Saturday, March 28, 2009

Lelaki Hampir Murtad Bersyukur : Zakat Oh Zakat

Berita ini diambil daripada akhbar Kosmo, Sabtu 28 Mac 2009 muka surat 13.

Ia berkenaan dengan seorang lelaki muslim yang bersyukur kerana tidak berjaya menjadi murtad atau keluar daripada Islam.

Ia berlaku di Jaya Gading, Kuantan, Pahang.

Tidak dinyatakan sebabnya tetapi lelaki yang bekerja sebagai pencari besi buruk ini ada menyatakan,

"Bukan senang untuk menyara sembilan orang anak. Walau apa pun terjadi selepas ini,saya akan utamakan anak-anak"

Kebanyakkan kes murtad yang berlaku di kalangan muslimin dan muslimat di dalam dan luar negara adalah disebabkan kemiskinan. Sebab itulah diminta umat ini menjauhi daripada kemiskinan dan fakir kerana ia menghampiri kepada kekufuran. Semoga Allah melindungi kita, anak cucu dan keturunan kita daripada bala tersebut.

Dalam konteks negara Malaysia dengan setiap organisasi zakat dengan bangganya memaparkan kutipan zakat tahunan berjuta-juta Ringgit Malaysia, tidak sepatutnya berlaku perkara sebegini.

Sekiranya saya sebagai pegawai atau staf diinstitusi tersebut, saya akan merasakan malu yang amat sangat dan akan memikirkan mencari rezeki yang lain untuk suapan anak-anak kerana ini adalah hak orang lain.

Tidak dinafikan bahawa ramai golongan fakir dan miskin mendapat banyak manfaat daripada organisasi zakat terbabit tetapi itu masih tidak mengcukupi.

Pengalaman saya dalam membantu seorang pelajar yang miskin untuk mendapatkan zakat ini terlalu amat sukar sehinggakan perlu mengisi pelbagai borang dan surat, memerlukan mendapat pelbagai pengesahan dan perlu menghadiri sesi temuduga.Akhirnya, pelajar terbabit hanya membuat endah dan tak endah sahaja.

Harus diingat, si miskin dan fakir ini juga ada maruah diri.

Sekiranya kita lihat pemerintahan Saidina Umar, beliau sendiri yang mencari golongan fakir dan miskin ini untuk diagihkan harta zakat sehinggakan beliau merayau di tengah malam dan pergi ke setiap rumah untuk mencari penerima zakat.

Bukannya si miskin dan fakir perlu menyembah diri ke organisasi-organisasi terbabit untuk mendapatkan wang zakat ini.

Kempen yang dibuat agar orang ramai membayar zakat sehingga ke tahap pemotongan gaji amat hebat dibuat kerana untuk dapatkan wang zakat ini tetapi kempen untuk mencari golongan fakir dan miskin atau 7 asnaf ini hendaklah dibuat dengan lebih hebat lagi agar tiada yang ketinggalan.

Sekiranya saya diberi kuasa sehingga menjadi Perdana Menteri sekali pun, inilah perkara pertama yang akan saya buat iaitu memastikan organisasi zakat ini benar-benar mengagihkan wang zakat ini kepada yang memerlukan tanpa ada pelbagai prosedur atau karenah birokrasi yang perlu dilalui.

Ingatlah, golongan fakir dan miskin ini adalah harta kepada negara kerana dengan doanya dan adanya maka rahmat dan rahman Allah S.W.T tidak akan putus melanda negara kita. Sayangilah golongan ini dan janganlah di caci cerca dengan pelbagai seperti malas dan sebagainya kerana tidak semua orang mendapat peluang yang sama. Semoga saya sentiasa mengingati perkara tersebut.

Jadilah hamba yang bersyukur wahai diri saya sendiri.

Tahniah yang teramat sangat perlu diberikan kepada MUIP dan penduduk di sekitar Jaya Gading, Kuantan, Pahang kerana usaha mereka yang dapat menyelamatkan saudara kita daripada murtad. Mana perginya institusi zakat?

Teknologi maklumat juga boleh digunakan untuk memastikan agar pengagihan wang zakat ini benar-benar telus dan sampai kepada golongan yang memerlukan.

Bukan sahaja teknologi maklumat ini digunakan dengan hebat untuk dapatkan wang zakat daripada orang ramai sahaja.

Hanya Allah S.W.T sahaja yang lebih mengetahui dan semoga saya dan kita semua mendapat taufik dan hidayahnya.

Thursday, March 26, 2009

Kalau Tiada Angin Masakan Pokok Bergoyang

Ini satu ungkapan pemikiran yang sangat hebat dalam kita menjalankan kerja-kerja seharian yang dihasilkan oleh cerdik pandai melayu.

