Tuesday, January 31, 2012

Sembang ICT 53: Akaun Facebook diserang Virus. 23 Januari 2012. Utusan Malaysia

Diskusi ICT 53

Assalammualaikum, saya ada 2 soalan yang perlu diselesaikan segera kerana hamper buntu dengan masalah yang timbul.

i) Akaun Facebook saya telah diserang virus selepas rakan menghantar satu video yang perlu di lihat. Apabila membuka video tersebut, tiada paparan video dan saya abaikan. Selepas itu, akaun saya menjadi tidak menentu dan akhirnya baru-baru ini akaun saya tidak boleh dibuka langsung sehingga menyebabkan komputer saya juga terus diserang virus. Setiap kali log in akan keluar mesej, "harap maaf akaun anda ditutup buat sementara waktu". Saya mengikuti cara-cara yang diberikan oleh pihak Facebook tetapi sehingga kini akaun tersebut masih ditutup.

ii) Bagaimana untuk membuang aplikasi "WHAT APP" didalam telefon? Sejak menggunakan kemudahan chat secara percuma ini, telefon saya akan keluarkan isyarat "batery low". Saya sudah beberapa kali untuk membuangnya tetapi ia masih berfungsi.

Saya mohon kepada pihak tuan untuk menyelesaikan dua masalah yang bagi saya amat menyusahkan ini.

Riezalsyah, Rembau.

Bagi masalah pertama, anda mungkin dilanda masalah terkena spam dan menjadi ejen kepada proses spam ini dalam penyebaran virus. Itu yang menyebabkan Facebook membeku akaun anda buat sementara waktu. Ini sekadar andaian berdasarkan kepada simptom yang diceritakan. Sila rujuk ruangan ini yang lepas bagi melihat banyak perbincangan berkenaan dengan masalah yang hampir sama.

Masa yang diambil oleh pihak Facebook untuk mengembalikan semula akaun anda adalah agak lama kerana terdapat berjuta-juta pengguna yang perlu mereka layan. Sebagai alternatif, anda boleh menulis surat kepada pihak Facebook untuk mengembalikan semula akaun dengan menyertakan bukti-bukti empunya akaun tersebut.

Sama ada di dalam borang atau surat, nyatakan masalah akaun Facebook anda telah disabotaj oleh pihak tertentu yang melakukan aktitivi spam. Ini penting untuk dimaklumkan kerana dikhuatiri pihak Facebook menganggap akaun Facebook anda menjalani aktiviti spam dalam penyebaran virus ini.

Bagi masalah yang kedua, kita perlu tahu dengan baik berkenaan dengan aplikasi ini. Aplikasi WhatsApp Messenger merupakan satu aplikasi sembang yang membolehkan pengguna menggunakan telefon bimbit untuk menghantar mesej menerusi sistem pesanan ringkas atau SMS secara percuma ke telefon bimbit yang lain.

Namun begitu, percuma di sini bermaksud penggunaan perkhidmatan ini tidak dikenakan bayaran menerusi akaun talian telefon bimbit yang dilanggan. Ini kerana ia menggunakan talian internet yang dipakejkan atau dihubungkan kepada akaun talian telefon bimbit pengguna. Nombor telefon bimbit pengguna akan didaftarkan dan disimpan dalam komputer pelayan pembekal perkhidmatan aplikasi ini.

Jadi, mesej daripada satu telefon bimbit akan dihantar ke komputer pelayan WhatsApp Messenger ini terlebih dahulu. Seterusnya, ia akan mencari nombor telefon penerima dalam senarai nombor telefon di komputer pelayan dan sekiranya ada, barulah dihantar ke telefon bimbit penerima.

Masalah berkenaan dengan aplikasi ini yang dikatakan mempercepatkan kehabisan bateri, sila semak dan pastikan konfigurasi sambungan aplikasi tersebut adalah betul. Apabila ia sentiasa berhubung dengan internet, ia memerlukan proses dan proses ini memerlukan tenaga yang terdapat dalam bateri bagi sesebuah telefon bimbit.

Sekiranya tidak perlu, boleh matikan aplikasi ini tetapi perlu matikan telefon bimbit setelah itu dalam masa 30 saat. Namun begitu, bagi telefon Nokia, aplikasi ini tidak boleh ditutup dan ia akan bersambungan dengan internet secara terus. Cara lain adalah tutup sambungan ke internet bagi sesebuah telefon bimbit yang akan menyebabkan aplikasi ini tidak beroperasi.

Sila rujuk manual pengguna telefon bimbit untuk membuang aplikasi WhatsApp Mesengger ini. Seterusnya, sila emel kepada pihak WhatsApp Messenger di alamat, support@whatsapp.com untuk membuang nombor telefon tersebut daripada senarai nombor telefon yang terdapat dalam komputer pelayan WhatsApp Messenger. Sekiranya perlu kembali kepada aplikasi ini, perlu didaftarkan kembali nombor telefon tersebut.

Fikirkan@Firkhan.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.