Showing posts with label Majalah estidotmy. Show all posts
Showing posts with label Majalah estidotmy. Show all posts

Monday, December 24, 2012

Bicara IT 4: Islam dan dunia pengkomputeran. Majalah estidotmy. Utusan Malaysia. 29 Oktober 2012.

Islam dan Dunia Pengkomputeran




oleh : Firkhan Ali Bin Hamid Ali



Dalam Islam, ilmu sains dan teknologi adalah satu ilmu untuk mengkaji kejadian-kejadian semula jadi ciptaan Allah Taala. Ini termasuk ilmu pengkomputeran, teknologi maklumat dan komunikasi. Dalam Al-Quran, Allah Taala menyuruh manusia berfikir berkenaan kejadian-kejadian ciptaan-Nya. Tujuannya adalah untuk peningkatan iman dan taqwa bagi seseorang manusia untuk menyembah kepada-Nya. Seterusnya ia dapat memakmurkan kehidupan manusia dan makhluk lain di muka bumi ini.



Banyak kejadian-kejadian alam semula jadi ciptaan Allah Taala dibincangkan dalam Al-Quran. Sebagai satu contoh, dalam ayat 1-4, Surah Az-Zaariyat diceritakan berkenaan sesuatu yang ada kaitan dengan teori teknologi rangkaian komputer tanpa wayar. Sedia maklum, ia telah menjadi satu budaya kehidupan dalam masyarakat moden kini untuk mencapai perkhidmatan internet. Jelaslah bahawa Nabi Muhammad S.A.W dan Al-Quran bukannya satu alat ramalan masa hadapan tetapi kesemuanya adalah kebenaran yang telah disampaikan oleh Allah S.W.T kepada kekasih-Nya.



Petikan terjemahan Fi-Zilalil Quran karangan Syed Qutb ayat 1- 4, Surah Az Zaariyat:-



Dengan nama Allah yang Maha Penyayang dan Maha Pengasih.



1. Demi kekuatan penabur-penabur yang menabur dengan sebaik-baik taburan. (Az Zaariyat)

2. Dan demi kekuatan pembawa-pembawa muatan. (Al-Haamilat)

3. Dan demi kekuatan yang berlari dengan selesa. (Al-Jaariyat)

4. Dan demi kekuatan pembahagi-pembahagi urusan. (Al-Muqassimat)



Dalam dunia pengkomputeran, data-data disimpan dalam bentuk berstruktur yang dikenali sebagai sistem pangkalan data atau database. Namun begitu, pada hari ini dengan istilah teknologi maklumat yang baru iaitu big data atau data besar, data-data tidak semestinya dalam bentuk yang berstruktur semata-mata. Al-Quran yang telah diturunkan juga merupakan satu simpanan data yang padat, berstruktur dan tidak berstruktur. Tidak berstruktur itu bermakna data-data yang sedia ada boleh dihuraikan, ditafsir, dikembangkan dan dianalisa dengan lebih terperinci dan meluas dengan kaedah-kaedah tertentu yang sahih.



Nombor yang menjadi asas dalam ilmu sains dan teknologi termasuk bagi ilmu pengkomputeran, teknologi maklumat dan komunikasi banyak dibincangkan dalam Al-Quran. Ilmu matematik penting bagi dunia Islam untuk mendapatkan ketepatan dalam sesuatu ibadah yang dijalankan seperti penentuan arah kiblat, pengiraan bilangan hari dalam sesebuah bulan bagi penentuan sesuatu hari yang penting seperti ibadat puasa di bulan Ramadhan, pembahagian harta pusaka dan lain-lain.



Seterusnya, lahirlah ramai pakar-pakar Islam dalam bidang matematik yang mendapat inspirasi daripada Al-Quran dan syariat Islam. Antaranya yang penting adalah Al-khwarizmi. Antara sumbangannya, beliau berjaya memperjelaskan kepentingan nombor sifar atau 0 dalam sistem penomboran. Ajaibnya nombor sifar ini ialah ia tidak mempunyai nilai tetapi apabila ditambah disebelah kanan kepada sebarang nombor akan meningkatkan nilai nombor tersebut. Begitu juga sekiranya ditambah sifar ini disebelah kiri bagi sesuatu nombor, nilai bagi nombor tersebut tersebut akan berkurangan (nombor perpuluhan).



