Sunday, February 1, 2009

0010 : Implementasi E-Pembelajaran Secara Mudah dan Percuma

Dewasa ini, sering kedengaran berkenaan dengan satu kaedah pembelajaran alternatif kepada sistem pembelajaran sedia ada di sekolah iaitu pembelajaran yang berasaskan komputer atau lebih dikenali sebagai E-Pembelajaran.

Kebanyakan institusi pendidikan di Malaysia seperti di pusat-pusat pengajian tinggi telah lama mengorak langkah ke arah mewujudkan satu sistem pengajaran dan pembelajaran yang lebih berkesan dan bestari dengan mewujudkan sistem E-Pembelajaran ini. Suasana persekitaran digital yang semakin hari semakin canggih dan mudah capaiannya, merancakkan lagi penggunaan dan keperluan E-Pembelajaran ini dalam sistem pembelajaran.

Implementasi E-Pembelajaran ini dengan kelebihan-kelebihan yang ada padanya dapat mempercepatkan lagi proses pembangunan modal insan yang sangat dituntut oleh pihak kerajaan Malaysia kerana modal insan yang bestari ini akan berupaya menangani segala cabaran dalam merealisasikan Wawasan 2020.

Kelebihan E-Pembelajaran adalah ia bersifat pembelajaran yang bertumpu kepada individu, terkini, berfokus kepada pelajar, sesuai pada masanya dan interaktif. E-pembelajaran juga melibatkan campuran pelbagai sumber pembelajaran yang interaktif dengan menggunakan teknologi maklumat sebagai bentuk persembahannya bergantung kepada kreativiti pengajar.

Terdapat pelbagai jenis E-Pembelajaran yang boleh diimplementasikan dalam dunia pendidikan sebagai bahan sokongan kepada sistem pembelajaran untuk para pelajar. Ia boleh dikelaskan cirinya kepada empat jenis seperti yang berikut:-

1. E-Pembelajaran yang berasaskan kepada teknologi komputer sebagai perantaraan komunikasi seperti sidang video, multimedia, groupware, video on-demand, sistem tutoran cerdas, deskop pulishing dan realiti maya.

2. E-Pembelajaran yang berasaskan kepada teknologi web dan Internet atau lebih dikenali sebagai pembelajaran atas talian.

3. E-Pembelajaran yang berasaskan kepada penggunaan CD-ROM atau DVD dan elemen-elemen multimedia dalam komputer.

4. E-Pembelajaran secara masa nyata atau bukan masa nyata. Bagi pembelajaran masa nyata adalah satu keadaan di mana proses pengajaran dan pembelajaran berlaku secara serentak walaupun kedudukan fizikal pengajar dan pelajar adalah sangat jauh dari segi jaraknya seperti persidangan video, kuliah secara atas talian atau secara langsung menerusi satelit. Keadaan sebaliknya pula bagi E-Pembelajaran secara bukan masa nyata.

Kaedah E-Pembelajaran berasaskan Web dan Internet ini sangat popular digunakan kerana ia ia berupaya dicapai di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja. Di samping kandungannya yang interaktif seperti terdapat ruangan perbincangan, pengundian, perkongsian fail dan sebagainya. Ia juga menyediakan satu platfom pembelajaran sokongan yang murah dari segi kos, meningkatkan akses kepada proses pembelajaran dan tanggungjawab pembelajaran diperluaskan kepada semua yang terlibat dalam proses pembelajaran tersebut .

Untuk implementasi kaedah E-Pembelajaran ini secara percuma tidak bermaksud ia percuma secara total tetapi ia percuma dari segi kerangka platform sistem untuk bahan-bahan pembelajaran dan kandungannnya sahaja. Perkara-perkara dari segi aspek fasiliti seperti komputer, akaun Internet dan lain-lain masih memerlukan kos untuk mendapatkannya.

Di sini disertakan beberapa cara untuk membolehkan kita menyediakan kerangka platfom sistem untuk bahan-bahan pembelajaran dan kandungan e-pembelajaran ini secara percuma:-

1. Membangunkan sendiri sistem dan antaramuka tersebut dengan menggunakan bahasa pengaturcaraan PHP dan pangkalan data MySQL yang boleh didapati secara percuma di Internet. Namun ia memerlukan kemahiran dalam dua perkara tersebut dan perlu kos tambahan untuk meletakkan web kita di Internet.

2. Menggunakan sistem pengurusan kandungan web yang sedia dimuatturunkan secara percuma daripada Internet seperti Moddle, Mambo dan lain-lain. Ia memerlukan sedikit kemahiran dari segi penggunaan sistem pengurusan kandungan tersebut dan memerlukan kos tambahan untuk meletakkan web sistem E-pembelajaran tersebut di Internet.

3. Menggunakan sistem web untuk kumpulan perbincangan secara percuma seperti yang disediakan oleh Yahoo Groups!, Myspace , Google dan lain-lain.

Kaedah yang paling mudah dan paling jimat adalah menggunakan sistem web untuk kumpulan perbincangan seperti yang disediakan oleh pihak Yahoo!, Myspace, Google dan lain-lain. Walaubagaimanapun, pihak pengajar perlu menyediakan sendiri bahan-bahan pembelajaran dan masukkan ke dalam sistem tersebut seperti nota digital, video, permainan, perbincangan dan lain-lain.

Kekangannya pula ialah sistem kerangka dan fungsi yang digunakan dalam sistem web tersebut adalah tertakluk kepada yang empunya sistem tersebut dan sekiranya sistem tersebut ‘down’ atau mempunyai masalah. Maka, akses kepada sistem tersebut juga tidak boleh dicapai atau mempunyai capaian yang lambat. Begitu juga jumlah saiz yang boleh digunakan dalam satu kumpulan perbincangan elektronik ini adalah terhad kepada saiz yang telah ditetapkan oleh pihak empunya.

Namun demikian, E-Pembelajaran merupakan satu bahan sokongan yang sangat baik dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Dalam sistem pembelajaran tradisional, pengajar merupakan tempat pergantungan sepenuhnya bagi para pelajar dalam proses pembelajaran. Dalam kaedah E-Pembelajaran, pengajar merupakan sebagai pemudah cara dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Jadi, para pelajar perlu lebih berdikari, berusaha dengan gigih dan lebih bertanggung jawab dalam proses pembelajaran mereka dan tidak bergantung sepenuhnya kepada pengajar.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.