Thursday, February 26, 2009

Fatamorgana : Antara Realiti dan Maya

Hidup di dunia ini adalah fatamorgana kerana yang kekal abadi adalah hari akhirat. Namun begitu realitinya dunia ini perlu untuk kita mencari bekalan di hari yang kekal abadi. Ibarat kata pepatah dunia ini ibarat kuda yang perlu kita tunggangi untuk sampai ke hari akhirat.

Dalam dunia IT atau pengkomputeran, konsep yang secara maya ini telah wujud iaitu komputer yang wujud secara maya dalam ruang fizikalnya. Seolah-olah dalam satu komputer dalam bentuk fizikal terdapat beberapa komputer yang wujud secara maya dan ia boleh melaksanakan tugas seperti komputer yang biasa.

Kebiasaanya komputer yang kita gunakan adalah bertujuan untuk melakukan sesuatu fungsi tertentu di mana penggunaan sistem pengoperasian seperti Windows atau Linux akan menghadkan fungsi tersebut dan hanya satu sistem pengoperasian sahaja yang boleh berfungsi dalam mengendalikan sesuatu tugasan tersebut. Kini dengan adanya teknologi pengkomputeran maya, sebuah komputer peribadi atau komputer pelayan dapat menjalankan beberapa sistem pengoperasian secara serentak dengan fungsi tugas yang berlainan bagi setiap sistem pengoperasian itu seperti untuk pelayan e-mail, pelayan web, pelayan fail, pelayan anti-virus dan lain-lain.



Pengkomputeran maya membenarkan pengguna komputer mencapai proses-proses tertentu atau aplikasi-alikasi perisian tertentu secara jarak jauh apabila ia diperlukan. Penguna beroleh capaian tersebut menerusi teknologi Internet.Walaubagaimana pun, pengguna perlu mempertingkatkan keupayaan komputer peribadi yang digunakan dari segi kelajuan pemrposesan, saiz memori, saiz cakera keras dan lain- lain bagi mendapatkan hasil yang baik dalam penggunaan teknologi ini. Teknologi berorientasikan masa nyata ini mengandungi beberapa bahagian seperti sistem pengoperasian dan utiliti, tempat simpanan, memori, perisian, dan sebagainya.

Kini konsep pengkomputeran maya ini mula digunakan untuk tujuan peminjaman ruang atau tempat simpanan secara digital di dalam sesebuah komputer pelayan untuk simpanan data-data, perisian-perisian, sistem pengoperasian dan sistem utiliti. Kebanyakkan syarikat korporat di dunia menggunakan kaedah ini untuk penjimatan kos dan ruang fizikal dalam merencana infrastruktur teknologi maklumat kerana dengan menggunakan sebuah komputer pelayan, ia dapat melarikan pelbagai kemudahan atau aplikasi.

Terdapat banyak syarikat-syarikat gergasi pembekal teknologi maklumat di dunia seperti Hewlett-Packard, IBM, Microsoft, Sun dan lain-lain menyediakan perkhidmatan pengkomputeran maya ini sama ada dari segi keperluan perisiannya atau perkakasannya.

Penggunaan perisian-perisian pengkomputeran maya ini perlu dilihat dari segi kesesuaian dengan perkakasan dan sistem komputer yang akan digunakan sebagai pelantarnya. Sumber-sumber bagi sebuah sistem komputer seperti keupayaan memori, cip pemprosesan dan kapasiti cakera keras perlu dikaji terlebih dahulu agar sistem komputer tersebut menyokong penggunaan perisian pengkomputeran maya ini. Sebagai contoh, aplikasi Microsoft Virtual PC memerlukan sekurang-kurangnya kelajuan cip pemprosesan sebanyak 1 Ghz, 512 Mb kapasiti memorinya, 20 Mb ruang kosong di dalam cakera dan sistem pengoperasian Microsoft Windows XP.

Selain daripada Microsoft Virtual PC, terdapat lagi beberapa perisian pengkomputeran maya yang berasaskan bisnes di pasaran seperti VMWare dan Parallels.

