Monday, December 31, 2012

Sembang ICT 91: Bantu Selesaikan Masalah Pelayan . Utusan Malaysia. 24 Disember 2012.

Diskusi ICT 64


Salam,

Saya mempunyai masalah tentang server. Syarikat saya telah membeli server dua tahun yang lepas tetapi tidak pernah menggunakannya. Mereka menyuruh saya untuk menggunakan server tersebut untuk penggunaan syarikat. Ada beberapa soalan yang saya akan tanya iaitu:-

1. Bagaimana untuk setup server tersebut?

2. Adakah perkhidmatan untuk setup server di syarikat-syarikat? Kalau ada perkhidmatan tersebut, di harap pihak anda dapat membantu saya dalam masalah ini
Sekian, terima kasih.

Zulakhmar, KL



Wassalam. Tahniah di atas keprihatinan saudara. Pertamanya akan dijelaskan terlebih dahulu apa itu server atau komputer pelayan. Komputer pelayan merupakan sebuah komputer yang menyediakan kemudahan-kemudahan aplikasi komputer tertentu kepada sebilangan pengguna atau komputer lain yang dikenali sebagai client atau pelanggan. Sebagai contoh, pihak Facebook menyediakan komputer pelayan yang menyediakan perkhidmatan aplikasi Facebook untuk dicapai dan digunakan oleh ramai penggunanya atau client. Ia berasaskan kepada seni bina sambungan komputer, client-server.

Komputer pelayan ini ada tiga lapisan iaitu perkakasan, sistem pengoperasian dan aplikasi pelayan. Perkakasan adalah struktur fizikal komputer itu sendiri. Komputer peribadi atau PC boleh bertindak sebagai komputer pelayan tetapi mempunyai keterbatasan yang tertentu dari segi upaya perkakasannya.

Komputer pelayan yang dalam bentuk fizikal mempunyai keupayaan yang tertentu dari segi bilangan pemproses, kelajuan pemproses, saiz memori, saiz simpanan cakera keras dan sebagainya. Sudah tentu keupayaannya adalah lebih tinggi berbanding komputer peribadi kerana ia memproses sejumlah data yang besar dan memerlukan capaian pengguna yang tinggi. Terdapat banyak pengeluar komputer pelayan ini seperti Hawlett Packard, Dell, Sun Microsystem, IBM dan lain-lain.

Komputer pelayan secara bentuk fizikalnya juga boleh dikategorikan kepada rack server, tower server, blade server dan lain-lain. Keperluan jenisnya bergantung kepada saiz ruangan simpanan yang ada di bilik simpanan data.

Lapisan yang kedua adalah sistem pengoperasian pelayan seperti Windows Server 2008, Linux, Unix, OS X Lion Server dan lain-lain. Adakalanya Komputer pelayan ini disertakan bersama dengan sistem pengoperasian seperti Unix dan OS X Lion Server. Sistem pengoperasian bagi komputer peribadi yang tertentu juga boleh digunakan tetapi ia mempunyai keterbatasan berbanding sistem pengoperasian pelayan.

Lapisan yang ketiga adalah aplikasi pelayan yang digunakan untuk komputer pelayan tersebut seperti aplikasi pelayan e-mel, pelayan DNS, pelayan fail, pelayan web, pelayan aplikasi komputer, pelayan pangkalan data, pelayan aplikasi komunikasi dan lain-lain. Aplikasi-aplikasi pelayan ini ada yang bersama-sama dengan sistem pengoperasian dan ada yang berasingan. Setiap aplikasi pelayan ini mempunyai pengeluar-pengeluarnya yang tersendiri. Sebagai contoh, Microsoft menghasilkan Microsoft Exchange Server untuk aplikasi pelayan e-mel, pihak Oracle menghasilkan pelayan pangkalan data Oracle dan sebagainya. Di pihak pengguna, perlu ada aplikasi pengguna untuk capai aplikasi pelayan ini atau client application.

Berbalik kepada soalan yang dikemukakan, saya berandaian bahawa komputer pelayan secara fizikalnya sudah ada bersama dengan sistem pengoperasian. Ini kerana kebiasaannya sistem pengoperasian akan datang bersama-sama dengan komputer pelayan. Jadi, perlu ditentukan keperluan syarikat untuk menggunakan komputer pelayan itu dari segi aplikasi pelayannya seperti yang dinyatakan sebelum ini dan upayanya dalam memberi perkhidmatan kepada para pengguna.

Sekiranya, komputer pelayan yang dibeli dikeluarkan oleh pengeluar tertentu, sila lawati laman web dan menghubungi pihak jualan pengeluar komputer pelayan tersebut untuk bimbingan dan nasihat. Sekiranya komputer pelayan tersebut adalah jenis pasang siap, sila hubungi pihak syarikat yang menjualnya untuk bantuan. Sekiranya tidak, boleh berhubung dengan mana-mana syarikat teknologi maklumat atau pakar teknologi maklumat untuk bantuan penyelesaiannya.

Bagi pemasangan sistem pengoperasian pelayan dan aplikasi pelayan, tiada masalah sekiranya seseorang itu sudah biasa dengan pemasangan sistem pengoperasian dan aplikasi komputer peribadi. Sila semak manual pengguna yang disediakan atau boleh rujuk di laman web pihak pengeluar.

Pekara yang agak kritikal adalah untuk mengkonfigurasinya bagi kegunaan tertentu seperti sambungan, akaun pengguna, sambungan ke aplikasi tertentu dan lain-lain. Ini boleh dibuat sendiri dengan kepakaran yang ada atau meminta bantuan daripada pihak ketiga. Kepakaran boleh dibina dengan menyertai mana-mana kursus, perbincangan dengan para pakar dan mendapatkan maklumat daripada laman-laman web, buku dan artikel.

Bagi sebuah komputer pelayan fizikal, boleh diwujudkan secara maya atau virtualization beberapa komputer yang mempunyai sistem pengoperasian yang berasingan setiapnya. Malah, komputer pelayan secara maya ini boleh dilanggan di internet dengan teknologi pengkomputeran awanan seperti yang disediakan perkhidmatannya oleh Amazon Web Services (AWS), Rackspace, SoftLayer, RightScale dan lain-lain.

Selamat mencuba dan berjaya.





No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.