Showing posts with label Laman web. Show all posts
Showing posts with label Laman web. Show all posts

Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 88: Mengelak laman web digodam. Utusan Malaysia. 19 November 2012.

Diskusi ICT 65




Saya ada satu soalan, bagaimanakah untuk menghindari daripada berlakunya sesebuah laman web itu digodam oleh seseorang ?



Isha, Seri Menanti



Dalam ruangan Sembang ICT ini, telah banyak dibincangkan secara umum dan spesifik berkenaan dengan pengendalian keselamatan teknologi maklumat. Jadi, boleh merujuknya kembali artikel-artikel yang lepas. Perkara asas dalam keselamatan teknologi maklumat yang perlu diambil kira ialah perimeter, pendidikan dan polisi atau 3P.



Berkenaan dengan keselamatan sesebuah laman web, ada beberapa peringkat yang perlu diteliti iaitu seperti yang tercatit seterusnya.



1. Peringkat aplikasi sesebuah laman web iaitu dari segi laman web itu sendiri, perisian, aplikasi pengurusan kandungan atau Content Management System (CMS), penulisan kod, bahasa pengaturacaraan dan pangkalan data.

2. Peringkat aplikasi storan laman web iaitu aplikasi pelayan web dan pelayan DNS yang diguna pakai.

3. Peringkat komputer pelayan yang digunakan untuk menyediakan kemudahan laman web dan komputer peribadi atau client yang digunakan untuk mencapai fungsi pengurusan laman web tersebut.

4. Peringkat capaian daripada para pengguna terhadap laman web dan sambungannya.



Seterusnya, disediakan panduan keselamatan secara umum bagi pengendalian sesebuah laman web sama ada ia bersifat statik, dinamik atau aplikasi.



1. Aplikasi pelayan DNS yang diguna pakai perlu sentiasa dikemas kini, dikonfigur dengan baik, selamat dan dienkripsi sambungannya. Sila guna aplikasi DNS yang mempunyai fungsi DNS Security Extension (DNSSEC) bagi memberi tahap keselamatan yang tinggi.

2. Sentiasa membuat kemas kini terhadap kesemua perisian dan perkakasan yang digunakan untuk mengendalikan dan membangunkan laman web.

3. Pengunaan kata laluan berserta teknik enkripsi yang kental dan selamat dalam kesemua pengendalian sesebuah laman web.

4. Pastikan keselamatan penggunaan e-mel pentadbir yang digunakan dalam mengendalikan laman web adalah pada tahap yang tinggi. Jangan dedahkannya kepada umum sekiranya tiada berkepentingan.

5. Penggunaan kata laluan yang selamat dan kental pada pangkalan data yang digunakan. Ramai pengguna membiarkan capaiannya tanpa kata laluan.

6. Elakan konfigurasi secara lalai atau default pada mana-mana aplikasi yang digunakan terutama pada pelayan web, pangkalan data, aplikasi pengurusan kandungan, blog, skrip dan sebagainya. Konfigur kesemuanya dengan selamat.

7. Elakan penggunaan aplikasi Telnet, aplikasi FTP dan sambungan Wi-Fi untuk mencapai pengurusan laman web secara jarak jauh kerana ia kurang selamat. Boleh menggunakan aplikasi yang mempunyai fungsi enkripsi seperti Secure FTP (SFTP), VPN dan lain-lain dalam menggunakan aplikasi capaian jarak jauh.

8. Semak kebenaran capaian fail dan direktori agar capaiannya selamat dan terhad oleh pihak yang bertangung jawab sahaja terutama fail dan direktori yang berada dalam aplikasi pelayan web.

9. Tambahkan skrip robot.txt kepada laman web. Ia adalah skrip arahan untuk laman-laman web enjin carian yang akan mengindek fail tertentu sahaja bagi sesebuah laman web yang dicari oleh para pengguna.

10. Pastikan komputer pelayan yang digunakan dikonfigur pada tahap keselamatan yang tinggi. Sentiasa membuat kemas kini dan penyelengaraan bagi perisian dan sistem pengoperasian yang digunakan secara berkala. Elak larikan komputer pelayan dalam mod penuh pentadbir atau Root.

11. Penggunaan perimeter keselamatan pada infrastruktur laman web seperti aplikasi Firewall Web, IDS, IPS, perisian anti-virus dan lain-lain. Konfigur dengan selamat dan sentiasa mengemaskini aplikasi yang digunakan.