Terdapat juga perisian-perisian pengkomputeran maya ini yang berasaskan sumber terbuka seperti Virtual Box, Qemu, FreeVPS dan Xen. Namun demikian, Xen merupakan aplikasi yang menyediakan penyelesaian secara sumber terbuka tetapi ia disokong oleh organisasi yang berasaskan keuntungan iaitu Xensource. Perisian Virtualbox boleh dimuat turun secara percuma di http://www.virtualbox.org..

Terdapat pelbagai kelebihan dalam penggunaan pengkomputeran maya ini. Ia bergantung kepada reka bentuk, keperluan, kos dan persekitaran bagi sesebuah infrastruktur teknologi maklumat bagi sesebuah organisasi. Diantara kelebihan penggunaan pengkomputeran maya ini adalah seperti berikut:-



1. Pengoptimuman penggunaan infrastruktur komputer pelayan dengan penggunaan pelbagai aplikasi.

2. Penjimatan penggunaan tenaga elektrik dengan pengurangan penggunaan bilangan komputer pelayan secara fizikal.

3. Memudahkan pengurusan infrastruktur teknologi maklumat terutama untuk komputer-komputer pelayan dan peribadi kerana ia dapat mengurangkan proses menaik taraf perkakasan dan lain-lain.

4. Pengurangan masa yang diambil untuk melaksanakan proses back up dan recovery.

5. Ia boleh digunakan sebagai satu persekitaran yang aktif untuk menguji lari sesebuah perisian atau sistem komputer.

6. Menyediakan tapak untuk penggunaan multi sistem pengoperasian merujuk kepada sesetengah aplikasi.

7. Dapat menjimatkan ruang penyimpanan secara fizikal dengan pengurangan bilangan komputer pelayan yang digunakan.



Di samping itu terdapat juga beberapa kelemahannya seperti menyebabkan masalah masa dan penggunaan pekerja yang mahir kerana sesebuah komputer pelayan perlu melarikan banyak sistem pengoperasian dan aplikasi-aplikasi tertentu. Seterusnya isu keselamatan juga perlu dititikberatkan sama seperti situasi biasa dengan melakukan pengamatan dan penyediaan sistem tembok api yang baik. Begitu juga masalah pelesenan terhadap aplikasi-aplikasi yang digunakan juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Namun demikian, hari ini dan masa yang akan mendatang, penggunaan pengkomputeran maya ini bagi sebahagian infrastruktur teknologi maklumat semakin penting dan popular digunakan dikalangan syarikat-syarikat korporat yang besar. Kajian juga dibuat dengan penggabungan teknologi pengkomputeran grid bagi meningkatkan lagi prestasi penggunaan sumber-sumber yang ada di dalam komputer. Perancangan yang strategik dan bestari dalam merangka penggunaannya dalam infrastruktur teknologi maklumat amat penting agar ia dapat memberi pulangan yang baik kepada syarikat atau penggunaannya.

Friday, February 20, 2009

Permata Yang Hilang : Permata atau Kaca ?

Salam semua,

Di sini ingin dikongsikan bersama hasil idea atau perahan otak seseorang yang sangat berjasa kepada negara kita terutama dalam penubuhan Tabung Haji, ANGKASA dan sebagainya iaitu Prof. Diraja Ungku Aziz.

Kesemua penduduk Malaysia harus kenal beliau walaupun datang daripada pelbagai bangsa, agama atau fahaman politik kerana idea dan cetusan ideanya melampaui kesemua bidang termasuk politik, bangsa, agama dan masa.

Negara kita sangat ketandusan pakar-pakar seperti ini yang bukan sahaja mempunyai pandangan yang bernas tetapi hasilnya kelihatan nampak dan bermanfaat.Tidak seperti kebanyakkan ahli-ahli motivasi atau politik yang banyak tumbuh sepert cendawan selepas hujan (Perlu juga untuk menyedarkan orang ramai)tetapi praktikalitinya tiada atau pakar-pakar penyelidik yang mepunyai jutaan penulisan jurnal terpilih di peringkat antarabangsa tetapi tidak memberi manfaat kepada kesejahteraan masyarakat dan negara (Kena atas batang hidung sendiri).

