Friday, January 30, 2009

0001 : FORENSIK POLITIK SELEPAS PILIHANRAYA 2008 DEMI KEAMANAN NEGARA INI

Keputusan pilihanraya umum yang ke-12 bagi negara Malaysia telah diumumkan beberapa hari yang lalu. Namun hasil keputusannya yang luar biasa yang dikatakan sebagai satu gelombang besar politik telah berlaku di negara ini masih diperkatakan di sana sini dalam masyarakat Malaysia. Kekalahan jentera Barisan Nasional pada tahap yang paling buruk dalam sejarah pilihan raya memberi kesan yang mendalam terhadap struktur politik dalam Negara ini. Seperti yang diperkatakan oleh Yang Mulia Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Aziz, seorang pemikir negara bahawa ia menunjukkan bahawa satu keadaan buku baru telah wujud dalam senario politik di negara ini dan bukannya bab yang baru. Sebanyak lima buah negeri iaitu Pulau Pinang, Kedah, Perak, Selangor dan Kelantan telah jatuh kepada satu pakatan pembangkang yang dikenali sebagai Pakatan Rakyat.


Satu pendekatan forensik politik perlu di buat terhadap keputusan pilihan raya ini terutama parti-parti yang memperjuangkan bangsa Melayu dan bumiputera yang menjunjung agama Islam di negara ini. Ini kerana bangsa Melayu dan bumiputera merupakan tunjang utama perpaduan dan pembangunan di negara Malaysia. Ini perlu diakui oleh bangsa-bangsa lain tanpa ada sebarang syak wasangka. Dalam pendekatan forensik politik ini, satu pendekatan yang sistematik dan saintifik perlu dibuat bagi mengkaji keperluan dan kesan daripada keputusan pilihan raya ke-12 yang telah diadakan sebelum ini.


Pilihan raya merupakan satu proses utama dan ia melibatkan entiti-entiti yang menjayakannya seperti para pengundi, calon-calon dun dan parlimen, ahli-ahli Suruhanjaya Pilihan Raya, manifesto dan jentera parti-parti yang bertanding. Di samping itu terdapat beberapa proses dalam pilihan raya tersebut yang perlu di lihat seperti proses pengundian, penamaan calon, pemilihan calon dan kempen. Kesemua perkara ini perlu dikaji dengan lebih teliti agar dapat memberi satu keputusan yang baik untuk masa hadapan atau pilihan raya yang ke-13 nanti. Kajian-kajian ini perlu dibuat bukan sahaja kepada parti yang kalah tetapi juga kepada parti yang menang, Institusi Pengajian Tinggi, badan-badan bukan kerajaan dan juga agensi-agensi kerajaan yang berkaitan.


Apa yang jelas diperolehi dalam keputusan pilihan raya ke-12 ini adalah berpecahnya undi masyarakat melayu atau bumiputera yang sangat ketara. Namun begitu, negeri-negeri seperti Kedah, Perak dan Selangor yang jatuh ke tangan Pakatan Rakyat didapati bilangan kerusi DUN yang diperolehi oleh Barisan Nasional boleh dikatakan agak tertinggi berbanding parti-parti lain. Di Kedah, Barisan Nasional memperolehi 15 kerusi DUN, kedua tertinggi selepas parti PAS, 28 kerusi DUN di Perak dan 20 kerusi DUN di Selangor yang mana ia merupakan yang tertinggi di kedua-dua buah negeri tersebut. Walaupun begitu, jumlah kerusi yang diperolehi oleh Barisan Nasional tidak mengcukupi untuk membentuk sebuah kerajaan negeri berbanding pembangkang yang apabila digabungkan kerusi-kerusi DUN yang dimiliki oleh parti PAS, DAP dan PKR berupaya untuk membentuk sebuah kerajaan negeri.


Di sini boleh dilihat seperti yang diperkatakan oleh Yang Mulia Profesor Diraja Tun Dr. Ungku Aziz, wujudnya buku yang baru dalam senario politik Negara. Demi memperkukuhkan kemajuan pembangunan dan perpaduan di Negara ini, kedudukan politik bangsa melayu dan bumiputera sebagai tunjang utama dalam politik Negara yang jelas kelihatan berpecah perlu dipulihkan dengan segera oleh parti-parti yang memperkatakan memperjuangkan nasib bangsa melayu atau bumiputra dan Islam seperti parti PAS dan Barisan Nasional yang diterajui oleh parti UMNO.


Di dalam mekanisme feqah ada yang dinyatakan satu kaedah iaitu menggunakan musibah yang kecil bagi mengelakkan berlakunya musibah yang lebih besar yang di ambil sempena peristiwa yang telah berlaku ketika pengembaraan Nabi Musa A.S dan Nabi Khidir A.S. Senario politik yang berlaku di negeri Perak dan Selangor perlu ditangani dengan bijaksana oleh parti-parti yang memperkatakan mereka berjuang untuk bangsa melayu, bumiputra dan Islam iaitu parti PAS dan UMNO. Satu kerajaan campuran boleh dibentuk di negeri Selangor dan Perak oleh parti PAS dan Barisan Nasional demi melihat kelangsungan politik melayu dan bumiputera yang menjadi kekuatan dan kestabilan politik di Negara ini. Demi perkara ini, parti PAS perlu berkorban sedikit dengan ideologinya yang mungkin ada bertentangan sedikit dengan Barisan Nasional dan Parti UMNO sebagai tunjang kepada Barisan Nasional perlu banyak bertolak ansur dalam memberi kuasa kepada Parti PAS dalam memerintah negeri-negeri tersebut. Sekiranya di lihat seperti sesetengah Negara yang partinya memperkatakan untuk semua bangsa tetapi akhirnya masyarakat pribumi atau bumiputera ditindas dan merempat malah diketepikan secara sistematik di Negara sendiri. Perkara ini yang perlu dilihat oleh parti-parti yang berkaitan tanpa perlu terlalu taksub dan ego dengan kemenangan atau ideologi masing-masing.


Kelangsungan dan kekuatan politik bangsa melayu beragama Islam di Negara ini sangat penting sebagai tunjang perpaduan dan pembangunan di Negara Malaysia. Nikmat dan pencapaian yang diperolehi negara ketika ini adalah hasil daripada perkara tersebut. Parti-parti dan masyarakat melayu serta bumiputera perlu melihat perkara ini bukan sahaja untuk diri sendiri tetapi adalah untuk kesejahteraan keseluruhan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia yang tercinta ini. Kesyukuran di atas kurniaan Allah S.W.T kepada kita dengan negara yang aman dan harmoni ini perlu diingati dan diterjemah dalam tindakan-tindakkan yang cemerlang, gemilang dan terbilang.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.