Diskusi ICT 48
Hobi saya menulis dalam laman blog. Adakah cara untuk memastikan keselamatan laman blog yang ditulis?
Zaharah, Temerloh.
Pertamanya, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua pembaca dan yang menghantar e-mel kepada saya. Saya akan cuba menjawab kesemuanya dan soalan yang terpilih akan disiarkan di ruangan ini dengan persetujuan pihak Utusan Malaysia.
Cara untuk meningkatkan keselamatan sesebuah laman web blog adalah dengan cara memastikan tahap keselamatan laman blog tersebut ditingkatkan dan diperketatkan. Ini mungkin memerlukan kos, masa dan tenaga yang tinggi. Secara umumnya, kendalian yang baik dan selamat terhadap komputer dan laman blog dapat memperketatkan tahap keselamatan sesebuah blog seperti penggunaan kata laluan yang kental, pencegahan daripada jangkitan virus atau malware, pemasangan program kekunci login atau login lock down dan lain-lain.
Penggunaan Kata Laluan Kental
Sentiasa melaksanakan amalan keselamatan bagi pengendalian kata laluan laman web blog. Perkara ini ada dibincangkan dalam ruangan Sembang ICT yang lalu seperti penggunaan aksara yang banyak dan pelbagai, sentiasa membuat pertukaran kata laluan, tidak menggunakan kata laluan yang mudah diteka oleh penceroboh dan lain-lain.
Ini kerana pencerobohan akan berlaku dengan mendapat kata laluan yang betul bagi laman web blog tersebut. Jadi, sekiranya ia penting, fikirkan penggunaan kata laluan yang kental dan selamat walau pun ia akan menyusahkan kita bagi setiap kali proses login dibuat.
Pencegahan Jangkitan Virus atau Malware
Virus atau malware ini akan digunakan oleh pihak penceroboh untuk memasuki ke konfigurasi sesebuah laman web blog. Dengan itu, pihak penceroboh akan berbuat sesuka hati pada laman web blog. Jadi, perlu mempunyai perisian anti-virus yang sentiasa dikemaskinikan enjin carian virusnya dan beroperasi dengan cekap.
Pemasangan Program Kekunci Login
Pihak penceroboh akan mengguna kaedah serangan cuba jaya atau brute force attack dalam mendapatkan kata laluan bagi sesebuah laman web blog. Jadi dengan adanya program ini, ia boleh dikonfigurasikan bilangan kemasukan login dan kata laluan pada laman web blog tersebut. Sebagai contoh, sekiranya ia melebihi tiga kali, kemasukan ke laman web blog tersebut dikunci dan tidak boleh untuk dilogin semula.
Akhirnya, kepada sesiapa yang memerlukan artikel-artikel Sembang ICT yang lepas, boleh pergi ke laman web Utusan Online atau ke blog, http://universitimengkarakk.blogspot.com.
Utusan Online
No comments:
Post a Comment
Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.