Thursday, February 26, 2009

Fatamorgana : Antara Realiti dan Maya

Hidup di dunia ini adalah fatamorgana kerana yang kekal abadi adalah hari akhirat. Namun begitu realitinya dunia ini perlu untuk kita mencari bekalan di hari yang kekal abadi. Ibarat kata pepatah dunia ini ibarat kuda yang perlu kita tunggangi untuk sampai ke hari akhirat.

Dalam dunia IT atau pengkomputeran, konsep yang secara maya ini telah wujud iaitu komputer yang wujud secara maya dalam ruang fizikalnya. Seolah-olah dalam satu komputer dalam bentuk fizikal terdapat beberapa komputer yang wujud secara maya dan ia boleh melaksanakan tugas seperti komputer yang biasa.

Kebiasaanya komputer yang kita gunakan adalah bertujuan untuk melakukan sesuatu fungsi tertentu di mana penggunaan sistem pengoperasian seperti Windows atau Linux akan menghadkan fungsi tersebut dan hanya satu sistem pengoperasian sahaja yang boleh berfungsi dalam mengendalikan sesuatu tugasan tersebut. Kini dengan adanya teknologi pengkomputeran maya, sebuah komputer peribadi atau komputer pelayan dapat menjalankan beberapa sistem pengoperasian secara serentak dengan fungsi tugas yang berlainan bagi setiap sistem pengoperasian itu seperti untuk pelayan e-mail, pelayan web, pelayan fail, pelayan anti-virus dan lain-lain.



Pengkomputeran maya membenarkan pengguna komputer mencapai proses-proses tertentu atau aplikasi-alikasi perisian tertentu secara jarak jauh apabila ia diperlukan. Penguna beroleh capaian tersebut menerusi teknologi Internet.Walaubagaimana pun, pengguna perlu mempertingkatkan keupayaan komputer peribadi yang digunakan dari segi kelajuan pemrposesan, saiz memori, saiz cakera keras dan lain- lain bagi mendapatkan hasil yang baik dalam penggunaan teknologi ini. Teknologi berorientasikan masa nyata ini mengandungi beberapa bahagian seperti sistem pengoperasian dan utiliti, tempat simpanan, memori, perisian, dan sebagainya.

Kini konsep pengkomputeran maya ini mula digunakan untuk tujuan peminjaman ruang atau tempat simpanan secara digital di dalam sesebuah komputer pelayan untuk simpanan data-data, perisian-perisian, sistem pengoperasian dan sistem utiliti. Kebanyakkan syarikat korporat di dunia menggunakan kaedah ini untuk penjimatan kos dan ruang fizikal dalam merencana infrastruktur teknologi maklumat kerana dengan menggunakan sebuah komputer pelayan, ia dapat melarikan pelbagai kemudahan atau aplikasi.

Terdapat banyak syarikat-syarikat gergasi pembekal teknologi maklumat di dunia seperti Hewlett-Packard, IBM, Microsoft, Sun dan lain-lain menyediakan perkhidmatan pengkomputeran maya ini sama ada dari segi keperluan perisiannya atau perkakasannya.

Penggunaan perisian-perisian pengkomputeran maya ini perlu dilihat dari segi kesesuaian dengan perkakasan dan sistem komputer yang akan digunakan sebagai pelantarnya. Sumber-sumber bagi sebuah sistem komputer seperti keupayaan memori, cip pemprosesan dan kapasiti cakera keras perlu dikaji terlebih dahulu agar sistem komputer tersebut menyokong penggunaan perisian pengkomputeran maya ini. Sebagai contoh, aplikasi Microsoft Virtual PC memerlukan sekurang-kurangnya kelajuan cip pemprosesan sebanyak 1 Ghz, 512 Mb kapasiti memorinya, 20 Mb ruang kosong di dalam cakera dan sistem pengoperasian Microsoft Windows XP.

Selain daripada Microsoft Virtual PC, terdapat lagi beberapa perisian pengkomputeran maya yang berasaskan bisnes di pasaran seperti VMWare dan Parallels.

Terdapat juga perisian-perisian pengkomputeran maya ini yang berasaskan sumber terbuka seperti Virtual Box, Qemu, FreeVPS dan Xen. Namun demikian, Xen merupakan aplikasi yang menyediakan penyelesaian secara sumber terbuka tetapi ia disokong oleh organisasi yang berasaskan keuntungan iaitu Xensource. Perisian Virtualbox boleh dimuat turun secara percuma di http://www.virtualbox.org..

Terdapat pelbagai kelebihan dalam penggunaan pengkomputeran maya ini. Ia bergantung kepada reka bentuk, keperluan, kos dan persekitaran bagi sesebuah infrastruktur teknologi maklumat bagi sesebuah organisasi. Diantara kelebihan penggunaan pengkomputeran maya ini adalah seperti berikut:-



1. Pengoptimuman penggunaan infrastruktur komputer pelayan dengan penggunaan pelbagai aplikasi.

2. Penjimatan penggunaan tenaga elektrik dengan pengurangan penggunaan bilangan komputer pelayan secara fizikal.

3. Memudahkan pengurusan infrastruktur teknologi maklumat terutama untuk komputer-komputer pelayan dan peribadi kerana ia dapat mengurangkan proses menaik taraf perkakasan dan lain-lain.

4. Pengurangan masa yang diambil untuk melaksanakan proses back up dan recovery.

5. Ia boleh digunakan sebagai satu persekitaran yang aktif untuk menguji lari sesebuah perisian atau sistem komputer.

6. Menyediakan tapak untuk penggunaan multi sistem pengoperasian merujuk kepada sesetengah aplikasi.

7. Dapat menjimatkan ruang penyimpanan secara fizikal dengan pengurangan bilangan komputer pelayan yang digunakan.



Di samping itu terdapat juga beberapa kelemahannya seperti menyebabkan masalah masa dan penggunaan pekerja yang mahir kerana sesebuah komputer pelayan perlu melarikan banyak sistem pengoperasian dan aplikasi-aplikasi tertentu. Seterusnya isu keselamatan juga perlu dititikberatkan sama seperti situasi biasa dengan melakukan pengamatan dan penyediaan sistem tembok api yang baik. Begitu juga masalah pelesenan terhadap aplikasi-aplikasi yang digunakan juga perlu diberi perhatian yang sewajarnya.

Namun demikian, hari ini dan masa yang akan mendatang, penggunaan pengkomputeran maya ini bagi sebahagian infrastruktur teknologi maklumat semakin penting dan popular digunakan dikalangan syarikat-syarikat korporat yang besar. Kajian juga dibuat dengan penggabungan teknologi pengkomputeran grid bagi meningkatkan lagi prestasi penggunaan sumber-sumber yang ada di dalam komputer. Perancangan yang strategik dan bestari dalam merangka penggunaannya dalam infrastruktur teknologi maklumat amat penting agar ia dapat memberi pulangan yang baik kepada syarikat atau penggunaannya.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.