Penemuan kepentingan nombor sifar dan sistem penomboran oleh Al-khwarizmi telah mencetuskan fenomena besar dalam ilmu pengkomputeran, teknologi maklumat dan komunikasi. Sesebuah komputer menggunakan nombor binari iaitu 1 atau 0 dalam memproses data dan maklumat. Harus diingat bahawa Al-khwarizmi bukan sahaja seorang sarjana muslim yang pakar dalam ilmu matematik tetapi beliau juga pakar dalam ilmu-ilmu yang lain terutama dalam memahami isi kandungan Al-Quran.



Al-khwarizmi telah memperkenalkan formula dan teori matematik yang dikenali sebagai aljabar atau Algebra dan Algoritma atau Algorithm. Teori Algebra dan Algorithm ini menjadi asas yang sangat penting dalam penerbitan formula-formula matematik dan pengiraan. Formula-formula ini pula digunakan untuk penyelidikan-penyelidikan dalam pelbagai displin ilmu termasuk ilmu sains komputer, teknologi maklumat dan komunikasi.



Satu konsep penting yang diperkenalkan oleh Al-khawarizmi dan ia digunakan dalam bidang pengkomputeran, teknologi maklumat dan komunikasi adalah konsep algoritma atau Algorithm. Semoga Allah Taala merahmati segala usaha beliau dalam memperkembangkan ilmu-ilmu ini. Algoritma merupakan satu kaedah penyelesaian sesuatu masalah secara terperinci, berstruktur dan langkah demi langkah.



Para bijak pandai mengatakan ilmu pengaturcaraan merupakan hati bagi ilmu pengkomputeran atau teknologi maklumat kerana daripadanya terhasil pelbagai jenis perisian komputer yang digunakan untuk pelbagai tujuan. Manakala, algoritma pula dikatakan sebagai hati bagi sesebuah pengaturcaraan itu.



Kebiasaannya, bagi para pelajar sains komputer dan teknologi maklumat di semester pertama pengajian akan mengambil subjek pengaturcaraan. Dalam subjek pengaturcaan ini, akan diajar satu bahagian penyelesaian masalah menggunakan kaedah algoritma ini. Seterusnya, penyelesaian masalah dalam bentuk algoritma ini akan diterjemahkan dalam bentuk penulisan kod atau pengaturcaraan dengan menggunakan pelbagai bahasa pengaturcaraan seperti bahasa C, Phython, Pascal, ABAP, Java, PHP dan lain-lain.



Begitulah serba sedikit kaitan antara Islam dengan ilmu pengkomputeran dan teknologi maklumat. Semoga Allah Taala membalas jasa kesemua ilmuan Islam yang sangat berjasa dalam ilmu sains dan teknologi untuk menerajui kehidupan manusia dengan lebih baik.

Semoga ia bermanfaat untuk semua. Fikir dan fikir-fikirlah sefikir-fikirnya.

Bicara IT 3: Panduan selamat guna media sosial. Majalah estidotmy. Utusan Malaysia. 29 September 2012.

Panduan Selamat Bermedia Sosial di Persada Maya




oleh : Firkhan Ali Bin Hamid Ali



Manusia merupakan makhluk ciptaan Allah Taala yang suka bersosial atau hidup bermasyarakat. Islam sebagai satu agama fitrah telah meletakan masjid sebagai tempat bersosial untuk umatnya. Masjid bukan sekadar tempat beribadah tetapi merupakan satu tempat untuk umatnya bermasyarakat dengan melakukan pelbagai aktiviti harian seperti belajar, berniaga, berbincang dan sebagainya. Itu merupakan satu kaedah bersosial secara fizikal.



Kini, manusia boleh bersosial secara maya menerusi teknologi laman web sosial atau media sosial. Teknologi ini telah menghimpunkan ramai pengguna terdiri daripada pelbagai latar belakang, umur dan profesion. Terdapat agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan menggalakan penggunaannya bagi mendapatkan maklum balas para pelanggan dengan lebih cepat dan cekap. Terdapat juga yang tidak membenarkan penggunaan media sosial di waktu bekerja kerana terdapat kesan-kesan negatif seperti hilang tumpuan bekerja, cuai, malas dan lain-lain.



Media sosial sangat popular digunakan kerana ia bersifat interaktif dan pantas dalam penyampaian sesuatu idea, berita dan informasi. Maklumat disebarkan secara pantas dan pukal. Contoh media sosial yang popular penggunannya adalah seperti Facebook, Twitter, Flickr, Yahoo 360, Youtube dan lain-lain.