Mungkin juga disebabkan oleh kurangnya pendedahan yang dibuat oleh pihak media. Sekiranya mengharapkan beliau seorang sahaja agak sukar untuk kita memacu ke arah negara maju pada tahun 2020. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada saya dan tuan-tuan semua agar dapat bermanfaat kepada masyarakat.

Dalam syarahannya yang bertajuk `The Quest For Success' di Pusat Konvenyen Kuala Lumpur (KLCC)anjuran Petronas dan Universiti Teknologi Petronas pada 12 Februari 2009, beliau telah menggariskan empat strategi utama untuk mencapat kejayaan. Ia adalah bersempena penganugerahan Anugerah Merdeka 2008 (Kategori Pendidikan dan Komuniti) kepada beliau pada tahun lepas.Perkara tersebut telah dicungkil oleh beliau daripada sembilan karya terbilang di peringkat dunia dan ada yang dihasilkan pada tahun 1532.


Gambar ini diipetik tanpa kebernaran daripada Berita Harian Online 13 Februari 2009


Antara karya tersebut adalah seperti `Fit For Life Not Fat For Life' hasil karya Harvey Diamond (2003), `Thinking Course' (Edward de Bono - 1982), `The Mind Map Book' (Tony Buzan - 1993), `Head First' (Tony Buzan - 2000), `The 36 Strategies of the Chinese: Adapting An Ancient Chinese Wisdom to the Business World' (Wee Chow Hou & Lan Luh Luh - 1988), `The Art of War' (Sun Xi - 1988), `The Prince on the Art of Power' (Niccolo Machiavelli - 1532), `Leader's Window' (J.D.W. Beck & N.M. Yeager - 1994) dan `Level 5 Leadership' (Jim Collins - HBR - 2001). Kesemuanya beliau sudah membacanya berulang kali.

Hasilnya adalah empat strategi untuk mencapai kejayaan seperti di bawah:-

1. Diet dan pemakanan yang sihat.
2. Alat atau cara untuk membangunkan pemikiran.
3. Pelbagai strategi mencapai kejayaan.
4. Kepemimpinan.


Berkenaa penggunaan Bahasa Inggeris dalam proses pengajaran dan pembelajaran, inilah komen beliau:-

Sementara itu pada sidang akhbar, beliau berkata, bahasa bukanlah isu dalam pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik di sekolah, sekali gus bahasa Inggeris tidak semestinya menjadi bahasa pengantar dua mata pelajaran itu.
"Dalam soal ini, apa yang penting ialah pelajar mesti diberi penguasaan kedua-dua bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang mantap,". Dipetik Tanpa kebernaran daripada Berita Harian Online 13 Februari 2009.

Apa yang dapat disimpulkan adalah masyarakat kita terlalu banyak memikirkan perkara-perkara yang remeh dan temeh dengan mangabaikan perkara-perkara yang lebih utama.

Seperti satu cerita yang telah disampaikan oleh seorang ustaz di Masjid Jamek Bandar Triang.

Pada zaman pemerintahan Islam selepas pemerintahan sahabat-sahabat nabi yang empat. Khalifah negara Islam ketika itu memanggil seorang sahabat nabi yang alim iaitu Ibnu Umar untuk meminta pendapat beliau berkenaan dengan sama ada darah seekor nyamuk boleh membatalkan wudhuk atau pun tidak.

Jawapan beliau, apalah difikirkan berkenaan dengan darah seekor nyamuk yang hanya sekelumit sahaja berbanding dengan darah umat Islam yang telah tumpah dengan banyaknya ketika perang di Padang Karbala termasuk cucu Rasulullah S.A.W yang tercinta. Kemudian Ibnu Umar bergegas meninggalkan khalifah tersebut dengan satu jawapan yang tersirat.

Dalam kehidupan kita ada perkara yang menjadi keutamaan dan sebaliknya. Semoga Allah memberi taufik dan hidayah kepada saya untuk mengatasi apa sahaja kelemahan diri ini. Agar dapat mencari betul-betul permata yang hilang dan bukannya kaca yang kelihatan seperti permata.

Hanya Allah S.W.T yang lebih maha mengetahui segala-galanya.

