Friday, November 25, 2011

3. Sembang ICT 3: Maklumat Peribadi dalam Facebook

Adakah selamat saya masukan maklumat peribadi dan gambar-gambar peribadi ke dalam akaun Facebook ?

Bagi menjawab persoalan ini, saya terlebih dahulu akan membahagikan jenis capaian laman web sosial ini kepada dua iaitu laman web sosial yang bersifat umum dan privasi. Laman web sosial yang bersifat privasi dikatakan akaun kita akan hanya dihubungkan kepada rakan-rakan dan saudara-mara sahaja. Jadi, dari segi aspek keselamatan ia lebih selamat berbanding laman web sosial yang bersifat umum.

Namun begitu, bagi membolehkan laman web sosial ini dibiayai dan memperolehi dana, ia menjadi alat pengiklanan dan promosi. Dengan itu, ini menyebabkan aspek privasi dan keselamatannya menjadi longgar sedikit.

Ini kerana, sesiapa sahaja terutama rakan kepada rakan atau saudara-mara yang akaunnya berhubungan dengan akaun kita, mereka boleh melihat atau mengetahui kewujudan akaun kita di laman web sosial tersebut. Kadang kala, laman web sosial tersebut mencadangkan akaun-akaun tertentu untuk menjadi rakan kepada akaun kita. Sedangkan kita tidak kenal akan pengguna akaun-akaun tersebut.

Dalam konfigurasi akaun pengguna untuk Facebook, terdapat dua aspek penting yang perlu dikonfigurasikan dengan baik dan selamat iaitu fungsi atau menu keselamatan dan privasi. Pastikan maklumat-maklumat yang berada di dalam akaun kita tidak sewenang-wenangnya dilihat oleh orang-orang yang tidak sepatutnya. Pastikan juga kita menambah rakan yang dikenali atau diketahui serba sedikit latar belakangnya sahaja.

Di sini, dicadangkan beberapa maklumat peribadi yang perlu dielakkan daripada diletakkan ke dalam akaun laman web sosial iaitu:-

1. Maklumat tarikh lahir. Ini kerana pendedahan maklumat ini akan memberikan gambaran tertentu kepada pihak yang tidak bertanggung jawab. Sekiranya mahu letak juga, pastikan tahun tersebut bukanlah tahun yang sebenarnya.

2. Gambar-gambar diri dan keluarga yang bersifat peribadi berserta dengan tagnya. Ini pernah terjadi gambar-gambar berserta tag tersebut dimanupulasi oleh pihak penjenayah seksual kanak-kanak.

3. Maklumat berkenaan dengan status anda sedang bersendirian di rumah.

4. Maklumat status hubungan anda dengan keluarga dan saudara-mara anda.

5. Maklumat berkenaan dengan lokasi semasa anda secara terperinci.

6. Maklumat terperinci berkenaan dengan kerjaya dan kekayaan anda.

Ini penting sebagai langkah keselamatan untuk diri dan keluarga kita daripada menjadi mangsa kepada sebarang jenis jenayah atau maklumat tersebut dimanipulasi oleh pihak-pihak yang tidak bertanggung jawab. Ia juga akan mengundang kepada satu langkah dalam jenayah siber yang dikenali sebagai kejuruteraan sosial atau penipuan.

3. Selain daripada menyimpan data ke dalam USB Pen Drive, apakah lagi fungsi lain yang boleh dilakukan?

Pada hari ini USB Pen Drive atau Cakera Flash USB mengambil alih peranan disket yang suatu ketika dahulu digunakan sebagai tempat simpanan data luaran yang mudah di bawa ke mana-mana. Malah, ia mempunyai kapasiti yang lebih tinggi daripada disket dan bentuk fizikalnya juga lebih kecil dan ringan berbanding disket.

Dalam dunia teknologi maklumat hari ini, ia merupakan alat yang sangat penting dalam kehidupan seharian kita sama ada untuk pekerjaan atau sebagainya. Malah dengan rupa bentuk yang pelbagai dan menarik, ia dijadikan sebagai sebahagian fesyen kepada seseorang individu. Apa yang lebih bagus lagi ialah peranan Cakera Flash USB ini bukan sahaja untuk penyimpanan data semata-mata tetapi terdapat kegunaan-kegunaan yang lain. Antaranya adalah seperti berikut:-

1. Ia boleh digunakan untuk melarikan program-program komputer secara terus daripadanya seperti OpenOffice, Mozilla Firefox dan lain-lain. Program-program komputer ini boleh dipilih oleh anda untuk memasangkannya kepada Cakera Flash USB tersebut. Sila pergi ke laman web PortableApps.com untuk mendapatkan faedah ini.

2. Sekiranya anda mahu Cakera Flash USB ini berfungsi lebih daripada melarikan program-program komputer, maka ia perlu berupaya melarikan sistem pengoperasian. Ini boleh dilakukan sama ada anda mahu larikan sistem pengoperasian Windows atau Linux. Konfigurasinya agar rumit tapi anda boleh dapati manualnya di Internet.

3. Cakera Flash USB juga boleh dijadikan alat untuk sambungan tanpa wayar dengan menggunakan fungsi konfigurasi sambungan tanpa wayar yang ada dalam Windows dan menyimpan salinan konfiguasi sambungan wayar itu ke dalamnya.

4. Ia juga boleh digunakan untuk dijadikan sebagai alat mereset kata laluan bagi Windows.

5. Di dalam Windows Vista, terdapat fungsi ReadyBoost iaitu ruang storan Cakera Flash USB boleh digunakan sebagai memori cache tambahan kepada komputer anda.

6. Anda boleh memasangkan program Microsoft USB Flash Drive Manager kedalam Cakera Flash USB bagi mengurus penyimpanan data, membuat salinan pendua data, pulihkan kembali data yang disimpan di dalamnya dan cakera keras.

7. Ia juga boleh digunakan sebagai alat pemain MP3 apabila digunakan bersama-sama dengan Windows Media Player dan alat pendengaran. Ia tidak memerlukan pengunaan tenaga bateri yang banyak.

8. Terdapat juga program komputer yang boleh anda gunakan untuk melindungi data-data yang ada dalam Cakera Flash USB dengan fungsi kata laluan dan enkripsi. Di antara program komputer itu adalah Rohos Mini Drive.

9. Cakera Flash USB juga boleh digunakan untuk melarikan aplikasi laman web yang dibina dengan program Server2Go. Ia mengandungi perisian-perisian untuk pembangunan web seperti Apache, PHP, MySQL dan Perl.

10. Ia juga boleh digunakan sebagai kunci kepada komputer anda. Anda boleh mengunci dan membuka komputer dengan menggunakan Cakera Flash USB yang dipasangkan dengan program komputer tertentu seperti Predator.

Namun begitu, seperti juga masalah berkenaan dengan penyebaran virus komputer oleh disket, ia tidak terkecuali dengan cakera Flash USB ini. Jadi, gunalah ia secara selamat dan bijak.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.