Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 84: Ingin tahu aplikasi Groupware untuk syarikat sederhana. Utusan Malaysia. 24 September 2012.

Diskusi ICT 85




Apakah aplikasi komputer Groupware percuma yang boleh diguna pakai untuk syarikat kami yang bersaiz sederhana?



Sekian terima kasih.

Mat, Labu.



Aplikasi komputer Groupware merupakan satu alat aplikasi kerja berkumpulan yang mempunyai aplikasi-aplikasi komputer seperti e-mel, forum elektronik, sistem pengurusan kandungan, kalender, fail, berita, nota, chat, inventori dan lain-lain. Bagi syarikat-syarikat yang mampu, aplikasi Groupware ini boleh dibangunkan sendiri atau membeli perisian komersial daripada syarikat lain. Terdapat juga aplikasi Groupware ini yang disediakan di platform pengkomputeran awanan atau oleh pihak ketiga yang mana kosnya agak sedikit lebih rendah seperti Google Apps yang disediakan oleh pihak Google dan lain-lain.



Namun begitu, terdapat banyak aplikasi Groupware ini yang boleh digunakan secara percuma. Apa yang penting adalah infrastruktur untuk implementasinya perlu dipenuhi seperti keperluan komputer, keperluan perisian, sistem pengoperasian dan sumber-sumber fizikal pengkomputeran yang cukup. Seterusnya, kerja konfigurasi juga perlu dilakukan dengan cekap, betul dan tepat.



Salah satu aplikasi groupware percuma yang menyediakan aplikasi komputer lengkap adalah aplikasi Simple Groupware. Ia boleh dimuat turun di alamat URL, http://www.simple-groupware.de/cms. Ia mempunyai versi untuk pelbagai jenis sistem pengoperasian seperti Window, Linux, Solaris, Apple atau FreeBSD. Ia juga merupakan aplikasi Groupware yang berasaskan web. Jadi, ia mudah untuk dikendalikan dan boleh dicapai dengan pelbagai pelantar.



Keperluan asas yang diperlukan untuk menjalankan aplikasi Simple Groupware ini adalah seperti berikut:-



1. Pelayan web – Apache 2.x ke atas, IIS 7 ke atas atau nginx 1.x ke atas.

2. Aplikasi PHP - Versi 5.3.0 ke atas.

3. Pangkalan data – Sekurang-kurangnya MySQL 5, MariaDB 5, PostgreSQL 8.2 atau SQLite 3.0.



Bagaimana untuk memasangnya?



1. Muat turun fail pemasangan di laman web Simple Groupware. Seterusnya pindah fail tersebut ke dalam aplikasi pelayan web yang digunakan. Ia penting bagi membolehkan fail pemasangan boleh dicapai dengan menggunakan pelayar web.



2. Pemasangan aplikasi pangkalan data dan bangunkan pangkalan data yang digunakan.

3. Pemasangan aplikasi PHP GD Library untuk pemprosesan imej oleh aplikasi Simple Groupware.



4. Konfigur kebenaran untuk mencapai fail-fail tersebut mengikut jenis sistem pengoperasian yang digunakan.



5. Seterusnya buka alamat web bagi pemasangan aplikasi Simple Groupware yang telah dikonfigur dan disimpan dalam aplikasi pelayan web. Contohnya, http://alamatweb/SimpleGroupware. Seterusnya bermulalah proses pemasangan aplikasi Simple Groupware ini menerusi pelayar web. Baca arahan semasa proses pemsangan dan konfigur aplikasi ini mengikut kesesuaian dan keperluan.



Ketika proses pemsangan, pastikan ruangan perjanjian aplikasi dipersetujui. Seterusnya untuk bangunkan dan konfigur laman web bagi aplikasi Simple Groupware yang dipasang, masuk ke dalam sistem tersebut sebagai pentadbir.



Selamat mencuba.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.