Thursday, February 19, 2009

E-Kad : Jangan di Sangka Air yang Tenang Tiada Buaya


E-kad merupakan satu aplikasi Internet yang popular digunakan terutama untuk kita membuat pelbagai ucapan seperti selamat hari lahir, merdeka, aidil fitri dan segala hari keraian untuk sahabat-sahabat dan saudara-mara.

Namun, dewasa ini ia boleh digunakan oleh seseorang untuk membuat sesuatu yang tidak baik seperti pencerobohan siber dan sebagainya.

Jadi, sekiranya anda memperolehi sebarang e-kad yang tidak diketahui daripada sesiapa, berhati-hatilah, jangan dibuka dan terus buang sahaja.



Seperti hasil kajian yan dibuat oleh sebuah firma keselamatan IT Sophos didapati bahawa 82% pakar IT di syarikat-syarikat mengkategorikan E-Kad ini sebagai sesuatu yang boleh mendatangkan ancaman siber kepada persekitaran IT mereka. Jadi bagi kita yang di rumah, macam manalah gamoknya ya.

Jadi berhati-hatilah ketika menerima apa sahaja termasuk E-Kad dalam dunia siber. E-kad juga dijadikan alat untuk spam atau hoax. Di mana dalam E-kad tanpa disedari diselitkan malware untuk tujuan yang tidak baik. Jagalah weihhhhh ya.

SALAM MAULIDUR RASUL ... Semoga kita berusaha dan berupaya mencontohi akhlak mulia baginda....

Tuesday, February 17, 2009

Asas Kelamatan Penggunaan Komputer di Rumah

Dewasa ini terlalu banyak perkara yang kita lakukan menggunakan komputer dan Internet. Sekiranya ia di buat di pejabat, syarikat, sekolah dan sebagainya, di tempat tersebut ada mekanisme tersendiri dalam mengatasi masalah keselamatan dalam penggunaan komputer dan Internet.



Bagi kita yang menggunakan komputer dan Internet di rumah juga perlu mengambil beberapa langkah keselamatan untuk mengatasi dan mengurangan berlakunya masalah-masalah yang tidak diingini.



Di sini ada beberapa perkara yang boleh kita lihat dan bertindak untuk keselamatan komputer kita. Antaranya adalah seperti:-



Pemasangan dan Penyelenggaraan Perisian Anti Virus



Setiap komputer kita perlu dipasangkan perisian ini sama ada ia dibeli atau dimuat turunkan secara percuma di mana-mana laman web (Pastikan ianya memang laman web perisian anti virus tersebut seperti Avast dan sebagainya).



Ini sangat penting kerana komputer kita terdedah kepada banyak perkara-perkara negatif seperti malware, virus dan sebagainya yang juga semakin hari berkembang dengan ciri-ciri yang sangat canggih.



Sesudah pasang, ia perlu dijanakan untuk mengimbas fail-fail yang terdapat dalam komputer, fail yang diterima menerusi email atau fail yang dimuatturunkan daripada mana-mana alamat Internet atau Web. Ia perlu dibuat sekerap yang mungkin.



Virus-virus atau perisian-perisian negatif yang baru ini akan muncul setiap hari. Jadi, kita perlu mengemaskini perisian antivirus tersebut sekurang-kurangnya sekali seminggu. Ia boleh didapati dan dimuatturunkan di laman web perisian anti virus tersebut.



Kewaspadaan dalam Membuka E-mel yang Diragui atau yang Tidak Diketahui



Kebanyakkan virus dan worm hari ini menggunakan konsep kejuruteraan sosial dalam teknik serangannya dengan membuat apa-apa penipuan untuk melibatkan kita dalam proses negatif mereka. Sebagai contoh, ia boleh menipu alamat penghantar e-mel seolah-olah e-mel tersebut dihantar daripada orang lain.



Sekiranya e-mel yang kita terima tersebut, tidak dkenali alamatnya, buang sahaja e-mel tersebut dan bagi alamat yang kita kenali, perlu diselidiki dengan lebih berhati-hati mesejnya sebelum dibuka apa-apa fail yang diterima. Untuk lebih kepastian lagi, hubungi pemunya alamat email tersebut.



