Monday, December 31, 2012

Sembang ICT 91 - 2: Ingin Tahu Maksud Internet of Things . Utusan Malaysia. 24 Disember 2012.

Diskusi ICT 93

Apakah yang dimaksudkan dengan Internet of Things? Adakah ia satu jenis internet yang baru?

Titi Meniti, Pekan Titi.

Internet of Things (IoT) adalah satu konsep yang menerangkan berkenaan dengan perkembangan perkhidmatan internet kepada bentuk fizikal seperti barangan pengguna dan aset fizikal yang mempunyai sambungan internet. Konsep dan visi ini telah wujud lama dalam dunia penyelidikan. Namun begitu, ia telah berkembang ke dunia komersial disebabkan oleh beberapa teknologi yang berkait rapat dengan sambungan internet seperti teknologi komunikasi, pengalamatan IPv6, pengesahan kendiri, pengawasan, pengenalpastian dan penggunaan sensor.

Penggunaan sensor untuk tujuan pengesanan sesuatu perkara dan berkomunikasi telah berubah ke bentuk sensor tertanam atau embedded sensor dalam sesebuah alat komunikasi dan mudah alih. Hari ini, teknologi pemprosesan imej sangat penting dan bernilai kepada para pengguna sama ada secara individu atau syarikat. Jadi, penggunaan alat komunikasi dan mudah alih seperti telefon pintar, komputer tablet dan lain-lain yang dilengkapi dengan kemudahan kamera telah menyemarakkan lagi penggunaan teknologi pemprosesan imej ini untuk menjadi satu kemudahan bagi seseorang individu dan syarikat.

IoT ini telah berkembang pesat seiring dengan perkembangan penggunaan aplikasi komputer menerusi internet. Aplikasi komputer tersebut akan lebih bersifat kendiri dan bestari. Sebagai contoh, bakul-bakul yang berada di pasar raya berupaya mencadangkan kepada anda makanan yang berkhasiat atau memaparkan jumlah bayaran dan sebagainya. Begitu juga kereta anda boleh Teori menerima maklumat kesesakan lalu lintas sebelum ia sampai ke kawasan tersebut dan seterusnya mengubah ke laluan alternatif. Sekiranya sesuatu barang seperti jam dan lain-lain hilang walau pun di rumah sendiri, carian boleh dibuat di internet untuk mengesan lokasi semasanya.

Salah satu perkembangan aplikasi IoT ini adalah kemudahan pembayaran menggunakan teknologi pembayaran NFC (Near Field Communication) dalam urusan jual beli. Ia semakin berkembang pesat seiring dengan kepesatan penggunaan kemudahan internet. Dalam teknologi NFC ini, pembayaran dibuat menggunakan sambungan gelombang radio tetapi proses pendaftaran, pengemaskinian akaun, pengurusan akaun dan lain-lain dibuat menerusi aplikasi berasaskan web yang memerlukan sambungan internet. Antara aplikasi pemmbayaran menggunakan teknologi NFC ini adalah seperti Google Wallet, MasterCard Pay Pass dan lain-lain.

Kesimpulannya ia bukanlah internet yang baru tapi satu konsep penggunaan teknologi internet yang bersifat menyeluruh dan meluas kepada peralatan-peralatan seharian yang bersifat digital.

Sembang ICT 91: Bantu Selesaikan Masalah Pelayan . Utusan Malaysia. 24 Disember 2012.

Diskusi ICT 64


Salam,

Saya mempunyai masalah tentang server. Syarikat saya telah membeli server dua tahun yang lepas tetapi tidak pernah menggunakannya. Mereka menyuruh saya untuk menggunakan server tersebut untuk penggunaan syarikat. Ada beberapa soalan yang saya akan tanya iaitu:-

1. Bagaimana untuk setup server tersebut?

2. Adakah perkhidmatan untuk setup server di syarikat-syarikat? Kalau ada perkhidmatan tersebut, di harap pihak anda dapat membantu saya dalam masalah ini
Sekian, terima kasih.

Zulakhmar, KL



Wassalam. Tahniah di atas keprihatinan saudara. Pertamanya akan dijelaskan terlebih dahulu apa itu server atau komputer pelayan. Komputer pelayan merupakan sebuah komputer yang menyediakan kemudahan-kemudahan aplikasi komputer tertentu kepada sebilangan pengguna atau komputer lain yang dikenali sebagai client atau pelanggan. Sebagai contoh, pihak Facebook menyediakan komputer pelayan yang menyediakan perkhidmatan aplikasi Facebook untuk dicapai dan digunakan oleh ramai penggunanya atau client. Ia berasaskan kepada seni bina sambungan komputer, client-server.

