Tuesday, September 7, 2010

Badan Baru, Baju Lama atau Badan Baru, Baju Baru?

Salam Ramadhan bagi umat Islam.

Salam Aidil Fitri dan Maaf Zahir dan Batin.

Ketika ini sibuklah umat Islam membuat persiapan untuk menyambut hari kemenangan iaitu Aidil Fitri. Ketika hari tersebut disunatkan berpakaian baru bagi yang mampu.

Ketika kita sibuk mahu memakai pakaian baru, ada pulak yang dapat badan baru tetapi pakaiannya masih lama. Bagaimana pula ya? Ini berkenaan dengan cakera keras atau hard disk baru menggunakan sistem pengoperasian atau operating system yang lama.

Terdapat banyak masalah penggunaan cakera keras baru dengan sistem pengoperasian yang lama seperti Windows XP. Ini terjadi adalah disebabkan format pembinaanya yang berlainan daripada cakera keras yang lama. Mari kita bedah isu ini.

Tempat simpanan data dalam cakera keras ini adalah sebuah cakera di dalamnya dan ia akan dibahagikan kepada sektor-sektor. Saiz bagi sektor ini sudah berubaha pada cakera keras baru iaitu setiap sektor bersaiz 4Kb. Ia akan menjadi piawaian utama pada tahun 2011 nanti. Saiz setiap sektor bagi cakera lama pula adalah hanya 512 bait sahaja.

Teknologi baru ini dikenali sebagai Advanced Format. Ini terjadi kerana sektor-sektor dalam cakera keras bukan sahaja untuk menyimpan data tetapi ada juga digunakan sebagai penanda, kod ralat dan peruang. Saiz sektor yang besar juga menyebabkan bilangan sektor menjadi kurang. Ini akan meningkatkan prestasi cakera keras kerana kurang sektor yang menyimpan maklumat-maklumat tambahan ini perlu diproses. Ruang yang besar juga bagus untuk penempatan kod-kod ralat dan ini meningkatkan reliabiliti cakera keras itu sendiri.

Jadi, apabila badan yang baru ini dipakaikan dengan baju yang lama seperti Windows XP, akan menyebabkan ia bermasalah atau perlaksanaannya menjadi perlahan kerana ia tidak mengjangka saiz sektor adalah 4Kb.

Proses pemindahan data-data terutama data-data yang kritikal perlu dirancang dan dilaksanakan dengan baik sekiranya mengkehendaki komputer anda menggunakan cakera keras yang baru. Perlu diingat sistem pengoperasiannya juga perlu ditukar kepada versi yang baru seperti Windows 7 atau Windows Vista.

Mungkin inilah agaknya sebab pihak Microsoft tidak sanggup lagi menyelenggara sistem pengopersian yang lama seperti Windows 98, Windows NT dan lain-lain.

Di hari raya ini ada yang dapat badan baru. Syukurlah kalau kita dapat badan yang baru, berhasilah puasa kita. Kalau tidak badan lama kita pakailah baju baru.

Semoga kita dapat badan baru dan pakai baju baru di hari Raya ini.

Salam Aidil Fitri dan Maaf Zahir dan Batin.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.