Sentiasa Mengemaskini Keselamatan dan Kelemahan Perisian



Dalam komputer kita ada perisian-perisian dan sistem pengoperasian seperti Windows, Linux dan sebagainya. Kadang kala, perisian-perisian ini mempunyai kelemahan-kelemahan yang tidak dijumpai semasa ia dicipta. Jadi, kelemahan-kelemahan ini akan digunakan oleh perisian-perisian atau individu-individu jahat untuk membuat sesuatu perkara yang negatif terhadap komputer kita.



Kemaskini keselamatan perisian-perisian ini perlu kita buat sekerap yang mungkin dengan memuatturunkan fail kemaskini daripada laman web pencipta perisian-perisian itu dan memasangnya dalam komputer kita.



Sebagai contoh dalam Windows, ada fungsi Windows Update yang boleh kita gunakan untuk kemaskini keselamatan dengan lebih mudah.




Wednesday, February 11, 2009

Ubat Hati

Dalam dunia kini yang mencabar ini dengan pelbagai godaan dan lintasan, hati kita menjadi keras dan kadang kala sakit.

Menurut cerdik pandai, terdapat lima perkara yang boleh kita katakan sebagai ubat untuk masalah hati kita itu iaitu:-

1. Solat Tengah Malam

2. Baca Al-Quran dan hayati maknanya.

3. Selalu berpuasa sunat.

4. Banyakkan berzikir pada malam hari.

5. Bergaul dengan orang-orang alim dan solih.


Semoga Allah merahmati hati kitadan saya untuk melaksanakan sekurang-kurangnya satu daripada perkara di atas secara istiqomah.

Tuesday, February 10, 2009

Permintaan Teknologi IT 2009 - SIRI I

Pada tahun 2009 ini, andaian di buat terdapat sembilan teknologi dalam IT akan menjadi bahan strategik untuk kebanyakkan syarikat-syarikat walau pun berlaku kegawatan ketika ini.

Teknologi-teknologi ini sudah ada pada tahun 2008 lagi tetapi pengembangan dari segi penggunannnya dan teknologinya dipercayai akan lebih pesat pada tahun 2009 ini.

Komunikasi Sekutuan atau Unified Communication

Kebanyakkan semua alat komunikasi seperti telefon termasuk sistem PBX akan cuba beralih arah dengan semunya akan berasaskan PC dan alamat IP. Segala jenis komunikasi seperti telefon, e-mel, mesej, SMS, forum dan sebagainya akan disatucapaikan menerusi komputer dengan rangkaian berasaskan alamat IP atau Internet.

Antara kelebihan penggunaan komunikasi sekutuan ini adalah meningkatkan kerjasasama, komunikasi dan produktiviti pekerja-pekerja dalaman atau tempat yang berjauhan dan mengurangkan kos organisasi secara keseluruhan dan untuk jangka masa yang panjang

Penghijauan IT atau Green IT

Kini, alam sekitar menjadi isu paling utama di dunia terutama isu pembuangan haba yang berlebihan yang menyebabkan pemanasan global dunia meningkat. Namun begitu ia perlukan kos tambahan yang lebih dalam mengimplementasikannya.

Walau bagaimana pun, penghijauan IT ini dapat mengurangkan kos perbelanjaan tenaga untuk menjalankan segala bentuk infrastruktur IT.

Bukan sahaja penggunaan Infrastruktur IT yang mesra alam yang banyak dikeluarkan oleh pihak-pihak pengeluar produk IT yang besar tetapi juga garis panduan dalam penjimatan penggunaan tenaga dan penjagaan alam sekitar agar tidak tercemar.

Kawalan Capaian Rangkaian atau Network Access Control atau NAC

Penggunaan NAC sebenarnya sudah menjadi isu IT dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan dijangkakan ia akan lebih teruja pada tahun 2009 ini.

Teknologi ini lahir daripada kajian yang dibuat dalam bidang dan kumpulan pengkomputeran percayaan atau Trusted Computing.

Dua syarikat gergasi iaitu Microsoft dan Cisco telah berbincang untuk piawaiannya dari segi arkitektur, pendekatan dan sebagainya.

