Monday, December 24, 2012

Bicara IT 1: BYOD: Gaya perkomputeran kerja kini. Majalah estidotmy. Utusan Malaysia. 29 Julai 2012.

BYOD: Gaya pengkomputeran kerja kini.




Bring Your Own Device (BYOD) atau membawa peranti anda sendiri merupakan satu gaya pengkomputeran di mana para pekerja membawa sendiri peranti mudah alih atau komputer dalam pelbagai bentuk sama ada komputer tablet, komputer riba atau telefon pintar ke tempat kerja untuk melaksanakan tugas kerja masing-masing. Di samping itu, komputer kepunyaan peribadi tersebut digunakan untuk mencapai sumber-sumber teknologi maklumat sesebuah organisasi seperti perisian, sistem maklumat, internet, e-mel, rangkaian komputer dalaman dan sebagainya.





Pengkomputeran BYOD ini menjadi gaya atau kaedah baru ditempat kerja disebabkan oleh perkembangan aspek pengindividuan peranti elektronik atau personalization dan harga peranti-peranti mudah alih ini berada pada tahap mampu milik pengguna yang tinggi. Pengkomputeran BYOD ini boleh disekat amalannya oleh sesebuah organisasi tetapi ia berkemungkinan akan menyekat produktiviti dan kreativiti bagi seseorang pekerja.



Jadi, apa yang perlu dilakukan oleh sesebuah organisasi adalah melaksanakan polisi-polisi, garis-garis panduan dan pendidikan bagi mengurus perlaksanaan pengkomputeran BYOD dalam sesebuah organisasi. Masalah yang kritikal adalah keselamatan dan kerahsiaan data dan harta intelek bagi sesebuah organisasi yang berada dalam peranti mudah alih atau komputer kepunyaan para pekerja.



Perkara paling penting bagi sesebuah organisasi menghadapi gaya pengkomputeran BYOD ini adalah ia perlu menyediakan satu pelantar pengkomputeran yang cekap, selamat dan mesra peranti mudah alih. Pelantar pengkomputeran ini perlu merangkumi keseluruhan infrastruktur teknologi maklumat kepunyaan sesebuah organisasi seperti internet, rangkaian komputer, sistem maklumat, perkakasan, perisian, pangkalan data, sistem pengoperasian dan data.



Pelantar yang sesuai untuk perlaksanaan pengkomputeran BYOD ini adalah pengkomputeran maya atau pengkomputeran awanan. Ini kerana, apa sahaja peranti mudah alih yang digunakan oleh pekerja untuk mencapai infrastruktur teknologi maklumat sesebuah organisasi akan dicapai menerusi komputer peribadi atau aplikasi secara maya dengan talian rangkaian setempat atau internet. Ia boleh diandaikan seperti komputer stesen kerja atau workstation mencapai sebuah komputer kerangka utama atau mainframe.



Pelantar pengkomputeran maya atau pengkomputeran awanan ini akan memudahkan pengurusan perlaksanaan pengkomputeran BYOD bagi pekerja dalam sesebuah organisasi. Para pekerja akan mencapai infrastruktur teknologi maklumat organisasi secara jauh dan terkawal. Apa yang paling penting adalah data yang merupakan aset kritikal bagi sesebuah organisasi dapat diurus dengan baik, selamat dan cekap dalam persekitaran pengkomputeran BYOD ini.



Beberapa persoalan dari sudut pandang penggunaan infrastrukur teknologi maklumat organisasi oleh para pekerja dalam pengkomputeran BYOD ini perlu dikaji dan ditangani dengan baik dan cekap. Antara persoalan-persoalannya adalah seperti berikut:-



1. Adakah peluang untuk para pekerja menggunakan apa-apa data atau harta intelek hak milik organisasi dalam peranti mudah alih hak peribadi mereka?



2. Adakah dibenarkan jenis-jenis capaian di buat kepada infrasruktur teknologi maklumat organisasi dan sekiranya ada yang tidak dibenarkan, bagaimana ia ditangani?



3. Apakah bentuk dan kadar kawalan yang diperlukan oleh organisasi terhadap peranti-peranti mudah alih peribadi ini dari sudut pandang pengurusan organisasi dan para pekerja?



4. Apakah bentuk-bentuk ancaman keselamatan yang berkemungkinan wujud dalam penggunaan peranti-peranti mudah alih ini dan bagaimana untuk menanganinya?



5. Adakah infrastruktur teknologi maklumat organisasi sedia ada berupaya untuk menangani penggunaan peranti-peranti mudah alih peribadi terutama dari segi keperluan jalur lebar dan kekangan-kekangan fizikal yang akan timbul? Bagaimana untuk mengatasinya?



6. Bagaimana pula dari segi bentuk sokongan, penyelenggaraan dan pengurusan infrastruktur teknologi maklumat yang diperlukan dalam pengkomputeran BYOD?



Konsep pengkomputeran BYOD ini sudah lama wujud dalam sesebuah organisasi tetapi bezanya adalah peranti mudah alih yang digunakan seperti komputer riba adalah hak milik organisasi dan para pekerja yang terlibat juga adalah terhad kepada bilangan dan jabatan yang tertentu seperti jabatan pemasaran dan jualan, sokongan dan lain-lain. Mereka ini perlu mencapai data atau sistem maklumat dari jarak jauh dan dikenali sebagai perkerja yang sentiasa buat kerja di luar pejabat atau mobile worker.



Gaya pengkomputeran BYOD ini sudah menjadi satu gaya kerja kini yang membolehkan produktiviti, inovasi dan kreativiti sesorang pekerja dikembangkan. Walau bagaimana pun, perlu ada polisi-polisi untuk mengawal dan mengurus perlaksanaannya. Dari sudut pandang sesebuah organisasi, perkara utama yang perlu dikaji adalah kesan kos-kos tambahan yang akan wujud dalam perlaksanaan pengkomputeran BYOD ini. Aspek keselamatan teknologi maklumat juga perlu dikaji semula dalam perlaksanaan pengkomputeran BYOD ini bagi menangani bentuk-bentuk ancaman baru yang perlu ditadbir urus dengan baik dan cekap.





No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.