Di sebalik kebaikan dan kerancakan media sosial menjana minda kreatif dalam satu jaringan sosial internet yang luas, terdapat ramai penjenayah mengambil kesempatan di atas keterbukaannya seperti jenayah seksual, kanak-kanak, peniruan, penipuan dan sebagainya. Mereka mengeksploitasi informasi dalam media sosial untuk mencari mangsa-mangsa yang berpotensi. Di Malaysia, jenayah penipuan menerusi media sosial ini telah menyebabkan mangsa kerugian sehingga jutaan Ringgit Malaysia saban tahun.



Pihak yang menyediakan media sosial ini telah mengambil langkah-langkah perlindungan dan keselamatan yang baik. Walau bagaimanapun, para pengguna perlu ada strategi dan cara penggunaan yang betul dan selamat supaya informasi yang dipaparkan tidak dieksploitasi oleh penjenayah-penjenayah ini.



Teknik yang digunakan oleh para penjenayah ini agak mudah iaitu teknik kejuruteraan sosial tanpa memerlukan kaedah berteknikal tinggi seperti dibuat oleh penggodam atau hacker. Contohnya, maklumat peribadi seseorang pengguna mudah diperolehi menerusi media sosial ini. Tambahan pula terdapat maklumat berkenaan ahli-ahli keluarga dan gambar-gambar yang berpotensi memberi maklumat kepada penjenayah-penjenayah ini.



Di samping itu, pelbagai jenis penipuan boleh dibuat seperti membuat iklan memerlukan pembantu rumah dengan maklumat temuduga dipaparkan. Apabila penjenayah tersebut mendapat mangsa yang sesuai, bakal pembantu rumah tersebut akan dibunuh atau disamun ketika menghadiri temuduga tersebut dan pelbagai lagi.



Jadi, terdapat beberapa panduan selamat bermedia sosial untuk mengelakan diri pengguna daripada dieksploitasi oleh para penjenayah ini. Berikut adalah beberapa panduannya.



1. Sentiasa berasa curiga untuk lebih berhati-hati ketika bermedia sosial. Sebagai contoh, ada seorang pengguna yang tidak dikenali dengan mudah mengaku mempunyai kesamaan dengan anda dalam pembacaan novel. Jadi, janganlah mudah memberi kepercayaan sepenuhnya kepada rakan siber tersebut yang tidak diketahui identiti dan tujuan sebenar mereka.



2. Sentiasa berwaspada untuk menerima rakan media sosial yang tidak dikenali.



3. Sekiranya terdapat kelakuan kelihatan seperti jenayah atau pelik yang dicurigai berlaku di sekitar media sosial, laporkannya kepada pihak pengendali media sosial tersebut atau kepada pihak berkuasa tempatan sekiranya ia berlebihan.



4. Komunikasi dan pendidikan kepada anak-anak kecil dan para remaja dalam bermedia sosial sangat penting agar mereka dapat menggunakan media sosial ini dengan betul, bertanggung jawab, berhati-hati dan selamat. Malah, mereka berupaya mengenali mana-mana bahaya dan ancaman ketika bermedia sosial.



5. Pengawalan penggunaan Internet boleh dibuat bagi kanak-kanak dan remaja terhadap komputer yang gunakan dengan penggunaan aplikasi kawalan seperti eBlaster daripada SpectorSoft. Segala aktiviti pelayaran dan penggunaan Internet dapat direkodkan termasuk penggunaan media sosial.



6. Kurangkan pendedahan maklumat peribadi dan hadkan capaian informasi di media sosial. Pastikan informasi hanya boleh dicapai oleh rakan-rakan yang dikenali terutama berkenaan dengan maklumat peribadi. Buat pemantauan yang kerap terhadap capaian informasi dan buat laporan sekiranya ada perkara-perkara yang dicurigai seperti penandaan gambar anak yang masih kecil sebagai “favorite“ oleh seseorang dan sebagainya.



7. Sentiasa menggunakan fungsi keselamatan yang disediakan oleh pihak media sosial seperti penggunaan fungsi https yang selamat.