Namun, tahun lepas beberapa syarikat pembekal tela berupaya menghasilkannya iaitu Cyamas Systems dan Lockdown Networks. Begitu juga Microsoft dengan produknya Vista dan Windows Server 2008 dengan NAP yang dikenali sebagai Network Access Protection dan seterusny Cisco dan Juniper Networks.

Pertanyaanya adalah dimana NAC ini akan diimplementasikan dan berapa banyak fungsi-fungsinya yang diperlukan? Sebelum ini ia hanya dipakai untuk mengawal capaian tetamu ke dalam rangkaian korporat.

Ia berupayan mengimbas peralatan pengguna dan mengenalpasti berlakunya jangkitan virus atau versi keselamatan terkini tidak dikemaskinikan. Dengan ini ia boleh memberikan satu kuarantin kepada peralatan atau PC tersebut daripada menggunakan rangkaian. Selain daripada itu, ia hanya membenarkan mesin yang bersih dan selamat sahaja, pengguna yang dibenarkan dan capaian setakat apa yang dibenarkan sahaja dalam rangkaian korporat.

Ini menyebabkan ia menjadi 'pisang panas' dalam merangka infrastruktur IT.

Teknologi 10 Gigabit Ethernet

Teknologi ini telah lama diperkenalkan pada awalan tahun 2000 tetapi kos untuk penggunaannya sangat tinggit berbanding pada tahun 2009 ini. Ia seperti penggunaan Switch pada peringkat awal dahulu berbanding penggunaan hub ketika itu.

Dengan kadar trafik yang tinggi dalam rangkaian disebabkan oleh capaian pelbagai aplikasi dan web, teknologi ini menjadi satu keperluan bukan sahaja digunakan sebagai aras tulang belakang tetapi juga untuk aras penyebaran dan capaian.

Penggunaan peralatan rangkaian yang berasaskan teknologi ini bukan sahaja dapat meningkatkan prestasi trafik tetapi juga dari aspek keselamatan, pengurusan rangkaian dan penggunaan alamat IPv6.

Teknologi Pengkomputeran Maya atau Virtualization

Teknologi pengkomputeran maya ini sudah banyak diimplementasikan pada tahunsebelumnya terutama untuk penggunaan komputer pelayan dan pusat simpanan data. Namun begitu, itu adalah perkembangan awal untuk ke arah pengkomputeran maya dalam komputer peribadi, aplikasi-aplikasi komputer dan pusat simpanan data dalam satu komputer pelayan fizikal.







Friday, February 6, 2009

Panduan Memperkasakan Penggunaan Katalaluan di Komputer

Hari ini apa sahaja permohonan dan banyak aplikasi-aplikasi telah berubah keadanya daripada bentuk salinan bercetak seperti borang-borang dan surat-surat ke satu bentuk baru iaitu bentuk digital yang memerlukan penggunaan komputer, teknologi maklumat dan Internet.

Dalam mengendalikan perkara-perkara tersebut, penggunaan katalaluan sangat penting bagi memastikan keselamatan kendalian pelbagai aplikasi menerusi Internet terjamin.

Di sini disediakan sedikit pandua untuk kita dalam menguruskan penggunaan katalaluan ini agar pelayaran di Internet dengan pelbagai aplikasi terjamin keselamatannya dan mudah untuk kita gunakan.


Tidak Menggunakan Maklumat Peribadi Sebagai Katalaluan

Jangan sesekali menggunakan maklumat peribadi seperti nombor flat kereta, nombor kad pengenalan dan sebagainya kerana semua perkara tersebut dengan mudah dapat diteka oleh sesiapa yang mencuba untuk memecah masuk katalaluan kita.

Elakkan Penggunaan Perkataan Yang Biasa

Jangan sesekali menggunakan apa-apa perkatan yang biasa digunakan dalam apa sahaja bahasa sama ada dalam bahasa melayu, bahasa inggeris atau yang lain-lain. Ini kerana ada perisian yang boleh menyimpan semua perkataan yang ada dalam sesuatu bahasa dan dengan cepat akan mencuba setiap perkatan dalam bahasa tersebut.

