Diskusi ICT 52
Salam. Pertanyaan saya mengenai perbezaan di antara perisian anti-virus dan internet security. Manakah yang lebih baik penggunaanya supaya komputer sentiasa berada dlm keadaan baik?
Sekian. Terima kasih.
Asmadi Akmal, live.com.my.
Wasalam. Sama-sama. Umumnya, perisian anti-virus merupakan perisian keselamatan untuk sesebuah komputer menangani masalah virus, malware, trojan dan cacacing yang telah mempunyai rupa bentuknya.
Manakala, perisian Internet Security adalah pakej perisian keselamatan yang digunakan untuk menangani masalah keselamatan komputer yang berhubung di internet. Dalam pakej perisian ini terdapat banyak aplikasi keselamatan seperti aplikasi untuk anti-virus, personal firewall, perlindungan e-mel, anti-spam, perlindungan privasi, pengawalan penggunaan internet oleh kanak-kanak, anti-spyware, anti-adware, pop-up blocker, anti-rootkit, perlindungan kata laluan, enkripsi dan lain-lain.
Manakah yang lebih baik penggunaannya di antara perisian anti-virus dengan perisian Internet Security? Penentuan bagi perisian yang lebih baik agak sukar kerana ia bergantung kepada sesebuah situasi dan keperluan penggunaannya. Penilaian boleh dibuat setelah melihat kelebihan dan kekurangan yang terdapat pada setiap perisian tersebut.
Sekiranya sebuah komputer itu sering mempunyai hubungan dengan internet, perisian Internet Security memudahkan para pengguna untuk menyediakan perisian yang secukupnya untuk menangani masalah keselamatan ketika berhubung di internet. Namun begitu, aplikasi-aplikasi yang ada dalam pakej perisian ini perlulah dikendalikan dengan baik oleh pengguna kerana tidak semua aplikasi yang ditawarkan perlu digunakan atau dilarikan dalam komputer.
Selain daripada itu, perisian Internet Security ini memerlukan kos yang tinggi dan ruang storan yang tinggi dalam sesebuah komputer. Pastikan ruang storan seperti cakera keras dan memori, RAM mencukupi untuk melarikan perisian ini.
Bagi penggunaan perisian anti-virus adalah mencukupi sekiranya komputer tersebut tidak dihubungkan ke internet. Sekiranya tidak, pengguna memerlukan pemasangan tambahan bagi aplikasi-aplikasi keselamatan yang berasingan untuk komputer tersebut seperti personal firewall, aplikasi anti-rootkit, aplikasi anti-spam dan lain-lain.
Dari segi kos, perisian anti-virus ini lebih murah berbanding perisian Internet Security. Ia juga tidak memerlukan ruangan storan yang tinggi bagi cakera keras dan memori, RAM untuk melarikannya atau penyimpanannya.
Namun begitu, apa yang lebih penting bagi penggunaan perisian anti-virus dan perisian Internet Security ini adalah sentiasa mengemaskini aplikasinya, pastikan ia berfungsi dengan baik dan penggunaannya yang betul. Akhit kata, sekiranya anda tidak menggunakan perisian tersebut, tidak perlulah untuk memasangnya.
Semoga bermanfaat. Firkhan.
Thanks for sharing :)
ReplyDelete