Showing posts with label video. Show all posts
Showing posts with label video. Show all posts

Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 87: Memuat turun video daripada Youtube. Utusan Malaysia. 5 November 2012.

Diskusi ICT 89




Bagaimanakah untuk memuat turun video daripada laman web YouTube?



Terima kasih.

Pacat, Semporna.



Terima kasih. Pertamanya yang perlu diketahui adalah pihak YouTube hanya membenarkan para pelawat laman web mereka melihat dan menonton video di laman web YouTube sahaja. Jadi, bagi memuat turun video tersebut, ia memerlukan aplikasi komputer tertentu sama ada ia aplikasi berasaskan web, program komputer atau aplikasi tampalan bagi pelayar web.



Terdapat beberapa laman web yang menyediakan perkhidmatan memuat turun video daripada laman web video seperti laman web YouTube. Antaranya adalah seperti di http://www.savevid.com, http://www.keepvid.com dan lain-lain. Buka video yang dikehendaki di laman web YouTube. Salin alamat URL video tersebut ke laman web kedua seperti di laman web Savevid. Klik butang untuk memuat turun video di laman web tersebut. Seterusnya, boleh disimpan fail video yang dikehendaki ke dalam komputer.



Seterusnya, terdapat beberapa perisian komputer yang boleh digunakan untuk memuat turun video daripada laman web YouTube seperti YouTube Downloader HD yang boleh didapati di alamat URL, http://www.youtubedownloaderhd.com. Setelah memasang perisian tersebut, buka dan salin alamat URL video daripada YouTube dan klik butang untuk muat turun. Ada juga perisian komputer yang akan memaparkan ikon muat turun pada video di laman web YouTube seperti perisian Real Downloader yang boleh dimuat turun di alamat URL, http://www.real.com/realdownloader.



Selain daripada itu, terdapat aplikasi tampalan atau adds-on program yang digunakan pada perisian pelayar web tertentu seperti Google Chrome, Mozilla Firefox, Opera dan lain-lain untuk memuat turun video daripada laman web YouTube. Contohnya bagi pelayar web Mozilla Firefox, ada aplikasi DownloadHelper Extension yang boleh didapati di URL, http://www.downloadhelper.net.



Video yang dibaca pada sesebuah laman web dengan sambungan internet seperti YouTube dikenali sebagai video streaming. Ia akan meyimpan keseluruhan fail video tersebut dalam bahagian tertentu di sistem pengoperasian seperti Windows secara sementara ketika ia dibaca. Bahagian ini dikenali sebagai Cache atau Temp. Ia agak sukar untuk mencari fail video tersebut di dalamnya kerana ia menggunakan nama tertentu.



Perkara yang paling penting sebelum muat turun apa sahaja aplikasi atau fail, pastikan perisian keselamatan seperti perisian anti-virus dan sistem Windows sudah dikemaskini programnya. Seterusnya, imbas terlebih dahulu fail atau aplikasi dengan perisian anti-virus yang sudah dikemas kini. Ini bertujuan untuk memastikan aplikasi atau fail tersebut bebas daripada virus komputer. Selamat berjaya.

Sembang ICT 65: Muat naik video ke Youtube. Utusan Malaysia. 27 Februari 2012.

Diskusi ICT 59




Bagaimanakah cara untuk saya upload video ke dalam web YouTube?



Alieya Natasha, Setiawangsa.



Sebelum memuat naik sesuatu video atau upload ke sebuah laman web atau di internet, pastikan difikirkan terlebih dahulu kesan-kesannya. Pastikan video tersebut tidak mempunyai ciri-ciri yang menyalahi undang-undang dan tidak berakhlak seperti pornografi, jenayah, fitnah, hak milik orang lain, isu privasi dan sebagainya.



Perlu diingat bahawa laman web seperti YouTube dan lain-lain yang menyediakan kemudahan untuk simpanan dan melihat video secara percuma tetapi pengguna perlu membayar dengan maklumat peribadi mereka ketika pendaftaran. Kemudahan yang disediakan ini perlu digunakan secara baik terutama untuk tujuan pembelajaran, hebahan yang baik, menyampaikan kebenaran, pengiklanan dan sebagainya.



Seterusnya adalah cara-cara bagaimana untuk memuat naik sesuatu video ke laman web YouTube.



1. Pertama sekali, perlu pergi ke alamat laman web di http://www.youtube.com. Seterusnya, klik pada menu Sign In dan masukan kata nama atau login dan kata laluan untuk akaun Google. Sekiranya tiada, klik pada menu Create Account dan mendaftar terlebih dahulu untuk akaun Google. Bagi melihat video yang sedia ada di laman web YouTube, tidak perlu mendaftar memadai mencari video tersebut dan melihatnya secara terus.



