Wednesday, December 14, 2011

Sembang ICT 17: Kad Grafik Paling Berkualiti. Utusan Malaysia. 16 Mei 2011.

Diskusi ICT 17

Saya ingin bertanya, apakah kelebihan menggunakan kad grafik pada komputer dan kad grafik manakah yang paling bagus kualitinya berserta dengan harganya sekali?

Nafiz Abu Kassim.

Kad grafik, kad video, kad VGA (Video Graphics Array) dan kad paparan mempunyai fungsi yang sama dalam sistem komputer iaitu untuk paparan maklumat pada skrin komputer. Ia akan membina dan menghasilkan imej untuk paparan sistem komputer seperti yang kelihatan pada skrin monitor sesebuah komputer.

Apabila dikatakan satu kad sebagai satu komponen komputer ia merupakan satu kad pemasangan atau Expansion Card yang akan dipasangan pada slot sedia ada pada papan utama. Slot – slot pada papan utama yang boleh digunakan untuk pemasangan kad grafik ini adalah seperti slot PCI (Peripherals Component Interconnect), AGP (Accelerated Graphics Port) dan PCI-E (PCI Express).

Ketika permulaan penggunaan komputer, kad paparan atau grafik ini perlu dibeli secara berasingan dan ia akan dipasangkan pada slot sedia ada pada papan utama. Namun begitu, pada masa kini, pada papan utama sudah ada fungsi komponen paparan ini yang dibina secara kekal pada papan utama atau ia dipasang secara built-in. Jadi, kenapa perlunya lagi untuk membeli kad grafik untuk sesebuah komputer?

Kad grafik ini diperlukan sekiranya penggunaan komputer yang memerlukan paparan berprestasi tinggi seperti membuat animasi komputer, pengeditan video, permainan komputer 3D dan lain-lain. Ini kerana kad grafik yang sedia ada pada papan utama adalah berprestasi rendah dan tidak berupaya memproses perkara-perkara tersebut dengan baik.

Antara kebaikan penggunaan kad grafik ini adalah seperti berikut:-

  1. Meningkatkan kualiti video dan gambar dalam komputer.
  2. Mempercepatkan proses rendering sesuatu grafik.
  3. Memperhaluskan paparan piksel.
  4. Meningkatkan kualiti sesuatu paparan pada komputer.
  5. Mempercepatkan dan meningkatkan kualiti paparan sesuatu permainan komputer.
  6. Mengurangkan beban pemprosesan CPU dan penggunaan RAM pada komputer.

Bagi pemilihan kad grafik, pastikan terlebih dahulu ia menyokong kapasiti komputer sedia ada yang digunakan. Bagaimana untuk menentukan sama ada sesebuah kad grafik tersebut sesuai untuk sesebuah komputer? Ada beberapa cara dalam Windows untuk kita melihat perkara tersebut seperti berikut:-

  1. Tekan butang Windows bersama-sama dengan butang R pada papan kekunci komputer anda. Satu tetingkap Run akan dipaparkan.
  2. Dalam tetingkap Run tersebut, taipkan perkataan devmgmt.msc. Seterusnya tekan butang OK.
  3. Satu tetingkap Device Manager akan dipaparkan. Klik pada senaraian Display Adapter.
  4. Ia akan paparkan nama kad grafik atau paparan. Dwi klik nama tersebut dan satu paparan tetingkap berkenaan dengan konfigurasi kad grafik akan kelihatan. Dapatkan maklumat berkenaan dengan nama dan nombor kad grafik tersebut. Maklumat yang lain boleh diperolehi menerusi laman web pengilang kad grafik tersebut.

Selain daripada itu, terdapat juga kaedah lain untuk mendapatkan maklumat berkenaan dengan kad grafik sesebuah komputer yang berasaskan Windows iaitu seperti berikut:-

  1. Dalam tetingkap Run, taipkan perkataan dxdiag. Satu tetingkap DirectX Diagnostic Tool akan dipaparkan.
  2. Klik pada tab Display. Anda akan dapat maklumat berkenaan dengan kad grafik anda di situ.