8. Penggunaan komputer, capaian internet dan kata laluan yang kental dan selamat.



Penggunaan media sosial ini ibarat sebuah pisau di dapur. Sekiranya digunakan dengan betul seperti memotong sayur dan sebagainya, bermanfaatlah ia. Sekiranya tidak, ia akan memberi musibah kepada pengguna. Pengguna media sosial ini perlu dididik untuk penggunaan yang lebih cekap agar informasi dan idea yang dikongsi tidak dapat dieksploitasi oleh orang-orang yang bersisi gelap ini. Malah, segala jenis ancaman, penipuan dan bahaya dapat dikesan dengan lebih awal. Seterusnya, mereka tahu jenis tindakan yang perlu dibuat untuk menangani unsur-unsur ancaman dan bahaya tersebut.

Bicara IT 2: Data besar: Gergasi baru teknologi maklumat. Majalah estidotmy. Utusan Malaysia. 29 Ogos 2012.

BIG DATA: Gergasi Baru daripada Dunia Teknologi Maklumat




Ketika zaman penggunaan sistem maklumat, data-data terhad kepada lingkungan sistem maklumat itu sendiri yang menggunakan sistem pangkalan data. Apabila keperluan untuk dapatkan data daripada pelbagai sumber sistem-sistem maklumat yang sedia ada, diwujudkan kaedah penyimpannya yang dikenali sebagai gudang data atau data warehouse. Ia bertujuan untuk mengumpul data-data yang diperlukan daripada pelbagai sumber. Seterusnya, wujud pula kaedah perlombangan data atau data mining untuk memilih data-data yang diperlukan sahaja daripada lombokan data yang banyak terutama daripada gudang data.



Kini, data-data tidak lagi terhad kepada sistem pangkalan data atau sistem maklumat yang mengoperasikannya. Malah, data-data yang diperlukan juga ada yang tidak berstruktur seperti meta data, data-data yang diperolehi daripada fail-fail log seperti log web, data-data daripada sumber laman web sosial, blog, peranti elektronik seperti peranti RFID, Wi-Fi dan sebagainya.



Saiz keseluruhan data-data ini sangat besar sehingga boleh mencapai kepada unit Terabait (TB), Pentabait (PB), Exabait (EB) atau Zettabait (ZB). Jadi, disebabkan saiz data-data ini terlalu besar sehinggakan kadang kala agak sukar untuk mejangkakan saiznya, ia dikenali sebagai Big Data atau Data Besar. Data besar ini bukan sahaja boleh diklasifikasikan ciri-cirinya dari segi saiz atau jumlahnya (volume) tetapi berdasarkan kepada kadar kelajuan aliran data (velocity) dan pelbagai jenis data atau variety.



Kebanyakan data besar ini bertransaksi melalui talian internet sama ada berwayar atau tanpa wayar daripada pengguna akhir atau pelanggan ke organisasi. Jadi, organisasi perlu pastikan kemudahan infrastruktur untuk aliran data bagi data besar ini adalah terbaik. Sumber-sumber data besar ini berpunca daripada pelbagai jenis seperti web, peranti elektronik, telefon pintar dan sebagainya. Jadi, jenis data bagi data besar ini juga terdiri daripada pelbagai jenis data dan integrasi di antaranya perlu diambil perhatian. Biasanya antara format yang terbaik untuk mengintegrasikan data besar ini adalah format XML atau menggunakan aplikasi NoSQL, Hadoop dan lain-lain.



Antara kelebihan utama kepada organisasi yang menjalankan proses analisa terhadap data besar ini adalah akan ada data atau maklumat penting yang tersirat akan diperolehi seperti pengaruh rakan-rakan terhadap seseorang pelanggan dan sebagainya. Data-data ini sangat mahal untuk diproses atau diperolehi daripada pihak ketiga dengan cara dapatan yang biasa. Dengan data-data yang diperolehi daripada para pelanggan bersama-sama dengan rakan-rakan mereka, pengiklanan boleh dibuat secara mengikut kehendak dan keperluan individu tertentu dan berkemungkinan akan membina satu jenis perniagaan yang lain.



Di pihak industri teknologi maklumat, pihak penyedia penyelesaian masalah bagi data besar ini menyediakan tiga bentuk aplikasi iaitu secara perisian, perkakasan atau berasaskan awanan atau cloud. Bagi menentukan bentuk pelantar apa yang akan digunakan untuk menangani data besar ini, ia bergantung kepada data itu sendiri dari segi penempatannya, kerahsiaannya, keselamatannya dan perundangan.





Terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira untuk menangani penggunaan data besar ini dalam sesebuah organisasi. Antaranya adalah seperti yang dibincangkan seterusnya.



1. Isu-isu yang berkaitan dengan data besar dari segi kerahsiaan, keselamatan, perundangan dan implikasinya kepada sesebuah organisasi.