Komputer pelayan ini ada tiga lapisan iaitu perkakasan, sistem pengoperasian dan aplikasi pelayan. Perkakasan adalah struktur fizikal komputer itu sendiri. Komputer peribadi atau PC boleh bertindak sebagai komputer pelayan tetapi mempunyai keterbatasan yang tertentu dari segi upaya perkakasannya.

Komputer pelayan yang dalam bentuk fizikal mempunyai keupayaan yang tertentu dari segi bilangan pemproses, kelajuan pemproses, saiz memori, saiz simpanan cakera keras dan sebagainya. Sudah tentu keupayaannya adalah lebih tinggi berbanding komputer peribadi kerana ia memproses sejumlah data yang besar dan memerlukan capaian pengguna yang tinggi. Terdapat banyak pengeluar komputer pelayan ini seperti Hawlett Packard, Dell, Sun Microsystem, IBM dan lain-lain.

Komputer pelayan secara bentuk fizikalnya juga boleh dikategorikan kepada rack server, tower server, blade server dan lain-lain. Keperluan jenisnya bergantung kepada saiz ruangan simpanan yang ada di bilik simpanan data.

Lapisan yang kedua adalah sistem pengoperasian pelayan seperti Windows Server 2008, Linux, Unix, OS X Lion Server dan lain-lain. Adakalanya Komputer pelayan ini disertakan bersama dengan sistem pengoperasian seperti Unix dan OS X Lion Server. Sistem pengoperasian bagi komputer peribadi yang tertentu juga boleh digunakan tetapi ia mempunyai keterbatasan berbanding sistem pengoperasian pelayan.

Lapisan yang ketiga adalah aplikasi pelayan yang digunakan untuk komputer pelayan tersebut seperti aplikasi pelayan e-mel, pelayan DNS, pelayan fail, pelayan web, pelayan aplikasi komputer, pelayan pangkalan data, pelayan aplikasi komunikasi dan lain-lain. Aplikasi-aplikasi pelayan ini ada yang bersama-sama dengan sistem pengoperasian dan ada yang berasingan. Setiap aplikasi pelayan ini mempunyai pengeluar-pengeluarnya yang tersendiri. Sebagai contoh, Microsoft menghasilkan Microsoft Exchange Server untuk aplikasi pelayan e-mel, pihak Oracle menghasilkan pelayan pangkalan data Oracle dan sebagainya. Di pihak pengguna, perlu ada aplikasi pengguna untuk capai aplikasi pelayan ini atau client application.

Berbalik kepada soalan yang dikemukakan, saya berandaian bahawa komputer pelayan secara fizikalnya sudah ada bersama dengan sistem pengoperasian. Ini kerana kebiasaannya sistem pengoperasian akan datang bersama-sama dengan komputer pelayan. Jadi, perlu ditentukan keperluan syarikat untuk menggunakan komputer pelayan itu dari segi aplikasi pelayannya seperti yang dinyatakan sebelum ini dan upayanya dalam memberi perkhidmatan kepada para pengguna.

Sekiranya, komputer pelayan yang dibeli dikeluarkan oleh pengeluar tertentu, sila lawati laman web dan menghubungi pihak jualan pengeluar komputer pelayan tersebut untuk bimbingan dan nasihat. Sekiranya komputer pelayan tersebut adalah jenis pasang siap, sila hubungi pihak syarikat yang menjualnya untuk bantuan. Sekiranya tidak, boleh berhubung dengan mana-mana syarikat teknologi maklumat atau pakar teknologi maklumat untuk bantuan penyelesaiannya.

Bagi pemasangan sistem pengoperasian pelayan dan aplikasi pelayan, tiada masalah sekiranya seseorang itu sudah biasa dengan pemasangan sistem pengoperasian dan aplikasi komputer peribadi. Sila semak manual pengguna yang disediakan atau boleh rujuk di laman web pihak pengeluar.

Pekara yang agak kritikal adalah untuk mengkonfigurasinya bagi kegunaan tertentu seperti sambungan, akaun pengguna, sambungan ke aplikasi tertentu dan lain-lain. Ini boleh dibuat sendiri dengan kepakaran yang ada atau meminta bantuan daripada pihak ketiga. Kepakaran boleh dibina dengan menyertai mana-mana kursus, perbincangan dengan para pakar dan mendapatkan maklumat daripada laman-laman web, buku dan artikel.