Penggunaan Pelbagai Campuran Jenis Aksara

Praktikkan penggunaan pelbagai campuran jenis aksara untuk katalaluan kita seperti penggunaan huruf, nombor dan simbol.

Penggunaan Singkatan Perkataan Rahsia

Praktikkan penggunaan singkatan perkataan rahsia untuk katalaluan bagi memudahkan katalaluan tersebut diingati seperti mungkin kita minat satu tajuk lagu seperti Sekelip Mata Kau Berubah yang diterbitkan pada tahun 2008. Jadi, kita cipta katalaluan kita sebagai smkb2008. Ia perlulah ada campuran pelbagai aksara dan panjangnya seelok-eloknya minima 6 aksara.

Penggunaan Alat Pengurusan Katalaluan

Ini adalah satu perisian yang membolehkan kita mengurus katalaluan dengan menyimpan dan mengingati senarai katanama dan katalaluan dengan selamat kerana ia dienkripsikan. Ada yang boleh menggunakan perisian ini dengan memasukkan katanama dan katalaluan ke dalam aplikasi komputer secara automatik.

Penggunaan Katalaluan Yang Berbeza

Pastikan setiap aplikasi komputer yang digunakan akan menggunakan katanama dan katalaluan yang berbeza. Ini kerana sekiranya dalam satu aplikasi katalaluan tersebut dicerobohi, ia tidak akan merebak ke aplikasi-aplikasi yang lain.

Kekerapan Pertukaran Katalaluan

Praktikkan katalaluan ditukar pada setiap 30 atau 60 hari penggunaannya.

Pengunaan Katalaluan Yang Perkasa Dari Segi Strukturnya

Pastikan katalaluan yang digunakan bukan sahaja mudah untuk kita mengingatinya tetapi juga ia sukar untuk diteka oleh para penceroboh. Boleh menggunakan polisi sekiranya ia melibatkan penggunaan pelayan bagi memenuhi kekuatan minima katalaluan.

Sunday, February 1, 2009

0010 : Implementasi E-Pembelajaran Secara Mudah dan Percuma

Dewasa ini, sering kedengaran berkenaan dengan satu kaedah pembelajaran alternatif kepada sistem pembelajaran sedia ada di sekolah iaitu pembelajaran yang berasaskan komputer atau lebih dikenali sebagai E-Pembelajaran.

Kebanyakan institusi pendidikan di Malaysia seperti di pusat-pusat pengajian tinggi telah lama mengorak langkah ke arah mewujudkan satu sistem pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan dan bestari dengan mewujudkan sistem E-Pembelajaran ini. Suasana persekitaran digital yang semakin hari semakin canggih dan mudah capaiannya, merancakkan lagi penggunaan dan keperluan E-Pembelajaran ini dalam sistem pembelajaran.

Implementasi E-Pembelajaran ini dengan kelebihan-kelebihan yang ada padanya dapat mempercepatkan lagi proses pembangunan modal insan yang sangat dituntut oleh pihak kerajaan Malaysia kerana modal insan yang bestari ini akan berupaya menangani segala cabaran dalam merealisasikan Wawasan 2020.

Kelebihan E-Pembelajaran adalah ia bersifat pembelajaran yang bertumpu kepada individu, terkini, berfokus kepada pelajar, sesuai pada masanya dan interaktif. E-pembelajaran juga melibatkan campuran pelbagai sumber pembelajaran yang interaktif dengan menggunakan teknologi maklumat sebagai bentuk persembahannya bergantung kepada kreativiti pengajar.

Terdapat pelbagai jenis E-Pembelajaran yang boleh diimplementasikan dalam dunia pendidikan sebagai bahan sokongan kepada sistem pembelajaran untuk para pelajar. Ia boleh dikelaskan cirinya kepada empat jenis seperti yang berikut:-

1. E-Pembelajaran yang berasaskan kepada teknologi komputer sebagai perantaraan komunikasi seperti sidang video, multimedia, groupware, video on-demand, sistem tutoran cerdas, deskop pulishing dan realiti maya.

