Diskusi ICT 49
Sekiranya syarikat saya berminat untuk menggunakan infrastruktur cloud computing, apakah perkara-perkara yang perlu di ambil kira?
Haji Leman, Lumut.
Pertama sekali, perlu dinilai dari segi kekerapan dan keperluan para pekerja bekerja dalam satu kumpulan dan mencapai sumber teknologi maklumat syarikat secara jarak jauh. Cuba cari pendekatan pengkomputeran awanan atau cloud computing ini yang mudah diurus dan selamat digunakan. Ini perlu menjadi keutamaan dalam melaksanakan pengkomputeran awanan.
Keperluan penggunaan pengkomputeran awanan ini perlu dikaji dengan lebih teliti dan perlu ada keterlibatan para pekerja yang akan menggunakannya nanti. Seterusnya, perlu dikenal pasti jenis perisian atau perkhidmatan yang diperlukan oleh para pekerja dalam pengkomputeran awanan ini.
Keduanya, perlu dikaji dari segi perkhidmatan pengkomputeran awanan ini yang menyokong pelbagai pelantar pengkomputeran sama ada dari segi sistem pengoperasian seperti Android, Windows, Linux dan sebagainya atau jenis komputer yang digunakan seperti komputer peribadi, komputer tablet, komputer riba, telefon pintar dan sebagainya. Ia perlu beroperasi secara fleksibel bersama-sama dengan kecanggihan teknologi terkini dalam capaian maklumat.
Ketiganya, perlu dikenal pasti dari segi jenis dan kapasiti data yang diperlukan dalam pengkomputeran awanan ini untuk dicapai oleh para pekerja. Sebagai contoh, bentuk pengurusan fail dan dokumen secara menyeluruh, penggunaan video dan persembahan multimedia dan lain-lain. Ini perlu dibincangkan bersama dengan para pekerja yang akan menggunakan bahan-bahan digital tersebut. Lebih baik ia dibuat satu kerangka besar yang mempunyai maklumat terperinci berkenaan perkara tersebut.
Langkah keempat adalah perlu dikaji dengan teleiti berkenaan dengan faktor-faktor keselamatan data-data yang disimpan dalam perkhidmatan pengkomputeran awanan ini. Apakah penyelesaian keselamatan yang disediakan? Perlu dirangka polisi keselamatan pengkomputeran awanan ini terutama sekali langkah-langkah keselamatan untuk mencapai data-data di dalamnya. Pelu ada teknik keselamatan seperti kata laluan dan enkripsi yang kuat dan selamat untuk mencapainya. Perlu ditentukan juga siapa yang boleh mencapai data-data tersebut dan apakah aktiviti-aktiviti yang beliau boleh lakukan terhadap data-data itu.
Akhir sekali, perlu ada sistem maklum balas untuk mengetahui keberkesanan perlaksanaan perkhidmatan pengkomputeran awanan ini. Ia dapat membantu dalam menambah baik dan menyelesaikan masalah-masalah yang timbul dalam perlaksanaan perkhidmatan pengkomputeran awanan ini.
No comments:
Post a Comment
Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.