Monday, December 12, 2011

Sembang ICT 11: Masalah Perisian Permainan Video. Utusan Malaysia. 4 April 2011.

Saya memasang permainan komputer FIFA 11 dengan mengikut semua arahan pemasangan. Setelah hampir sejam menunggu, akhirnya habis proses pemasangan. Saya buka permainan tersebut dan mendapati kesalahan 'Cannot open this program because the configuration is incorrect,reinstall may fix this problem’. Kemudian, saya memasang semula program permainan komputer tersebut dan membukanya semula setelah siap proses pemasangan. Namun, masih lagi terdapat kesalahan tersebut. Kenapakah perkara ini berlaku?

SHAHIKHWAN SHAHRIZAL, kedah

Terima kasih saudara Ikhwan. Di sini saya sediakan beberapa panduan secara umum untuk memasang sesuatu perisian komputer sama ada ia bertujuan permainan, aplikasi multimedia atau sebagainya.

  1. Pertamanya pastikan perisian tersebut adalah tulen.
  2. Pastikan CD atau DVD installer tersebut tiada masalah atau rosak.
  3. Pastikan kapasiti komputer anda memenuhi keperluan perisian dan perkakasan untuk memasang perisian tersebut.
  4. Ikut arahan untuk pemasangan dan konfigurasinya seperti yang dinyatakan di dalam manual penguna.
  5. Pastikan juga program komputer tersebut adalah untuk versi komputer kerana terdapat juga program untuk dimainkan oleh pemain DVD, PS2 dan sebagainya.
  6. Masukan nombor siri yang betul sekiranya perisian tersebut memerlukan kemasukan nombor siri tersebut.
  7. Sekiranya perisian tersebut memerlukan program sokongan seperti DirectX, Winpcap dan sebagainya, pastikan dipasang terlebih dahulu program tersebut dengan versi yang diperlukan.

Sekiranya masih ada masalah, sila buang sepenuhnya perisian tersebut atau fully uninstall dan seterusnya pasang kembali mengikut cara-caranya. Ini boleh dilakukan dengan beberapa kali. Sila rujuk kepada pihak pengeluar sekiranya ada program kemas kini terkini untuk perisian tersebut. Sekiranya ada, muat turun dan pasangkan pada komputer anda setelah memasang lengkap program tersebut.

Bagi perisian untuk aplikasi multimedia, pastikan kad antaramuka grafik yang digunakan bersesuaian dan pemasangan kad tersebut bersama dengan program pemacunya (driver) dalam sistem pengoperasian Windows adalah baik dan tiada masalah.

Bagi perisian komputer yang terkenal seperti Windows, FIFA 11 dan sebagainya, setiap kesalahan yang dinyatakan ada kodnya dan ia boleh disemak menerusi laman web rasmi pengeluar atau perlu membuat pertanyaan pada pengeluar perisian atau permainan komputer tersebut. Pastikan juga permainan itu adalah untuk mod komputer

Salah satu cara lagi untuk memastikan sama ada komputer tersebut bermasalah untuk memasang perisian tersebut atau program pemasangan yang bermasalah ialah dengan memasangkan perisian itu kepada komputer-komputer yang lain. Sekiranya berjaya, berkemungkinan komputer kita bermasalah dari segi perkakasannya atau sistem pengoperasian Windows-nya.

Masalah tersebut juga boleh berpunca daripada masalah ketidakstabilan sistem pengoperasian Windows seperti ada fail sistem yang hilang atau fail sistem yang rosak. Di sini ada beberapa cara yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini. Antaranya adalah seperti berikut:-

  1. Salin fail CRT DLL dan MANIFEST ke dalam folder program atau aplikasi komputer tersebut. Ia boleh diperolehi daripada folder di C:\windows\winsxs. Di dalamnya cari folder bernama seperti x86_Microsoft.VC80.CRT dan salin kesemua fail dll yang berada di dalamnya ke folder program atau aplikasi komputer. Seterusnya, cari folder manifests pula dan salin kesemua fail .manifest ke folder program atau aplikasi komputer.


  1. Pergi ke laman web Microsoft dan muat turun fail vcredist_x86.exe. Pasangkan fail tersebut ke dalam komputer anda.


Perlu dilihat kembali masalah tersebut berada di bahagian mana kerana simptom yang sama tetapi punca masalah mungkin berlainan.


No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.