Tuesday, January 3, 2012

Sembang ICT 40.: Elak Komputer dijangkiti Virus Shortcut. Utusan Malaysia. 24 Oktober 2011.

Diskusi ICT 42

Komputer riba saya dijangkit virus Shortcut. Beberapa kali sudah diimbas dan dibersihkan tetapi masalah yang sama kembali semula. Bagaimanakah cara untuk mengatasinya?

Tantiana, Alor Akar.

Sebelum ini dalam ruangan Sembang ICT ini ada dibincangkan secara umum cara untuk menghindari daripada jangkitan virus kepada komputer dan cara untuk mengatasinya secara umum sekiranya berlaku jangkitan virus komputer. Boleh rujuk kembali perbincangan tersebut.

Jadi, sekiranya telah dijangkiti dengan virus Shotcut ini, terdapat beberapa langkah yang boleh diambil dalam menangani masalah ini. Sebenarnya, fail-fail yang dijangkiti virus ini bukannya dimusnahkan atau dirosakan tetapi ia menjadi tersembunyi. Ia berselindung disebalik menjadikan fail-fail ini sebagai fail Shortcut supaya mangsa akan format komputernya untuk kembali kepada keadaan normal. Berikut adalah cara yang boleh diguna pakai untuk menangani masalah ini.

  1. Sila kemas kini sistem pengoperasian Windows dan perisian anti virus dengan program kemas kini yang terkini.

  1. Lakukan pengimbasan virus dengan perisian anti virus. Sekiranya masih tidak berjaya untuk mengesan virus tersebut, sila buat pengimbasan dalam mod Safe Mode. Sekiranya masih juga tidak berjaya, cuba mengimbasnya dengan perisian anti virus atau perisian keselamatan yang lain seperti program keselamatan yang dihasilkan oleh Microsoft dan sebagainya. Boleh juga muat turun mana-mana program Virus Shorcut Removal seperti yang terdapat di alamat URL, http://www.svrtool.webs.com/.

  1. Setelah diimbas dan dikesani, virus-virus ini sepatutya boleh dimusnahkan. Sekiranya masih ada fail-fail Shortcut yang dijangkiti virus tersebut, boleh membuangnya secara manual.

  1. Fail-fail yang dijangkiti virus ini boleh dikembalikan semula dengan cara manual atau dengan menggunakan aplikasi tertentu. Cara manual boleh digunakan dengan mengubah suai parameter tertentu dalam program Regedit supaya fail tersebut dinampakan semula atau dengan menaip beberapa arahan tertentu dalam program Command Prompt. Ia juga boleh disimpan sebagai fail batch, .bat. Larikan arahan yang berikut, attrib c:*.* /d /s -h -r –s. C adalah untuk pemacu C dalam cakera keras dan atribut-atribut yang digunakan boleh diketahui dengan menaip arahan help attrib.

  1. Fail-fail yang dijangkiti virus ini juga boleh dikembalikan dengan menggunakan aplikasi komputer tertentu yang berfungsi untuk mengembalikan semula fail-fail yang disembunyikan seperti program Hidden File Tool yang boleh dimuat turun di alamat URL, http://einsync.googlepages.com/hidden_file_tool_1.0.zip. Laksanakan seperti yang diarahakan dalam manual pengguna program tersebut.

  1. Seterusnya, laksanakan kembali pengimbasan kepada komputer tersebut mengunakan perisian anti virus dan perisian keselamatan.

Di antara cara lain yang boleh digunakan untuk mengatasi masalah ini ialah dengan mengedit kembali struktur fail sistem yang dijangkiti dalam program Regedit dan boleh juga menggunakan program System Restore yang terdapat dalam Windows. Langkah-langkah tersebut juga boleh diaplikasikan kepada masalah-masalah virus yang hampir sama modus operandinya iaitu menyembunyikan fail. Ia juga boleh digunakan kepada pemacu storan USB yang dijangkiti virus ini.

Utusan Online.

Sembang ICT 39.: Amalan Selamat Guna Apple Mac. Utusan Malaysia. 17 Oktober 2011.

Diskusi ICT 41

Selalu dibincangkan amalan selamat dalam mengendalikan komputer berasaskan Windows dan Linux, bagaimana pula untuk komputer yang berasaskan Apple Mac?

Nathan, Kuantan.

Terima kasih. Secara umumnya, amalan yang selamat adalah sama sahaja iaitu pastikan data atau fail yang digunakan atau didapatkan daripada mana-mana punca adalah selamat dan bukannya virus atau malware. Begitu juga ketika melayari Internet, amalkan budaya yang selamat dalam melayari Internet. Namun begitu, di sini saya bincangkan beberapa amalan selamat yang lebih spesifik untuk pengguna komputer peribadi yang berasaskan Apple Mac.

