial ini seperti teknologi Web 2.0, Dataweb, Ajax dan lain-lain. Wikis dan blog juga merupakan antara jenis-jenis laman web sosial.



Muka buku pula adalah tanggapan salah bagi sesetengah masyarakat terhadap sebuah laman web sosial yang sangat popular iaitu Facebook. Facebook merupakan salah satu perkhidmatan jaringan sosial yang berasaskan web dan pelantar mudah alih. Facebook merupakan satu jenama dan kata nama seperti Adidas, Petronas, Salam dan lain-lain. Bagaimana kita mahu terjemah perkataan Adidas kepada bahasa melayu? Masalah ini berlaku kepada masyarakat kita dahulu seperti Maggie merujuk kepada mee segera, Milo merujuk kepada minumam coklat, Colgate merujuk kepada ubat gigi dan lain-lain. Pada hal, Maggie, Milo dan Colgate adalah merupakan satu jenama sama seperti Facebook.



Perkataan muka buku pula dari segi terjemahan kepada bahasa melayu adalah salah kerana menurut pakar bahasa inggeris ia adalah masalah direct translation atau terjemahan secara mendadak. Sekiranya mahu terjemah perkataan Facebook kepada bahasa melayu, perkataan yang betul adalah buku muka iaitu satu koleksi buku elektonik yang terdapat pelbagai muka para penggunanya. Itu adalah sebab nama Facebook diberikan. Muka buku pula adalah muka utama atau satu helaian bagi sesebuah buku.



Jadi, ini bukan isu betul atau salah tetapi adalah paparan maklumat yang betul berkenaan sesuatu perkara. Media sosial dan laman web sosial merujuk kepada satu aplikasi komputer yang menyediakan perkhidmatan jaringan sosial daripada pelbagai bentuk, teknologi dan tujuan. Mana kala perkataan muka buku merupakan satu tanggapan salah terhadap sebuah laman web sosial yang popular iaitu Facebook. Facebook merupakan satu kata nama dalam bahasa melayu dan ia adalah satu jenama. Bagaimana untuk terjemah perkataan Facebook kepada bahasa melayu? Adakah terjemahan tersebut betul? Fikir dan fikir-fikirlah sefikir-fikirnya.







No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.