Friday, January 6, 2012

Sembang ICT 41. : Masalah Windows XP. Utusan Malaysia. 31 Oktober 2011.

Diskusi ICT 39

Saya menggunakan komputer Windows XP. Masalahnya ialah saya tidak boleh masuk ke dalam Windows XP tersebut. Bagaimanakah cara untuk saya capai Windows XP tersebut?

Bala, Bahau.

Terima kasih. Perkara pertama sekali yang perlu dilakukan adalah memastikan kesemua komponen perkakasan komputer seperti kabel, pembekal kuasa, monitor dan sebagainya dapat berfungsi dengan baik. Sekiranya ada yang bermasalah, perlu dibuat pembaikan atau diganti dengan yang baru. Sekiranya kesemua komponen perkakasannya berada dalam keadaan baik, terdapat beberapa cara untuk masuk dan capai kepada perisian Windows XP ini. Kaedah-kaedah ini berupaya untuk mencapai kembali perisian Windows XP bergantung kepada jenis dan tahap masalah yang dihadapi. Ia boleh dilakukan dengan cara-cara yang akan dibincangkan seterusnya.

1. Penggunaan program Windows Startup Disk.

Program Windows Startup Disk ini perlu disediakan terlebih dahulu. Ia boleh disediakan dengan melakukan format terhadap cakera liut atau floopy disk dalam Windows. Seterusnya, klik pada fungsi format itu dengan pilihan Create an MS-DOS startup disk.

Sekiranya komputer Windows XP bermasalah, but komputer dengan cakera liut yang mengandungi program Windows Startup Disk tersebut. Perlu dipastikan tiga fail ini disalin ke dalam dalam cakera liut tersebut iaitu boot.ini, ntldr dan ntdetect.com. Program but ini juga boleh dilakukan dengan menggunakan CD atau pemacu storan USB tetapi cara penyediaannya adalah berlainan.

2. Penggunaan fungsi Last Known Good Configuration yang ada dalam Windows.

Komputer Windows XP yang bermasalah juga boleh dibut dengan fungsi ini. Fungsi Last Known Good Configuration ini membolehkan pengembalian semula konfigurasi asal sesebuah komputer setelah konfigurasi asal yang diubah, bermasalah. Masalah konfigurasi perkakasan dan perisian pemacunya dalam komputer ini akan menyebabkan masalah pada parameter CurrentControlSet dalam fail Registry pada Windows.

3. Penggunaan program System Restore.

Penggunaan System Restore ini akan mengembalikan semula konfigurasi asal sekiranya berlaku masalah dalam sistem pengoperasian Windows XP. Namun begitu, ia perlu dijana terlebih dahulu dengan membina Restore Point yang terdapat di dalam programnya.

Sekiranya sistem Windows XP bermasalah, System Restore ini boleh dicapai menerusi Windows XP dengan mod Safe Mode. Seterusnya kembalikan konfigurasi asal daripada Restore Point yang telah dibina.

4. Penggunaan Recovery Console.

Program Recovery Console ini disertakan bersama dalam CD pemasangan Windows XP yang boleh dibut secara terus daripada komputer. Jadi, but CD tersebut daripada komputer yang Windows XP-nya bermasalah dan pilih untuk lancarkan program ini dengan menekan butang R. Seterusnya, ia akan paparkan menu pilihan yang bernombor berserta dengan sistem pengoperasian Windows yang ada. Pilih nombor tersebut dan ikut arahan yang seterusnya.

5. Memperbetulkan fail Boot.ini yang bermasalah.

Ketika but komputer, fail boot.ini ini akan dirujuk untuk mengetahui lokasi sistem pengoperasian Windows yang disimpan. Sekiranya telah dipastikan masalah but ini disebabkan oleh fail boot.ini, maka, boleh digunakan program Recovery Console ini untuk menyelesaikannya. Pada langkah terakhir dalam mencapai Recovery Console, sila taip perkataan Bootcfg /parameter. Parameter adalah pilihan bagi fungsi Bootcfg ini seperti /add, /scan, /list, /default, /rebuild, /redirect dan /disableredirect.

6. Memperbetulkan masalah pada bahagian sektor but (boot sector partition).

Bahagian sektor but merupakan satu kawasan kecil yang terdapat dalam bahagian cakera keras yang mengandungi maklumat berkenaan fail sistem bagi sistem pengoperasian seperti NTFS atau Fat32. Sekiranya telah dipastikan masalah but Windows XP ini berpunca daripada masalah ini, boleh digunakan fungsi Fixboot daripada program program Recovery Console. Pada baris arahan dalam Recovery Console ditaip perkataan fixboot diikut dengan pemacu seperti C: atau D:.

7. Memperbetulkan masalah pada master boot record.

Master boot record merupakan merupakan sektor pertama dalam cakera keras yang bertanggung jawab mengenal pasti prosedur untuk but bagi Windows. Master boot record mengandungi jadual bahagian cakera keras dan program kecil, master boot code yang berfungsi untuk masukan bahagian cakera yang aktif atau sedia but ke dalam jadual bahagian cakera.

Sekiranya telah dipastikan masalah but Windows XP berpunca daripada masalah ini, boleh digunakan fungsi Fixmbr daripada program program Recovery Console. Pada baris arahan dalam Recovery Console ditaip perkataan fixmbr diikut dengan nama dan laluan peralatan seperti \Devices\HardDisk2.

8. Nyahkan fungsi automatic restart pada Windows.

Apabila Windows XP menghadapi masalah yang kritikal, konfigurasi secara lalai untuk menghadapi masalah ini ialah ia akan secara automatik akan but semula sistem komputer. Sekiranya ketika but semula ia bermasalah, sistem komputer akan dibut semula berulang kali. Jadi, ketika ia but semula, tekan F8 untuk masuk ke pilihan Windows Advanced Options Menu. Seterusnya, pilih Disable The Automatic Restart On System Failure dan tekan Enter.

9. Kembalikan semula daripada sistem salinan pendua atau back up.

Sekiranya masalah but Windows XP ini tidak dapat diselesaikan dengan kaedah baik pulih yang telah dibincangkan dan mempunyai salinan penduanya, maka kembalikan semula fail sistem tersebut daripada media yang mengandungi salinan penduanya. Kaedahnya bergantung jenis media yang diguna pakai.

10. Laksanakan kaedah in-place upgrade.

Sekiranya masalah but Windows XP ini tidak dapat diselesaikan dengan kaedah baik pulih dan tiada salinan penduanya, maka boleh digunakan kaedah in-place upgrade ini. Caranya dengan but mengunakan CD pemasangan Windows XP dan buat pemasangan Windows XP. Seterusnya, untuk melaksanakan in-place upgrade ini, buat pemasangan Windows XP pada komputer dengan menekan butang R. Sekiranya setelah selesai pemasangan Windows XP dengan cara ini, pastikan segala kemas kini dipasang semula ke dalam Windows XP tersebut.


Utusan Online.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.