Kini, ramai yang mempercayai cerita-cerita yang belum sahih kebenarannya berdasarkan kepada ayat ini.

Namun, janganlah dijadikan ia sebagai satu pegangan tetapi memadai sebagai satu strategi peperangan atau pertahanan untuk menghadapi apa sahaja kemungkinan yang akan berlaku.

Dalam penggunaan komputer juga, kita boleh mempraktikkannya kerana kalau tiada apa-apa mengjangkiti atau mengganggu komputer kita masakan komputer kita menjadi perlahan dan berfungsi dengan tidak baik.

Jadi, sekiranya ada perkara-perkara yang di bawah ini berlaku kepada komputer kita maka itulah angin perisian jahat (malware,adware,virus dll) telah menggoyangkan kestabilan perjalanan komputer kita.

1. Perjalanan komputer dirasakan prosesnya amat perlahan berbanding kebiasaannya. Ini kemungkinan ada malware yang sedang berjalan menggunakan kapasiti RAM atau virtual memory komputer kita.

2. Ketika melayari Internet menggunakan aplikasi pelayar, kerap kali terdapat iklan yang muncul secara tiba-tiba dalam tetingkap yang lain. Ini kemungkinan komputer kita ditanam satu perisian jahat yang dikenali sebagai adware.

3.Ketika melayari Internet juga, kerap kali anda dapati laman-laman web yang tidak anda kehendaki dipaparkan pada aplikasi pelayar anda atau carian yang anda buat menerusi laman web tidak berjaya. Ini kemungkinan komputer kita telah digodam.

Jadi, apa yang perlu dibuat. Di bawah ini ada beberapa langkah yang boleh kita ambil.

1. Perlu pasangkan perisian anti virus dan imbas komputer anda.

2. Imbas komputer anda dengan perisian anti virus atas talian yang disediakan secara percuma.

3. Pasang dan kemaskini Windows atau sistem pengoperasian anda dengan program-program sekuriti dan kemaskini. Ada yang terus sahaja format komputer dan ini juga satu cara yang boleh dibuat. Cuma, terlalu kerap memformat cakera keras membolehkan cakera keras kita cepat rosak.

Jadi, sekiranya terdapat perkara-perkara yang luar biasa berlaku kepada komputer anda, cepat-cepatlah bertindak dengan segera kerana ia bukannya sekadar khabar angin tetapi memang angin yang jahat melanda komputer anda.

Begitulah juga diri kita ini. Andai dirasakan berlaku sesuatu yang tidak kena pada diri sendiri. Cubalah koreksi diri dengan melihat kelemahan hubungan kita dengan Allah S.W.T, sesama manusia dan mahkluk-mahkluk Allah yang lain.Perbetulkan mana yang bermasalah dan mantapkan lagi mana yang dirasakan sudah baik.

Thursday, March 19, 2009

Ayat-ayat Jati Diri : Boikot PCK

Don't pray pray

Ini adalah satu ungkapan yang sangat popular digunakan dalam sebuah sitkom komedi yang popular di negara ini yang saya andaikan sebagai Perosak Cekalan Kendiri (PCK).

Walaupun ia hanya digunakan untuk sekadar main-main bagi perkatan play-play tetapi secara tidak langsung ia akan menanam semangat tidak solat kepada umat kita di Malaysia. Seperti menurut kata seorang pakar motivasi di negara kita, apabila satu perkatan itu diulang-ulang akan menjadi satu sebatian dalam diri seseorang. Begitu juga dengan kata-kata bijak pandai melayu dahulu yang mengatakan alah tegal jadi biasa.

Ia amat berbahaya terutama untuk tontonan kanak-kanak yang mudah terpengaruh dengan pelbagai aksi yang dipaparkan. Di manakah sensitiviti umat Islam dan pihak - pihak yang bertanggung jawab.

Isu ini termasuklah lambakan hiburan drama atau filem yang menyuntik isu-isu atau elemen-elemen hubungan sejenis. Kalau dahulu, ada satu sitkom komedi yang mamaparkan golongan lembut atau pondan , 2+1 digam persembahannya untuk mengelakkan budaya tidak sihat itu menular ke masyarakat kita tetapi kini seperti cendawan yang tumbuh selepasa hujan melata di skrin-skrin televisyen atau pawagam.

