Diskusi ICT 60
Apakah peranan tamadun Islam dan Al-Quran dalam perkembangan dunia teknologi maklumat hari ini?
Roy, Putrajaya.
Jawapan ringkasnya adalah terlalu banyak sumbangan Al-Quran dan tamadun Islam dalam membantu perkembangan dunia teknologi maklumat. Jumlahnya tidak terhitung sehinggakan ia tidak terjangkau oleh akal, ilmu, pengetahuan, ruang dan masa yang Allah anugerahkan kepada saya.
Namun begitu, ilmuan-ilmuan Islam terdahulu yang mahir dengan sains dan teknologi merupakan juga seseorang yang mahir dalam ilmu Islam dan Al-Quran. Kebanyakan dikalangan ilmuan-ilmuan Islam ini merupakan seorang yang hafiz yakni menghafal keseluruhan Al-Quran.
Dalam Al-Quran banyak diceritakan berkenaan dengan nombor yang merupakan asas kepada ilmu sains dan teknologi. Begitu juga berkenaan dengan kejadian-kejadian alam semula jadi ciptaan Allah Taala banyak terdapat dalam Al-Quran. Jadi, ilmu sains dan teknologi ini adalah ilmu mengkaji kejadian-kejadian semula jadi ciptaan Allah. Salah satu cabang daripada ilmu sains dan teknologi ini adalah ilmu teknologi maklumat dan komunikasi atau komputer.
Umum sedia maklum bahawa komputer menggunakan nombor binari iaitu 1 atau 0 dalam memproses data dan maklumat. Al-khwarizmi merupakan seorang sarjana muslim yang pakar ilmu Al-Quran, matematik dan lain-lain cabang ilmu telah memperjelaskan kepentingan nombor sifar atau 0 dalam sistem penomboran. Ajaibnya nombor sifar ini ialah ia tidak mempunyai nilai tetapi apabila ditambah disebelah kanan kepada sebarang nombor akan meningkatkan nilai nombor tersebut. Begitu juga sekiranya ditambah sifar ini disebelah kiri bagi sesuatu nombor, nilai bagi nombor tersebut tersebut akan berkurangan (nombor perpuluhan).
Penemuan kepentingan nombor sifar dan sistem penomboran ini oleh Al-khwarizmi telah mencetuskan fenomena besar dalam ilmu sains komputer dan teknologi maklumat dan komunikasi. Ilmu matematik penting bagi dunia Islam untuk mendapatkan ketepatan dalam sesuatu ibadah yang dijalankan seperti penentuan arah kiblat, pengiraan bilangan hari dalam sesebuah bulan bagi penentuan sesuatu hari yang penting seperti ibadat puasa di bulan Ramadhan, pembahagian harta pusaka dan lain-lain.
Al-khwarizmi juga telah memperkenalkan formula dan teori matematik yang dikenali sebagai aljabar atau Algebra dan Algoritma atau Algorithm. Teori Algebra dan Algorithm ini menjadi asas yang sangat penting dalam penerbitan formula-formula baru dan penyelidikan-penyelidikan bagi ilmu sains komputer dan teknologi maklumat dan komunikasi.
Dalam Al-Quran, pada ayat 1-5 dalam Surah Az-Zaariyat, diceritakan berkenaan dengan teori teknologi rangkaian tanpa wayar yang telah menjadi budaya kehidupan dalam masyarakat moden kini. Nabi Muhammad S.A.W dan Al-Quran bukannya satu alat ramalan masa hadapan tetapi kesemuanya adalah kebenaran yang telah disampaikan oleh Allah S.W.T.
Sebagai contoh, Nabi Muhammad S.A.W pernah mengatakan bahawa pada masa akan datang di dunia Arab akan dikurniakan ‘emas hitam’. Terma ‘emas hitam’ yang dipakai pada masa itu adalah sesuai untuk pada masa itu yang mana objek itu belum ditemui lagi oleh manusia. Hari ini, generasi kita faham bahawa ‘emas hitam’ yang dimaksudkan itu adalah petroleum yang merupakan sejenis galian yang sangat penting di dunia kini. Ia telah memberikan banyak kebaikan dari segi ekonomi kepada negara - negara yang memilikinya termasuk Malaysia.
Dengan itu, inilah tugas ilmuan-ilmuan Islam yang perlu mahir dengan Al-Quran dan Hadis dalam mendepani cabaran dunia sains dan teknologi termasuk dalam displin ilmu teknologi maklumat dan komunikasi. Ini cumalah setitis sahaja penerangan berkenaan dengan sumbangan Islam dan Al-Quran dalam ilmu teknologi maklumat. Semoga Allah Taala memberi kekuatan kepada saya dan kita semua dalam mendepani cabaran-cabaran di akhir zaman ini.
Sekiranya ada persoalan yang lebih spesifik berkenaan soalan yang diajukan ini, bolehlah e-mel kepada saya.
Semoga ia bermanfaat untuk semua.
No comments:
Post a Comment
Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.