Saturday, November 20, 2010

Demam Panas: Bahaya pada tubuh, juga bahaya kepada komputer anda.

Demam panas merupakan satu gejala yang kita lihat amat remeh tetapi sekiranya tidak dibendung pada peringkat awal lagi ia membolehkan seseorang terkena kesannya sehinggakan cacat, tidak siuman atau pun menemui ajal.

Begitu juga dengan halnya komputer kita. Salah satu sebab mengapa komputer kita beraksi lemah atau pun perlahan adalah pemprosesannya atau CPU terlebih panas atau overheating.

Ini kerana CPU yang ada pada komputer kita menghasilkan haba yang banyak dan sudah tentulah ia panas. Jadi, sekiranya ia terlebih panas, ia akan menjejaskan keseluruhan prestasi komputer anda. Walau pun kadang kala, anda masih lagi boleh berInternet atau menulis dokumen tetapi prosesnya amatlah perlahan.

Sila semak CPU yang digunakan sama ada ia mengeluarkan lebihan haba atau pun overheating.

Sebab itulah salah satu komponen tambahan penting dalam komputer adalah alat-alat yang digunakan untuk penyejukkan CPU seperti kipas penyejukkan, heat sink dan sistem penyejukkan untuk ruang dalaman komputer atau casing.

Pemproses atau CPU akan menghasilkan haba dan ada satu sistem yang dikenali sebagai Thermal Design Point atau TDP yang boleh dirujuk untuk melihat perbandingan tahap suhu bagi haba yang dikeluarkan pada paras normal untuk setiap jenis pemproses yang digunakan.

Sekiranya suhu tersebut melebihi tahap maksima tersebut, akan berlaku kejadian CPU overheating yang menyebabkan komputer anda beroperasi perlahan dan tidak normal. Ia juga tidak selamat beroperasi kerana boleh menyebabkan komputer anda berkemungkinan meletup.

Kegagalan kipas pemproses berfungsi dengan baik boleh menyebabkan suhu pemproses naik melebihi tahap maksima. Terdapat beberapa perkara yang menyebabkan berlakunya kegagalan fungsi pada kipas pemproses sesebuah komputer. Antaranya adalah seperti berikut:

1. Pengumpulan habuk yang banyak pada kipas yang menyebabkan ia tidak boleh berpusing dengan baik dan sempurna.

2. Komponen motor pada kipas gagal berfungsi dengan baik.

3. Skru dan pengetat kipas longgar dan bergoyang.

Tanda-tanda awal yang boleh dikenal pasti dengan kipas pemproses yang bermasalah ialah berkemungkinan ada bunyi yang luar biasa dan terdapat sedikit bergetar pada komputer tersebut.

Sekiranya masalah timbul daripada pengumpulan habuk, bersihkan sahaja dengan alat tekanan udara. Sebaliknya, kipas tersebut perlu digantikan dengan yang lain.

Selain daripada itu, komponen heat sink yang bermasalah juga akan menyebabkan kenaikkan suhu pemproses melebihi tahap yang maksima. Antaranya adalah:-

1. Heat Sink tersebut diletakkan dengan kedudukkan yang tidak betul ke atas pemproses.

2. Bahan pelekat pada heat sink yang dilekatkan bersama dengan pemproses iaitu Thermal Compound sudah tidak berfungsi atau sudah luput.

(Biasanya ia kelihatan berwarna hitam seperti hangus)

Untuk masalah ini, hanya pastikan heat sink diletakkan dengan betul dan sapu semula gam Thermal compound kembali sekiranya ia sudah tidak berfungsi.

Sistem pengudaraan yang baik bagi kerangka komputer atau casing juga penting untuk memastikan suhu pemproses berada dalam keadaan yang stabil.

Kipas penyejukkan tambahan atau sistem penyejukan yang lain juga dapat membantu menstabilkan suhu pemproses.

Di samping itu, udara di persekitaran bilik di mana komputer itu berada juga penting. Sebab itu, bilik komputer dilengkapi dengan sistem penghawa dingin yang baik dan dijalankan dalam masa 24 jam. Ia bertujuan untuk membantu menyejukkan komputer tersebut yang menghasilkan haba daripada pemproses.

Sekiranya kita melaksanakan teknik overclocking pada komputer untuk mencapai tahap yang maksimum, ia juga boleh menyebabkan berlakunya peningkatan haba dan suhu kerana pemproses digandakan penggunaannya.

Untuk itu boleh lihat di http://www.overclockers.com untuk keterangan yang lanjut.

Di samping itu, terdapat beberapa perisian yang boleh digunakan untuk melihat suhu pada pemproses seperti Core Temp dan lain-lain.

Akhir sekali, berkemungkinan besar pemproses itu sendiri yang bermasalah.

RINGKASAN PEMANASAN CPU

1. Kipas CPU yang berfungsi tidak sempurna.

2. Keadaan heat sink yang tidak baik.

3. Sistem casing yang tidak baik.

4. Komputer dengan teknik overclocking.

5. Pemproses bermasalah.











No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.