Tuesday, May 10, 2011

Penarafan universiti pincang

Oleh Nazmi Yaakub

2011/05/10

Ketidakseimbangan kuantitatif berbanding kualitatif jejas mutu

PENARAFAN institusi pengajian tinggi (IPT) yang turut membabitkan budaya ilmu tidak boleh mengikuti sistem nilai dan kaedah dari Barat semata-mata, sebaliknya perlu menggunakan pandangan alam Islam dan mengambil kira keperluan setempat.
Tidak hairanlah keghairahan sebahagian universiti di negara ini dengan penarafan dari kaca mata Barat ditempelak pada Forum Penarafan Universiti: Hanya Beban Pengurusan? di Masjid Kolej Islam Malaya, Petaling Jaya, baru-baru ini.
Malah, sistem penarafan universiti dunia yang dikeluarkan Times Higher Education (THE) dan QS World University Rankings (QS) turut dianggap menggunakan neraca yang tidak stabil dan kayu ukur yang berubah-ubah.

Meskipun kesan positif penarafan dapat meningkatkan kualiti kerja dan memperbanyakkan penerbitan, Pensyarah Jabatan Matematik, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Mat Rofa Ismail menganggap ia tidak mengambil kira falsafah pendidikan yang sebenar.

“Ia semata-mata mengejar tuntutan globalisasi tanpa mengira destinasi, tujuan dan paradigma yang berbeza antara Barat dengan Timur. Kita memang mahukan teknologi sebaik Amerika Syarikat (AS), tetapi kita mahu membina tamadun yang berasaskan nilai sendiri,” katanya pada forum yang dipengerusikan personaliti RTM, Sayed Munawar Sayed Mohd Mustar.

Dr Mat Rofa yakin bahawa penarafan hanya mengkaji aspek kuantitatif semata-mata, sedangkan Falsafah Pendidikan Negara mahu melahirkan pelajar yang bersepadu daripada aspek intelek, jasmani dan rohani.
“Memang teknologi AS berjaya melepasi angkasa raya, tetapi nilai kemanusiaan mereka jatuh sehina-hinanya dan jauh berbeza daripada falsafah pendidikan negara kita. Kita bermula dengan ‘Bacalah dengan nama Tuhanmu’, iaitu pembacaan, kajian dan analisis ilmu untuk mengenal kebenaran,” katanya pada forum anjuran Unit Syubban, Persatuan Ulama Malaysia (PUM).

Beliau berkata, penarafan yang hanya mengambil kira kuantitatif adalah tindakan memperdagangkan ilmu yang akhirnya membentuk kuantiti pelajar yang besar, tetapi kosong jiwanya.

“Ini kerana matlamat dan metodologi universiti meletakkan ilmu setaraf dengan produk kilang serta melatih pelajar untuk menjadi robot. Kita sewajarnya membezakan antara sistem nilai dengan teknologi kerana matlamat pendidikan adalah mengiktiraf keagungan Tuhan,” katanya.

Dr Mat Rofa mengakui teknologi dari Barat boleh diambil, tetapi dengan syarat sistem nilai yang ada di Barat perlu diubah mengikut paradigma dan roh kita sebagai Muslim, sekali gus menapis ilmu yang dibawa pulang.

Pandangan Pensyarah Fakulti Undang-undang Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Azmi Sharom, tidak kurang menarik apabila beliau menganggap keghairahan mengejar penarafan boleh mendorong kepada manipulasi kaedah penilaian tanpa memperbaiki kualiti universiti.

“Universiti menggunakan penarafan sebagai asas untuk mencari kualiti sedangkan penarafan sebenarnya bukan matlamat kepada penubuhannya.

“Senario semasa menunjukkan kriteria penilaian dalam penarafan itu dijadikan metode untuk memperbaiki mutu universiti dengan menganggap kenaikan dalam kedudukannya dapat mempertingkatkan kualiti,” katanya.

Dr Azmi memberikan contoh kriteria bilangan pelajar antarabangsa boleh dimanipulasi dengan menarik seberapa ramai pelajar dan kakitangan asing tanpa mempedulikan latar mereka.

“Saya suka pelajar dari luar yang boleh memberikan pandangan dan pendapat lain serta memperluaskan pemikiran kita, tetapi ada sebabnya pelajar asing memilih universiti di negara ini, iaitu pendidikan yang baik.

“Hal ini perlu dibina secara natural sehingga mereka sendiri memilih universiti kita kerana pendidikan serta kita pula menyaring mereka untuk mendapatkan pelajar yang berkelayakan,” katanya.

Dalam konteks jurnal ISI, beliau menganggap sesuatu jurnal dipilih bukan kerana isi kandungannya, sebaliknya kualiti editorial termasuk ketepatan masa terbitan.

Pandangan itu diperakukan Pensyarah Fakulti Perubatan UM, Prof Dr Kamaruddin Mohd Yusoff yang menolak sistem penarafan universiti dari luar negara yang tidak menilai secara menyeluruh, sebaliknya hanya melihat aspek teknikal seperti jumlah penerbitan jurnal dan kertas kerja.

Bagaimanapun, beliau mengakui keperluan penarafan untuk menggalakkan universiti bersaing secara akademik, sekali gus menyarankan penarafan dibuat dalam negara dengan kriteria penilaian ditentukan oleh Majlis Profesor Negara (MPN).

“Adalah mustahil untuk membandingkan universiti di seluruh dunia seperti UM dengan 27,000 pelajar yang majoriti ijazah pertama dengan Massachusetts Institute of Technology (MIT) dengan 10,000 pelajar yang kebanyakannya sarjana.

“Dengan jumlah 6,000 pelajar sarjana di MIT, tidak mustahil untuk institusi itu mengeluarkan lebih banyak kertas kerja dan tesis, manakala sebahagian IPT yang lain pula adalah universiti teknikal,” katanya.

Dengan melihat UM, Prof Dr Kamaruddin berkata, IPT itu memiliki semua fakulti termasuk Akademi Pengajian Islam (API) yang tidak banyak mengeluarkan jurnal dalam ISI kerana mereka menerbitkannya dalam bahasa Melayu dan bahasa Arab.

“Kita tidak menolak kuantitatif kerana ia melekat kepada kualitatif seperti roh bersatu pada jasad, tetapi tidak boleh hanya mengangkat kuantitatif. Sekiranya pengukuran universiti hanya berdasarkan penarafan, bagaimana kita menilai ilmu yang dibina ulama dan ilmuwan silam,” katanya.

Beliau memberi contoh kedudukan Universiti al-Azhar yang tidak termasuk dalam senarai penarafan itu, tetapi pengiktirafan terhadap institusi terbabit terjelma melalui penghormatan dan nilai intelektual pensyarahnya.

“Apabila kita menjadi ahli ekonomi yang menjual ilmu dan membentuk pelajar secara kuantitatif, tidak hairanlah pelajar yang memperoleh CGPA 4 apabila menjadi jurutera yang membina jambatan dan hospital, binaan itu runtuh,” ujarnya.


No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.