12. Sentiasa melakukan pengujian keselamatan bagi laman web dengan menggunakan aplikasi-aplikasi tertentu seperti PHP Security Scanner, Web Security Testing, XSS String Encoder, SQL Encoder dan lain-lain atau secara manual. Ini juga dikenali sebagai Penetration Testing dan Security Audit. Ia boleh diuji kepada kod sumber, perisian, perkakasan dan capaian yang digunakan untuk sesebuah laman web.

13. Pastikan aplikasi pelayan web yang digunakan dikonfigur pada tahap keselamatan yang tinggi. Sentiasa membuat kemas kini dan penyelengaraan secara berkala. Pastikan aplikasi pelayan web menggunakan fungsi enkripsi SSL untuk keselamatan paparan sesebuah laman web.

14. Pastikan pengguna yang mencapai laman web dididik dengan cara penggunaan yang berhemah dan selamat seperti sambungan, penggunaan pelayar yang selamat, penggunaan akaun laman web dengan selamat dan lain-lain.

15. Wujudkan polisi keselamatan bagi capaian laman web secara dalaman atau secara luaran.

16. Penggunaan keselamatan fizikal yang baik untuk storan laman web seperti keadaan bilik yang kondusif dan selamat, teknik penguncian yang baik dan lain-lain.

17. Wujudkan sistem salinan data untuk kembalikan semula keadaan dan data sesebuah laman web ke bentuk asal sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini. Ini dikenali sebagai Bussiness Continuity Plan (BCP).

Sembang ICT 79: Laman web mesra telefon pintar. Utusan Malaysia. 9 Julai 2012.

Diskusi ICT 77




Syarikat kami mempunyai laman web. Walau bagaimana pun, ramai pengguna kami menggunakan telefon pintar untuk mencapai laman web tersebut. Bagaimanakah cara untuk menyediakan sesebuah laman web yang sedia dicapai daripada telefon pintar?



Man Kuala, Ipoh.



Pada hari ini, ramai pengguna menggunakan telefon pintar untuk mencapai perkhidmatan intenet. Capaian sesebuah laman web menerusi internet menggunakan telefon pintar kadang kala mempunyai masalah paparan atau tidak dapat dicapai kerana laman web yang dibangunkan itu hanya sesuai untuk dicapai menerusi komputer sahaja. Ini adalah kerana versi aplikasi pelayar web yang digunakan dalam telefon pintar dan komputer adalah berbeza. Disamping itu, keadaan skrin pada telefon pintar yang kecil memerlukan paparan dan capaian laman web yang sesuai.



Bagi menyediakan sebuah laman web yang mesra telefon pintar, tidak perlu membangunkannya semula seandainya ia sudah ada. Jadi, ia memadai menggunakan aplikasi-aplikasi sedia ada yang sesuai untuk menukar laman web sedia ada kepada bentuk yang mesra telefon pintar atau mobile. Terdapat dua jenis aplikasi ini iaitu aplikasi yang berasaskan plug-ins atau pemalam dan aplikasi yang berasaskan atas talian.



Bagi kategori aplikasi yang berasaskan pemalam, aplikasi yang digunakan akan berasaskan kepada aplikasi komputer yang digunakan untuk membangunkan sesebuah laman web tersebut seperti Wordpress, Joomla dan sebagainya. Sebagai contoh bagi aplikasi pembangunan web, Wordpress, terdapat beberapa aplikasi berasaskan pemalam yang boleh digunakan seperti seperti MobilePress dan Mippin. Aplikasi MobilePress boleh dicapai di alamat URL, http://wordpress.org/extend/plugins/mobilepress/ . Aplikasi Mippin boleh dicapai di alamat URL, http://wordpress.org/extend/plugins/mobilize-by-mippin/.



Bagi kategori aplikasi yang berasaskan atas talian, terdapat banyak aplikasi-aplikasi yang boleh digunakan untuk menukar laman web sedia ada ke versi mesra telefon pintar seperti aplikasi Google Mobile Optimizer, MobiReady, DudaMobile dan lain-lain. Aplikasi Google Mobile Optimizer boleh dicapai di URL, http://www.howtogomo.com/. Aplikasi MobiReady boleh dicapai di alamat URL, http://mobiready.com/. Aplikasi DudaMobile boleh dicapai di URL, http://www.dudamobile.com/. Aplikasi MobiReady dan DudaMobile disediakan secara percuma untuk menyediakan laman web sedia kepada bentuk yang mesra telefon pintar.



Penyediaan sesebuah laman web yang mesra telefon pintar untuk manfaat sesebuah organisasi adalah penting untuk hubungan dengan pengguna dan bakal pengguna. Namun begitu kandungannya mestilah sentiasa dikemas kini dan sentiasa selari dengan laman web untuk versi komputer biasa. Selamat mencuba.