Saya terlupa kata laluan untuk masuk ke dalam komputer Windows XP. Adakah cara untuk membolehkan saya masuk kembali ke dalamnya?
Cik Saidah, Seremban.
Terlupa kata laluan merupakan perkara biasa terjadi kepada setiap orang. Ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk masuk kembali ke dalam komputer anda. Sebelum itu, cubalah dahulu meneka dengan beberapa perkataan yang mungkin menjadi kata laluan anda seperti nombor plat kereta, nombor kad pengenalan dan sebagainya.
Sekiranya masih belum berjaya, cubalah di antara cara yang diberikan seterusnya:-
1. Menggunakan Windows XP Password Reset Disk sekiranya anda ada membuatnya sebelum itu. Ini merupakan satu langkah yang pro-aktif.
2. Sekiranya ada akaun pengguna lain untuk Windows XP tersebut, gunakan akaun tersebut untuk masuk dan menukar kata laluan bagi akaun anda. Namun begitu, ia hanya boleh digunakan untuk akaun pengguna yang berstatus Administrator sahaja.
3. Menggunakan program-program komputer tertentu yang membolehkan kata laluan asal dipadam, dikembalikan atau direset atau Windows Password Recovery Tools dengan memecah masuk ke dalam komputer tersebut. Kadang kala ia agak sukar untuk digunakan tetapi ikut sahaja seperti yang ditunjukan dalam manual pengguna. Di sini saya sertakan beberapa program tersebut yang boleh anda cuba seperti PC Login Now, LCP, Ophcrack dan Offline NT Password & Registry Editor.
2. Bagaimanakah cara yang sesuai untuk membersihkan monitor LCD sesebuah komputer?
Keadaan fizikal permukaan monitor komputer berbentuk flat atau LCD tidak sama keadaannya dengan monitor komputer biasa atau CRT. Monitor komputer CRT diperbuat daripada kaca dan cara pembersihannya boleh dilakukan seperti mana kita membersih peralatan kaca yang lain.
Permukaan monitor komputer berbentuk flat pula sangat sensitif dan ia mudah dirosakan atau bercalar. Jadi, pembersihan yang dilakukan perlu dilakukan dengan cara yang betul dan berhati-hati. Seterusnya adalah kaedah yang baik untuk pembersihan monitor komputer berbentuk flat.
1. Matikan suis monitor.
2. Gunakan kain yang kering dan lembut dan dengan perlahan-lahan lap permukaan monitor komputer flat tersebut. Kain yang paling sesuai adalah kain mikro fiber yang digunakan untuk mengelap permukaan cermin mata.
3. Sekiranya kotoran pada permukaan monitor tersebut tidak berjaya dibersihkan, jangan sesekali cuba mengelapnya dengan menekan dengan lebih keras untuk menghilangkan kotoran tersebut. Ia boleh merosakkan struktur piksel yang terdapat di dalam permukaan monitor tersebut.
4. Sekiranya perlu, kain tadi dibasahkan sedikit dengan air atau cecair permbersih yang dikhaskan untuk mencuci permukaan LCD.
5. Walau bagaimanapun, struktur bingkai bagi monitor tersebut yang diperbuat dengan plastik bolehlah dicuci dengan menggunakan cecair permbersih pelbagai guna. Namun begitu, elakan cecair tersebut mengenai permukaan monitor flat yang dibersihkan.
Sekiranya permukaan monitor komputer berbentuk flat tersebut berwarna gelap ketika dalam keadaan ia dipadamkan, ia memudahkan kita melihat kotoran atau keadaan berminyak yang terdapat pada permukaannya.
Elakan penggunaan kertas untuk membersih permukaannya. Sekiranya menggunakan cecair pembersih, pastikan ia sesuai digunakan dan elakan menyembur secara terus ke permukaan monitor tersebut. Ini kerana cecair tersebut akan menembusi permukaan komputer dan akan merosakkan komponen dalaman monitor tersebut.
3. Apakah yang dikatakan sebagai crapware ?
Ia merupakan satu perisian atau program komputer yang tidak mempunyai manfaat yang berkemungkinan disebabkan oleh perisian tersebut tidak berfungsi dengan baik, tidak berkualiti atau sebagainya. Ia juga boleh ditujukan kepada program komputer yang boleh memberikan masalah kepada komputer seperti malware, virus, adware, spyware dan lain-lain.
Selain daripada itu ia juga boleh dikatakan sebagai perisian pra-pemasangan iaitu perisian yang sudah sedia dipasang dan dilesenkan dalam sebuah komputer yang dibeli daripada pengeluar peralatan yang tulen.
No comments:
Post a Comment
Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.