2. Seterusnya, sila klik butang Upload. Sekali lagi pendaftaran perlu dibuat untuk memuat naik video ke dalam web YouTube. Masukan kata nama dan maklumat-maklumat yang diperlukan. Di sini anda boleh tandakan pilihan Let others find my channel on YouTube if they have my email address sekiranya membenarkan video tersebut dicari menggunakan alamat e-mel yang didaftarkan.



3. Setelah pendaftaran saluran dibuat, ada tiga cara untuk memuat naik video ke saluran yang telah didaftarkan di laman web YouTube iaitu butang Select file from your computer, Upload multiple files dan Record from webcam. Klik pada butang yang sesuai dan pilih fail video yang hendak dinaikturunkan.



4. Setelah fail video tersebut dipilih daripada sunbernya, masukan tajuk, label, maklumat, tahap privasi, tag, kategori dan jenis lesen. Kemudian, klik pada butang Save Changes.



5. Bagi pilihan Privacy, ada tiga pilihan iaitu Public, Unlisted dan Private. Pilihan Public, video tersebut boleh dilihat oleh sesiapa sahaja. Pilihan Unlisted, video tersebut boleh dilihat oleh sesiapa sahaja yang mempunyai alamat sambungannya. Pilihan Private, video tersebut boleh dilihat oleh pengguna yang dipilih oleh empunya video sahaja.



6. Bagi pilihan License, ada dua iaitu Standard YouTube License iaitu video itu adalah hak mutlak empunya video dan Creative Common Attribute License iaitu video tersebut boleh diedit, diedar dan sebagainya oleh sesiapa sahaja dengan syarat video tersebut dikreditkan nama empunyanya.



7. Seterusnya, video tersebut boleh diuruskan dengan pelbagai pilihan fungsi dengan mengklik butang Manage.



Fikir dahulu sebelum muat naik sebarang video. Gunakan kemudahan perkongsian video ini untuk kebaikan dan kebenaran.









Friday, January 6, 2012

Sembang ICT 48. : Keluarkan video daripada YouTube. Utusan Malaysia. 19 Disember 2011.

Diskusi ICT 50

Saya ingin mengeluarkan video daripada laman web YouTube yang telah saya post dalam akaun saya. Namun begitu, saya telah terlupa kata laluan dan e-melnya. Adakah cara untuk saya buang video tersebut daripada dilihat oleh pengguna internet yang lain?

Bunga Mawar.

Taman Universiti,

Skudai.

Pertamanya, saya menasihati para pengguna internet agar fikir terlebih dahulu dalam membuat sebarang tindakan di internet. Ini kerana segala data dan fail yang dimasukan ke dalam sesebuah laman web seperti di YouTube, Facebook dan sebagainya akan menjadi pegangan kepada pemilik laman-laman tersebut. Ia akan disimpan sebagai rujukan untuk masa hadapan sekiranya ada berlaku apa-apa masalah atau keperluan.

Kemasukan ke dalam akaun YouTube amat perlu untuk membuang video yang telah dimasukan. Sekiranya hilang kata laluan atau emel, boleh pergi ke alamat URL yang berikut, http://www.youtube.com/account_recovery untuk membuat pemulihan kembali akaun YouTube atau account recovery. Masukan kata nama atau login dalam borang yang disediakan dalam laman web tersebut sekiranya terlupa alamat e-mel yang digunakan. Seterusnya, ia akan memaparkan kata kunci atau hint untuk alamat e-mel yang digunakan dalam akaun YouTube.

Satu e-mel berkenaan dengan pemulihan kembali akaun YouTube akan dihantar ke e-mel tersebut. Seterusnya ikutlah panduan yang disediakan, langkah demi langkah untuk dapatkan semula akaun YouTube. Setelah selesai, buanglah video yang dikehendaki.

Sekiranya e-mel tersebut tidak boleh dicapai lagi, perlu dibuat pemulihan kembali akaun e-mel itu. Sekiranya, menggunakan akaun Google untuk akaun YouTube, boleh menggunakan pemulihan kembali e-mel tersebut menerusi laman web Google. Kebiasaannya, jika akaun Google yang digunakan dalam laman YouTube itu ditamatkan, segala perkhidmatan yang berkaitan termasuk video yang terdapat dalam akaun YouTube akan dibuang. Sekiranya kata laluan diubah dalam akaun Google, kata laluan untuk YouTube juga akan berubah.

Cara yang lain adalah dengan membuat laporan kerahsiaan data peribadi dalam laman YouTube berkenaan video yang telah dimuatturunkan. Proses ini akan mengambil masa yang lama kerana pihak YouTube perlu memastikan ia adalah betul. Borang tersebut boleh dicapai menerusi laman YouTube atau alamat URL yang berikutnya:-

http://www.google.com/support/youtube/bin/answer.py?hlrm=en&answer=142443

Sekiranya perlu, boleh juga menulis surat kepada pihak YouTube untuk mengeluarkan video tersebut dengan bukti yang kukuh berkenaan kepunyaan video dan akaun terbabit. Ini juga akan mengambil masa yang lama.

Akhir kata, fikir dahulu sebelum klik.