Bagi sebuah komputer pelayan fizikal, boleh diwujudkan secara maya atau virtualization beberapa komputer yang mempunyai sistem pengoperasian yang berasingan setiapnya. Malah, komputer pelayan secara maya ini boleh dilanggan di internet dengan teknologi pengkomputeran awanan seperti yang disediakan perkhidmatannya oleh Amazon Web Services (AWS), Rackspace, SoftLayer, RightScale dan lain-lain.

Selamat mencuba dan berjaya.





Sembang ICT 90: Ingin Tahu Maksud SEO . Utusan Malaysia. 17 Disember 2012.

Diskusi ICT 92

Saya sering mendengar perkataan SEO di seminar-seminar perniagaan internet. Boleh tuan jelaskan? Terima kasih.

Peniaga Alaf Baru, Sungai Ular.


Terima kasih kembali. SEO adalah singkatan bagi satu terma teknologi maklumat iaitu Search Engine Optimization. Ia sering dibincangkan dalam seminar perniagaan internet kerana ia merupakan salah satu strategi pemasaran yang berkesan di internet. Andaian yang boleh diberikan ialah bagaimana untuk membuat laman web organisasi Y berada dalam senarai carian yang pertama dalam laman web enjin carian seperti Google sekiranya seseorang menaip perkataan ’komputer’ di laman web enjin carian Google tersebut? Jadi, ini adalah sebahagian daripada strategi permasaran di internet.

Tedapat teknik-teknik SEO yang boleh digunakan untuk manipulasi algoritma atau tata cara perjalanan proses bagi sesebuah laman web enjin carian bagi menempatkan kedudukan sesebuah laman web itu di senarai carian yang teratas. Teknik-teknik SEO ini boleh dibahagikan kepada dua iaitu White Hat SEO dan Black Hat SEO. White Hat SEO adalah teknik-teknik SEO yang digunakan mengikut cara yang dibenarkan oleh sesebuah laman web enjin carian. Black Hat SEO pula adalah teknik-teknik SEO yang tidak dibenar menggunakannya oleh pihak laman web enjin carian. Penarafan senarai carian teratas dengan kata kunci tertentu juga boleh dibayar kepada pihak laman web enjin carian untuk mendapatkan tempat yang tertinggi dalam senarai carian tersebut.

Teknik-teknik White Hat SEO yang boleh digunakan adalah seperti penempatan penggunan kata kunci dengan perkataan tertentu seperti komputer, motivasi dan lain-lain, analisa sambungan atau Link Building Analysis, penggunaan Link Exchanges, Onsite Analysis, penggunaan Meta Tags untuk menempatkan beberapa kata kunci bagi memberi maklumat sesebuah laman web dan lain-lain. Beberapa teknik Black Hat SEO pula adalah seperti Keyword Stuffing, Page Stuffing, Selling and Farming Link dan lain-lain.

Terdapat juga program-program komputer yang boleh digunakan untuk menjalankan teknik-teknik tertentu dalam perlaksanaan SEO ini. Program komputer yang digunakan bagi teknik Link Building Analysis adalah seperti Google Alerts, Majestic SEO, Open Site Explorer, OnlyWire, Seesmic Ping, Affiliorama SEO Toolbar dan lain-lain. Program komputer yang digunakan untuk teknik penggunaan kata kunci pula adalah seperti Google Adwords Keyword Tool, Google Trends, Google Insights for Search, Google Correlate, Google Related Searches, BuzzFeed, Alexa, Soovle, Keyword Discovery, Kgen, Keyword Questions, SearchStats Plugin dan lain-lain. Seterusnya program komputer yang digunakan untuk teknik Onsite Analysis adalah seperti Google Analytics, Woo Rank, HubSpot Marketing Grader, SEOTools for Excel, SiteTrail for Chrome, SEOQuake, SEOBook, SEO for Chrome dan lain-lain.

SEO adalah satu cara yang digunakan untuk penarafan senarai carian sesebuah laman web bagi carian tertentu dalam laman-laman web enjin carian dengan menggunakan teknik-teknik tertentu yang bersesuaian dengan tata cara sesebuah laman web enjin carian tersebut. Dengan mendapat kedudukan senarai carian laman web yang tertinggi di sesebuah laman web enjin carian bagi kategori tertentu, ia akan meningkatkan capaian oleh pemgunjung-pengunjung sasaran di internet. Jadi, ini akan meningkatkan promosi dan pemasaran bagi sesebuah perkhidmatan atau produk di internet menerusi laman web organisasi. Sebagai contoh, apabila pengguna menaip perkataan ’komputer’ di laman web Google, alamat laman web http://titianfana.blogspot.com akan berada dikelompok senaraian lima tertinggi. Secara automatik atau kebiasaan, pengguna akan cuba masuk ke laman web tersebut.