Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 75: Kelebihan Windows 8. Utusan Malaysia. 18 Jun 2012.

Diskusi ICT 74




Microsoft akan melancarkan sistem pengoperasian yang baru iaitu Windows 8. Apakah kelebihannya berbanding Windows 7 bagi pengguna komersial?



Jalil, Pekan Rabu.



Secara umumnya, sistem pengoperasian Windows 8 mempunyai kelebihan yang ketara berbanding Windows 7 adalah dari segi aplikasi pengurusan perkakasan-perkakasan komputer oleh sistem pengoperasian. Ia dikendalikan oleh satu sistem yang dikenali sebagai Windows Metro UI yang membuatkan perjalanan sistem Windows 8 lebih pantas dan tersusun. Selain daripada itu, terdapat beberapa perkara yang memberi kelebihan kepada para pengguna komersial di sektor pekerjaan yang akan dibincangkan seterusnya.



1. Windows 8 mempunyai proses but komputer dengan cara yang lebih cepat, cekap dan selamat. Ia mempunyai fungsi Secure Boot yang akan menghalang proses but komputer daripada objek yang tidak dibenarkan seperti firmware, sistem pengoperasian atau driver. Ia menggunakan sistem but Unified Extensible Firmware Interface (UEFI) berbanding sistem BIOS yang digunakan sekarang. Pengguna mempunyai pilihan untuk tidak menggunakan fungsi ini tetapi bagi Windows 8 berasakan RT untuk komputer tablet ia merupakan satu kemestian.

2. Aplikasi Task Manager juga diperbaharui untuk penggunaan yang lebih cekap dan pantas. Antaranya ialah dengan adanya satu aplikasi yang sangat berguna untuk memantau penggunaan komputer iaitu Resource Monitor. Antara muka aplikasi ini juga sangat menarik dan mesra pengguna.

3. Penggunaan multi-monitor bagi komputer yang lebih cekap, fleksibel dan informatif berbanding sistem pengoperasian Windows 7 dan sebelumnya.

4. Penggunaan aplikasi SMB3 yang ditingkatkan. Aplikasi SMB3 akan mempercepatkan proses pemindahan fail yang dienkripsi dan mempercepatkan proses enkripsi itu sendiri. Terdapat fungsi baru iaitu SMB Multichannel iaitu membenarkan sistem menggunakan pelbagai saluran rangkaian komputer dengan lebih baik.

5. Penggunaan aplikasi pemayaan, Hyper-V pada komputer peribadi dapat dijalankan dengan lebih baik. Penggunaan sistem Hypervisor dalam aplikasi VMWare Workstation dan Virtual Box banyak digunakan di syarikat-syaarikat. Aplikasi Hyper-V merupakan aplikasi pemayaan yang terbaik dan ia perlu disokong oleh pemproses yang mempunyai ciri Second Layer address Translation (SLAT).

6. Penggunaan aplikasi Windows To Go untuk mencapai sistem Windows 8 di mana-mana oleh mana-mana peralatan yang dibenarkan seperti melalui pemacu USB dalam sistem Windows 7 dan sebagainya.



Penggunaan konsep dan sistem baru seperti Windows Metro UI dan UEFI telah meningkatkan lagi penggunaan Windows 8 yang akan meningkatkan produktiviti sesebuah syarikat. Walau bagaimanapun, ia bergantung kepada keperluan dan kemampuan sesebuah syarikat untuk menggunakannya. Pihak Microsoft ada menyediakan kemudahan untuk memuat turun Windows 8 di laman webnya untuk para pengguna menguji sistem tersebut.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.