2. Aplikasi data besar dan perkembangannya yang merangkumi segala-galanya daripada pemula data atau startups sesebuah perniagaan ditubuhkan untuk bidang media, kewartawanan, pendidikan, penyelidikan dan lain-lain. Produk data ini boleh ada bagi kesemua bidang perniagaan.



3. Metodologi dan peralatan yang digunakan untuk menganalisa, memahami dan mengunakan data besar ini.



4. Pemprosesan data besar iaitu segala tindakan yang dilakukan terhadap data seperti proses mencari, menyusun, dan menganalisis data yang membolehkan organisasi terus maju dan berinovasi.



Penggunaan data besar akan menjadi asas utama persaingan dan pertumbuhan bagi sesebuah organisasi. Dari sudut pandang daya saing dan potensi nilai, semua organisasi perlu mengambil perhatian penting terhadap data besar ini. Dalam kebanyakan bidang perniagaan, para pesaing-pesaing perniagaan akan bersama-sama memanfaatkan kelebihan data besar ini. Ia akan menjadi satu strategi untuk pembaharuan, bersaing perkembangn dan menguasai nilai daripada maklumat yang mendalam sehingga yang terkini.



Penggunaan data besar menjadi asas gelombang baru pertumbuhan produktiviti dan pertambahan bilangan pengguna. Sesebuah perniagaan yang menggunakan data besar mempunyai potensi untuk peningkatan keuntungan yang lebih tinggi. Data besar menawarkan manfaat yang besar kepada pengguna dan organisasi. Sebagai contoh, perniagaan yang menggunakan data peribadi-lokasi pengguna membolehkan para pengguna selesa dengan perkhidmatan yang dibeli dan seterusnya akan meningkatkan keuntungan bagi sesebuah organisasi perniagaan.



Beberapa isu perlu ditangani untuk penggunaan data besar yang lebih berjaya. Dasar-dasar yang berkaitan dengan kerahsiaan, keselamatan, harta intelek dan liabiliti perlu ditangani dengan cekap bagi penggunaan data besar ini. Organisasi perlu mendapatkan pakar dan teknologi yang sesuai dengan keperluan organisasi. Disamping itu, struktur aliran kerja dan insentif untuk mengoptimumkan penggunaan data besar juga diperlukan.



Capaian kepada data adalah suatu perkara kritikal yang memerlukan segala maklumat diintegrasi daripada pelbagai sumber data sama ada ia memerlukan pihak ketiga untuk menguruskannya atau ada insentif lain untuk perkara tersebut. Data besar merupakan gergasi daripada teknologi maklumat yang akan menggegarkan dunia dalam pelbagai bidang untuk persaingan perniagaan yang lebih sihat dan maju.

Bicara IT 1: BYOD: Gaya perkomputeran kerja kini. Majalah estidotmy. Utusan Malaysia. 29 Julai 2012.

BYOD: Gaya pengkomputeran kerja kini.




Bring Your Own Device (BYOD) atau membawa peranti anda sendiri merupakan satu gaya pengkomputeran di mana para pekerja membawa sendiri peranti mudah alih atau komputer dalam pelbagai bentuk sama ada komputer tablet, komputer riba atau telefon pintar ke tempat kerja untuk melaksanakan tugas kerja masing-masing. Di samping itu, komputer kepunyaan peribadi tersebut digunakan untuk mencapai sumber-sumber teknologi maklumat sesebuah organisasi seperti perisian, sistem maklumat, internet, e-mel, rangkaian komputer dalaman dan sebagainya.





Pengkomputeran BYOD ini menjadi gaya atau kaedah baru ditempat kerja disebabkan oleh perkembangan aspek pengindividuan peranti elektronik atau personalization dan harga peranti-peranti mudah alih ini berada pada tahap mampu milik pengguna yang tinggi. Pengkomputeran BYOD ini boleh disekat amalannya oleh sesebuah organisasi tetapi ia berkemungkinan akan menyekat produktiviti dan kreativiti bagi seseorang pekerja.



Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh sesebuah organisasi adalah melaksanakan polisi-polisi, garis-garis panduan dan pendidikan bagi mengurus perlaksanaan pengkomputeran BYOD dalam sesebuah organisasi. Masalah yang kritikal adalah keselamatan dan kerahsiaan data dan harta intelek bagi sesebuah organisasi yang berada dalam peranti mudah alih atau komputer kepunyaan para pekerja.



