Monday, December 24, 2012

Sembang ICT 63: Elak nama, fail muncul dalam internet. 13 Februari 2012.

Diskusi ICT 57




En. Firkhan, saya ingin tahu, bagaimana untuk mengelakan segala dokumentasi, fail atau perkara yang berkait dengan satu nama seperti nama seseorang tidak akan dipaparkan apabila nama tersebut ditaip di laman web Google atau internet?



Saya Dia, Skudai.



Pertama, sekiranya sesuatu itu penting seperti fail, dokumen dan lain-lain, elakan daripada menggunakan medium laman web atau apa-apa aplikasi yang tidak dienkrip di internet untuk mencapai, menghantar dan menyebarkannya. Gunakan perkhidmatan aplikasi VPN (Virtual Private Network) yang boleh didapati secara percuma untuk membuat sebarang transaksi atau sambungan di antara dua nod menggunakan talian internet.



Aplikasi VPN ini akan mengenkripkan sambungan di antara dua nod ini menerusi talian internet. Internet merupakan talian rangkaian komputer yang bersifat umum. Sesiapa sahaja boleh mencapainya. Ini penting bagi para pekerja yang sentiasa dalam pergerakan ke mana-mana. Sekiranya perlu, gunakan kata laluan yang kuat dan kental berserta dengan aplikasi enkripsi dan aplikasi-aplikasi keselamatan yang lain seperti Firewall, perisian anti-virus dan lain-lain.



Di sini, disertakan beberapa panduan untuk menghindarkan maklumat berkenaan seseorang daripada dipaparkan oleh sesebuah laman web seperti enjin carian.



1. Elak daripada menggunakan nama penuh dan memberi maklumat peribadi yang sulit dalam mengendalikan segala urusan di internet seperti penulisan blog, penulisan komen kepada sesuatu laman web, pendaftaran ahli bagi akaun laman web dan lain-lain.

2. Cuba lakukan carian nama tersebut dalam mana-mana laman web enjin carian. Berkemungkinan paparan maklumat itu merupakan maklumat bagi orang lain yang mempunyai nama yang sama atau seakan-akan sama.

3. Ubah segala kandungan web yang mempunyai nama sendiri kepada nama lain seperti komen, komentar dan lain-lain. Tutup semua akaun laman web di internet yang telah didaftarkan dengan nama tersebut. Ini kerana kesemuanya ini akan diindek oleh laman-laman web enjin carian seperti Google.

4. Hantar e-mel kepada pihak yang empunya bagi sesebuah laman web yang mengandungi nama seseorang bagi meminta kebenaran untuk membuang kandungan web yang mempunyai nama tersebut. Minta dengan baik dengan alasan-alasan yang kukuh. Apa yang penting adalah perlu dibuktikan dengan jelas perkara-perkara tersebut adalah kepunyaan peribadi.

5. Kebanyakan laman web enjian carian mempunyai konfigurasi sendiri untuk perkara-perkara yang bersifat privasi dalam carian. Sila cari menu tersebut dan lakukan langkah-langkah yang seterusnya. Sebagai contoh, enjin carian Yahoo! mempunyai fungsi Yahoo Privacy Policy. Enjin carian Google mempunyai Google Privacy Center di http://www.google.com/privacy/tools.html.

6. Boleh hantar alamat URL tertentu kepada Google Webmaster Tool untuk blok maklumat-maklumat tertentu di alamat URL,

https://www.google.com/webmasters/tools/removals.

7. Terdapat juga syarikat-syarikat yang menawarkan perkhidmatan untuk membuang sesuatu nama daripada dipaparkan oleh enjin carian seperti RemoveYourName.Com, Zallas Technologies, Complaint Remover dan lain-lain. Ia memerlukan kos untuk melanggannya.

Itulah beberapa panduan yang boleh dilakukan untuk menghindarkan berlakunya paparan apa sahaja perkara berkenaan sesuatu nama di sesebuah laman web atau internet. Ia agak sukar untuk menghapuskan perkara-perkara yang sedia ada tetapi tiada perkara mustahil yang boleh berlaku dengan kegigihan sesuatu usaha.



Fikirkan@Firkhan.

No comments:

Post a Comment

Harap menggunakan bahasa yang berbudi tinggi dan terima kasih di atas komen anda.