Wednesday, January 28, 2009

0000 : Kezaliman Yang Tersembunyi dan Yang Nyata

Assalamualaikum dan salam sejahtera,

Disini dinukilkan satu perbincangan untuk kita semua renungi dan berbahas dengan fikiran yang terbuka.

Teringat akan syarahan yang disampaikan oleh Ustaz Rahim Rafiee, pensyarah Fakulti Pendidikkan di UPM pada 8-9 tahun yang lalu mengenai zalim.

Allah S.W.T melarang umatnya melakukan kezaliman malah perlu untuknya mencegah daripada berlaku seperti yang terdapat dalam Surah Asy-Syura Ayat 227 yang antara maksudnya "....Nanti akan tahu orang-orang yang aniaya, ke tempat mana mereka akan kembali."

Kezaliman ini berlaku sama ada secara yang terang atau secara tidak jelas.

Kezaliman yang berlaku secara terang amat mudah untuk kita kenalpasti seperti berlakunya penindasan orang-orang Israel terhadap orang-orang palestin atau penindasan yang dibuat oleh orang-orang Serbia ke atas orang-orang Bosnia dan sebagainya.

Bagaimana pula kezaliman yang tersembunyi? Ia lebih kepada ketidakadilan atau kita tidak meletakkan hak ke atas yang sepatutnya.

Seperti contoh majikan dengan pekerjanya. Pekerja berhak untuk mengambil cuti tahunannya tetapi majikan atau bos mempunyai kuasa untuk meluluskannya. Sekiranya pekerja tadi memohon cuti sebagai haknya dan majikan tadi dengan kuasa yang ada berpendapat tidak perlu meluluskan cuti tersebut. Pendapat majikan atau kita kadang-kadang tidak sempurna tetapi secara haknya, memang sepatutnya pekerja tadi dapat cuti. Maka berlakulah satu kezaliman.

Begitu juga beliau andaikan beliau sendiri sebagai pensyarah dengan pelajar beliau.

Dari segi pemberian markah, sekiranya markah yang kita beri itu kurang daripada sepatutnya yang pelajar itu dapat maka kita dah melakukan kezaliman. Kita bagi markah terlebih tidak mengapa (Bukan saja-saja bagi lebih) tetapi sekiranya kurang daripada yang sepatutnya , berlakulah kezaliman.

Ini berdasarkan hadis yang mengatakan bahawa ada tiga jenis hakim iaitu dua masuk neraka dan satu tidak masuk neraka.

Yang masuk neraka:-

1. Hakim yang pasti tahu perkara tersebut satu kesalahan yang telah dibuat dan tidak menjatuhkan hukuman yang sepatutnya.

2. Hakim yang yang tidak pasti tahu kesalahan tersebut dilakukan dan telah menjatuhkan hukuman terhadapnya tetapi perkara yang sebenarnya kesalahan itu tidak dilakukan.

Yang tidak masuk neraka tentulah Hakim yang adil dan Hakim yang yang tidak pasti tahu kesalahan tersebut dilakukan dan tidak menjatuhkan hukuman terhadapnya walaupun perkara yang sebenarnya kesalahan itu dilakukan.

Itulah dia indahnya Islam, walaubagaimanapun dalam perhubungan sesama manusia kita bukanlah searif Umar Al-Khatab yang digelar Al-Farouk di mana ia dapat membezakan dengan jelas yang benar dan yang tidak benar, yang salah dan yang tidak salah dan sebagainya.

Lebih baik kita mengambil jalan tengah dalam membuat sesuatu keputusan yang melibatkan hak orang lain yang berkait dengan kuasa kita agar kita tidak melakukan kezaliman.

Ini juga merupakan satu dakwah kepada orang bukan Islam di mana perkara kezaliman ini bukan sahaja tertumpu kepada umat Islam tetapi juga kepada bangsa-bangsa lain seperti China dan India yang bukan beragama Islam.

Dirawikan daripada Rasulullah S.W.T, beliau bersabda: "Lima orang yang mendapat murka Allah SWT, Jika mahu Dia akan berikan pada mereka di dunia atau dia tempatkan mereka di Akhirat dalam neraka:

1. Pemimpin yang merampas hak rakyatnya, tidak pernah ia menginsafi dirinya terhadap perbuatannya dan melakukan kezaliman terhadap rakyatnya.

2. Pemimpin yang ditaati kaumnya, namun ia tidak membezakan mana yang kuat dan yang lemah tetapi dizalimi serta berkata dengan hawa nafsunya,

3. Lelaki yang tidak pernah mementingkan isteri dan keluarganya untuk taat kepada Allah dan tidak mengajari mereka urusan agamanya,

4. Lelaki yang tidak memberi upah dengan cukup pada pekerjanya,

5. Dan lelaki yang menganiaya dalam maharnya."

Itulah dia antara yang dapat saya kongsikan yang dipetik daripada ceramah beliau.

Sesiapa yang pernah berada atau menetap di UPM atau sekitar Serdang , biasanya amat mengenali beliau.

Diharapkan agar diri saya dapat mengelakkan daripada melakukan kezaliman ini secara kita tidak sedari dalam kehidupan seharian saya terhadap diri, pelajar, rakan-rakan sekerja, keluarga, bangsa, negara, masyarakat, universiti dan negara.

1 comment:

  1. insyallah, semoga kita tidak menjadi zalim termasuk zalim pada diri sendiri.

    ReplyDelete

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.