  1. Hindari daripada amalan login atau masuk ke dalam komputer secara automatik. Ia boleh dikonfigur pada Login Option di Account dalam System Preference. Masukan nilai Off pada Automatic Login dan tukar kepada Display Login Windows dengan Name and Password.
  2. Pasang perisian anti-virus kepada komputer Mac dan kemas kini fail enjinnya selalu. Walaupun dikatakan komputer Mac kebal kepada virus tetapi ia boleh menjadi pembawa virus dan seterusnya menjangkiti komputer yang lain. Di antara perisian anti virus yang digunakan untuk komputer Mac adalah seperti CalmXav, Sophos dan lain-lain.
  3. Amalkan budaya selamat dalam melayari Internet. Boleh menggunakan aplikasi OpenDNS dan Google Public DNS untuk mengurangkan masalah Spoofing dan Phising ketika melayari Internet. Penggunaannya tidak memerlukan proses pemasangan tetapi hanya memasukkan alamat IP bagi aplikasi DNS tersebut ke dalam konfigurasi rangkaian atau pelayar web yang digunakan. Sebagai contoh, untuk OpenDNS, masukkan alamat IP 208.67.222.222 dan 208.67.220.220 pada ruangan kosong DNS. Bagi Google Public DNS, masukkan alamat IP 8.8.8.8 and 8.8.4.4 pada ruangan kosong DNS.
  4. Hidupkan dan konfigur dengan selamat aplikasi Firewall Lion dalam komputer Mac. Ia membantu menghalang keluar dan masuk trafik rangkaian yang tidak perlu dalam sesebuah komputer Mac. Lebih banyak servis yang diblok akan menyukarkan proses pencerobohan ke atas sesebuah komputer.
  5. Penggunaan aplikasi FileVault dalam komputer Mac. Ia merupakan satu aplilkasi yang digunakan untuk perlindungan data dan fail yang ada di dalam komputer Mac. Ia juga mempunyai fungsi enkripsi untuk sesuatu data yang penting dan sensitif. Buat kajian yang terperinci terlebih dahulu sekiranya ia perlu digunakan dan pastikan ia berada dalam polisi teknologi maklumat sekirany perlu.

Penggunaan komputer yang selamat perlu bagi mengelakan masalah yang lebih besar lagi menimpa seperti kehilangan data, reputasi diri, wang dan nyawa. Kos penyediaan perimeter keselamatan ini lebih murah berbanding kos untuk mengembalikan data yang telah rosak atau hilang. Fikir-fikirkanlah ketika menggunakan komputer.

Utusan Online.

Sembang ICT 38.: Menghalang Penggunaan Port USB. Utusan Malaysia. 10 Oktober 2011.


Diskusi ICT 40

Adakah cara untuk menghalang penggunaan port USB pada sesebuah komputer?

Saya Anak Malaysia, Pahang.

Ada beberapa cara untuk menghalang penggunaan port USB pada sesebuah komputer dan ia juga bergantung kepada keupayaan sesebuah komputer tersebut. Antaranya adalah port USB ini boleh dinyahaktifkan menerusi konfigurasi pada sistem BIOS bagi sesebuah komputer dan konfigurasi jumper atau pelompat pada papan utama. Ia juga boleh dilakukan pada program Regedit dalam Windows iaitu dengan mencari pilihan, HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\CurrentControlSet\Services\UsbStor dan pada parameter Start, masukan nilai 4.

Namun begitu, sekiranya ia bertujuan untuk menghalang jangkitan virus seperti yang berlaku pada penggunaan cakera liut, memadai fungsi tulis atau write pada peralatan USB terutama pemacu storan USB tersebut dinyahaktifkan. Jadi, port USB ini boleh digunakan untuk fungsi baca atau read sahaja.

Perkara ini boleh dilakukan dengan penggunaan perisian tertentu seperti USB Write Protector dan lain-lain dan melakukan konfigurasi dalam sistem pengoperasian seperti Windows. Bagi penggunaan perisian tertentu ikuti langkah-langkah arahannya. Bagi konfigurasi dalam Windows, ia boleh dilakukan dalam program Regedit. Caranya adalah seperti berikut.

  1. Klik START>RUN.
  2. Taip perkataan Regedit.
  3. Pada sebelah kiri, klik menu

HKEY_LOCAL_MACHINE\SYSTEM\CurrentControlSet\Control.

  1. Tambah perimeter dengan klik kanan pada Control dan pilih New>Key.
  2. Namakan ia sebagai StorageDevicePolicies.
  3. Klik pada StorageDevicePolicies dan ciptakan satu nilai DWORD dengan menamakannya sebagai WriteProtect.
  4. Berikan nilai 1 kepada WriteProtect tersebut.

Sekiranya parameter WriteProtect itu sudah ada, tukar sahaja nilainya kepada 1. Selain daripada program Regedit, ia juga boleh dikonfigur dengan menggunakan mana-mana program polisi untuk Windows seperti poledit, gppedit dan lain-lain. Kadang kala, pihak pengeluar pemacu storan USB juga ada menghasilkan perisian untuk mengurus pemacu storan USB ini termasuk fungsi untuk menghalang tulis atau write protect ini.

Utusan Online.