Sensitiviti ini bermula dengan jati diri kita sebagai masyarakat Malaysia dan umat Islam. Sebab itu dalam konteks negara kita ada lima Rukun Negara dan dalam Islam kita ada Rukun Islam dan Rukun Iman. Inilah jati diri kita dan ia akan berkembang dan melahirkan masyarakat yang bestari dan budiman sekiranya dihayati dan dipraktikkan secara menyeluruh di peringkat individu, masyarakat,NGO,agensi-agensi kerajaan, pihak berkuasa, parti politik dan negara.Malah kerajaan kita telah bersusah payah dan membelanjankan banyak wang untuk menjalankan program khidmat negara untuk kestabilan peribadi mulia remaja kita.

Sebagai individu kita wajib memboikot perkara-perkara tersebut dan di pihak berkuasa, NGO dan badan-badan tertentu buatlah sesuatu dalam lingkungan kuasa masing-masing.Janganlah kita menjadi seperti si kaduk dengan hanya bergelak ketawa dan terhibur dengan sajian-sajian hiburan yang berasaskan Perosak Cekalan Kendiri (PCK) kerana bukan kampung sahaja yang tergadai tetapi maruah, anak bangsa dan Islam yang kita akan gadaikan.

Inilah bahana teknologi. Ia ibarat pisau di dapur. Digunakan secara baik, manfaatlah ia dan sebaliknya.





Maaf di atas ketidakjelasan video ini. Begitulah juga hiburan-hiburan berbentuk PCK ini, ianya kabur untuk pengisian jiwa seseorang. Marilah kita boikot produk-produk sebegitu untuk maruah bangsa,negara dan Islam.
Janganlah kita jadi seperti seekor burung tiung.

Syabas kepada filem animasi Geng kerana memulakan satu dimensi hiburan yang positif dan bernilai murni untuk anak-anak kita, warisan negara ini.

Friday, March 13, 2009

Di Mana Bumi Dipijak di Situ Langit Dijunjung : Bahasaku Oh Bahasaku

Inilah kata-kata bijak pandai melayu bagi mendidik masyarakat melayu agar menghormati orang lain walaupun berbeza pendapat, adat, bangsa dan agama. Namun ia ada batas-batasnya selagi mana tidak memputarbelitkan atau ingkar kepada ajaran Islam.

Inilah indahnya budaya melayu yang bertunjangkan agama Islam. Ia bersifat global dan boleh diterima pakai oleh semua masyarakat di Malaysia yang berbilang kaum, agama, fahaman dan fikiran.

Maksud tersiratnya adalah kita perlu menghormati budaya orang setempat apabila berada di tempat orang. Bak kata pepatah, masuk kandang kambing mengembik, masuk kandang harimau mengaum.Itulah petua laksamana melayu dahulu kala yang gagah berani berupaya merantau ke mana sahaja sehingga ke negara China.

Apa yang sedihnya dalam satu iklan alam sekitar, seorang ahli penyampai telah berkata sebaliknya iaitu di mana langit dijunjung di situ bumi dipijak. Mungkin yang menyampaikannya itu bukan melayu dan beliau tidak faham makna tersirat kata-kata hikmat ini. Hanya sedap meniti dibibir dan didengari telinga sahaja.Apabila terbalikkan secara tersiratnya seolah-olah ia seperti bersifat kurang ajar kepada pihak tempatan atau orang setempat.

Malah, dalam akhbar-akhbar bertaraf perdana juga terdapat banyak kesilapan tatabahasa dalam penulisan berita dalam Bahasa Melayu.

Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia adalah bahasa rasmi negara Malaysia dan sewajarnya ia diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Kini, bertebaranlah di muka bumi Malaysia pencak-pencak silat yang dimainkan oleh para pejuang dan cerdik pandai Bahasa Melayu atas isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam Bahasa Inggeris atau singkatannya PPSMI.

Namun demikian, para cerdik pandai Bahasa Melayu ini janganlah hanya melihat pada skop PPSMI semata-mata. Terdapat beberapa isu lagi seperti pengiklanan, media cetak, media tv, hiburan dan sebagainya. Kini, sudah ada iklan di televisyen yang menggunakan bahasa selain daripada Bahasa Melayu tetapi tulisan pada skrinnya juga tidak menggunakan Bahasa Melayu. Sebelum ini apa-apa iklan yang tidak berbahasa melayu perlu diletakkan tulisan pada skrin dengan Bahasa Melayu.

Sekiranya kita lihat di laman-laman web, masih ada syarikat-syarikat besar yang menggunakan hanya Bahasa Inggeris sahaja tanpa ada pilihan untuk web tersebut ke Bahasa Melayu. Sebagai contoh kita lihat di institusi perbankan, hanya beberapa bank sahaja yang menyediakan laman web dalam Bahasa Melayu seperti Bank Agro, Bank Simpanan Nasional dan Bank Rakyat sahaja. Mana perginya Bahasa Melayu , bahasa rasmi negara bagi semua rakyat Malaysia?