Perkara paling penting bagi sesebuah organisasi menghadapi gaya pengkomputeran BYOD ini adalah ia perlu menyediakan satu pelantar pengkomputeran yang cekap, selamat dan mesra peranti mudah alih. Pelantar pengkomputeran ini perlu merangkumi keseluruhan infrastruktur teknologi maklumat kepunyaan sesebuah organisasi seperti internet, rangkaian komputer, sistem maklumat, perkakasan, perisian, pangkalan data, sistem pengoperasian dan data.



Pelantar yang sesuai untuk perlaksanaan pengkomputeran BYOD ini adalah pengkomputeran maya atau pengkomputeran awanan. Ini kerana, apa sahaja peranti mudah alih yang digunakan oleh pekerja untuk mencapai infrastruktur teknologi maklumat sesebuah organisasi akan dicapai menerusi komputer peribadi atau aplikasi secara maya dengan talian rangkaian setempat atau internet. Ia boleh diandaikan seperti komputer stesen kerja atau workstation mencapai sebuah komputer kerangka utama atau mainframe.



Pelantar pengkomputeran maya atau pengkomputeran awanan ini akan memudahkan pengurusan perlaksanaan pengkomputeran BYOD bagi pekerja dalam sesebuah organisasi. Para pekerja akan mencapai infrastruktur teknologi maklumat organisasi secara jauh dan terkawal. Apa yang paling penting adalah data yang merupakan aset kritikal bagi sesebuah organisasi dapat diurus dengan baik, selamat dan cekap dalam persekitaran pengkomputeran BYOD ini.



Beberapa persoalan dari sudut pandang penggunaan infrastrukur teknologi maklumat organisasi oleh para pekerja dalam pengkomputeran BYOD ini perlu dikaji dan ditangani dengan baik dan cekap. Antara persoalan-persoalannya adalah seperti berikut:-



1. Adakah peluang untuk para pekerja menggunakan apa-apa data atau harta intelek hak milik organisasi dalam peranti mudah alih hak peribadi mereka?



2. Adakah dibenarkan jenis-jenis capaian di buat kepada infrasruktur teknologi maklumat organisasi dan sekiranya ada yang tidak dibenarkan, bagaimana ia ditangani?



3. Apakah bentuk dan kadar kawalan yang diperlukan oleh organisasi terhadap peranti-peranti mudah alih peribadi ini dari sudut pandang pengurusan organisasi dan para pekerja?



4. Apakah bentuk-bentuk ancaman keselamatan yang berkemungkinan wujud dalam penggunaan peranti-peranti mudah alih ini dan bagaimana untuk menanganinya?



5. Adakah infrastruktur teknologi maklumat organisasi sedia ada berupaya untuk menangani penggunaan peranti-peranti mudah alih peribadi terutama dari segi keperluan jalur lebar dan kekangan-kekangan fizikal yang akan timbul? Bagaimana untuk mengatasinya?



6. Bagaimana pula dari segi bentuk sokongan, penyelenggaraan dan pengurusan infrastruktur teknologi maklumat yang diperlukan dalam pengkomputeran BYOD?



Konsep pengkomputeran BYOD ini sudah lama wujud dalam sesebuah organisasi tetapi bezanya adalah peranti mudah alih yang digunakan seperti komputer riba adalah hak milik organisasi dan para pekerja yang terlibat juga adalah terhad kepada bilangan dan jabatan yang tertentu seperti jabatan pemasaran dan jualan, sokongan dan lain-lain. Mereka ini perlu mencapai data atau sistem maklumat dari jarak jauh dan dikenali sebagai perkerja yang sentiasa buat kerja di luar pejabat atau mobile worker.



Gaya pengkomputeran BYOD ini sudah menjadi satu gaya kerja kini yang membolehkan produktiviti, inovasi dan kreativiti sesorang pekerja dikembangkan. Walau bagaimana pun, perlu ada polisi-polisi untuk mengawal dan mengurus perlaksanaannya. Dari sudut pandang sesebuah organisasi, perkara utama yang perlu dikaji adalah kesan kos-kos tambahan yang akan wujud dalam perlaksanaan pengkomputeran BYOD ini. Aspek keselamatan teknologi maklumat juga perlu dikaji semula dalam perlaksanaan pengkomputeran BYOD ini bagi menangani bentuk-bentuk ancaman baru yang perlu ditadbir urus dengan baik dan cekap.