2. E-Pembelajaran yang berasaskan kepada teknologi web dan Internet atau lebih dikenali sebagai pembelajaran atas talian.

3. E-Pembelajaran yang berasaskan kepada penggunaan CD-ROM atau DVD dan elemen-elemen multimedia dalam komputer.

4. E-Pembelajaran secara masa nyata atau bukan masa nyata. Bagi pembelajaran masa nyata adalah satu keadaan di mana proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara serentak walaupun kedudukan fizikal pengajar dan pelajar adalah sangat jauh dari segi jaraknya seperti persidangan video, kuliah secara atas talian atau secara langsung menerusi satelit. Keadaan sebaliknya pula bagi E-Pembelajaran secara bukan masa nyata.

Kaedah E-Pembelajaran berasaskan Web dan Internet ini sangat popular digunakan kerana ia ia berupaya dicapai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Di samping kandungannya yang interaktif seperti terdapat ruangan perbincangan, pengundian, perkongsian fail dan sebagainya. Ia juga menyediakan satu platfom pembelajaran sokongan yang murah dari segi kos, meningkatkan akses kepada proses pembelajaran dan tanggungjawab pembelajaran diperluaskan kepada semua yang terlibat dalam proses pembelajaran tersebut .

Untuk implementasi kaedah E-Pembelajaran ini secara percuma tidak bermaksud ia percuma secara total tetapi ia percuma dari segi kerangka platform sistem untuk bahan-bahan pembelajaran dan kandungannnya sahaja. Perkara-perkara dari segi aspek fasiliti seperti komputer, akaun Internet dan lain-lain masih memerlukan kos untuk mendapatkannya.

Di sini disertakan beberapa cara untuk membolehkan kita menyediakan kerangka platfom sistem untuk bahan-bahan pembelajaran dan kandungan e-pembelajaran ini secara percuma:-

1. Membangunkan sendiri sistem dan antaramuka tersebut dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan PHP dan pangkalan data MySQL yang boleh didapati secara percuma di Internet. Namun ia memerlukan kemahiran dalam dua perkara tersebut dan perlu kos tambahan untuk meletakkan web kita di Internet.

2. Menggunakan sistem pengurusan kandungan web yang sedia dimuatturunkan secara percuma daripada Internet seperti Moddle, Mambo dan lain-lain. Ia memerlukan sedikit kemahiran dari segi penggunaan sistem pengurusan kandungan tersebut dan memerlukan kos tambahan untuk meletakkan web sistem E-pembelajaran tersebut di Internet.

3. Menggunakan sistem web untuk kumpulan perbincangan secara percuma seperti yang disediakan oleh Yahoo Groups!, Myspace , Google dan lain-lain.

Kaedah yang paling mudah dan paling jimat adalah menggunakan sistem web untuk kumpulan perbincangan seperti yang disediakan oleh pihak Yahoo!, Myspace, Google dan lain-lain. Walaubagaimanapun, pihak pengajar perlu menyediakan sendiri bahan-bahan pembelajaran dan masukkan ke dalam sistem tersebut seperti nota digital, video, permainan, perbincangan dan lain-lain.

Kekangannya pula ialah sistem kerangka dan fungsi yang digunakan dalam sistem web tersebut adalah tertakluk kepada yang empunya sistem tersebut dan sekiranya sistem tersebut ‘down’ atau mempunyai masalah. Maka, akses kepada sistem tersebut juga tidak boleh dicapai atau mempunyai capaian yang lambat. Begitu juga jumlah saiz yang boleh digunakan dalam satu kumpulan perbincangan elektronik ini adalah terhad kepada saiz yang telah ditetapkan oleh pihak empunya.

Namun demikian, E-Pembelajaran merupakan satu bahan sokongan yang sangat baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam sistem pembelajaran tradisional, pengajar merupakan tempat pergantungan sepenuhnya bagi para pelajar dalam proses pembelajaran. Dalam kaedah E-Pembelajaran, pengajar merupakan sebagai pemudah cara dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jadi, para pelajar perlu lebih berdikari, berusaha dengan gigih dan lebih bertanggung jawab dalam proses pembelajaran mereka dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pengajar.