Begitu juga di peringkat pengajian tinggi dalam ilmu sains dan teknologi, modul-modul pengajaran perlu ditulis dalam Bahasa Inggeris kerana kebanyakkan proses pengajaran dan pembelajaran adalah dalam Bahasa Inggeris. Ini berkemungkinan berlakunya pengurangan penulisan ilmiah dalam Bahasa Melayu terutama dalam bidang sains dan teknologi.

Para sarjana kita pula berlumba-lumba dan bangga dapat menempatkan makalah-makalah mereka dalam jurnal-jurnal antarabangsa yang berimpak tinggi yang mana ianya berbahasa inggeris. Itu tidak salah tetapi para sarjana perlu juga memikirkan nasib anak bangsa dan masyarakat dengan penyebaran ilmu saintifik yang beliau perolehi ke tengah masyarakat dengan menggunakan Bahasa Melayu sebagai wadah penyampaiannya.

Berkenaan dengan isu PPSMI, pihak kementerian melihat dengan menggunakan bahasa inggeris, tahap pengetahuan sains dan matematik di kalangan pelajar kita akan bertambah. Sebaliknya pula kepada pejuang-pejuang bahasa, melihat Bahasa Melayu akan menjadi tidak relevan pada masa akan datang untuk perkembangan ilmu. Pada masa akan datang, Bahasa Melayu hanya digunakan sebagai bahasa percakapan harian seperti loghat kedah, kelantan dan sebagainya.

Namun, ia perlu dilihat dari segi perspektif keperluan pelajar-pelajar kita terhadap pelajaran sains dan matematik. Ini kerana menurut Yang Berbahagia Profesor Diraja Ungku Aziz, kedua-dua bahasa penting untuk dikuasai oleh para pelajar tetapi pengajaran dan pembelajaran sains dan matematik tidak semestinya menggunakan bahasa inggeris.

Sekiranya di awal umur 3 tahun, pelajar-pelajar kita sudah boleh bertutur dalam bahasa inggeris di rumah, sewajarnya ia digunakan tetapi sekiranya tidak, ia perlu dibuat kajian yang mendalam sebelum bahasa inggeris digunakan dalam subjek sains dan matematik agar nasib anak bangsa kita tidak terkorban secara menyeluruh.

Tidak dinafikan Bahasa Inggeris merupakan satu bahasa yang sangat penting di peringkat antarabangsa dalam pelbagai sektor terutama sekali sebagai bahasa ilmu yang tersohor buat masa kini. Kesemua lapisan masyarakat perlu dilibatkan dalam merencana strategi yang bestari dalam menangani konflik bahasa ini agar yang dikendong tidak terciciran.


Namun, peranan Bahasa Melayu perlu diberi peluang dan ruang untuk sama-sama dimartabatkan sebagai bahasa ilmu dan perpaduan bagi Negara Malaysia yang tercinta ini.Insafilah nasib tulisan jawi kini seperti hidup segan, mati tidak mahu.

Tuesday, March 10, 2009

Alang Alang Menyeluk Pekasam Biar Sampai ke Pangkal Lengan , Alang - Alang .....,.


Itulah bidalan yang sangat positif dan penuh motivasi untuk kita semua yang telah dinukilkan oleh bijak pandai melayu.

Alang-alang menyeluk pekasam biara sampai ke pangkal lengan. Alang - alang berblog dan berkomputer biarlah sampai menjadi pakar dan handal menggunakannya.

Membujur lalu , melintang patah. Itulah semangat juang nenek moyang kita dahulu dalam menempah arus kehidupan di dunia ini.

Bukan apa, di sini disertakan sedikit panduan keselamatan untuk kita bincangkan berkenaan dengan penggunaan Windows XP Home Edition. Jangan beli yang tiruan ya.

Walaupun kini dah ada Windows Vista tetapi penggunaan Windows XP lebih mudah dan stabil berbanding Vista. Sebab itu sekarang sudah ada Microsoft Windows 7.

Apa-apa pun fungsi dan kemudahan yang disediakan lebih kurang sama sahaja. Jadi di bawah ini ada panduannya.

1. Gunakan kata laluan bagi akaun Guest.


2. Buka kemudahan Internet Connection Firewall.


3. Menggunakan Private Folder untuk melindungi data-data kita.


4. Menggunakan keterhadan akaun bagi Windows XP.


5. Naik taraf ke Windows XP Profesional.



Bagi yang menggunakan kafe siber, hentam sajalah guna komputer tetapi bagi yang menggunakan komputer di rumah jangan sudah terhantuk baru nak terngandah.