Setelah kita ketahui kemampuan sesebuah komputer dalam penerimaan sesebuah kad grafik, ia memudahkan dalam membuat pemilihan kad grafik yang sesuai dengan keperluan dalam penggunaan komputer. Jadi, disenaraikan beberapa kriteria dalam pemilihan kad grafik yang baik.

  1. Jenis slot untuk kad grafik yang disokong oleh komputer sedia ada sama ada PCI, AGP atau PCI-E. Papan utama yang lama menyokong slot AGP. Bagi papan utama yang baru, penggunaan slot PCI-E adalah prestasi yang terbaik bagi kad grafik.
  1. Tahap resolusi. Ia penting untuk mendapatkan paparan video, gambar dan grafik berkualiti tinggi. Walau bagaimana pun, ia bergantung kepada jenis dan saiz monitor yang digunakan oleh sesebuah komputer.
  1. Memori. Kebanyakan kad grafik hari ini mempunyai memori berkapasiti lebih daripada 1 GB. Sekiranya kurang, ia akan mengurangkan prestasi dalam memaparkan sesuatu grafik atau video yang beresolusi tinggi dengan tekstur yang komplek.
  1. Sistem penyejukan. Kad grafik yang berkelajuan tinggi akan menjadi cepat panas dan mengeluarkan haba pada kadar yang tinggi. Jadi, ia memerlukan sistem penyejukan tambahan.
  1. Kelajuan pemproses. Pemproses bagi kad grafik dikenali sebagai GPU atau Graphical Processing Unit. Ia juga perlu sepadan dengan jenis CPU yang digunakan oleh sesebuah komputer. Ini penting untuk menangani segala beban kerja yang diperlukan untuk membina sesuatu grafik bagi paparan di skrin monitor sesebuah komputer.
  1. Jenis paparan kad grafik. Jenis paparan atau fail grafik yang disokong oleh kad grafik tersebut sama ada DVI (Digital Visual Interface), VGA (Video Graphic Array), HD (High Defination) atau HDTV (High Defination Television).

Dari segi jenama, terdapat pelbagai syarikat pengeluar yang menghasilkan kad grafik ini seperti ATI, NVIDIA, ASUS, MSI dan lain-lain. Namun begitu, terdapat dua pengeluar utama kad grafik berkualiti tinggi iaitu ATI Technologies Inc. dan NVIDIA. Kad grafik keluaran pihak NVIDIA mempunyai prestasi paparan berkualiti tinggi berbanding kad grafik keluaran pihak ATI. Namun begitu, kad grafik keluaran ATI mempunyai kelebihan kerana ia lebih stabil dari segi penjimatan tenaga yang digunakan dan pengeluaran haba pada kadar yang rendah. Pada masa kini, syarikat ATI telah dibeli oleh syarikat komputer AMD.

Jadual berikutnya diberikan beberapa contoh model kad grafik yang boleh dibuat perbandingan. Namun begitu ia bukanlah model yang paling terkini di pasaran.

Indek

Model

GPU

Memori

Slot

Anggaran Harga

1.

AMD Radeon HD 6450

625-750 MHz

512MB-1GB DDR3/GDDR5

PCI-E

< RM 250

2.

AMD Radeon HD 6990

830 / 880MHz

320GB/s

PCI-E

< RM 2000

3.

GeForce FX Go 5700*

450MHz

128MB

AGP

< RM 150

4.

Quadro 4000M

-

256 – 1GB

PCI-E

< RM 4000

5.

Asus GT 440

822MHz

1 GB

PCI-E

< RM 400

6.

Sapphire 5770

850MHz

1 GB

PCI-E

< RM 450

7.

Sapphire 6970

880MHz

2GB

PCI-E

< RM 1500

8.

Sapphire 6990

880MHz

4GB

PCI-E

< RM 2300

9.

EVGA GT 210

589MHz

1GB

PCI-E

< RM 200

10.

EVGA GT GTX 570

797MHz

1GB

PCI-E

< RM 1500

Sila semak di kedai-kedai komputer untuk model-model terkini kad grafik yang berada di pasaran berserta harganya.

Sebarang pemilihan kad grafik yang terbaik patutlah dibuat mengikut keperluan penggunaannya dan kos yang diperuntukan.



No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.